[SNEAK PEEK] HANYA KAMU JOHANNA

Hanya Kamu Johanna Oleh Dilla Ahmad

 

JOHANNA berdiri tegak sambil memandang pagar yang tersergam di hadapannya kini. Ini ke rumah yang Umi Zakiah suruh pergi? Headphone di telinga ditanggalkan. Papan luncur yang berada di kaki terus diinjak lalu dipeluk di celah ketiak. Kemudian kaki segera melangkah ke pondok pengawal yang berada di tepi pagar itu.

“Nak cari siapa?” tanya Pak Mail yang bertugas sebagai pengawal keselamatan. Matanya tunak memandang gadis di hadapannya. Dari baju, seluar jean sampai ke kasut All America berwarna hitam. Matanya naik semula ke wajah gadis itu. Mata hitam itu pula bercelak tebal. Pening kepala Pak Mail apabila memikirkan gaya budak-budak zaman sekarang.

“Nak jumpa Tuan Syed Harraz… Errr… Mak Mah…” kata Johanna. Pak Mail mengangguk kemudian terus membuat panggilan. Beberapa minit kemudian, dia keluar semula.

“Cik Johanna?” tanya Pak Mail. Johanna tersenyum dan mengangguk.

“Sila bagi kad pengenalan,” kata Pak Mail.

Johanna terus mengeluarkan dompetnya dari kocek belakang seluar kemudian segera menyerahkan kepada pengawal di hadapannya. Lama juga dia kena tunggu pengawal mencatat namanya di dalam buku kedatangan.

“Okey, boleh masuk,” ujar Pak Mail ketika menyerahkan semula kad pengenalan Johanna. Mata pula tak lepas dari memandang Johanna yang mula melangkah masuk ke dalam kawasan rumah itu.

“Awak ni dah tak ada baju warna lain ke nak pakai? Semua hitam. Macam berkabung dah!” tegur Pak Mail. 

Johanna menoleh kemudian dia meletakkan papan luncurnya ke kaki.

“Asalkan saya tak bogel, pak cik! Have a nice day!” ucap Johanna selamba. Pak Mail hanya menggeleng.

Johanna meluncur masuk ke kawasan rumah yang tersergam indah itu. Nampak macam ada dua buah rumah banglo di dalam kawasan ni. Pokok-pokok ru yang ditanam di kiri dan kanan jalan membuatkan suasana nampak redup dan nyaman. Dari jauh dia sudah ternampak pokok bunga pelbagai warna. Nampak cantik dan menarik. Dia menghela nafas panjang. Boleh ke dia hidup di dalam rumah besar ini dalam masa satu bulan? Hmmm… Rasa macam hukuman mandatori pula.

Ini semua gara-gara dia bergaduh dengan Hanim. Sebab itu dia kena hukum dengan Umi Zakiah. Tapi apabila difikirkan balik, memang patut si Hanim itu kena belasah. Mulut tak ada insurans dan suka tuduh dia yang bukan-bukan! Johanna sudah tersenyum jahat. Puas hati dia dapat tampar mulut si Hanim itu semalam. Tapi itulah… Sekarang dia terpaksa terima hukumannya.

Setelah Johanna menghampiri rumah, matanya ternampak seseorang menyusup masuk dari pagar bahagian belakang. Tubuh macam seorang lelaki. Tinggi dan tegap. Kemudian lelaki itu terus menghilang di sebalik dinding. 

Malas Johanna nak fikir siapa lelaki itu. Dia terus berhenti di hadapan pintu utama. Sunyi saja. Mana Mak Mah ni? Terus papan luncur itu diangkat lalu dia menuju ke bahagian belakang dapur.

“Assalamualaikum, Mak Mah!” Tak sampai lima minit, Mak Mah sudah tersembul di depan pintu dapur.

“La, Johanna. Kenapa sampai belakang ni?” tegur Mak Mah, mesra. Dia kenal dengan budak Johanna ni. Dia pernah terserempak beberapa kali di Rumah Akhlak Mulia. Baik budaknya.

“Jo lalu kat depan sana. Sunyi aje. Jadi Jo datang sini. Dah agak dah. Mak Mah mesti ada kat dapur.” Johanna tersenyum seraya menyandarkan papan luncurnya ke dinding.

“Haah. Mak Mak tengah siapkan sarapan untuk tuan rumah. Jom masuk dulu, Johanna,” ajak Mak Mah. 

“Panggil Jo aje, Mak Mah. Macam pelik pula bila Mak Mah panggil nama saya macam tu. Saya ni rock, Mak Mah. Mana layan yang ayu-ayu ni!” kata Johanna sambil membuka kasut hitamnya.

“Nama Jo tu macam nama lelaki, Johanna. Kamu kan perempuan,” kata Mak Mah lagi. Dia terus menyambung memasak mihun goreng.

“Tak apa, Mak Mah. Mak Mah panggil Jo aje. Lebih mesra.” Johanna sudah menyeringai. Bau masakan Mak Mah buat perutnya berbunyi. Lagipun dia tidak sempat sarapan tadi.

“Jo dah sarapan?” tanya Mak Mah. Macam tahu-tahu aje apa yang dia fikirkan.

“Belum, Mak Mah. Lapar ni. Bangun aje pagi tadi terus naik bas ke sini. Tak fikir apa dah,” ujar Johanna. Dia memerhatikan perempuan yang bertubuh sedikit gempal itu mengacau mihun di dalam kuali.

“Kalau macam tu, Jo tolong Mak Mah siapkan meja kat depan tu. Sekejap lagi Tuan Harraz turun nak bersarapan sebelum pergi kerja. Hah, baru Mak Mah teringat. Dia nak jumpa Jo dulu,” kata Mak Mah. Kemudian dia menutup api dapur dan mencapai mangkuk besar pula.

“Dia nak jumpa saya? Nak buat apa?” tanya Johanna sambil menyusun kuih-muih yang telah Mak Mah sediakan ke atas dulang.

“Nak interviewlah tu… Senang hati Mak Mah sebab ada yang tolong. Jo cakap aje nak makan apa. Mak Mah boleh masakkan. Itu ajelah yang boleh Mak Mah buat. Nak bagi duit kat kamu, Kak Umi tak kasi.”

“Tak apa, Mak Mah. Saya okey aje. Saya bawa makanan ni ke depan ya, Mak Mah.” Johanna sudah mengangkat dulang.

“Yalah. Kamu susun sekali makanan tu di atas meja, ya.”

“Baik,” sahut Johanna. Kaki segera melangkah menuju ke meja makan. Tangannya cekap menyusun piring yang berisi kuih-muih. Ramai ke orang kat dalam rumah ni? Macam-macam hidangan yang Mak Mah sediakan, soal Johanna dalam hati. Dia melangkah ke dapur semula untuk mengambil minuman dan piring.

“Errr… Mak Mah!” panggil Johanna.

“Ada apa, Jo?” tanya Mak Mah ketika meletakkan mangkuk mihun itu ke atas dulang.

“Berapa orang yang tinggal dalam rumah ni?” tanya Johanna.

“Tuan Harraz ajelah. Kenapa?” tanya Mak Mah. 

Johanna pantas menggeleng. Kemudian dia menuju ke meja makan sambil membawa hidangan. Sorang aje tapi sarapan macam ada lima orang! Johanna tersengih sinis.

SYED HARRAZ menuruni tangga untuk bersarapan sebelum ke tempat kerja. Langkahnya bertukar perlahan apabila ternampak seseorang di meja makan. Budak lelaki mana pula ni? Setahunya, Mak Mah tak ada anak lelaki. Kak Fairus itu sajalah anaknya.

Tiba-tiba Johanna menoleh ke belakang dan terpandang ke arah Syed Harraz. Masing-masing terpegun untuk beberapa ketika. Mata Syed Harraz tajam merenung budak perempuan kurus di hadapannya itu.

“Siapa ni, Mak Mah?” tanya Syed Harraz. Kaki mula melangkah mendekati meja makan. Beg bimbit hitam dan baju kotnya diletakkan di atas kerusi sebelah.

“Ini Johanna, pembantu yang Mak Mah cakapkan semalam, tuan,” terang Mak Mah.

Syed Harraz diam tapi matanya masih meneliti budak itu atas bawah. Semua serba hitam. Dari baju T gambar sebelah tengkorak, sebelah muka perempuan cantik… hingga ke seluar jean hitam. Gelang di kedua-dua belah tangan juga berwarna hitam. Mata bulat yang bercelak hitam buat kening Syed Harraz terjongket sebelah. Dah macam beruang panda. Style macam budak Gothic. Rambut pula pendek tapi gaya kusut-masai tak bersikat. Syed Harraz menggeleng perlahan. Mulut kecil itu pula tak berhenti mengunyah gula-gula getah. Budak macam ni yang Umi Zakiah hantar? Biar betul!

Johanna melirik ke wajah lelaki di hadapannya. Gila kacak! Dengan jambang yang dicukur kemas dan raut wajah ala-ala model terkenal David Gandy, pasti lelaki itu seorang yang berlagak. Mulut sudah mencebik.

“Siapa namanya tadi?” tanya Syed Harraz.

“Johanna…” balas Johanna bersahaja. Dia berdiri tegak sambil tangan menyeluk poket jean.

Syed Harraz menghirup air kopi. Nama sedap, Johanna. Nama perempuan. Tapi bila tengok personaliti… Huh, langsung tak sesuai dengan nama!

“Cik Johanna, awak dari Rumah Akhlak Mulia ke?” tanya Syed Harraz. Johanna mengangguk.

“Awak tahu ke buat kerja rumah?” Mata Syed Harraz sudah mengecil merenung Johanna. Johanna pula sudah menjulingkan mata ke atas.

“Pasti ada sesuatu perkara yang awak buat sampai umi hantar awak ke mari, kan??” Syed Harraz merenung tajam ke arah wajah yang bersahaja itu.

“Saya dah bunuh seseorang!” ucap Johanna dengan wajah yang serius.

Kening Syed Harraz hampir bercantum. Mulut Mak Mah pula sudah melopong. Pasti orang tua itu terkejut. Hati Johanna sudah ketawa.

Mata Syed Harraz meneliti wajah gadis di hadapannya itu. Nampak macam budak liar saja. Dari gaya pun Syed Harraz dah tahu. Hmmm… 

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/278604/Hanya-Kamu-Johanna

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *