[ SNEAK PEEK ] DI TENGAH KABUS

EBUKU DI TENGAH KABUS OLEH KHADIJAH HASHIM

EBUKU DI TENGAH KABUS OLEH KHADIJAH HASHIM

 

 

ENTAH berapa kali Johan menelefon ke hospital untuk bercakap dengan Ainon. Biar telefon itu berdering beratus kali sehari dia tetap tidak akan melayannya. Ainon sudah bertekad tidak akan mengulangi kesilapan – bermesra dengan suami orang. Dia sedar, betapa mendalam pun kasih sayang Johan pasti tidak akan membahagiakan masa depannya. Dia tidak mahu dituduh perampas.

Selama ini sudah difikirkan juga baik buruknya berkawan dengan Johan. Tetapi, kerana pujuk rayu daripada seorang lelaki yang banyak pengalaman, akhirnya dia tunduk mengalah. Hati yang keras lembut mencair bila disiram dengan hadiah-hadiah lumayan yang melimpah. Kini tahulah dia, buat baik berpada-pada! Tidak ada gunanya berkorban untuk kebahagiaan orang lain.

Telefon berdering lagi. Annie lalu di depan meja dan mengangkatnya.

“Ainon! Untuk you.”

Ainon capai gagang telefon yang dihulur kepadanya. Tetapi, sebentar sahaja gagang telefon itu diletakkan semula sebaik-baik sahaja dia mendengar suara Johan. Dia duduk semula membaca buku.
Beberapa minit kemudian, telefon berdering lagi. Ainon tidak bergerak untuk mengangkatnya. Dia terus membaca dengan tekun novel yang mula menarik minatnya kini.

“Telefon untuk you,” kata Jamilah.

“I tak mahu cakap dengan siapa-siapa,” sahut Ainon tidak acuh. Mukanya tidak diangkat dari novel di tangan.

“Johan nak cakap sekejap dengan you.”

“Pergi jahanamlah dengan Johan!”

“Tak baik gitu. Kasihan dia,” pujuk Jamilah.

“I tak kasihan sesiapa di dunia ini,” jawab Ainon selamba.

“Cakaplah sekejap.”

“Tidak,” katanya tegas.

Jamilah angkat kening. Dia kesal dengan sikap Ainon. Akhirnya, dia sendiri melayan Johan berbual. Entah apa yang dibualkan, Ainon tidak ambil pusing dan tidak berminat pun untuk bertanya.

“Johan ambil kau nanti,” kata Jamilah menyampaikan pesan Johan setelah gagang telefon diletakkan.

“Datanglah, I tak peduli,” tingkah Ainon.

Tenang sahaja suara itu. Tetapi, dari air mukanya jelas membayangkan rasa benci yang meluap-luap. Wajahnya tegang sahaja. Senyumannya tawar dan kaku.

Loceng bilik nombor lapan berbunyi. Ainon segera meletakkan novel yang dibaca dan berlalu mendapatkan pesakit kencing manis yang baru masuk semalam. Apa sahaja yang dia mahu, fikir Ainon.

Sambil melayan pesakit, Ainon terfikir juga tentang pesanan Jamilah baru sebentar tadi. Johan akan datang mengambil aku? Apa akan jadi kalau Johan betul-betul datang? Dia risau dan cemas sedikit. Dia kemudian terkenangkan Azlan. Azlan sudah menelefonnya tadi untuk bertemu dan mengambilnya pulang. Bagaimana kalau dua lelaki ini bertemu? Dan bagaimana dengan sikap aku? Azlan teman baharu, Johan sahabat lama. Kedua-duanya kenalanku. Apa yang hendak aku cemaskan? Apa yang hendak aku takutkan? Soalnya sendiri. Itulah kenyataan hidupku kini, fikirnya kemudian seperti mencari kekuatan dan keyakinan kepada diri sendiri. Dia menyanyi-nyanyi kecil menunggu waktu pulang. Apa nak jadi, jadilah! Dia sudah nekad dan berani kini.

Tepat pukul dua Ainon berjalan tenang menuju lif. Wajah Johan dan Azlan bersilih ganti di matanya. Apabila pintu lif dibuka, Johan sudah di bangku panjang tempat menunggu di bahagian bawah hospital, tetapi Azlan tidak ada. Ke mana dia? Mungkin dia menunggu di keretanya, fikir Ainon.

Ainon berjalan terus menuju ke pekarangan kereta.

“Ainon, tunggu dulu!” Johan melangkah panjang mengejar Ainon.

Ainon tidak menyahut dan tidak menoleh pun.

“You mahu balik terus?” tanya Johan riang.

“Ya ….”

“Kereta I di sana.”

“Tak payah, I balik sendiri.”

“Ainon!”

“Sudah. Jangan ganggu I!” tengking Ainon. Dia mencari-cari kereta Azlan.

“Non! Jangan gitu. I ingin bercakap panjang dengan you,” rayu Johan.

“Nak cakap apa lagi?” Langkahnya terhenti, lalu merenung tepat ke muka Johan dengan berani dan mengulangi pertanyaan itu dengan suara yang lebih keras.

“I tahu you marah,” kata Johan merendah.

“Bagus kalau you tahu,” sambar Ainon, kemudian berjalan semula.

“I kesal dengan perbuatan isteri I.”

“Tak ada apa yang nak dikesalkan.

“Dia cemburu buta.”

“Patut pun dia cemburu. Suaminya mengurat perempuan lain.”

Dalam pada itu Ainon sudah nampak kereta Azlan di bawah pokok ketapang yang rendang, jauh dari kereta-kereta lain.

“Niat I suci, Non! I sayangkan you …,” kata Johan.

Tetapi, Ainon sudah berlari-lari anak menuju ke kereta Azlan. Pintu kereta sudah dibuka oleh Azlan yang sudah pun ada di dalam – menunggu.

“Non! Non!” seru Johan, memanggil-manggil. Dan dia terkejut bila melihat Ainon meluru ke kereta seorang lelaki yang berwarna putih di bawah pokok itu.

“Siapa dia tu?” tanya Azlan.

“Jalanlah. Nanti I bagi tahu,” kata Ainon tanpa menoleh ke arah Johan yang tercegat berdiri tidak jauh dari kereta yang mula bergerak itu.

Johan terkaku seketika. Benarkah apa yang aku lihat ini? Soalnya seperti tidak percaya. Patutlah dia sangat sombong sekarang. Siapa lelaki itu? Kekasih baharunya?

Johan termangu-mangu seketika seperti mencari-cari. Dia seperti kehilangan sesuatu. Kereta yang melarikan Ainon sudah pun berlalu. Berpinar-pinar matanya melihat kereta yang bersusun di situ. Matahari terik memamah kepala panas dan berpeluh. Siapa lelaki itu? Kekasih baharunya? Tunangnya? Siapa, ya?

Johan berpatah balik menuju ke keretanya di hujung padang letak kereta. Pijar rasa biji matanya. Berbahang rasa dadanya. Siapa lelaki itu? Kacak juga orangnya. Keretanya besar. Siapa, ya?

Matahari tak dilindung awan terus membakar tubuh dan hati Johan.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/56919/di-tengah-kabus