[SNEAK PEEK] Gadis Hujan

Gadis Hujan
karya Sara Hezra


. . .

Segalanya baik tentang kami. Tentang aku dan Carla. Kami mabuk bercinta, hanyut dalam hari-hari yang indah. Carla padaku bagaikan sebutir bintang di langitku yang kelam. Dia membuatku bahagia walaupun sikapnya rewel, sangat menyesakkan dada. Dia bertindak sesuka hatinya, kurang berfikir sebelum bertindak dan suka melulu.

Tidak jarang dia menyusahkan aku. Di tengah malam dia merengek lapar lalu aku sejauh puluhan kilometer perlu segera sampai menghantarkannya makanan. Membentak jika aku kurang perhatian malah pernah dia meminta aku bercuti hampir setengah bulan hanya kerana perlu menemaninya di set penggambaran.

Carla juga gemar berparti. Mengusung dia yang kemabukan menjadi kebiasaanku.

Membersihkan muntahnya juga perkara normal untukku hadap saban minggu. Hanya kerana aku seorang yang sabar dan menganggap cinta itu harus dijalani dengan berlapang dada dan penuh indah, aku bertahan. Menjadi apa pun untuk Carla. Andai dikerah, maka aku turutkan saja malah andai dibentak, tetap saja aku memujuk dirinya. Dia sakral. Tanpa salah. Tanpa dosa. Yang terwujud hanya sial diriku, dan kesalahan-kesalahan itu berpunca dariku.

Pada tanggapanku, kami bahagia bersama namun aku barangkali lupa tentang sesuatu. Duduk letak diriku masih di tangan Gerard. Sejumlah rezekiku masih melalui tangannya. Gerard meminati Carla namun percintaan aku dan Carla ketahuan. Akibatnya, aku kehilangan pekerjaan, keretaku ditarik bank.

Carla menjadi semakin tidak selesa, menyalahkan aku bila dia terlepas peluang mendapatkan job modelling nya yang selama ini melalui Gerrard. Pertelingkahan demi pertelingkahan bagai makanan ruji kami. Carla tak mungkin beralah. Hanya aku yang mendiamkan diri, menelan apa saja kata nista yang dilemparkan.

. . .

Dapatkan versi e-book penuh di sini: https://www.e-sentral.com/book/info/362211