[SNEAK PEEK] DANDELION DITIUP ANGIN

DANDELION DITIUP ANGIN Oleh Aidah Bakri

WAJAH PUTIH bersih bayi lelaki yang baru dilahirkan, direnung dengan segenap rasa. Hilang segala rasa sakit melahirkan, apabila wajah sebesar tapak tangan itu damai dalam tidurnya. Tanpa diduga, rasa sayang… tunas kasih mula bertapak di mimbar hatinya.

Terasa indah yang tiada tara. Sejak mereka ditolak keluar dari wad bersalin dan ditempatkan di wad 6 dua belas jam yang lalu, bayinya itu asyik tidur sahaja. Menurut kata doktor sebentar tadi, tempoh tidur bayi yang baru lahir adalah sekitar enam belas jam dalam sehari. Mungkin sebentar lagi dia akan terjaga untuk menyusu.

Dini masih menatap wajah bayinya yang sedikit pun tidak berkutik. Tidak terusik langsung dengan rasa sejuk bilik yang berpenyaman udara itu. Segala-galanya baharu bagi dia. Mujur juga ada jururawat yang bernama Suhaini yang sudi mengajar bagaimana mahu membedung bayi sekecil itu.

Sungguh dia tidak tahu apa-apa tentang pengurusan bayi. Mujur juga ada Ibu Rasyidah yang sudi menyediakan segala kelengkapan bayi. Kain bedung, kain lampin, barut… perkataan-perkataan itu pun tidak ada dalam kamus perbendaharaan hidupnya. Inikan pula mahu menggunakannya. Sungguh dia tidak tahu! Dia langsung tidak ada pengalaman menguruskan seorang bayi. Dan kehadiran bayi ini terlalu awal dalam hidupnya.

Dini mengeluh tiba-tiba. Hatinya disagat pilu yang teramat. Kepiluan yang terus menjeruk hati sehingga menjadi kering dan layu. Hampir-hampir tangkainya tanggal, menanti masa untuk tersungkur ke bumi. Mujur sahaja ada Ibu Rasyidah yang sudi memberi sedikit yakin dalam dirinya. Meniup bilah-bilah semangat dalam dirinya yang sudah kehilangan payung untuk berlindung.

“Hai baby….” Suara yang kedengaran tiba-tiba mengejutkan Dini daripada lamunan yang panjang.

“Puan sihat hari ini?” tanya doktor muda yang sedang mengira kadar denyutan nadi Dini. Doktor Irdina. Nama itu tertulis di tag nama yang tersangkut di bajunya.

Dini sekadar menganggukkan kepalanya. Wajah cantik doktor muda itu, dipandang sekilas.

“Baby asyik tidur saja. Puan dah bagi dia susu?” tanya Doktor Irdina lagi. Dini menggeleng pula. Masih tidak bersuara.

“Dah pandai menyusukan baby?” Paras Dini dibelek lama. Sejak semalam sudah terbetik musykil di hati kecilnya.

“Pandai jugak… Nurse Suhaini dah ajar malam tadi.” Jawab Dini perlahan. Biarpun dia merasa kekok, namun dia tetap mahu mencuba. Dia merasa puas apabila melihat bayinya tidur kekenyangan setelah menyusu.

Tiba-tiba wajah arwah ibunya menyapa ruangan ingatan. Ada rembesan air mata di tubir matanya. Hatinya diseret kesal. Hiba yang teramat. Kalaulah arwah ibunya melihat dia dalam keadaan yang begini….

“Tekanan darah puan normal, baby pun sihat. So… tengah hari nanti puan boleh keluar. Suami puan belum datang lagi?” Lembut suara Doktor Irdina membuatkan Dini tersedar.

Suami??? Ruang hatinya terus menjadi kosong apabila perkataan itu disebut.

Suami??? Relung-relung hatinya luka lagi… luka yang tidak nampak darahnya. Luka yang hanya ada sakit dan perit. Luka yang tidak mungkin akan sembuh sampai bila-bila.

“Suami puan tak ada di sini?” Ayat tanya itu menyapa lagi cuping telinganya.

Mereka berpandangan seketika. Doktor Irdina mengerutkan dahi. Keliru memikirkan makna diam ibu muda di hadapannya itu. Sejak nama Dini didaftarkan untuk ditempatkan di wad bersalin, dia tidak nampak pun kelibat seorang lelaki yang layak digelar sebagai suami wanita muda ini.

“Puan?”

Dini menundukkan wajahnya. Terasa tebal kulit pipinya. Malu untuk berterus terang pada doktor cantik yang masih berdiri di tepi katilnya.

Sekejap lagi keluarga saya datang. Saya dah boleh balik, kan doktor?”

Doktor Irdina mengangguk sambil tersenyum. Mengerti bahawa Dini sedang menyembunyikan sesuatu. Namun siapalah dia untuk terus mendesak walaupun teringin benar rasa hatinya mengetahui mengapa raut wajah Dini bersalut sendu tatkala soal suami dibangkitkan. Perasaannya disapa simpati buat Dini. Baru berusia sembilan belas tahun sudah bergelar ibu. Terlalu muda untuk memikul tanggungjawab rumah tangga yang padanya terlalu banyak menuntut pengorbanan daripada seorang wanita.

Doktor Irdina berlalu ke katil yang seterusnya setelah menitipkan beberapa nasihat buat Dini. Pandangan Dini kembali jatuh pada bayi di sebelahnya. Matanya yang terpejam rapat, bibirnya yang comel kemerahan dan keningnya yang halus terbentuk… benar-benar menyentuh tangkai hatinya.

Dan apabila pandangannya jatuh pada hidung yang terukir indah menghiasi wajah putih bersih itu, dia teringat kembali pada seraut wajah. Menghantar seluruh ruang ingatannya pada lelaki yang telah mengubah hampir tiga ratus enam puluh darjah arah kehidupannya. Kalaulah tangkai hatinya boleh patah, sudah lama ia terputus… tanggal dan gugur daripada tangkainya.

“Hoi… mengelamun saja.” Dini tersentak dengan suara yang tiba-tiba menyergah cuping telinganya.

“Mana ada. Kau baru sampai ke? Dah tak reti bagi salam… main sergah saja. Ibu mana?”

“Hehehe… ibu ada dengan Doktor Irdina kat sana tu. Kau menungkan apa? Aku tengok kusut saja muka kau ni.” Iffa menatap wajah sahabatnya lama. Garis-garis luka kian terserlah di wajah kusam Dini. Kesian sahabatnya yang seorang ini. Besar sungguh dugaannya.

“Kau okey tak ni? Sekejap lagi boleh discharge kan?” Khuatir Iffa apabila melihat Dini lebih banyak diam. Diam Dini bermakna dia sedang memendam rasa. Memendam rasa seorang diri memang tidak baik untuk Dini dalam keadaan dia yang sebegini. Menurut ibunya tadi, hati dan perasaan orang yang dalam pantang bersalin sensitif dan cepat terasa.

“Aku okey la. Dah tak sabar nak balik rumah. Kau ingat enjoy ke duduk kat sini? Seksa tau nak turun naik katil ni.” Tutur Dini cuba menyembunyikan duka.

“Aku cuba untuk percaya kata-kata kau. Apa pun, aku harap kau jangan tunjukkan muka kusut kau tu kat depan ibu. Nanti dia risau. Tak fasal-fasal darah tinggi dia naik. Kita jugak yang susah nanti.” Pinta Iffa perlahan.

“Aku memang dah banyak susahkan kau Iffa… susahkan ibu. Aku tak patut libatkan kau dalam masalah aku. Tapi aku tak ada siapa-siapa, Iffa. Aku cuma ada kau, ada ibu kau….” Dini kembali sebak. Mengepung rasa rindu yang tidak pernah padam pada arwah ibunya, membuatkan jiwanya longlai tiba-tiba.

“Syyyh… dahlah. Jangan layan sangat perasaan sedih. Kau kan dalam pantang, tak elok tau. Aku tetap ada untuk kau, Dini. Aku tak peduli apa orang lain kata tentang kau, aku tetap percaya kau sahabat yang terbaik buat aku. Aku tak akan biarkan kau seorang diri membesarkan baby ini, Dini. Kita jaga dia sama-sama, ya.” Janji Iffa ikhlas.

Dini kian terharu mendengar kata-kata Iffa. Terharu kerana masih ada seorang sahabat yang tetap sudi bersamanya. Biar dalam susah ataupun dalam senang. Sanggup menerima dia walau dalam apa pun keadaannya.

“Terima kasih, Iffa.” Mereka berpelukan erat.

“Ada drama apa pulak kat sini? Ada adegan peluk-peluk pulak tu…” usik Ibu Rasyidah yang baru sampai. Bahagia benar hatinya melihat keakraban dua anak gadis di hadapannya. Ikatan perasaan mereka mengalahkan saudara seibu seayah. Dini pantas mengambil tangan Ibu Rasyidah lalu dikucup lama.

“Terima kasih ibu…” tuturnya perlahan. Ibu Rasyidah duduk di sisinya lalu memeluk erat bahunya.

“Sama-sama. Tahniah sebab selamat melahirkan baby yang cute ni. Maknanya ibu dah jadi neneklah ya.”

Ibu Rasyidah mengangkat bayi yang masih dalam ikatan kain bedungnya. Wajah mulus yang putih bersih itu ditatap lama. Ada rasa bahagia di kotak hatinya walau tidak dapat dinafikan, sebahagian hatinya menyimpan rasa simpati dan kesal yang tidak berkesudahan.

“Iffa, kemas barang-barang Dini. Kita dah boleh keluar sekarang. Dini nanti ibu bantu turun katil perlahan-lahan ya. Jaga-jaga kaki tu.”

Ibu Rasyidah meletak bayi Dini sebentar. Dia turut membantu Dini turun dari katil.

SEJAM KEMUDIAN mereka selamat sampai di rumah. Di rumah teres dua tingkat itulah tempat Dini berteduh sejak dia kehilangan segala-galanya. Memang nasibnya masih dikira beruntung jika dibandingkan dengan gadis-gadis yang senasib dengannya. Kalaulah tidak ada Iffa dan Ibu Rasyidah, pasti hidupnya musnah sama sekali. Mungkin terus terbiar di lorong-lorong sepi tanpa ada yang sudi mengutip.

“Dini duduk di bilik bawah saja ya. Ibu dah kemaskan bilik itu pagi tadi. Orang dalam pantang tidak boleh banyak bergerak, apatah lagi turun naik tangga. Boleh kan?” tanya Ibu Rasyidah sambil memandang wajah bersih di hadapannya. Dini semakin banyak berdiam. Menjadi lebih pendiam daripada hari-hari sebelumnya.
“Dini tak kisah, ibu. Kat mana-mana pun Dini tak kisah. Asalkan ibu dan Iffa ada dekat dengan Dini.” Emosi Dini hiba tiba-tiba. Juring matanya terasa hangat. Keikhlasan dua beranak yang sanggup menerima segala kepayahannya, sungguh-sungguh menyentuh hati.

“Kami sentiasa ada dengan kau, Dini. Kami dah anggap kau macam keluarga kami sendiri. Kita hadapi semua ini sama-sama.” Iffa memeluk bahu Dini erat.

“Terima kasih Iffa… terima kasih ibu…” luah Dini terharu.

“Dah, jom berehat dalam bilik. Dini kena banyak berehat. Pulihkan semula tenaga yang dah hilang tu. Ibu nak ke dapur, tanak nasi.” Ibu Rasyidah beredar ke dapur. Sementara Iffa dan Dini berlalu masuk ke bilik.

“Kau kena banyak rehat. Jangan fikirkan yang bukan-bukan. Nanti kita sama-sama cari nama untuk baby boy yang cute ni ya.” Ujar Iffa sambil meletak bayi yang sedari tadi dalam dukungannya ke katil bayi yang diletakkan di sudut bilik. Dini duduk di birai katil. Kedua-dua belah kakinya terasa lenguh. Sengal seluruh tubuhnya belum surut lagi.

“Macam mana kita nak daftarkan nama dia Iffa, sedangkan surat nikah pun aku tak ada.” Luah Dini tiba-tiba. Menyimpan sebak dalam-dalam.

Lama mereka berpandangan. Masalah itulah yang selama ini membebani fikiran Dini. Apa butiran yang harus diisi dalam ruangan maklumat bapa dalam sijil kelahiran anaknya itu nanti.

“Kau tetap tak mahu beritahu dia? Dia ada hak Dini. Anak ini pun ada hak. Kita perlu beritahu dia.” Pujuk Iffa lembut.

Dini menekur lantai. Perdu hati diserbu pilu. Hak??? Hak apa yang mahu dituntut daripada lelaki itu???

Sekali dia diusir, tidak mungkin dia akan memunculkan diri lagi. Tidak untuk seumur hidupnya. Biar segala-galanya berkubur walaupun limpahan kasih sayang di rumah mewah itu sering kali menggamit ruang sepinya. Rasa rindu hanya mampu terkurung dalam bingkai pilu. Memang benar, apabila kita rasa rindu yang sangat dalam, barulah kita tahu seberapa besar makna dan erti seseorang itu bagi kita. Dini hanya mampu menyimpan rindu… pada umi dan pada abinya.

“Dini?”

“Dia tidak pernah mahukan hak itu, Iffa. Dia sengaja perangkap aku. Atas dasar apa… aku sendiri pun tak tahu.”

“Mungkin dia akan ubah fikiran apabila nampak anak ini. Mungkin hatinya akan lembut. Kita beritahu dia ya.” Pujuk Iffa lagi.

“Mungkin??? Mungkin Iffa? Aku tak sanggup maruah aku tercalar lagi dengan apa pun kemungkinan. Kalau dia dengan mudah menghancurkan hidup aku, aku sejuta kali tak ingin berdepan dengan dia lagi. Aku tidak ingin jumpa dengan dia lagi seumur hidup aku.”

“Dah tu, macam mana nak daftarkan kelahiran anak kau ni? Kau sanggup tengok butiran ‘maklumat bapa tidak diperoleh’ dalam ruang maklumat bapa dalam sijil kelahiran anak kau, Dini?”

Dini merenung wajah bayinya lama. Rasa pilu bersatu dengan rasa simpati terhadap bayinya sendiri. Maafkan mama sayang….

“Aku buntu, Iffa.”

“Kau tergamak biarkan anak kau dianggap anak tidak sah taraf sedangkan dia ada bapa yang sah, Dini?”

Pertanyaan Iffa yang agak keras membuat hati Dini tersentak. Jiwanya disagat lagi. Anak tidak sah taraf’? Dia meraup wajahnya berkali-kali. Rasa ngilu di hatinya lebih pedih daripada rasa sakit melahirkan semalam.

“Dahlah… kau rehat dulu. Kita bincang lain kali. Kita ada masa empat belas hari untuk buat keputusan tentang hal ini. Apa pun keputusan yang bakal kau ambil nanti, kau kena fikir tentang kebajikan anak kau, Dini. Bayi ini tak bersalah. Aku keluar dulu. Nanti aku ambil makanan untuk kau.”

“Tak payah layan aku macam tu. Aku boleh makan kat dapur saja nanti.”

“Mana boleh! Kau baru dua hari bersalin tau. Tak boleh banyak bergerak. Bentan nanti, kau jugak yang susah. Lagipun, kita masih muda. Banyak lagi perkara yang hendak kita buat. Kalau kau tak jaga diri kau sendiri, siapa lagi yang kau harapkan?”

“Baiklah cik doktor tak bertauliah. Saya ikut saja kata doktor, ya.” Jawab Dini dalam gurauan. Malas dia hendak mendengar leteran sahabatnya itu. Kalau dia membantah, lagi panjang leterannya nanti. Bernanah telinganya nanti. Bentan? Takut juga dia apabila memikirkan jika sakitnya datang semula.

Iffa berlalu meninggalkan Dini sendiri merenung masa. Terasa pantasnya masa berlalu. Seolah-olah baru semalam semua rentetan itu berlaku. Terkenang saat-saat akhir dia di rumah mewah Datuk Mazlan. Masih terbayang wajah luka arwah ibunya, saat peristiwa hitam itu singgah di celah-celah hidupnya.

Ampunkan Dini, ibu… rintih hatinya berkali-kali. Dini tak salah….

“KENAPA Dini sanggup buat ibu macam ni? Dini tak kesian kat ibu ke?” Suara arwah ibunya masih terdengar-dengar di deria dengarnya, menghiris luka hatinya hingga ke relung yang paling dalam. Hendak bernafas pun terasa sukar.

“Dini tak salah ibu. Dini tak buat apa-apa. Percayalah cakap Dini, ibu.”

“Macam mana ibu nak percaya Dini? Semua orang dalam rumah ini nampak apa yang Dini dan Rifqi buat. Sampai hati Dini buat ibu macam ni. Dini sedar tak kita hanya menumpang dalam rumah besar ini. Sampai hati Dini lukakan hati umi… hati abi.” Ibu Fatimah bersuara lirih.

Sesal datang bertimpa-timpa. Kalaulah dia tahu musibah ini akan berlaku, pasti tidak akan ditinggalkan Dini seorang diri di rumah tadi. Pasti akan dibawanya Dini menemaninya.

“Ampunkan Dini, ibu…” Dini memeluk ibunya erat.

Rasa kesal dan marah menunjal-nunjal kotak hatinya. Kalau diikut rasa hatinya, mahu sahaja lelaki itu ditampar dan diterajang dengan segenap rasa.

“Ibu tak boleh kata apa lagi, Dini. Esok lepas zuhur, Dini kena nikah dengan Rifqi. Abi sedang uruskan semuanya. Dini dah hampakan ibu, hampakan umi… dan semua orang yang sayang kat Dini. Puas hati Dini kan???” tempelak Ibu Fatimah lagi.

“Ya Allah ibu… tolonglah Dini, ibu. Dini tak mahu nikah dengan dia… dengan sesiapapun. Dini nak belajar lagi… keputusan SPM Dini dua bulan lagi ibu.” Meraung Dini dengan keputusan Datuk Mazlan, lelaki yang dipanggil abi olehnya.

“Ibu tak boleh buat apa. Ini keputusan Datuk dan Datin. Muktamad!”

“Ibu… ibu tolonglah pujuk umi dan abi. Dini tak mahu ibu. Tolonglah Dini ibu…” rayu Dini dalam sedu tangisnya dengan suara yang terputus-putus.

“Ibu dah cukup malu dengan apa yang terjadi. Ibu kecewa sangat. Dini keluarlah dari bilik ibu ini. Tinggalkan ibu sendiri.”

Ibu Fatimah naik ke atas katil. Merebahkan badan dalam keadaan menghereng lalu menutup seluruh tubuhnya dengan kain selimut. Dini tiada pilihan. Dia melangkah keluar meninggalkan ibunya yang sudah tidak mahu memandang wajahnya lagi.

TANGISAN BAYI membuatkan Dini kembali ke alam sedar. Dia mengesat sisa air mata yang masih berbekas di pipi. Menangis macam mana sekalipun, apa yang pernah dimilikinya satu ketika dulu, tidak mungkin dapat diraih kembali. Merintih macam mana sekalipun, ibunya tidak akan hidup kembali.

Hanya hitam
Menatap langit terukir gelap
Bintang pun turut enggan
Memberi cahaya walau sedikit
Terbiar hati dipujuk pedih

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/185103/dandelion-ditiup-angin