SNEAK PEEK KAMPUNG GIRL

 

EBUKU KAMPUNG GIRL OLEH UMI KALSOM

EBUKU KAMPUNG GIRL OLEH UMI KALSOM

 

 

PANGGILAN telefon yang diterima sebentar tadi seolah-olah mampu membuatkan nafasnya terhenti.

Perkara yang begitu dielak selama ini akan terjadi juga dalam hidupnya.

Argh!!! Rasa nak menjerit hingga terkeluar anak tekak. ‘ tak patut!’ Sahut hatinya.

Pantas saja dia mencapai telefon yang dicampakkan ke atas sofa tadi. Nombor telefon seseorang didail dan talian telah disambungkan. Hatinya resah dan gelisah. Siapa yang hendak mendengar keluh dan kesah di bibirnya?

“Helo… Adam!” ucapnya gopoh.

“Ini akak, Ash. Abang Adam tertinggal handphone. Kenapa? Ada benda penting ke?” Suara kakak iparnya, Latifah menampar cuping telinga.

‘Alahai Adam! Kenapa waktu ini juga yang kau nak tertinggal telefon?’ Sungutnya dalam hati. Sudah mula ada rasa tidak tenteram di situ.

“Oh, Kak Pah… tak apalah, nanti Ash telefon balik. Aiman tengah buat apa, kak?” Sempat lagi dia merisik tentang anak buahnya yang lincah itu.

“Tidur… penat sangat bermain. Tak apa, nanti akak bagitahu abang, Ash call , okey?”

“Thanks, kak.” Talian sudah dimatikan. Badannya sudah disandarkan lesu di atas sofa di dalam pejabat itu.
Aduh! Masalah sungguh. Siapa yang minta dicarikan calon isteri? Aku tak ada buka mulut pun pasal isu perkahwinan ini. memang sengaja tau! Mana yang dia tidak suka, yang itulah hendak. Bikin hati gua resah, gelisah saja. Mana nak lena tidur malam macam ni?

Ainnur….

Nama gadis yang meniti corong telinganya. Ainnur? Aduh. Lagilah rasa hendak lari berekar jauhnya. Dalam banyak-banyak perempuan dalam Malaysia ini, kenapa budak kampung itu juga yang jadi pilihan hati ?Aku tak nak! Aku tak suka!

“MUMMY, this is seriously unfair! Kenapa Abang Adam boleh kahwin dengan pilihan sendiri tapi Ash tak boleh?” Suara Ashraf bergema di dalam banglo tiga tingkat itu. Sedaya yang boleh dia hendak menidakkan keputusan yang telah dibuat oleh mummynya, Puan Mazlin.

“Kenapa pula tak boleh? Mummy berkenan dengan budak tu… lagipun, bukannya orang lain, sepupu kamu juga… kenapa pula tak nak dengan budak Ainnur tu? Ashraf… budak tu baik tau!”

“Orang tak nak kahwin dengan budak kampung tu… mummy jangan paksa Ash!” Buat sekian kalinya Ashraf menghamburkan jawapan yang sama dari bibirnya.

“Nak ke… tak nak ke… kena nak juga! Mummy dah pergi meminang pun. Kamu jangan nak banyak bunyi. Suruh cari sendiri, tak nak… sekarang ni, kamu ikut saja cakap mummy.” Puan Mazlin menoktahkan bebelan.

Wajah Ashraf yang sudah terkedu itu dipandangnya lama. Entah apa masalah anak bongsunya ini, disuruh berkawan dengan budak perempuan… seribu satu alasan dia bagi. Tersilap hormon ke? Nak kata minat kaum sejenis…hesy! Nauzubillah… insya-Allah, anak aku masih straight orangnya. Tapi kenapa susah sangat nak ngam dengan perempuan? Muskyil sungguh Puan Mazlin.

“Daddy… tengoklah mummy ni….” Ashraf yang lama terdiam, tiba-tiba bersuara dan cuba meraih simpati daddynya, Tuan Shahir.

“Ikut sajalah cakap mummy. Daddy pun dah tengok Ainnur tu… nampak padan dengan kamu, Ash….”
Jawapan Tuan Shahir hanya membuatkan Ashraf makin tercekik. Mereka laki bini sudah berpakat hendak membinikan aku dengan budak kampung itu. Di mana keadilan dalam dunia ini kalau aku dipaksa rela untuk melakukan sesuatu di luar hasrat dan keinginan hati sendiri?

“Ash tak nak!” Ashraf masih lagi dengan degilnya.

“Ashraf Khairi!!!” Naik terus pitch suara Puan Mazlin. Budak seorang ini benar-benar menguji kesabarannya.

“Mummy tak nak dengar perkataan tak nak dari mulut kamu. Esok kita nak pergi tengok Ainnur… and that’s it!”

Ashraf sekali lagi mati kata-kata. Mummy tidak pernah bertindak sesuka hati dalam halnya. Tidak pernah sama sekali mummy memaksa anak-anak melakukan perkara yang mereka tidak suka. Mummy seorang ibu yang sangat memahami jiwa muda anak-anak, tapi sekarang apa sudah jadi?

“Mummy… Ash tak nak!” rayunya lagi.

“Jangan degil mummy kata.”

Sekali lagi jawapan Puan Mazlin mengecewakan Ashraf. Susah nak bercakap kalau tiada sokongan yang kukuh. Adam! Dialah satu-satunya harapan yang Ashraf ada. Dia perlukan sumbangan ikhlas berbentuk pujukan daripada Adam supaya mengubah keputusan Puan Mazlin.

Gila! Takkan mungkin aku berkahwin dengan budak kampung itu.

‘Persidangan’ kecil yang dihadiri oleh tiga orang manusia itu dibubarkan. Puan Mazlin dengan Tuan Shahir awal-awal lagi sudah memanjat tangga ke bilik mereka. Tinggallah Ashraf bersendirian, berteleku di ruang tamu. Bila otak tengah stres macam ini, terasa hendak melakukan yoga pula. Mungkin boleh tenangkan sedikit mindanya.

‘Dei! Nak tenang pergi ambil wuduk dan solatlah.’

Mata Ashraf yang baru saja hendak terkatup untuk memulakan sesi yoga, kembali terbuka luas. Solat. Hajat! Terus dia berdiri tegak dan memulakan langkah untuk sampai ke bilik. Ujian apakah yang ditulis buat dirinya? Seawal usia dua puluh lapan tahun, dia sudah dipaksa untuk menamatkan zaman bujangnya.

‘Awal ke dua puluh lapan tahun tu?’ desis hatinya sendiri.

‘Awal la! Aku belum puas hidup membujang!’ sahut hatinya laju.

“Mummy dah beri berapa tahun untuk Ash cari calon sendiri… tapi apa yang Ash bawa balik rumah? Hari-hari fail tebal. Hari-hari sibuk meeting sana-sini. Dah mengalahkan daddy pula busy kamu ni… bilanya nak kahwin kalau macam ni?”

Bebelan Puan Mazlin terngiang-ngiang di telinga. Huish! Tidak tenang langsung telinganya. Dah macam tape rosak, asyik mengulang-ulang ayat itu saja dalam kepalanya.

Niat asal untuk menunaikan solat hajat seakan terbantut. Terus saja langkahnya dipanjangkan ke arah katil. Dapat baring atas tilam yang empuk ini pun best juga. Tangannya didepakan luas memenuhi ruang katil itu.

Kalau kahwin, kena kongsi bilik. Kongsi katil. Kongsi… errr… terkelu lidah Ashraf sebentar. Macam-macam nak kena kongsi. Salah satu sikapnya yang terbawa-bawa dari kecil, dia tidak suka berkongsi barang miliknya, lebih-lebih lagi dengan si budak kampung itu. Selalu, kalau mereka balik kampung untuk beraya, ada saja barangan miliknya yang akan menjadi igauan Ainnur.

Tak faham betul aku! Barang aku, kenapa dia suka sangat? Aku tak suka orang suka-suka kat barang yang aku suka.

‘Dei! Berapa banyak suka daaa….’

‘Suka hatilah!’

Minda Ashraf sudah berselirat. Badannya yang tergolek-golek di atas katil tidak membantu untuk menyelesaikan apa-apa masalah. Bertambah sesak adalah!

“Esok kita tengok Ainnur!”

Ayat Puan Mazlin kembali menyapa mindanya. Eh, tunggu sebentar! Kenapa ayat itu seolah tidak tercerna dalam otak aku tadi? Esok….

Seakan tersedar tentang sesuatu. Esok pergi tengok Ainnur? Esok nak pergi utara? Apa yang mummy aku tengah fikir ini? Jangan nak buat gila. Aku takkan ikut sebab esok aku ada appointment dengan klien penting syarikat. Tak ada maknanya aku nak buang masa pergi ke utara semata-mata nak kena tengok si budak kampung tu. Kampung girl yang sememeh. Mesti habis saja SPM dah praktis siap untuk jadi calon isteri mana-mana lelaki. Budak kampung yang tipikal.

Hanya kutukan lahir dalam hatinya. Foto yang dihulurkan oleh Puan Mazlin tadi tidak dialihkan langsung. Dibiarkan saja terkubur di dalam sampul putih itu. Disebabkan hatinya tidak ingin dengan budak kampung itu, langsung dia pun tidak teringin hendak menatap wajah yang sudah lama hilang dari bayangan mindanya.
Ainnur! Aku tak tengok pun dah boleh agak sikit-sikit macam mana rupa kau. Mesti macam nenek kebayan! Dengan kain batik dan baju kurung Kedah yang seringkali tersarung di tubuh Ainnur, sedikit pun tak ada beza dengan nenek tua, muka budak kampung itu.

Sedar tak sedar, dalam mengutuk mengata Ainnur, akhirnya Ashraf terlena dibawa mimpi jauh nun ke utara.

 

 eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/56922/kampung-girl