[SNEAK PEEK] KAU SELALU ADA

9789831245378-medium

KAU SELALU ADA Oleh Durrah Fatiha

Prolog

SUARA gelak tawa semakin kuat kedengaran. Hanyut dibawa angin menembusi tingkap lalu hinggap di telinganya. Abdul Qayyim yang sedang meneliti laporan kewangan syarikat di skrin komputernya langsung hilang konsentrasi. Suara riang tiga gadis yang rancak berbual di tepi kolam renang di luar rumah itu terus menggugat tumpuan. Entah apa yang mencuit hati mereka dia tidak pasti, namun selalunya begitulah bila mereka bersama. Yang Abdul Qayyim tahu, ia semakin melenyapkan minatnya untuk menyambung semula tugas di atas meja. Lantas, dia bangkit menuju tingkap. Sambil menyeluk saku, mata mencari kelibat ketiga-tiga remaja itu.

Dari tingkap bilik kerja itu dia mengintip kerenah mereka tanpa disedari. Malihah adiknya, duduk berjuntai kaki mengocak air di dalam kolam. Sedang menghadap Nurnisa yang hanya kelihatan kepalanya sahaja. Gadis itu bagaikan ikan bila berada di dalam air. Ligat dia berenang dan menyelam. Seperti biasa, Syahindah tidak akan menyertai kegemaran dua rakannya. Dia kini bersantai di kerusi taman bersama sebuah buku di tangan, sedikit jarak dari mereka.

“Hah, cubalah kau buat. Kalau tak kena sound dengan Abang Qayyim, kira nasib kau baiklah,” perli Nurnisa yang bagai itik mengapungkan badan di tengah-tengah kolam. Tawanya lepas sejurus sebelum seluruh anggotanya hilang ke dasar kolam.

“Eh, dia bukannya tahu kalau kau orang tak pecahkan rahsia ni,” sambut Malihah dalam nada defensif. Wajahnya kini dihadap kepada Syahindah pula.

Qayyim hanya tersenyum mendengar jawapan adiknya. Pasti ada yang mereka rencanakan! Selalunya rancangan nakal mereka itu tidak masuk akal dan tidak bersesuaian dengan perangai anak-anak gadis seperti mereka. Itulah sebabnya mereka sentiasa mendapat tentangan dari aku. Cuba bayangkan… tiga gadis remaja menonton wayang dari mula panggung itu dibuka hingga habis panggung ditutup walaupun melewati tengah malam! Solatnya ke mana dan pulang lewat malam begitu bukankah mengundang bahaya? Akhirnya, aku jugalah yang menjadi pemandu tidak rasmi untuk menghantar dan mengutip mereka semula. Ah, letih…

Pernah juga Malihah merengek kepadanya meminta dihantar ke taman permainan kanak-kanak pada jam 1.00 pagi. Alasannya, mereka teringin untuk bermain di situ tanpa gangguan. Akibatnya, keesokan harinya dialah yang merana menahan kantuk disebabkan terpaksa menemani mereka sepanjang malam bermain jongkang-jongket! Sabar ajelah aku ni!

Kata orang tua-tua, lebih mudah menjaga lembu sekandang daripada anak dara seorang. Inikan pula tiga dara pingitan. My three angels… semput dibuatnya! Macam-macam yang telah mereka ‘kerjakan’ sepanjang menjadi kawan rapat sejak di bangku sekolah menengah lagi.

Qayyim memanjangkan leher di tepi tingkap. Merenung ke arah tiga sahabat yang bergelak ketawa di luar sana. Ingatannya berbalik kepada beberapa tahun lalu. Lia sengaja menolak tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negara kerana dua sahabat baiknya tidak mendapat peluang serupa. Tidak mahu berpisah jauh, alasannya. Tetapi yang peliknya mereka tidak menjadi siswi di pusat pengajian sama dalam negara pun. Mereka cuma bertemu di waktu cuti semester. Anehnya ‘the three angels’ ni. Aku selalu menggelar mereka dengan nama jolokan itu. Sesuai sangatlah perumpamaan tersebut dengan perangai dia orang tu! Agak-agak bilalah mereka bertiga ni nak jadi matang? Qayyim mengelamun lagi kepada kisah dua minggu yang lalu…

CAHAYA di ruang makan rasmi rumah besar itu agak redup apabila tidak semua lampu dipasang. Meja makan berkerusi lapan buatan kayu jati yang tersergam kelihatan berselerak dengan hidangan ringkas serta piring-piring dan gelas.

“Sekarang kau dah besar. Dah boleh cari boyfriend.” Sengaja Syahindah mengusik Malihah.

“Eei, jeleslah… aku tak boleh nak cari boyfriend. Birthday pun lambat lagi.” Nurnisa meletakkan kek yang baru dikeluarkan dari dalam kotak sederhana besar ke atas meja.

“Eh, Indah lagi tua. Dia dah sambut hari lahir dua bulan lepas. Kau dah ada boyfriend ke, Indah?” Malihah mengajukan soalan kepada gadis yang sedang menatang dulang berisi gelas-gelas serta air kotak. Dua botol besar 100 Plus, juga sekotak jus epal sudah tersedia di atas meja.

“Mana boleh cakap, nanti kau orang kebas,” balas Syahindah yang menjeling tajam. Lagaknya seperti menyembunyikan sesuatu.

“Ek eleh… perasan!” Dalam riuh-rendah itu, suara Malihahlah yang paling nyaring.

“Eh, perlahan sikitlah. Nanti mak kau terdengar.” Syahindah mengingatkan. Tak boleh bayangkan kalau Hajah Jafni turun dan mengetahui ‘pekerjaan’ mereka tatkala ini.

“Tak adanya, jangan risau. Hah, sekarang semua kena nyanyi. Okey, satu, dua, tiga!” gesa Malihah, tidak dapat menahan suaranya.

“Tiup lilin, tiup lilin! Mana lilin?” Suara Nurnisa hampir terjerit.

“Hei, mana boleh… kita orang Islamlah, tak tiup lilin.”

“Hisy, cepatlah kau orang. Nyanyi. Satu, dua, tiga!”

“Yalah, yalah…”

“ALLAH selamatkan kamu, ALLAH selamatkan kamu, ALLAH selamatkan Malihah binti Ghani, ALLAH selamatkan kamu…”

Tepuk sorak berbunyi di segenap ruang rumah itu. Walau hanya tiga insan yang menghadiri majlis sambutan hari jadi tergempar itu, namun bila ianya dinyanyikan pada jam tiga pagi, gemanya melantun hingga ke bilik-bilik di atas.

“Okey, jom kita makan!” Teriakan Malihah lebih nyaring daripada tadi. Lupa seketika kepada waktu yang mereka sedang berseronok kini adalah masa orang lain masih enak diulit mimpi.

“Lia!”

Serentak teriakan itu, ruang yang tadi agak samar sudah terang-benderang dilimpahi cahaya. Dalam diam rupa-rupanya Hajah Jafni kini tercegat di selusur tangga.

“Apa semua ni? Apa pulak yang Lia paksa kawan-kawan buat kali ni?” Wanita itu menggeleng beberapa kali. Lemas dengan perangai anak perempuan yang seorang ini. Tak habis-habis dengan kejutan. Nasib baik suaminya sedang menghadiri seminar di Kuala Terengganu. Jika tidak, boleh jadi kecoh dibuatnya. Silap haribulan dijerkahnya semua orang. Qayyimlah yang selalu menjadi penyejuk antara adik dan bapanya.

“Tak ada apa-apa, mak! Saja seronok-seronok aje!”

“Kenapa bising-bising tengah malam ni? Lia, apa pulak yang kau orang raikan kali ni?” suara Qayyim menyusul. Sambil menguap, perlahan lelaki itu menuruni tangga.

“Alah, Lia ajak dia orang raikan birthday aje,” protes gadis sederhana tinggi yang agak berisi itu.

“Lia!” Mencerlang sepasang mata itu. “Kenapa tak boleh tunggu esok pagi? Bukan ke esok hari minggu? Hah, buatlah sesuka hati… lagipun abang akan ke Ipoh esok, kau orang boleh merdeka masa tu.” Qayyim terduduk di anak tangga, menggosok mata yang masih mengantuk. Apalah nasib diri… dapat adik yang perangainya macam ni.

“Tapi kita orang nak sambut malam ni jugak, lagi real!” Seperti biasa, ada saja alasan Malihah.

“Real apa kejadahnya? Sekarang ni pukul 3.00 pagi, tahu?” teriak Hajah Jafni sambil membeliakkan mata. “Apa nak jadi dengan bebudak bertiga ni?”

“Yalah, mak kata Lia lahir pukul 3.00 pagi… dah tu betullah kalau Lia sambut pada waktu yang tepat…”

Qayyim mengerdipkan matanya beberapa kali. Tak kuasa nak layan ‘projek kemaruk’ dia orang ni.

“Lia, alangkah baik kalau disambut dengan solat hajat dan Tahajjud. Itu lebih bermakna di waktu-waktu macam ni,” bebelnya memberi ingatan.

Nampaknya hanya Qayyim yang tahan melayan kerenah Malihah bila bersama kawan-kawannya, hati Hajah Jafni merungut.

“Dahlah, mak ngantuk ni. Nak masuk tidur. Tak kuasa layan kamu. Jangan bising sangat,” pesan Hajah Jafni lagi sebelum mendaki anak tangga semula.

Malihah dengan kawan-kawannya terkedu sejurus menerima saranan wanita itu. Terbit rasa malu dengan perangai mereka yang selalu mengejutkan orang.

“Alah, mak ni…” balas Malihah. Masih tak mahu kalah.

“Sempena hari lahir Lia yang disambut saat ini, Abang Qayyim ada nak nasihat apa-apa ke?” pelawa Syahindah setelah kelibat Hajah Jafni hilang di tingkat atas. Dia memang begitu dengan Abang Qayyim, suka melihat ekspresi di wajah lelaki itu yang sering tersentak dengan ragam mereka.

“Waktu bila pulak Indah dengan Nisa lahir? Subuh? Senja? Lepas ni boleh buat celebration lagi, kat litar F1 ke… hospital ke,” sindirnya. Qayyim bangkit sambil meraup muka, merapati meja. Memerhati hidangan ringkas mereka. Ada kek, kacang goreng dan sandwic tuna di samping minuman ringkas. Selamba dia bertindak menuang jus ke dalam gelas lalu diteguknya.

“Hmm, haus. Err… abang naik tidur dulu,” ulasnya sambil mengelap kesan jus di atas bibir dengan belakang tangan. Bersahaja membalas tenungan ketiga-tiga gadis yang semacam saja membuntangkan biji mata ke arahnya. Tanpa kata-kata lanjut, Qayyim beredar dari situ. Harap-harap lepas ni aku boleh sambung tidur yang tergendala, bebelnya sewaktu berlalu ke bilik. Sambil berbaring di atas katil, telinganya ditekup dengan bantal.

****

Tiga tahun kemudian.

TIGA sahabat itu meneruskan liku-liku hidup dengan melalui pendedahan berbeza walau masih mengekalkan persahabatan mereka. Hidup di kampus yang berjauhan lokasi membataskan aktiviti bersama seperti dulu. Perhubungan hanya dihadkan kepada panggilan-panggilan telefon yang kadangkala pendek dan kesuntukan waktu. Dalam tempoh tersebut, masing-masing juga sudah ada bidang sendiri yang diceburi. Hanya di masa cuti semester mereka akan berkumpul semula. Jika tidak di rumah Nurnisa di Tanjung Malim, mereka ke kampung Syahindah di Johor untuk menziarahi datuknya. Tetapi selalunya mereka seronok menghabiskan waktu di rumah Malihah di Kelana Jaya sahaja. Tambahan pula ada Abang Qayyim yang sering melayani kerenah mereka, hidup sentiasa jadi indah!

Detik masa bergerak seperti yang dijanjikan ALLAH. Alam siswi yang ditempuh kini tiba di penghujung. Peperiksaan semester akhir berlangsung di kampus masing-masing dalam tempoh yang berbeza. Selesai peperiksaan, mereka masih membawa haluan sendiri. Untuk beberapa lama, tiada sebarang bentuk perhubungan yang terjalin sehingga tiba waktunya.

LONGGOKAN bunga serta daun tiruan yang bertimbun di atas meja direnung sejenak. Telunjuk Nurnisa berlabuh di sudut dagu, terkedip beberapa kali. Sejurus dia tersenyum, kemudian mencapai setangkai ros lalu mencucukkan bunga berwarna kuning itu kepada gubahan yang separuh siap di dalam pasu. Segera dia menambah lagi beberapa tangkai bunga serta daun di sana sini sebelum berhenti dan merenung hasil tangannya. Cantik! Bisik hati kecilnya sambil bibir menguntum senyum. Gadis putih, tinggi lampai itu memang menggemari bunga-bunga. Jemarinya yang sentiasa kreatif itu berupaya menyusun dan mengatur hingga terbentuk gubahan menarik beraneka rupa.

“Hmm, sekejap aje dah siap. Cantik. Berbakatlah akak ni,” puji Zai, pembantu kedai berumur belasan tahun yang bekerja sementara sambil menunggu keputusan SPMnya terbit. Dia memang terpegun setiap kali bunga-bunga yang berlonggokan di atas meja itu bertukar menjadi jambangan cantik setelah dibelai dengan sentuhan tangan Nurnisa.

Nurnisa tersengih mendengar pujian itu. Tidak sia-sialah minat yang selama ini dipupuknya.

“Hmm, bunga gubahannya menarik. Orangnya pun tak kurang cantik. Pandai pulak tu. Untunglah jejaka yang dapat kau nanti, Nisa,” tokok Kak Mimi, tuan punya kedai bunga yang sudah tiga minggu menerima Nurnisa berkhidmat di situ. Dia tersenyum bangga. Selamba saja melonggokkan beberapa jambak lagi bunga lili, mawar serta daun-daun ke atas sudut meja.

“Yalah tu, Kak Mimi. Pandailah akak bodek saya yang dah berpeluh ni. Sambil tu akak tambahkan lagi bunga-bunga dengan pasu tu ya?” sinis Nurnisa menjeling longgokan bunga yang semakin bertambah di atas meja kerjanya. Sejak pagi tangannya tidak henti memadan dan menyusun.

“Alah, dia orang dah suka dengan hasil kerja kau. Ni yang Datin Maznah punya, tau. Kau buat cantik-cantik. Petang nanti anak lelaki dia nak datang ambik. Ni dah kali kedua Datin tu tempah dalam minggu ni. Entah-entah anak dia dah berkenan dengan tukang gubah bunganya sekali, tulah sebabnya dia asyik tempah aje. Ha, tak lama lagi dapatlah kau jadi menantu Datuk dan Datin, Nisa,” omel Mimi panjang lebar.

“Fikiran akak ni… selalu buat kerja overtimelah. Karang saya hadiahkan Datin tu dengan gubahan ‘semangat hutan’ ke… baru akak tahu,” balas Nurnisa nakal. Namun, di dalam hati dia jadi perasan sejurus. Dirinya memang kuat berangan. Mulalah Nurnisa cuba mengingati rupa paras anak Datin Maznah yang pernah datang mengambil gubahan bunga yang ditempah mamanya. Yang mana satu orangnya, ya? Minda Nurnisa cuba mengimbas beberapa orang jejaka yang keluar masuk ke kedai itu dua hari lepas. Ah, tak ingatlah pulak.

“Eh, janganlah macam tu. Kau ni orang puji pun nak marah.”

Nurnisa hanyut semula dalam lamunan. Dia jadi leka. Terlupa sejurus tentang jemputan untuk makan malam di rumah Malihah, kawan baiknya.

MATA Syahindah meliar ke kiri kanan wad. Hatinya resah. Ada sayu terpalit di situ. Pelawat yang ramai menziarahi pesakit di katil sebelah beransur pulang. Dia memandang kosong kepada mereka, kemudian matanya kembali kepada pesakit di katil di hadapannya. Sudah hampir sejam dia berbual dengan Mak Cik Gayah yang sedang terlantar di situ. Namun, kelibat anak-anak mahupun saudara-maranya tidak kelihatan langsung. Di mana mereka? Suaminya sudah lama meninggal. Sudah tentu dia mengharapkan kunjungan anak-anak. Takkan dah seminggu kat sini dia orang tak jenguk-jenguk lagi orang tua ni? Hati kecilnya menggerutu sendirian. Kesian melihat mak cik Gayah yang kesunyian.

“Mak cik makanlah dulu, saya tunggu. Nampak sedap aje lauk ni.” Dia memancing minat Mak Cik Gayah yang hanya merenung hidangan nasi putih, ayam kurma dan sayur serta buah yang sudah lama dihidang oleh pihak hospital. Cuba memujuk wanita itu untuk makan. Kelak mampu pulihkan tenaga tuanya.

“Mak cik tak ada selera.”

“Kentang tu nampak lembut. Senang nak kunyah. Saya suapkan ya,” pujuknya lagi. Syahindah tersenyum mengangkat dulang berisi nasi dan lauk lalu disendukkan seketul kentang dan ayam. Dia melecekkan kentang dan digaul bersama nasi. Kemudian disudukan ke mulut Mak Cik Gayah.

“Nah, makan ya, mak cik.”

“Kamu ni baiklah, Indah.” Mak Cik Gayah membuka mulut akhirnya. Terpujuk juga dengan tangan lembut yang menyuakan makanan itu.

Pesan Mija, bila menziarahi orang sakit elakkan menyoal hal-hal sensitif seperti penyakit yang dihidapinya ataupun hal keluarga. Syahindah masih berpegang pada prinsip itu. Justeru, sudah habis topik untuk dibicara selama empat hari dia menziarahi Mak Cik Gayah. Tetapi di mana ahli keluarganya? Kenapa mereka tidak pernah datang? Apa masalah mereka? Tidak prihatinkah mereka akan keadaannya? Segala persoalan menusuk minda.

Selesai Mak Cik Gayah makan, Syahindah melirik jam di tangan dan bersedia untuk bangun.

“Mak cik, saya balik dulu ya. Mak cik berehatlah. Tenangkan diri. Insya-ALLAH, esok lusa saya datang lagi.”

SEMENTARA itu di sebuah rumah besar sekitar Kelana Jaya, Malihah yang terlebih dahulu selesai menduduki peperiksaannya sudah lama pulang dan berulit di rumah. Abang Qayyim yang kini sibuk dengan urusan perniagaan tidak dapat melayaninya seperti dulu lagi. Walau kebosanan, dia masih bersabar dan menunggu masa sesuai untuk menghubungi kawan-kawannya semula. Bagi mengisi masa, dia mencuba resipi-resipi baru dan menajamkan bakat di bidang masakan yang digemari. Namun, hari ini telah tiba masa yang dinanti-nanti selama ini.

Jam bulat berbingkai kayu maple yang dibeli di luar negara yang menghiasi dinding itu berbunyi sebanyak empat kali. Malihah menegakkan tubuh, mengangkat matanya dari skrin televisyen lalu dijegilkan tepat ke arah jam tersebut. Wajahnya dikerutkan. Bibir mencebik sakan kerana terpaksa berpisah dengan rancangan kegemarannya. Malihah bangun dari kerusi seraya menekan punat alat kawalan jauh sebelum meninggalkan ruang itu.

“Kak Piah, jom!” jeritnya sambil bangun. Beberapa minit kemudian kedua-duanya sibuk beraksi di dapur. Malihah memang berbakat dalam bab masak-memasak.

“Kak Piah potong sayur ni dulu, Lia nak tumis kejap lagi.”

“Yalah. Ayam ni Kak Piah dah perap. Lia goreng ya. Sat lagi biaq Kak Piah selesaikan daging masak kicap tu.” Dua sejoli itu memang pasangan yang serasi di dapur. Piah sudah memahami rentak kerja Malihah dan dia menurut dengan senang hati.

Hampir satu setengah jam kemudian keadaan di ruang dapur agak tenang. Kebanyakan lauk sudah selesai dimasak. Sambil berbual mereka membersih dan mengemas perkakas yang telah siap digunakan.

“Kak Piah siapkan meja ya, Lia nak habiskan sikit lagi ayam ni.” Hati Malihah teruja mengenangkan pertemuan yang bakal berlaku dengan ‘member-member kamceng’ yang sudah beberapa bulan terpisah. Pagi semalam dia sudah hilang sabar lalu menghubungi Nurnisa dan Syahindah. Hasilnya, malam ini mereka akan bertemu semula. Yahoo, seronoknya!

“LIA sayangku! Kau apa khabar? Masak apa tu?”

“Opocot!” teriak Malihah spontan. Gadis itu tersentak menerima sergahan tiba-tiba dari belakang. Tidak disedari kemunculan Nurnisa yang dalam diam memasuki ruang tersebut.

“Hisy, kau ni! Asyik terjah macam ni… terperanjat aku! Nasib baik periuk ni tak terpelanting. Pesan mak aku supaya bagi salam dulu, sikit pun kau tak ingat, ya?” leternya panjang seraya mengurut dada. Pelukan bahunya dari belakang cepat-cepat dilerai. Malihah segera berpusing menghadap sahabat yang sudah lama tidak ditemui.

“Sorry Lia, aku buat kau terkejut. Aku terlampau seronok jumpa kau sampai dah tak perasan apa yang keluar dari mulut ni. Eh, by the way… where’s Abang Qayyim?” Nurnisa melilaukan mata ke seluruh ruang. Mencari kelibat lelaki tersebut di ruang itu. Sudah lama dia tidak menatap wajah abang Malihah yang peramah dan suka melayani mereka.

“Eh, peluklah aku dulu. Ni tidak, asyik tanya abang aku tu jugak. Siapa sahabat kau… dia ke aku?”

Tersipu Nurnisa dengan komen rakannya itu. Segera diraih gadis itu ke dalam pelukan yang kejap. “Hmm, cayang kau. Saja aje aku tanya Abang Qayyim. Tu pun tak boleh?”

“Ah, biasalah… orang korporat. Selagi belum menyala lampu kat jalan tu, manalah nak balik.” Pelukan dilerai. Malihah sudah beralih kepada kuali di atas dapur. Segera membalikkan ketulan ayam yang sedang digoreng.

“Kawan kita yang sorang lagi tu dah sampai ke?” Sengaja Nurnisa melarikan tajuk bualan rakannya kerana tidak mahu mendengar leteran Malihah yang pastinya bersambung-sambung jika dibiarkan.

“Tu lagi satu puteri ulat buku. Aku dah call dia tadi, tapi peti mesej aje yang jawab. Cuba kau telefon dia semula. Tak tahulah dia masih kat Ampang atau di mana. Buatnya dia terlepas bas macam dulu-dulu tu, jenuhlah kita kena tunggu dia pulak.” Malihah mengeluh mengenangkan rakan yang seorang lagi itu.

“Kejap lagilah aku telefon dia. Mak cik mana?” soal Nurnisa sambil tangan pantas menyenduk sedikit daging masak kicap dari dalam periuk. Piring dicapai lalu dipindahkan sedikit lauk itu ke dalamnya. Selamba dia mula meratah tanpa mengendahkan jelingan tajam Malihah yang sibuk mengangkat ayam goreng dari kuali.

“Hisy, menyibuk aje dia ni kat dapur. Mak aku ada kat atas. Pergilah naik jumpa dia. Kau tu ada kat sini dengan tak ada sama saja. Bukannya boleh tolong pun. Huh, esok-esok dah kahwin kau nak hidangkan apa kat suami kau bila tiba waktu makan, hah?” perli Malihah kepada gadis cantik yang tidak ada bakat langsung dalam bab masak-memasak.

“Aku pasang bibik yang pandai masaklah,” jawab Nurnisa sinis. Cepat dia beredar dari situ untuk bertemu dan bertanya khabar Hajah Jafni, emak Malihah. Jika tidak, nanti percuma saja lengannya lebam menerima cubitan Malihah.

“KITA solat maghrib dulu baru makan, ya? Sempat lagi nak tunggu Indah tiba. Tak seronoklah makan kalau tak cukup geng,” menung Malihah kepada rakannya. Mereka memerhati sahaja hidangan yang siap tersusun di atas meja. Bermacam-macam lauk ada. Semuanya membuka selera.

“Aku dah agak dah, dia ni mesti lewat. Entah tersangkut dengan buku apa kat kedai mamak tu tak tahulah,” rungut Nurnisa perihal kawan mereka yang seorang itu. Faham benar dengan perangai Syahindah yang gemar membaca buku. Tak kira di mana, dia akan membaca setiap waktu yang terluang. Tak hairanlah jikalau dia tertinggal bas atau komuter.

“Jomlah kita naik atas. Dah lama azan maghrib berkumandang kat TV. Aku nak mandi dulu sebelum solat.” Nurnisa bergegas memijakkan kaki di anak tangga yang berkekisi kerawang itu.

Ting! Tong! Bunyi loceng pintu pagar kedengaran jelas.

“Hah, tu mesti Indah dah sampai,” sahut Malihah, langsung kakinya terhenti melangkah. Tidak jadi mendaki tangga, langkahnya dialihkan segera ke pintu hadapan.

USAI solat Maghrib Hajah Jafni turun ke ruang tamu untuk berbual-bual dengan tetamu yang sudah lama tidak ditemui. Dia merenung kedua-dua gadis yang duduk berhadapannya di sofa empuk warna krim itu. Sejak tiba petang tadi, wajah mereka tak putus mengukir senyuman. Mungkin kerana sudah lama tidak bertemu, dia tidak menyedari perlakuannya yang asyik menatap dan mengamati wajah mereka atas bawah. Hajah Jafni akur, kedua-duanya mempunyai keistimewaan masing-masing. Syahindah yang berwajah tenang itu semakin manis walaupun agak langsing. Mungkin kerana kuat berjaga malam, desis hati Hajah Jafni. Gadis ini memang terkenal dengan ‘hantu buku’, tak kira yang berkaitan pelajaran mahupun buku-buku cerita.

Nurnisa pula dilihatnya semakin cantik dengan kulit wajah yang menyerlah lagi licin. Gadis sederhana tinggi ini sejak dulu lagi gigih menjaga kecantikan dan penampilan diri. Pakaiannya sentiasa kemas dan yang terkini, namun sopan. Gadis yang menarik pada pandangan matanya.

“Ni Nisa dengan Indah dah datang ni, tak adalah si Lia ni duduk menghadap TV tu aje sepanjang hari. Lepas tu makan, makan.” Hajah Jafni berseloroh. Tumpang gembira dengan kehadiran kawan-kawan rapat anak gadisnya yang sudah lama tidak ditemui. Pasti rumah ini akan riuh kelak!

“Mak ni, mana ada orang tengok TV aje? Lia banyak tolong Kak Piah kat dapur tu. Banyak cuba resipi baru, tahu.” Malihah pantas membela diri.

Hajah Jafni tergelak melihat bibir anaknya yang muncung. Pantang dicuit sikit, Malihah pasti memberi reaksi. Satu sifat yang semula jadi sejak kecil. Mungkin kerana dia anak bongsu dan sering dimanja, maka dia jadi begitu.

“Yalah, mak tahu. Tapi dah dua minggu duduk rumah, Lia tak boring ke? Tak nak ke ikut-ikut abang Qayyim ke pejabat?” Hajah Jafni cuba memancing minat anaknya supaya beralih kepada dunia luar pula.

“Ha’ahlah, Lia. Dah habis belajar ni kau tak nak kerja ke? Aku ni, habis exam aje awal-awal lagi hantar barang-barang balik rumah. Hah, lepas tu terus cari kerja. Kerja sementara pun banyak pengalaman jugak, tahu.” Nurnisa bersuara memberikan pendapat. Tamat saja peperiksaan akhir semester, seminggu sahaja dia pulang untuk bertemu ibu bapanya kerana sudah berjanji dengan Kak Mimi untuk bekerja di kedai bunga wanita tersebut. Bakatnya di bidang gubahan bunga diwarisi dari ibu sejak di bangku sekolah lagi. Jadi, dia tidak mahu mensia-siakan anugerah yang diberikan ALLAH begitu saja.

“Aku bukannya apa… nak lepak kat rumah sampai puas dulu. Kalau dah gemuk nanti, barulah aku ikut Abang Qayyim pergi pejabat. Kau pulak macam mana, Indah?” sergah Malihah sambil menampar lengan Syahindah yang leka sejurus. Alpa dengan bualan mereka sekeliling.

“Hah?” Syahindah panggung kepala dalam kebingungan. Langsung tidak menangkap perbualan mereka. Dia hanyut dengan permasalahan seorang muridnya di KKR dua hari lalu. Sejak selesai peperiksaan, dia membantu kawan-kawan di Kompleks Kebajikan Rukaiyah menjalankan kerja-kerja kebajikan. Mereka memberi tusyen dan membimbing kanak-kanak yang kurang berkemampuan di sekitar situ. Adakalanya mereka akan menjalankan aktiviti jualan amal untuk mengumpul dana bagi menampung kos yang terlibat selain memohon derma orang ramai dan badan-badan korporat.

“Eei, mak aku tanya bila kau nak kahwin?” tukas Malihah tidak sabar. Sengaja menyakat begitu kerana menyedari minda rakannya ini tidak hadir bersama mereka di situ. “Dia ni memang macam ni, orang berbual dia hanyut dalam dunia sendiri pulak! Tulah kau… asyiklah dengan dunia berangan dia. Ni mak aku nak jodohkan kau dengan sepupu aku si Aziz tu. Amacam, setuju ke?” seloroh Malihah, mulai ketawa melihat riak muka rakannya yang tercengang-cengang itu sudah menjadi merah padam.

“Hisy Lia, suka sangat menyakat Indah. Dahlah Indah, jangan fikir apa-apa. Takkan tak kenal lagi Lia yang memang suka cakap merepek ni? Tak baik, Lia. Eh, mana Abang Qayyim kamu ni? Dah lewat, belum balik lagi.” Hajah Jafni beralih topik bertanyakan hal anak bujangnya pula.

“Ha’ah, orang pun dah lapar ni. Mana Abang Qayyim ni? Orang dah penat masak dia tak balik pulak,” rungut Malihah sambil mata beralih meninjau ke pintu utama.

“Hah, tulah kamu… kalau dah masuk dapur, masak macam nak bagi makan satu batalion. Bila orang tak balik makan, dia yang naik angin,” bebel Hajah Jafni.

“Alah mak cik, kejap lagi baliklah Abang Qayyim tu. Takkan dia nak tidur kat ofis pulak,” seloroh Nurnisa bagi meredakan suasana apabila terpandang kening Malihah yang sudah berkerut-kerut.

“Nisa, Indah… mak cik seronok kau orang datang sini. Apa kata kau orang pindah aje ke sini terus, temankan mak cik dengan Lia. Barulah tak sunyi rumah ni.” Cadangan itu tiba-tiba terpacul dari bibir Hajah Jafni.

“Aaa? Err… kita orang belum dapat kerja tetap lagi mak cik. Nanti kalau dah ada kerja tetap bolehlah kami riuhkan rumah ni macam dulu-dulu.” Nurnisa tersenyum kepada Hajah Jafni sambil melirik Syahindah yang juga terangkat kening dengan pelawaan tersebut. Seronok juga dengan idea tu!

“Apa kata kalau kau orang semua tolong Abang Qayyim kat pejabat? Nanti mak cik cakap dengan dia, suruh ambil kau orang semua kerja dengan dia. Termasuk kamu sekali, Lia,” usul Hajah Jafni tiba-tiba.

“Hah?!” Ketiga-tiga gadis itu bersuara serentak. Tersengih Hajah Jafni merenung wajah-wajah mereka yang pegun.

“Tapi, mak cik…” suara protes Syahindah kedengaran dahulu.

“Mak!” Diikuti dengan bantahan dari Malihah.

“Kami tak mahu menyusahkan Abang Qayyim, mak cik. Janganlah mak cik paksa dia terima kami, nanti kesian Abang Qayyim tu nak tangani kerenah kami. Nanti dia migrain tak habis-habis,” sambung Nurnisa pula.

“Lia takut langsung terbengkalai kerja-kerja abang tu, mak,” tokok Malihah bagi menyokong pandangan yang disuarakan Nurnisa. Bagi dirinya pula, sebetulnya dia belum bersedia memikul tanggungjawab untuk berkhidmat di syarikat keluarga mereka. Dia masih mahu melepak di rumah dan berseronok dengan kawan-kawan.

“Lagipun, apa kata Pak Cik Ghani pulak,” Syahindah mengingatkan. Walaupun sudah lama ayah Malihah tidak ambil pusing tentang syarikat yang dikendalikan Qayyim, namun dia tetap pemiliknya.

“Dah, dah. Jangan fikirkan semua tu… Eh, tu bukan ke ada bunyi kereta masuk?” Hajah Jafni menoleh ke arah pintu utama yang tertutup.

“Kau orang lekas pergi sembunyi,” arah Malihah dalam bisikan. Sengaja mahu abangnya terkejut dengan kehadiran rakan-rakannya. Abangnya pasti akan suka dengan kejutan ini, bisik hati Malihah. Kawan-kawannya sudah berlari anak memasuki bilik tamu.

“Amboi, langkah kanan nampaknya dia. Abang! Kita orang tengah tunggu abang nak makan malam,” ujar Malihah sebaik Piah membuka pintu kepada jejaka tersebut. Piah yang masih tercegat di tepi pintu itu tidak dihiraukannya.

“Abang, abang belum tengok lagi siapa tetamu kita malam ni.” Malihah tersenyum-senyum penuh makna menyambut kepulangan si abang.

“Oh ya?” sahut Qayyim yang berhenti di muka pintu. Dia membalas senyuman adiknya sambil bertindak meluaskan daun pintu. Wajahnya begitu manis sekali. Tiba-tiba seisi rumah semua terkedu hingga ternganga mulut.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/81597/Kau-Selalu-Ada