[SNEAK PEEK] DEMI RINDUMU

Demi Rindumu Oleh Diya Jamal

 

TERKEBIL-KEBIL mata Nurhana. Tiba-tiba sahaja jejaka itu memperkenalkan diri. Permainan apakah semuanya ini?

“Awak boleh panggil saya Nik. N-I-K. Nama awak?” Haznik bertanya. Ditatap wajah gadis di hadapannya itu. Garang tetapi manis.

“Hana.” Tanpa sedar meluncur jawapan dari mulut Nurhana. ‘Eh, nanti dulu! Kenapa aku beritahu nama aku pada lelaki ni?’ Nurhana cuba mencari alasan di sebalik kealpaan diri. Lelaki ini pakai jampi apa?

“Bagus! Sekarang awak dah kenal saya dan saya pun dah kenal awak. Jadi bolehlah saya hantar awak balik, kan?” Haznik mengangkat-angkat keningnya. Nyata tidak kenal erti putus asa.

Nurhana teragak-agak. Dia memandang pada kereta yang tersadai di tepi jalan. Kemudian kembali melihat jejaka di hadapannya.

“Kalau awak tak nak, saya pun tak memaksa.” Haznik berpusing. Rasanya sudah berbuih mulutnya menawarkan bantuan. Dia mahu tengok, sampai bila gadis itu mahu berdegil.

Nurhana jadi panik. Dia memandang sekeliling. Jalan itu begitu sunyi. Sejak tadi tidak ada walau sebuah teksi pun yang lalu di situ. Haznik pula hendak meninggalkannya. Hatinya berbelah bahagi. Terus tunggu di situ atau apa?

“Nik!” Nurhana terpaksa melaung nama lelaki itu.

Langkah Haznik terhenti tetapi dia tidak terus berpaling. Sebaliknya hanya berdiri tegak di situ dan menanti.

“Ya?” laung Haznik. Bibirnya tersenyum-senyum.

“Saya tumpang kereta awak, boleh?” pinta Nurhana. Dia tidak ingin ditinggalkan sendiri.

Haznik segera menoleh ke belakang. 

It’ll be my pleasure, my lady,” ujarnya lalu menunduk sedikit dengan sebelah tangannya di belakang.

Nurhana menarik nafas sedalam-dalamnya. Lambat-lambat dia mengheret langkah ke kereta Haznik.

Lelaki jenis apalah yang dia temui ini? Keluhan Nurhana makin panjang.

 

KERETA CONVERTIBLE yang dipandu oleh Haznik meluncur laju di atas jalan raya. Angin yang bertiup membuat rambut Nurhana beralun-alun. Dah macam di tepi pantai. Segera dia mencekak hujung rambut dengan genggaman tangan. 

Sungguh dia tidak selesa. Mujur cuaca pada hari itu redup sahaja. Kalau panas terik, mahu terbakar wajahnya. Lelaki ini pun satu. Dia ingat Malaysia ni macam luar negara ke? Kalau ya pun nak pakai kereta convertible, tengoklah tempatnya dahulu.

Tidak semena-mena kelajuan kereta menjadi perlahan. Bumbung kereta dinaikkan dan terus menutupi bahagian atas kereta yang terdedah. Nurhana menoleh, merenung Haznik. Lelaki di sebelahnya ini macam tahu-tahu pula apa yang berada dalam fikirannya. Ajaib sungguh!

“Kalau awak tak kisah, boleh saya tanya awak satu soalan?” Haznik bersuara. Matanya masih memandang ke depan.

“Awak nak tanya apa?” Nurhana memandang ke luar tingkap. Ikutkan hati dia tidak mahu bercakap langsung dengan Haznik. Tapi lelaki itu telah bersedia untuk menolongnya. Takkanlah dia hendak buat perangai pula?

“Awak dah kahwin?” 

“Kenapa awak tanya macam tu?” Nurhana terkejut. Cara dia berpakaian, mengikut peredaran semasa. Moden dan elegan. Dari sisi mana pula dia nampak seperti isteri orang?

“Tu…” Haznik menghalakan pandangan ke arah jari manis gadis itu. Pada mulanya Haznik ragu-ragu untuk bertanya. Namun dia tidak dapat menahan diri daripada melemparkan soalan itu. 

Cincin di jari gadis itu membuatkan fikirannya cukup terganggu. Perasaan yang mula berputik di hujung hatinya membuatkan dia rasa bersalah. Dia begitu berharap gadis itu masih belum berkahwin. Sekurang-kurangnya perasaannya itu tidak diletakkan pada isteri orang.

Nurhana segera menyentuh cincin di jarinya. Dua tahun telah berlalu, tetapi dia masih tidak menanggalkan cincin itu.

“Oh, tak… ini cincin…” Nurhana tidak menyambung bicaranya. Dipusing-pusingkan cincin pertunangan yang masih berlingkar di jari. Perlukah dia membuang cincin itu dan memulakan hidup baru? Begitu sukar baginya untuk melupakan apa yang telah terjadi kerana kecurangan Izlan amat menyakitkan hati.

Let me guess. It’s complicated?”

“Ya… complicated.” Akui Nurhana. Semuanya begitu rumit. 

Haznik tidak terus bertanya. Namun hatinya sudah menjerit keriangan. Entah mengapa, dia begitu gembira apabila mengetahui gadis itu masih belum berkahwin. Yes!!!

Kereta yang dipandunya membelok ke arah Damansara. Keadaan jalan lenggang dan perjalanan lancar.

By the way, kenapa awak cari abang awak? Apa yang dia dah buat?”

“Saya cari dia sebab…” 

Dahi Haznik berkerut apabila Nurhana tiba-tiba mendiamkan diri. Dia ingin menoleh tetapi dia perlu pandang ke hadapan.

“Awak kerja apa? Wartawan? Banyak betul soalan awak?” Nurhana hampir memberitahu segala-galanya kepada jejaka yang baru dikenalinya itu. Nasib baik dia cepat tersedar.

Haznik gigit bibir, menahan tawa. Sangkanya gadis itu akan terleka dan terus menjawab sahaja.

“Saya bertanya sebab saya rasa bosan memandu tanpa bercakap. Kalau awak tak nak disoal, apa kata awak pulak yang tanya saya? Saya akan jawab semua soalan dengan jujur. Tanyalah,” tawar Haznik.

“Hesy, buat apa saya nak tanya awak? Saya tak nak tahu apa-apalah tentang awak.” Nurhana segera menolak. Pelik sungguh permintaan lelaki ini. 

Then let me do the asking. Awak…”

“Dah berapa lama awak berjiran dengan abang saya?” Potong Nurhana. Dia tidak mahu terus disoal siasat oleh jejaka itu lagi. Daripada terus disoal, lebih baik dia yang bertanya.

Meletus tawa Haznik. Reaksi gadis itu begitu mudah untuk dijangka.

“Adalah dalam… setahun lebih.” Haznik menjawab, jujur. 

Patutlah dia tidak pernah nampak jejaka itu. Dua tahun dulu, rumah di sebelah rumah abangnya kosong tanpa penghuni. Mungkin lelaki itu berpindah semasa Nurhana berada di luar negara. 

“Abang saya pernah bawa perempuan masuk ke rumahnya tak?” Nurhana ingin tahu. 

Berkerut dahi Haznik mendengar soalan itu. 

“Kenapa awak tanya macam tu? Awak tak percayakan abang awak sendiri?” 

“Bukan tak percaya, tapi… Boleh tak awak jangan tanya saya balik dan jawab aje soalan saya?” Nurhana naik berang. 

“Bawa bertenang. Tak elok marah-marah. Nanti muka berkedut, cepat tua. Awak suka ke kalau muka awak nampak lebih tua daripada usia sebenar?” Haznik tidak jemu-jemu mengusik.

Nurhana melepaskan rengusan kasar. Boleh darah tinggi jadinya jika terus berlama-lama dengan lelaki ini.

“Semua perempuan cantik macam awak ni memang senang marah, ya?” Usikan Haznik dibalas Nurhana dengan jelingan maut.

“Berapa ramai perempuan cantik yang awak kenal?” balas Nurhana. Saat itu dia sudah cop mohor Haznik sebagai kasanova, romeo, buaya darat dan kaki perempuan. Mulutnya manis mengalahkan kilang gula!

“Betul awak nak tahu?” 

“Tak payah! Saya tak nak tahu.” Geramnya dia! Nurhana genggam tangan sekuat-kuatnya.

Haznik hanya tersenyum. 

“Tentang abang awak tu, setahu saya dia tak pernah pun bawa perempuan ke rumah.” Haznik menjawab juga soalan yang dibiarkan tadi. 

“Ya ke?” Nurhana mencebik.

Naik hairan Haznik dibuatnya. Gadis ini seakan-akan tidak percaya pula dengan jawapannya. Apa masalah dua beradik ini agaknya?

“Hana, apa yang saya dapat kalau saya tipu awak?”

Nurhana diam sesaat, mengakui kebenaran kata-kata Haznik. 

“Kalau betul, baguslah.” Nurhana melemparkan pandangannya ke luar. Kereta yang dinaiki mula memasuki kawasan perumahan. Pandangannya terarah semula ke wajah Haznik. Walaupun baru dikenali, namun jejaka itu menghantarnya ke tempat yang betul. ‘Masih ada lagi lelaki jujur di dunia ini rupanya,’ fikir Nurhana.

“Nik?”

Secara automatik, bibir Haznik tersenyum. Mengapa hatinya berbunga-bunga saat mendengar namanya meniti di bibir gadis itu? 

“Ya, saya.” 

“Nanti awak tolong berhenti kat depan sana, ya. Depan rumah yang berpagar putih tu.” Nurhana menuding jari ke arah sebuah rumah yang berada beberapa meter di hadapan mereka.

No problem.” Haznik memperlahankan kereta apabila mereka semakin dekat dengan destinasi.

“Ini rumah awak?” 

Nurhana menggeleng. Tali pinggang keledar ditanggalkan.

“Rumah famili. Saya mana mampu beli rumah macam ni.”

“Rumah famili samalah macam rumah sendiri jugak, Cik Hana. Pernah awak dengar, di mana ada keluarga, di situlah rumahnya?”

“Itu peribahasa baru ke?” Seingat Nurhana itu pertama kali dia mendengar ayat tersebut.

“Tapi tak salah, kan?”

Nurhana mengiakan saja dalam diam. Dia sudah keletihan sebenarnya. Fikirannya runsing mengenangkan kereta yang tersadai. Entah mekanik yang dihubungi Haznik jumpa atau tidak dengan keretanya itu.

“Kawan saya dah jumpa kereta awak. Ini gambarnya.” Haznik menunjukkan skrin telefon kepada Nurhana. Terpapar gambar dua orang lelaki bersama kereta Jazz merah kesayangannya.

Nurhana tercengang-cengang. Lelaki ini ada kuasa psikik ke apa? Macam tahu-tahu sahaja apa yang berada dalam mindanya.

“Terima kasih sebab tolong hantar saya,” ucap Nurhana lalu keluar dari kereta.

“Na?” Suara Mariam singgah di telinga Nurhana dan Haznik. Kedua-duanya menoleh serentak, melihat ke arah Mariam.

“Siapa tu, Na?” tanya Mariam, ingin tahu. Ketika dia duduk minum petang di laman, dia terlihat sebuah kereta diparkirkan di depan pagar. Tahu-tahu sahaja, Nurhana keluar dari kereta tersebut. Diamati wajah pemuda yang lekas-lekas keluar dari kereta. Rasanya, dia tidak pernah lihat wajahnya sebelum ini.

“Err… ini Nik.” Walaupun keberatan, Nurhana terpaksa memperkenalkan. 

“Apa khabar, aunty?” sapa Haznik, sopan.

“Baik, alhamdulillah.”

“Kereta Na mana? Bukan ke tadi Na keluar bawa Jazzy?” tanya Mariam. Dia pandang ke luar pagar.

Hanya ada satu kereta saja di situ. Kereta yang Nurhana panggil sebagai Jazzy itu tidak kelihatan di mana-mana.

“Dia buat hal pulak. Meragam tepi jalan. Nasib baik ada Nik. Nik yang hantarkan Na balik tadi.”

“Oh, ya ke? Terima kasih banyak-banyaklah, Nik. Aunty dah pesan dengan Na, jangan bawa keluar Jazzy tu sebab dah lama tak bergerak. Tapi dia tak nak dengar apa yang aunty cakap.”

Nurhana tertunduk. Depan-depan Haznik juga dirinya ditegur. Memang dia salah kerana tidak mendengar kata. 

“Nik, marilah masuk dulu. Boleh makan tengah hari sekali dengan kami,” Mariam mengajak.

Makan sekali??? Terkejut Nurhana dengan pelawaan ibunya itu.

Takpe, mama. Lagipun Nik sibuk. Awak sibuk, kan Nik?” 

Nurhana terus halakan pandangan penuh isyarat ke arah Haznik. Dia berharap jejaka itu faham maksud yang tersembunyi dan akan menolak. 

“Eh, taklah! Mana ada sibuk. Saya ada banyak masa hari ini, aunty. Kebetulan pulak perut saya memang kosong hari ni,” jawab Haznik, membuatkan mata Nurhana mencerlung ke arahnya. 

“Elok sangatlah tu. Marilah masuk. Hari ni ada ikan tenggiri masak lemak tau,” pelawa Mariam. Dibawa Haznik melewati pagar rumahnya.

“Ya ke? Ikan favourite saya tu.” Haznik tidak mengendahkan Nurhana yang tercegat di situ.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/273524/DEMI-RINDUMU

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *