[SNEAK PEEK] Karkuma

Karkuma oleh Raja Azmi Raja Sulaiman

“DAKU dititah untuk mengiringi Khaufli, anak jaka mika supaya dibawa menghadap ke balairung istana, kejap kala inen juga,” kata utusan istana yang lengkap berpakaian seragam rasmi semasa datang ke rumah Karkuma pada lewat pagi itu.

“Mohon hamba bertanya, atas tujuan apakah maharaja agung memanggil Khaufli ke istana?”

Tanya Karkuma.

“Inen warkah dari istana.” Utusan itu menghulurkan segulung surat dari kain. Di atasnya tertulislah warkah dari dari Istana Bijinga. Karkuma membaca warkah itu dan kebimbangan melanda perasaannya.

“Apa pendangan mika, Teggal?” Karkuma bertanya Teggal. Terpancar keresahan pada wajah Karkuma dan Teggal.

“Nescaya malapetaka bakal menimpa, kalu dibantah titah dari istana,” Teggal menyuarakan pendapatnya. Karkuma mengangguk sambil bibirnya dikebam.

Khaufli sempat berbual sesuatu kepada Bini. Tangan Bini dipeggang erat, umpama mahu dibawa Bini bersama ke istana.

“Bini cinta hatiku yang bakal daku kawini. Cintakah Bini kepada ku? Tanya Khaufli dengan penuh kasih sayang. “Mmm…cinta ya amat.” Bini jawab, tersenyum malu. ”Demi cinta bini bersama ku…mulai kejap inen juga, Bini panggil akanlah daku ‘abang’, kerana sebutan utu membawa erti betapa luasnya cinta Bini kepada ku.” Jelas Khaufli.

“Seluas langit serta laut…begitulah banyaknya cinta Bini kepada abang.” Bini berkata dengan penuh yakin. Khaufli terus memeluk erat tubuh Bini, sambil pipi berlaga pipi mereka sempat memadu kasih buat seketika sebelum Khaufli berangkat pergi ke istana bersama pegawai yang datang membawa utusan dari istana itu. “Masihkah Bini ingat sumpah taat Bini dengan abang, tempuh hari?” Khaufli sempat berbisik, dan kemudian mengucup dahi Bini.

Berat kaki Khaufli melangkah meninggalkan rumah keluarga dan kekasihnya. Baharu semalam ayah dan ibunya meminang Bini untuk dirinya. Sedih sungguh perpisahan yang harus ditempuhinya yang baharu sehari bertunang. Setapak Khaufli melangkah kakinya, beribu-ribu batu rindunya terhadap Bini sudah terasa. Bergenang air matanya.

“Mika tunggu di balai lulur inen,” kata pembantu istana setibanya Khaufli di Istana Bijingga. Sepanjang hidupnya hampir 21 tahun, inilah kali pertama Khaufli memijak kaki di istana. Dewan makan dihiasi indah, terpegun mata memandang. Dilihatnya makanan lazat-lazat terhidang di meja makan yang cantik dan panjang, nampak seperti ramai tetamu akan hadir, tetapi mengapa dirinya bersendirian?

“Mentak kali Maharaja mau menguji pencak silat dari ku?” Khaufli memejam mata sambil tangan menongkat dagu.

“Ah, daku pegal saja diri inen,” jawab hatinya. Kesudahannya dia bangun mengintai pandang sekitar dewan makan yang luas tersegam indah. Tidak lama kemudian, dia kembali bersendirian tercongong-congong di meja makan.

“Kejannya daku untuk berada di rumah,” katanya lagi di dalam hati.

Tiba-tiba kedengaran bunyi suara hingar dari luar. Suara itu menuju ke ruang makan yang semakin dekat semakin kuat bunyinya. Pintu dewan terbuka luas. Terpandang Khaufli akan enam tetamu lain, semuanya gadis rupawan berpakaian cantik berjalan ke arahnya. Mereka adalah anak-anak golongan bangsawan dan orang kerajaan berpangkat besar.

Khaufli bingung tetapi tenang memandang mereka sambil melempar senyum. Dan pada saat itu jugalah, wajah Bini terbayang di dalam isi kepalanya. Tidak tertahan rasa rindunya terhadap Bini sedangkan tidak sampai sehari dia berpisah dengan tunangnya itu.

Gadis-gadis yang berjalan masuk itu tiba-tiba berhenti. Ada yang tersentak perasaan dan ada pula yang tersirau darah apabila terpandangkan Khaufli. Tingkah laku mereka tergedik-gedik sungguh lucu jadinya, angkara tidak dapat mengawal diri melihat ketampanan Khaufli dan kesempurnaan wataknya. Mereka terdiam apabila salah seorang pembantu istana mengumum.

“Perawan Puti Dewi Manggis datang beradab!!”

Semua di dalam dewan berdiri memberi hormat kehadiran Puteri Dewi Manggis, puteri sulung dari lima puteri Sultan Lembayung. Berusia 24 tahun, Dewi Manggis adalah bakal waris Kerajaan Tanah Nabui kerana Maharaja Sultan Lembayung tiada waris lelaki.

Dewi Manggis mengundang Khaufli menghadiri santapan tengah hari khas bersamanya, kerana ingin berkenalan dan melihat sendiri wajah Khaufli yang dikatakan pemuda paling tampan di Pulau Nabui.

Di rumah, Karkuma dan Sirehpani dalam keadaan resah gelisah.

“Apa keadaan Khaufli agaknya, udah senja kala segini masih belum tiba dari istana?” Tanya Sirehpani.

“Yayi usah ragu, Khaufli akan tiba kejap lagi,” jawab Karkuma penuh yakin untuk menenangkan Sirehpani, tetapi hakikatnya dia juga resah. Senja sudah lama menghilang. Pesilat-pesilat mulai tiba di gelanggang, menjalani latihan seperti biasa.

Seperti biasa, Bini menjadi orang terawal tiba, membantu yang perlu sebelum latihan dimulakan. Mata Bini tercari-cari Khaufli yang tidak kelihatan. Sesekali kelihatan air bening membasahi pipinya tetapi dia lekas-lekas mengelap matanya agar tidak diketahui sesiapa. Namun, sebagai orang tua yang lebih dahulu makan garam, Karkuma mengerti perasaan Bini yang sedang menanti kepulangan tunangnya.

Kerdipan bintang di langit semakin hilang. Bulan pula sudah jauh meninggalkan malam, Khaufli masih tidak kunjung pulang.

Semalaman Bini tidak dapat lelapkan mata. Berkali-kali dia menjengah di jendela kalau- kalau ada ternampak Khaufli Shuhada.

“Oh Dewa Arshi, dengar akanlah gurindam hati ku,” air mata Bini mengalir, “Sakitnya derita menanggung rindu.” Teresak-esak Bini meluahkan perasaannya pada bulan yang bukan sahaja makin jauh tetapi makin pudar sinarnya meninggalkan pandangan mata Bini kerana malam sudah menjengah ke pagi. Di mana Khaufli?

Sesudah santapan tengah hari di istana siang tadi, dia dipaksa terus berada di istana hingga waktu santapan malam. Banyak persoalan dari Dewi Manggis perlu dijawabnya hingga bosan. Selepas selesai majlis santapan malam, Dewi Manggis izinkan tetamu lain pulang, kecuali Khaufli.

Terperanjat Khaufli mendengar titah itu namun ditelan juga azab berada di Istana Bijinga kerana menghormati titah perintah seorang puteri raja.

Semakin lama berada di Istana Bijinga, semakin sengsara dirasanya, rindu mengcengkam jiwa. Khaufli terlalu rindukan Bini yang kini sudah dua hari bergelar tunangnya.

Teringat dia, di saat-saat bahagia bersama Bini. Mereka berdua umpama belangkas, sering bersama memetik daun sirih di ladang sirih, dan ubi kunyit di ladang kunyit, membantu peladang lain. Ketika itu Khaufli dan Bini asyik berpandangan mesra dan tersenyum. Peladang-peladang riang menyakat mereka, pasangan merpati sejoli, bercanda di ladang kunyit.

Tiba-tiba Khaufli berkata kepada semua peladang yang menyakatnya; “Dengarkan wahai peladang sekalian! Idak lama lagi, Bini bakal menjadi suri hidup ku!”

Semua peladang gembira, riuh rendah suasana di ladang kunyit, tetapi tiba-tiba senyap. Mereka melihat Bini berlari anak menyelinap ke dalam rumpun kunyit. Bini malu-malu kucing, setelah mendengar pengakuan dari Khaufli.

“Lekas dikejar bakal suri mika utu, sebelum pemuda lain datang merampas!” Jerit seorang peladang. Dan Khaufli pun terus mengejar Bini. Suasana riuh semula dengan gelak tawa bercanda. Khaufli semakin hampir mengejar di belakang tiba-tiba Bini terjatuh, Khaufli pula terlajak, lalu terjatuh di atas Bini.

Mereka berdua bertindihan di atas tanah, ditenggelami rumpun daun kunyit yang banyak. Dituruti deruan angin lembut meniup-niup ke arah mereka. Angin seolah-olah ingin berkongsi mengecapi kebahagiaan Khaufli dan Bini yang sedang berpelukan tanpa sedar, mata bertentangan menyampaikan rasa dari hati masing-masing.

“Dikau asmara hati ku.” “Dikau tawanan jiwa ku.”

Sesekali rambut panjang mengurai Bini beralun indah ditiup angin yang turut sama melayari asmaraloka mereka. Khaufli dan Bini seperti berada di syurga, sebelum bergegas bangun melihat suasana sekitar ladang dihujani tawa riang dan gurau senda peladang.

Lamunan Khaufli dikejutkan dengan teguran Dewi Manggis.

“Apa gerangan renungan engkau utu?”

“Idak apa-apa, Perawan Puti.” Khaufli menjawab tenang. Wajah Bini terbayang di dalam fikirannya, rindunya terhadap Bini bagaikan sudah setahun tidak bersua.

Sebenarnya Khaufli rimas gelagat Dewi Manggis yang terkeser-keser ingin bermanja dengannya, malahan cuba bercumbuan dengannya. Hakikatnya kini terbukti seorang puteri raja jatuh cinta pada pemuda kebanyakan. Ini tidak pernah terjadi dalam keturunan diraja Tanah Nabui. Tidak terlintas dalam fikiran Khaufli, Dewi Manggis akan tertarik pada dirinya.

Tidak juga disangka-sangka oleh Karkuma dan Sirehpani bahawa anak teruna mereka tidak akan pulang ke rumah pada malam itu. Sepanjang malam suami isteri itu tidak tidur, menunggu kepulangan Khaufli. Pelbagai teka-teki bermain dalam fikiran hingga mereka terlena di atas pangkin di tepi gelanggang silat.

“Ada perkara yang hendak kita sampaikan kepada engkau,” kata Dewi Manggis kepada Khaufli sambil meneguk minuman.

Khaufli diam mendengar. Di dalam hatinya dia berharap agar puteri itu akan mengatakan bahawa dia mengantuk dan bolehlah Khaufli segera pulang ke rumah.

“Kita pasti engkau akan terperanjat pabila mendengar pekara yang ingin kita sampaikan inen, kerana diri kita juga pun idak menduganya,” kata Dewi Manggis.

“Ampun Perawan Puti, diundang ke istana saja udah cukup terperanjat buat kula yang hina inen,” kata Khaufli dengan tenang.

“Sesungguhnya, hati kita udah tertawan. Engkaulah jejaka yang telah menawan hati kita.” Puteri Dewi Manggis berkata dengan penuh rasa teruja, sambil lemah longlai kakinya melangkah mendekati Khaufli dan berkata lagi, “Dengan inen kita berhasrat mengangkat engkau menjadi Maharaja Pendua.”

“Mana mentak orang kebanyak penaka kula inen menawan hati Perawan Puti?” Khaufli kebingungan.

Dewi Manggis tersenyum dan berbisik ke telinga Khaufli, “kalu udah hati kita berkata- kata, idak ada apa-apa yang boleh menghalangnya.” Dewi Manggis memandang tepat pada

wajah Khaufli dan berkata lagi, “melalui perkawinan andar, kita terima engkau jadi laki kita…dan engkau bakal digelar Maharaja Pendua.”

Terhenti rasanya nafas Khaufli mendengar kata-kata Dewi Manggis, menginginkan mereka berkahwin. Perkahwinan yang mana pihak lelaki tidak perlu membawa harta atau wang sebagai hantaran. Walaupun Khaufli berpeluang kahwin percuma, malah dengan puteri di raja, tetapi berita itu amat membimbangkannya.

“Ampunnn…Perawan Puti. Air diminum rasa duri, nasi dimamah rasa sekam, idak terdaya diri kula pacal hina inen untuk menunaikan hajat Perawan Puti.” Khaufli menyusun jari sepuluh bersila di depan Dewi Manggis. Wajah puteri serta merta berubah, umpama marah.

Wajah Khaufli pun turut berubah. Tergambar kebimbangan dan sedikit rasa takut, namun Khaufli tetap memberanikan diri berkata lagi. “Perawan Puti umpama merak kayangan, kula umpama gagak di rimba…sapalah diri kula untuk dipadankan dengan Perawan Puti.” Satu persatu Khaufli menyusun kata-kata agar tidak menyinggung perasaan Puteri Dewi Manggis.

Tetapi sesungguhnya pengakuan jujur Khaufli itu menimbulkan kemurkaaan kepada Puteri Dewi Manggis.

“Ganjil orang bawahan umpama engkau menolak untuk berkawin dengan kita dan menjadi Maharaja Pendua?” Puteri Dewi Manggis bersuara keras sambil menghentak meja.

Tersentak Khaufli, tetapi dia tidak kisah lagi apa akan terjadi. Perasaan meluatnya terhadap Puteri Dewi Manggis menjadi semakin meninggi. Dalam hatinya, dia lebih rela mati daripada berkahwin dengan puteri itu. Jiwa dan raga Khaufli hanyalah untuk Bini. Tidak semena-mena kemarahan Puteri Dewi Manggis reda. Dia memandang Khaufli dengan penuh belas.

“Wahai Khaufli, kita akan bagi engkau tempoh sampai esok untuk meredakan hati engkau, dan untuk engkau renungkan kesempatan inen.” Puteri Dewi Manggis menggenggam erat tangan Khaufli.

“Maka utu, engkau idak diizinkan untuk berganjak dari istana hingga esok. Apa juga kesimpulan dari engkau esok, bakal kita tagihkan,” kata Puteri Dewi Manggis dengan senyuman menggoda sambil mengusap-ngusap lembut tangan Khaufli. Kemudian puteri itu pun beredar dari balai lulur dan bertitah kepada pengawal istana supaya Khaufli dikurung di bilik khas.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/343766