[SNEAK PEEK] Kau Vaksin Anak Kau?! Habislah

Kau Vaksin Anak Kau?! Habislah Oleh Dr. Amirul Amzar, Dr. Suhazeli Abdullah, Mohd Dziehan, Tayang Hamzah

Kenapa orang dewasa pun perlukan suntikan vaksin? Jawapan mudah untuk persoalan ini adalah bagi melindungi diri dan melindungi orang di sekeliling daripada jangkitan penyakit.

Vaksin yang diperlukan untuk individu dewasa bergantung kepada umur, gaya hidup, rancangan perjalanan ke luar negara, status suntikan vaksin yang pernah diterima sebelum ini, dan keadaan status perubatan seseorang.

Berikut adalah antara sebab mengapa individu dewasa juga memerlukan suntikan vaksin.

1. Anda mungkin tidak lagi dilindungi. Anda mungkin menerima vaksin semasa kanak-kanak. Tetapi sesetengah vaksin memerlukan dos suntikan booster untuk terus berada dalam status perlindungan. Status perlindungan mungkin tidak tahan lama untuk penyakit seperti pertusis (batuk kokol) atau tetanus, yang biasanya diberikan semasa usia kanak-kanak.

2. Mendapatkan suntikan vaksin membantu melindungi anak-anak anda – terutamanya dalam melindungi bayi yang masih kecil dan belum mencapai usia yang boleh diberikan suntikan vaksin. Vaksin batuk kokol disyorkan untuk wanita hamil (dicadangkan usia kehamilan antara 27 dan 36 minggu) dan individu yang mempunyai hubungan dengan bayi kecil. Begitu juga dengan suntikan vaksin flu/selesema ini kerana tiada vaksin flu yang sesuai untuk bayi yang berumur kurang daripada 6 bulan.

3. Sesetengah vaksin memang hanya untuk orang dewasa. Sebagai contoh suntikan vaksin kayap/shingles (juga dikenali sebagai herpes zoster atau zoster) disebabkan oleh pengaktifan semula virus cacar air. Ia boleh menyebabkan ruam kulit yang teruk dan menyakitkan. Risiko untuk kayap meningkat terutama dalam golongan individu berumur. Vaksin ini disyorkan untuk orang dewasa berumur 60 tahun ke atas.

4. Anda mungkin memerlukannya semasa perjalanan. Melancong ke negara lain, anda mungkin menghadapi penyakit yang tidak akan didapati di Malaysia. Suntikan vaksin demam kuning contohnya diperlukan untuk perjalanan ke bahagian Afrika Sub-Sahara dan Amerika Selatan. Manakala untuk perjalanan semasa umrah, atau haji tahunan ke Mekah, kerajaan Arab Saudi mewajibkan suntikan vaksin meningococcal. Anda perlu membuat rujukan awal sebelum melancong ke negara lain bagi mengetahui keperluan mengambil apa-apa suntikan vaksin.

5. Setiap tahun memerlukan vaksin flu/selesema. Disyorkan semua individu berumur 6 bulan ke atas mendapatkan vaksin flu setiap tahun jika mereka tidak mempunyai alasan perubatan yang tidak membenarkan menerima suntikan vaksin tersebut. Vaksin flu ini diperbaiki setiap tahun dengan tujuan melindungi terhadap tiga ataupun empat jenis virus selsema yang sentiasa bermutasi dan dijangkakan akan menyerang setiap tahun.

6. Sebagai contoh buat kanak-kanak. Ramai kanak-kanak yang tidak tahu ataupun tidak boleh mengambarkan pengalaman dan mengapa mereka harus menerima suntikan vaksin. Mereka rata-ratanya takut kepada jarum dan kesakitan menerima suntikan. Oleh itu, individu dewasa boleh menunjukkan teladan dan membuktikan kepada mereka bahawa pencegahan sesuatu penyakit berjangkit melalui melalui suntikan vaksinasi adalah pilihan yang terbaik.

7. Anda mungkin tidak mendapat vaksin sepenuhnya semasa zaman kanak-kanak. Tidak semua orang bernasib baik divaksinasi sepenuhnya semasa zaman kanak-kanak. Katakan anda tidak mendapat vaksin untuk pencegahan seperti penyakit measles, begok (mumps), dan rubella semasa usia kanak-kanak. Oleh itu anda memerlukan suntikan vaksinasi walaupun sudah dewasa. Terdapat juga sesetengah individu dewasa yang pada ketika zaman kanak-kanak mereka, program vaksinasi belum bermula ataupun belum menyeluruh bagi merangkumi pelbagai jenis penyakit seperti pada jadual imunisasi kebangsaan yang ada sekarang.

8. Vaksin baru telah dihasilkan. Sesetengah vaksin yang disyorkan untuk orang dewasa agak baru. Sebagai contoh, FDA meluluskan vaksin HPV dan vaksin kayap/shingles pada tahun 2006. Meskipun jumlah individu dewasa yang diberi suntikan vaksin-vaksin baru semakin ini meningkat, namun tahap kesedaran bagi menerima sutikan vaksin ini adalah suatu cabaran untuk setiap negara.

9. Anda bekerja dalam profesion penjagaan kesihatan. Kakitangan penjagaan kesihatan berpotensi terdedah kepada segala macam jangkitan, serta terdedah kepada cairan darah dan badan pesakit. Kebanyakan dikehendaki bukan sahaja mendapatkan siri suntikan vaksinasi yang lengkap malah termasuk juga mendapatkan suntikan vaksinasi influenza tahunan, suntikan vaksin untuk measles, mumps, rubella (MMR), dan hepatitis B.

10. Anda aktif mengamalkan amalan seks bebas. Vaksin seperti hepatitis B sangat disyorkan kerana jangkitan virus Hepatitis B boleh dijangkiti daripada satu individu kepada individu lain melalui perpindahan cecair tubuh seperti air mani, cecair vagina, dan darah. Hepatitis B adalah 50-100 kali lebih mudah dijangkiti berbanding dengan HIV. Perlu diketahui, anda mungkin melihat pasangan anda sihat, namun pasangan anda mungkin membawa penyakit ini.

11. Anda mungkin mempunyai status imun tubuh yang rendah. Sebagai contoh, individu dewasa yang mempunyai masalah kesihatan seperti asthma, penyakit jantung, penyakit paru-paru, diabetes, ataupun penyakit kronik yang lain. Ataupun anda seorang perokok, sistem imun anda mungkin sedikit terganggu. Suntikan vaksin pneumococcal mungkin boleh membantu mencegah penyakit serius seperti pneumonia, meningitis, dan jangkitan darah yang disebabkan oleh bakteria Streptococcus pneumoniae. Justeru untuk individu seperti di atas, boleh dapatkan vaksin pneumococcal kerana anda mungkin menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk jangkitan ini.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/324981/kau-vaksin-anak-kau-habislah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *