[SNEAK PEEK] DELIMA

9789670954691-medium
DELIMA Oleh Regina Ibrahim

 

Manusia berjanji meluah kata,
terlalu manis terlupa tuhan,
antara permata dengan permata,
Delima juga jadi pilihan.

Hujan, musim tengkujuh sekarang jadi tidak menentu dan sukar diramal, berterusan dari petang hinggalah ke malam. Jam menunjukkan tepat 9 malam. Ruby mengambil keputusan untuk tidak ke mana-mana. Dia malas menonton televisyen. Tidak ada apa yang menarik. Bolak-balik rancangan hiburan, lawak jenaka yang tidak lucu dan rancangan gosip palsu artis-artis yang hanya bertujuan mahu kekal di persada, disanggah pula dengan jawapan skema membosankan. Tidak menarik langsung atau hatinya yang resah tidak damai?

Sambil duduk di balkoni melihat langit kelam Kuala Lumpur dari apartmen mewah di Ampang, dia mengimbau kembali kenangan silam, bagaimana dia boleh hadir di kota besar ini. Kota yang tidak pernah kenal erti kasihan pada para penghuninya. Manusia KL masing-masing membawa haluan diri, dia juga mungkin termasuk antara satu dalam beribu-ribu manusia KL yang bersifat sama. Kota yang pantas, manusia yang bergerak semakin laju, menipu, ditipu menjadi hal yang biasa, diterjemahkan pula sebagai hidup yang progresif.

Kuala Lumpur membuatkan dia jadi lebih berani, orang di Kuala Lumpur juga yang mengajar dia jadi begitu. Kehidupan remaja di Pulau Pinang suatu ketika dulu, walaupun menggerunkan, tidak pernah sama dengan apa yang dia lalui di Kuala Lumpur. Kerjaya ini menuntut dia bertutur bahasa Inggeris dengan lancar. Kelas dialek Indonesia juga lancar begitu juga dengan kelas tatarias diri, dipendekkan cerita, dia sudah siap untuk menakluki Asia. Tidak pernah terlintas semuanya sebelum ini. Dia yatim-piatu dari desa. Anak orang Lahar Ikan Mati, Kepala Batas, Seberang Perai, nama sebenar tempat dia dilahirkan, namun sehingga kini apabila wartawan bertanya dia orang mana, dia tetap akan berkata, Pulau Pinang atau Penang seolah-olah dia anak orang kelas pertengahan yang dilahirkan di pulau.

“Ya, saya dilahirkan di Penang,” dia kerap secara selamba selesa menjawab.

Herannya wartawan Malaysia tidak bertanya banyak. Mereka juga sudah tentu tidak tahu tentang pergolakan hebat yang dilalui sekitar tahun 80-an di sana, hingga membawa diri ke Kuala Lumpur. Kalaulah mereka tahu semuanya, matilah dia dikerjakan mereka. Wartawan hiburan Malaysia mempunyai satu tabiat, menulis gosip sipi-sipi dengan memberi buah-buah yang mudah ditelah pembaca tentang artis, apabila tercium sifat buruk dan cerita artis Malaysia. Peminat bidang seni Malaysia pula jenis yang sukar untuk memaafkan sebarang kejadian tidak bermoral, akan diungkit sampai bila-bila. Syukur sehingga kini imejnya bersih di mata pendengar dan penonton. Ini merupakan satu hal yang amat Ruby syukuri.

Kalaulah mereka tahu bagaimana dia pernah tinggal di Georgetown dan pernah khilaf remaja, pasti satu Malaysia akan terlopong. Orang Malaysia semakin bermoral sekarang. Mempertikaikan cara hidup orang sudah menjadi agenda utama mereka, sampai terlupa pada cariknya kain sendiri. Kalaulah Amir Mirza, kekasih pertamanya tahu tentang Nur Nabilah, dia juga bakal susah. Manusia dalam banyak waktu seolah-olah ketagih dan lapar pada kisah-kisah sensasi manusia lain. Dia dan Amir bertemu di saat-saat awal membina kerjaya di Georgetown. Segalanya seolah berlaku begitu pantas. Amir, jejaka pertama yang berjaya memikat hatinya, juga guru pada keseronokan, leka, cemburu, kecewa dan luka. Ruby sewaktu bekerja di Yaohan Komtar menjual pakaian dan barangan lelaki, sering melihat jejaka berkulit putih berambut ikal itu datang dengan dua-tiga teman untuk membeli-belah, seperti biasa mengurat nakal, sambil membeli barangan. Perkenalan bermula dan entah bagaimana dia boleh menjadi rapat dengan Amir, dia sendiri tidak ada jawapan, gelojak remaja biasa agaknya. Ada semacam rasa apabila degupan hati wanita remajanya disahut lancar oleh Amir.

Amir yang bekerja sebagai bartender di sebuah kelab di Jalan Sultan Ahmad Shah, melayan Ruby dengan baik, sewaktu cuti hari Isnin Amir akan membawanya berkaraoke, makan-makan dan berhibur di bandar yang penuh dengan hiburan itu. Mesra, bahagia dan romantik hanya mereka berdua yang tahu di saat itu. Sungguh indah.
Amir jugalah orang yang bertanggungjawab mengajar dia berpakaian mengikut zaman. Dia tidak ralat mengeluarkan wang untuk Ruby, supaya kelihatan lebih canggih sebagai kekasih untuk bergandingan. Amir lelaki bercitarasa bagus, jadi sebagai pasangan Ruby mengikut saja. Sebelum ini tidak pernah dia terfikir tentang pakaian, apa saja yang sopan selesa dia akan pakai.

“Malu kalau orang nampak nanti, apa dia orang kata, girlfriend I nampak kampungan.”

Ruby menurut saja, lagipun dia tidak mempunyai masalah bentuk badan, dia bukan gemuk pendek, dia hitam, tapi bukan sebarang hitam, dia hitam manis. Berhidung mancung, anak mami kata ramai orang, padahal dia anak Melayu jati, menurut kakak sulungnya. Tiada siapapun baik dari pihak ayah dan ibunya berdarah kacukan. Dia dan Amir memang sepadan. Amir tinggi lampai, Ruby juga tinggi, 5 kaki 6 inci, dia tahu tapi tidak pernah mengukur, bagi perempuan Malaysia Ruby memang tinggi, silap-silap berdandan orang nanti fikir dia bapok, bapok yang jelita. Sewaktu berkawan dengan Amir dia kerap membelek majalah-majalah fesyen dari Barat dan berkhayal mahu memakai busana trendy.

Masih Ruby ingat antara helaian pakaian yang Amir beli untuknya, yang paling dia ingat adalah baju lycra hitam potongan Tarzan ketat sendat, dibeli di sebuah butik di Komtar.

“Ini satu saja ada… you bole pakai punia, you boli cantik!” kata amoi butik itu.

Ruby ambil saja, kerana yang membayar adalah Amir. Amir banyak duit, bartender-lah katakan. Sehingga kini dia tidak pernah bercerita pada sesiapapun kenapa, dia sering menolak memakai sebarang potongan fesyen yang sama dengan baju Tarzan itu. Kerap kali sewaktu sesi fotografi dia akan menolak, datanglah pereka busana manapun dia akan mengatakan dia tidak selesa. Sebenarnya potongan baju itu mengingatkan dia pada segala punca merana hidup di Georgetown.

Amir Mirza rupanya lelaki kurang ajar dan tidak bertanggungjawab. Tukarlah bagaimana sekalipun nama pakaian itu, “One shoulder dress?”, “Toga dress?” Ingatan kelat itu tidak akan pernah pupus. Itu juga baju kegemaran Amir, kerap kali apabila mahu keluar, itulah baju yang dia suruh Ruby pakai.

Dia masih bekerja di Yaohan, sewaktu Amir mencadangkan mereka pindah saja dan tinggal bersama di Tanjung Bungah. Jangan takut, pujuk Amir, kerana itu kawasan penempatan orang Cina, jadi tiada masalah tangkapan khalwat atau tangkap basah. Orang Cina jenis tidak peduli, asalkan masing-masing tidak membuat gangguan apabila berjiran. Apartmen 2 bilik itulah tempat mereka menjalinkan hubungan bagaikan orang yang telah bernikah. Satu bilik lagi disewakan pada kawan sekerja Amir, Balan namanya, yang bekerja sebagai penyelia kelab malam.

Ruby yatim-piatu sejak berusia 10 tahun, di Kepala Batas dia diuruskan oleh kakak sulungnya, yang berkahwin dengan pekerja Jabatan Tali Air, kakak sulungnya bukanlah orang yang senang-senang, jadi harapan untuk melanjutkan pelajaran adalah satu hal yang tidak mungkin. Malah kakaknya mungkin akan lebih gembira lega bila Ruby sudah mula berdikari. Ruby juga sedar, dia tidak berapa digemari kakaknya sendiri, semakin dia dewasa semakin kakaknya menjadi gusar, mungkin cemburu akan sifat abang iparnya yang bermata liar setiap kali melihat Ruby yang semakin mekar di tempat tinggal yang sempit di kampung. Bilik mandi satu, bilik tidur tidak berpintu lengkap menjadikan suasana agak sukar dan janggal bagi anak gadis yang sedang akil baligh.

Menjadikan Ruby tempat lepas geram di meja makan dan dapur adalah kegemaran si kakak. Dia cemburu apabila sang suami sering terlepas cakap memuji Ruby dan hati wanitanya menjadi panas dengan tanggungan yang jatuh ke tangan dia sejak kematian ibubapa mereka. Membesarkan Ruby mungkin beban besar selama ini. Atas dasar itu masing-masing memilih untuk hilang dari radar tanpa sebarang rasa rindu langsung setelah waktu jauh berlalu. Aneh, sampai hari ini tidak ada sebarang usaha dari kedua belah pihak untuk bertemu.

Sewaktu awal bekerja di Yaohan, Ruby tinggal bersama Rahimah, budak baik dari Baling, Kedah, bekerja sungguh-sungguh kerana mahu sambung belajar. Apabila pindah tinggal bersama Amir terpaksalah Rahimah tinggal sendirian kerana Kak Noor, yang juga menyewa flat kos rendah itu tinggal di bilik kedua, Kak Noor jarang ada di rumah kerana sibuk bekerja di sebuah hospital swasta, Rahimah agak kesal sebenarnya dengan tindakan Ruby, namun manusia apabila mabuk dilamun asmara, tidak guna dinasihati. Rahimah merelakan saja niat Ruby mahu pindah ke Tanjung Bungah. Ruby keluar dengan elok, dia sebenarnya merasa kasihan kerana harga bilik itu mulai bulan seterusnya akan ditanggung Rahimah secara penuh. Namun tiada pilihan, panggilan cinta indah sudah mengatasi segalanya. Perasaan cinta pertama ini sungguh indah, sukar untuk digambarkan. Siapa tahu, ini jodoh buat dirinya?

Sejujurnya setelah mengenali Amir, Ruby dan Rahimah jarang menghabiskan masa apabila cuti hari Isnin. Dia kerap keluar dengan Amir bersantai, menghadiri pesta anak-anak muda. Rahimah sekarang menaiki bas ekspres dari Butterworth dan pulang ke Baling bersendirian, tidak sama lagi seperti waktu dulu Ruby sering menemaninya pulang bercuti.

Apa yang seronok dengan Amir? Anak Melayu dari Perak yang merantau ke Pulau Pinang, berkulit putih kuning, bermata bundar persis anak campuran mat salleh, tapi bila ditanya mengatakan dia anak orang Melayu jati, heran juga Ruby. Amir bagi Ruby ketika itu, adalah seorang yang ‘cool’, dia punya aura yang memikat dan tidak sejengkel jejaka Melayu lain yang pernah Ruby kenali. Gaya keseluruhan berbeza yang amat memikat dan pasti ada harapan dalam perhubungan mereka. Cara hidup Amir di kelab? Ketampanannya sudah tentu akan memikat hati mana-mana saja anak gadis. Menjadi guru Bahasa Inggeris tidak rasmi pada Ruby, dia banyak menyimpan pita-pita rakaman yang dia sendiri beli untuk mempelajari bahasa kedua ini. Sangat berkesan cara itu. Menurut Amir, kita di Malaysia, kalau tidak boleh berbahasa Inggeris, siapapun tidak akan pandang. Hendak-hendaknya tinggal pula di Penang.

Sudah tentu Amir orangnya romantik dan ada kalanya lucu. Ruby masih lagi bekerja di Yaohan, kerana mahu mencari wang sendiri, segan kalau mahu meminta-minta terlalu kerap. Usia 18, kederat masih ada, maka usaha sajalah sebaik mungkin.

****

Cinta leka, cinta bersambut, cinta dusta, cinta nafsu, atau cinta apa?

Empat bulan awal tinggal bersama, segalanya jadi baru. Amir merasa lega kerana Ruby boleh juga mengemas rumah bujang yang disewanya. Nampaklah sedikit seperti rumah tempat orang tinggal, bilik bujang dulu tidak lagi bersepah, ada juga sentuhan kewanitaan, pelayaran hidup menjadi bertambah nikmat, sama seperti pasangan suami-isteri. Amir berusia 25 tahun ketika itu dan Ruby mula merasa dewasa sebagai wanita.

Segala bermula pada suatu pagi selepas mandi, sewaktu ingin mengenakan jeans sendatnya untuk pergi ke tempat kerja, butang tidak dapat dimatikan, ketat! Ada ruang tidak sampai, lebih kurang 2 inci. Tidak mungkin! Itu jeans ketat kegemaran Ruby. Setelah gagal, Ruby terpaksa mencapai seluar getah.

Mustahil, apa yang aku makan? Bila masa aku muntah-muntah? Tidak mungkin. Hati Ruby menjadi berdebar, degupan jantungnya terasa laju dan dada berdegup kencang. Amir sedang tidur, tidur mati kerana letih dan kesan mabuk semalam seperti biasa. Bukankah Amir juga yang mengatakan semuanya akan selamat, kerana dia tahu teknik bersama tanpa perlindungan? Berkerut dahi Ruby pagi itu, dia resah.

Sesampai saja di tempat kerja, Ruby terus mendapatkan Rahimah yang bekerja di bahagian kanak-kanak.

“Imah, hang arini rehat pukul berapa?” tanya Ruby.

“Kenapa, Ruby? Ada apa ni? Tak pernah-pernah nak belanja arini, dapat bonus ka?” Rahimah melawak.

“Taklah, Imah, aku belanjalah, aku ada problem nih!”

Di Pulau Pinang tidak ada siapa lagi untuk dia berbicara hal serius selain Amir, Rahimah dan Kak Noor. Tapi ini hal orang perempuan, yang hampir cuma Rahimah. Ruby sewaktu bekerja hari itu hati merasa tidak senang. Diraba-rabanya perut secara kerap, berlari ke bilik persalinan pakaian dan melihat betul-betul pandangan dari sisi, tiada perbezaan ketara. Waktu rehat dia dan Rahimah, berjalan cepat keluar dari pintu belakang dan mereka ke kedai kopi Seng Tat depan pasaraya Gama. Tempatnya dekat, mudah dan harga nasi tengahari yang dijual murah berbanding dengan kedai nasi di dalam bangunan Komtar sendiri.

“Aku takut sangat, Imah,” Ruby memulakan bicara setelah mereka mengambil nasi masing-masing.

“Awat? Takut kena tinggai dengan Amir ka?” tanya Rahimah melawak.

“Yang ni lagi teruk dari tu, Imah…” kata Ruby serba-salah, tiada pilihan, pada Rahimah dia berterus-terang.

Rahimah mengucap panjang setelah mendengar penerangan Ruby dan berdoa dalam hati agar ia tidak betul. Ruby mula bertanya hal-hal tentang klinik. Terlintas untuk menjalani pemeriksaan samada betul atau tidak dia mengandung? Tentunya sebagai wanita muda biasa dia takut dan malu untuk menyatakan hasrat menggugurkan saja kandungan itu awal-awal. Langkah apa yang harus diambil, juga dia tidak tahu.

Rahimah mencadangkan Ruby tanya saja pada Suziela, yang bekerja di bahagian barangan makeup, kerana dia pernah mendengar khabar angin yang Suziela juga pernah mengandung tahun lepas, tapi Ruby kena tanya sendiri, Rahimah mengatakan yang dia tidak berani bertanya hal-hal peribadi orang secara tidak tentu hala.

“Hang pi lah buat-buat nak beli makeup, kemudian pandai-pandai hanglah untuk bertanya klinik mana nak check,” saran Rahimah yang juga tidak keruan mendengar kisah sebegini.

“Kalau betui, Ruby, hang nak buat apa?” terus Rahimah bertanya kembali pada Ruby yang diam menyepi kerana leka mendengar atau juga mungkin terlalu resah.

Seharian Ruby merasa kurang enak, bukan tidak sihat fizikal, tapi kepalanya berputar-putar, memikirkan pelbagai kemungkinan. Malam itu juga dia memutuskan untuk tidak ke kelab bagi menemani Amir walaupun esok hari minggu. Dia merasa lemah dan mahu berehat-rehat saja, menanti Amir pulang, mendengar muzik, memang dia sukakan muzik, tapi keadaan muzik disko di tempat kerja Amir akan membuatkan dia lebih pening nanti, tunggu Amir balik sajalah, baik dia habiskan waktu malam dengan mendengar pita belajar ‘Bahasa Inggeris perbualan peringkat pertengahan’ dari dibiarkan ia mengumpul habuk.

Sewaktu awal-awal dulu, apabila Amir pulang dalam keadaan separa mabuk, Ruby mendapati diri Amir agak seksi, dia agak suka pada layanan Amir yang tahu membelai tubuh badannya sebagai wanita, kenikmatan itu tidak akan dapat dia lupa. Kalau benarlah dia hamil, minta-minta Amir gembira dan sudi menerimanya sebagai isteri, tidak apalah kalau hanya mahu ‘kawin koboi’, Ruby akan sudi dan rela. Esok hari Ahad, dia bekerja, dia akan mencari jalan bertanyakan pada Suziela, selembut mungkin, di mana klinik untuk membuat pemeriksaan, apa yang tindakan yang harus diambil. Dia merangka-rangka bentuk ayat yang mahu disuarakan nanti dalam kepala.

Ruby tertidur dengan lampu yang terbuka. Amir pulang sekitar 6 pagi, seperti biasa, kali ini mulutnya berbau arak yang sangat kuat. Ruby tidak pasti samada itu merupakan derianya yang baru, deria sensitif orang mengandung, atau selama ini Amir sememangnya berbau demikian. Amir memadamkan lampu dan merangkak menggagahi tubuh Ruby, bertindak kasar bila Ruby dalam keadaan mamai mengatakan dia penat dan mengantuk.

“Aaahhh! Kejap jer, yang…” kata Amir separa sedar.

Ruby mati akal, dia hanya berserah. Amir tidur mati seperti biasa setelah melunaskan kepuasan lelakinya, sehinggalah Ruby siap berdandan dengan memakai seluar getah yang sama untuk ke tempat kerja; pada pukul 9 pagi pun Amir masih lelap. Dia menanti bas biru dari Teluk Bahang menuju Komtar bersendirian, sambil berpusar-pusar berfikir tentang kehidupannya selama ini dengan Amir. Muzik, arak dan hiburan tanpa henti, untuk wanita muda berusia 18 tahun tentulah ia menyeronokkan, tapi sampai bila?

Ruby terfikir, dalam saat-saat begini Rahimah boleh saja menolak mentah untuk membantu atau mendengar keluh-kesah dirinya, kenapa tidak? Sepanjang dia asyik masyuk dengan Amir, Rahimah seolah-olah tidak wujud dalam ruang lingkup sosial dirinya, ke mana-mana saja pasti dengan Amir, leka melompat dari satu kelab ke kelab yang lain menemani boyfriend yang tampan itu.

Deruman bas biru itu sama saja seperti kemarahan dan keresahan dalam benak hatinya.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/81613/DELIMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *