[SNEAK PEEK] CUTENYA DIA!

CUTENYA DIA! Oleh Azleya Shadzalin

1

NAURA cuba untuk bangun. Menyeringai wajahnya menahan sakit sambil menekan buku lali. Pergelangan kakinya berasa perit kerana tersadung akar pokok getah semasa berlari tadi. Dalam kepekatan malam, pandangannya memang terhad. Dia main redah saja ketika itu bagi menyelamatkan diri. Dia cuba untuk bangun lagi, tapi kesakitan yang dirasakan membuatkan dia terduduk semula. Sakit bercampur ngilu. Namun apabila terdengar bunyi ranting patah dipijak orang tidak jauh dari tempatnya jatuh, dia gagahkan diri untuk bangun.

Dalam kepayahan, dia memaut sebatang pokok getah bersaiz sepemeluk yang berhampiran dan cuba untuk bangun perlahan-lahan. Bibirnya diketap bersama wajah yang berkerut menahan sakit. Mengalir air matanya, tapi dia tidak berani untuk bersuara. Dia memejamkan mata untuk seketika. Dia bimbang jika dia mengaduh kesakitan, kedudukannya akan dapat dihidu. Musnahlah hidupnya nanti. Itu tidak boleh berlaku. Sebab itu, dia sanggup meredah kepekatan malam, berlari di kawasan kebun getah yang sunyi itu semata-mata mahu menyelamatkan diri.

“Aduh!” rengeknya perlahan ketika kaki mula digerakkan.

Dengan sisa tenaga yang ada, dia paksa dirinya untuk melangkah. Terjengket-jengket dia menapak sambil sesekali menoleh ke belakang. Takut juga kalau dirinya ditemui saat itu. Ada ketikanya, dia menyeringai menahan sakit yang terasa. Pasti pergelangan kakinya terseliuh kesan tersadung akar pokok getah tadi. Dalam kesakitan, dia berdoa di dalam hati. Moga ALLAH menyelamatkan dirinya. Mohon agar dia dilindungi daripada mereka yang berhati kejam.

Terlihat saja sinar cahaya terang beberapa meter di hadapan, dia mula mengukir senyum. Itu bermakna, jalan raya sudah tidak jauh lagi. Berhati-hati dia melangkah agar tidak terpijak ranting kering. Sedikit bunyi saja pasti menjanjikan bahaya. Sesekali, dia menoleh ke belakang, memastikan yang dirinya tidak dapat dijejaki.

Pantas saja dia berlari ke tengah jalan raya bila terlihat sorotan lampu kenderaan. Dia berdiri di situ sambil menggoyangkan tangan ke kiri dan kanan dengan harapan agar kenderaan itu berhenti. Dia tidak pasti jenis apa kenderaan itu. Dia memang sudah nekad. Dia akan menahan mana-mana kenderaan yang lalu nanti. Itu saja usahanya. Lagipun, hari sudah lewat malam benar. Mana mungkin ada lagi bas atau teksi yang lalu di kawasan itu.

BEBERAPA meter di hadapannya terdengar decitan tayar kereta yang agak kuat kesan daripada tekanan brek secara mendadak. Serta-merta Naura memejamkan mata sambil menekup telinganya. Wajahnya membiaskan riak ketakutan. Saat itu, baru dia terfikir bahawa tindakannya berdiri di tengah jalan begitu bakal mengundang bahaya. Dibuatnya pemandu kenderaan yang datang tidak perasan akan dirinya, pasti dia akan dilanggar pula.

“Hoi! Nak mati, ke? Apa hal berdiri kat tengah jalan malam-malam buta macam ni! Dah tak sayang nyawa, ke?” sergah pemandu kenderaan itu. Gema suaranya memecah keheningan malam.

Naura membuka sedikit matanya. Dari jarak yang tidak berapa jauh, Naura dapat melihat yang lelaki itu tajam merenungnya. Marah sangatlah tu!

Dalam kepayahan, dia cuba melawan pancaran cahaya lampu yang menyuluh wajahnya. Sedikit perit matanya melawan sinaran cahaya itu. Tangan kirinya dihadang di depan muka, cuba menghalang cahaya itu terus memanah matanya. Dari celah-celah jemarinya, dapat dilihat sebuah kereta Honda Civic Type-R berwarna hitam gagah menjalar di depannya.

“Encik, tolonglah saya, encik. Saya dalam kesusahan. Tolonglah saya, encik,” rayu Naura sayu. Sudah hilang rasa segannya saat itu.

Sehabis saja dia menuturkan ayat itu, kereta tadi mengundur seperti mahu meneruskan perjalanan. Kereta itu memintasnya melalui sebelah kanan. Naura hampa. Terasa lemah seluruh tubuhnya. Tapi, perasaan itu tidak lama. Dia tersenyum gembira bila kereta itu diparkir di bahu jalan. Enjinnya dimatikan dan lelaki itu keluar dari kereta, berjalan perlahan dan menuju ke arahnya.

“Apa kena dengan awak ni? Tahan kereta orang tiba-tiba. Dah tu, terpacak kat tengah jalan ni, apa hal? Nasib baik saya tak langgar awak tadi. Kalau tak, dengan saya sekali dapat susah.” Lelaki itu bersuara sambil bercekak pinggang.

Wajahnya agak tegang. Mungkin marah dengan tindakan Naura tadi. Ah! Apa dia peduli. Nak marah, marahlah… Tapi, mata itu jagalah sikit. Janganlah tenung orang macam hendak membunuh. Renungan tahap beku tu!

“Encik, bawalah saya pergi dari sini. Saya nak keluar dari tempat ni. Tolonglah saya, encik,” rayunya lagi sambil matanya melilau.

Tangannya menggoncang lengan lelaki itu, minta dikasihani. Pertanyaan lelaki itu hanya dibiarkan sepi. Kerisauannya tidak pernah reda selagi dia belum dibawa keluar dari kawasan itu. Macam-macam boleh jadi.

“Saya tanya, awak tak jawab lagi. Apa hal pulak saya kena bawa awak keluar dari sini? Kenal awak pun tak.” Agak keras nada suaranya.

“Nanti saya ceritalah pada encik. Tapi sekarang ni, bawalah saya pergi dulu. Tolonglah saya, encik. Tolonglah saya…” katanya lagi, masih menggoncang lengan lelaki itu, mohon pengertian dan simpati.

Lelaki itu memandangnya dari atas ke bawah. Tajam.

Aduh! Ini yang lemah ni. Apa hal main ‘usha’ orang atas bawah? Bukannya makhluk asing pun. Oranglah ni!

Lelaki itu masih memandangnya. Matanya dikecilkan sedikit. Mungkin pelik melihat keadaan Naura yang agak tidak terurus dan terdapat kesan lebam serta luka kecil di beberapa bahagian tangannya. Baju yang dipakainya juga ada kesan terkoyak di bahagian bahu. Lepas itu, dia melihat Naura berjalan terjengkit-jengkit tadinya.

“Apa yang berlaku pada awak sebenarnya? Sorang-sorang jalan tengah malam kat kawasan sunyi macam ni, tak takut ke?” tanya lelaki itu lagi sambil memerhati kawasan sekeliling.

Di kiri dan kanan mereka hanyalah terlihat kebun-kebun getah dan sawit yang sunyi. Nasib baik perempuan yang diherdiknya itu menjawab bila ditanya. Nyatalah dia seorang manusia. Jika dibuatnya dia hanya senyap dan tunduk, tapi tiba-tiba mengangkat muka dengan mata yang merah menyala, serta muka yang sudah bertukar warna, tidakkah haru-biru jadinya?

Belum pun sempat Naura menjawab, mereka terdengar suara bising-bising tidak jauh dari situ. Naura jadi gelabah tiba-tiba. Riak wajahnya bertukar ketakutan. Pantas ditarik lengan lelaki itu agar masuk ke keretanya. Lelaki itu jadi bingung. Tapi, dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana Naura sedikit menghimpit dan menghalang laluannya.

“Cepat, encik… kita pergi dari sini. Cepat! Tolonglah…”

“Hei, apa ni? Awak ni kenapa? Janganlah macam ni, nanti orang kata kita buat tak senonoh pula!” sahut lelaki itu sambil cuba menepis tangan Naura yang memegang tangannya. Naura sedaya upaya merayu agar lelaki itu membawanya secepat mungkin.

“Encik, tolonglah bawa saya pergi dari sini. Tolonglah…” rayunya lagi. Kali ini, air matanya sudah deras menuruni pipi. Tanpa sedar, Naura membenamkan wajahnya di dada lelaki itu sambil terus menangis hiba.

Lelaki itu tergamam. Timbul pula rasa simpatinya. Jika gadis ini tidak berada di dalam kesusahan, pasti dia tidak akan merayu sambil menangis begitu.

“Okey, kita keluar dari sini. Awak jangan macam ni. Saya tak selesa…” pujuknya lembut, cuba meredakan hati Naura.Namun, belum sempat mereka bergerak meninggalkan tempat itu, tangan Naura tiba-tiba ditarik kasar oleh seseorang. Hampir terjatuh Naura dibuatnya kerana tidak dapat mengimbangi diri. Lelaki tadi pula, terus ditarik keluar dan tersandar di keretanya sambil dikawal oleh beberapa orang yang lain.

“Eh! Apa ni?” soal lelaki itu sambil meronta-ronta minta dilepaskan. Kedua-dua tangannya dipegang kemas tika itu.

“Oh! Ni kerja kau ya, Naura? Buat perkara tak senonoh kat sini. Dengan orang luar pula tu! Kau tak tahu malu, ke?”

“Kau jangan nak tunjuk baik pula! Kau tu yang jahat! Kau nak tuduh aku pula! Kalau tak sebab kau, aku tak jadi macam ni, tau!” tingkah Naura bersama marah yang amat. Sudah tidak terbendung lagi kemarahannya saat itu. Melihat wajah Taufik, bagai melihat wajah syaitan bertopengkan manusia. Sakit hatinya.

“Apa pula aku? Ada ke bukti kau nak tuduh aku? Sekarang ni, kau dengan siapa? Aku atau lelaki ini? Siapa lelaki ni, Naura? Kekasih kau? Patutlah kau selalu keluar malam. Ini yang kau buat rupanya, ya? Memalukan keluarga!” jerkah Taufik, angkuh.

Bulat mata Naura memandang Taufik yang lantang menuduh dia.

“Apa ni, saudara? Jangan main tuduh-tuduh kalau tak ada bukti. Kami tak buat apa-apa pun,” bela lelaki itu bila dia dibabitkan sama dalam hal itu. Dia sudah dapat menghidu sesuatu kurang elok saat itu.

Paling dikesalkannya, secara tidak langsung dia terlibat sama. Inilah dia cari bala namanya. Kalau dia tidak berhenti tadi, pasti tidak terlibat dengan permasalahan ini. Aduh!

“Main tuduh apa pula! Dah jelas aku dengan kawan-kawan aku nampak kau orang berdua aje kat sini. Tempat sunyi, gelap pula tu. Dalam keadaan yang mencurigakan dalam kereta sambil bersentuhan. Pegang-pegang, peluk-peluk. Ni, baju Naura sampai koyak ni. Kau buat apa? Itu bukan bukti, ke? Imam, tengoklah sendiri. Betul tak apa yang Fik cakapkan tadi. Naura buat ‘hal’ kat kampung kita ni. Dia nak malukan kita semua.”

Imam terdiam buat beberapa ketika. Dia hanya memandang Naura dan pemuda itu silih berganti. Riak wajahnya tidak membayangkan apa-apa. Marah tidak, setuju pun tidak. Hanya bersahaja. Namun, di benaknya pasti segalanya berputar bagaikan roda. Menjana dan menimbal balik apa yang didengar dan dilihat dengan mata.

“Dahlah, Fik. Kita bawa mereka ni ke rumah aku dulu. Biar aku yang putuskan apa yang nak dibuat dengan mereka berdua ni,” putus pak imam akhirnya.

Kawan-kawan Taufik yang lain hanya menganggukkan kepala tanda setuju. Taufik juga turut mengangguk.

Naura sudah rasa lemah lutut. Apa saja yang akan dia katakan saat itu, pasti tidak akan meraih perhatian sesiapa. Malah, kesalahan tetap memihak padanya. Silapnya juga. Tanpa sedar, dia dan lelaki itu sudah ‘bersentuhan’. Dia hanya cuba meluahkan keresahan. Walaupun dia tiada niat lain, tapi apa yang dilihat oleh orang, mereka telah melakukan kesalahan.

“NAURA tahu tak, apa yang Naura buat ni salah dan memalukan keluarga? Naura tu perempuan. Duduk berdua-duaan dalam kawasan sunyi dan gelap, apatah lagi dalam kereta macam tadi itu boleh menimbulkan syak. Tengok keadaan Naura macam ni, dengan baju yang terkoyak, lagilah tak elok, Naura.” Lembut Pak Cik Leman bertanya sekali gus menasihati anak saudaranya.

“Naura dengan dia tak buat apa-apa pak ngah, imam. Naura cuma nak minta tolong daripada dia. Memang Naura yang tahan kereta dia tadi, tapi kami tak buat apa-apa. Pak ngah patut tanya pada Taufik, apa yang dia nak buat pada Naura? Bukan tuduh Naura dan orang tu. Dia tak bersalah,” jawab Naura dalam esak tangis yang tidak mampu dikawal lagi. Sesekali matanya tajam menjeling Taufik yang tersenyum sinis.

“Hei, apa hal pula nak tanya aku? Dah nyata kau ada dengan dia masa tu, aku pula yang kau tuduh. Janganlah kau nak sembunyikan perangai buruk kau tu, Naura,” sindir Taufik. Sinis.

“Ha’ah. Kita orang pun nampak,” sokong kawan-kawan Taufik pula.

Tok imam tekun mendengar sambil mencelah sesekali.

“Kamu semua nampak ke dengan mata kepala sendiri yang anak aku ni lakukan perkara tak senonoh dengan lelaki ni? Apa yang kamu nampak? Ada kamu nampak mereka buat ‘apa-apa’ yang mencurigakan?” Mak Munah bersuara, membela Naura. Matanya dijeling ke arah Taufik. Tajam.

Taufik menunduk. Kawan-kawannya juga.

“Eh! Mak Munah ni… Dah sah-sah kami nampak Naura dengan budak lelaki tu berpelukan dalam kereta. Bukan nak buat perkara tak senonoh ke macam tu?” jawab salah seorang kawan Taufik.

Naura dan lelaki itu serentak memejamkan mata apabila mendengar tuduhan itu.

“Kalau ibu tak percaya, tanyalah imam. Imam sendiri nampak apa yang kami nampak. Memang memalukan!” tokok Taufik pula.

Mak Munah mencerun memandang Taufik.

“Kau, Taufik! Sepatutnya sebagai abang, kau melindungi adik kau ni. Tapi, kau pula yang nak menuduh dia beria-ia. Naura ni kau jadikan mangsa melepaskan kemarahan kau kalau kau tak dapat duit, kan? Sebab nak beli benda haram tu, sanggup adik sendiri kau pukul sampai berbirat badan dia. Lebam-lebam kau kerjakan. Ibu memang tak boleh nak buktikan apa-apa, tapi ALLAH tu Maha Mengetahui.”

“Ibu tak boleh tuduh Fik. Dah terang anak dara ibu yang menggatal dengan orang luar ni. Apa kena-mengena dengan Fik pula?”

“Ibu yang suruh Naura lari. Kau pun tahu apa sebabnya, kan?”

“Ibu cakap apa ni?” Suara Taufik sudah tersekat-sekat. “Naura dah buat tak senonoh pun, ibu masih nak sebelahkan dia lagi, ke? Ibu ni, kenapa? Kalau Fik nak tuduh dia tanpa sebab, kenapa pula lelaki yang entah dari mana asal usul ni ada dengan Naura kat tempat sunyi tu? Naura tu tinggal nak larikan diri aje tadi tu, ibu. Nasib baik Fik dapat tangkap mereka. Kalau tak, malu besar kita semua,” tokoknya lagi, melindungi diri.

“Ibu tahu apa yang berlaku. Ibu tahu Naura dan budak lelaki tu tak bersalah. Ibu tahu semuanya. Mungkin hari ni nasib tak menyebelahi Naura. Tapi, ibu tahu lepas ni hidup dia lebih aman jika dia jauh daripada kau, Fik.”

Sejak sampai di rumah tok imam tadi, keadaan sudah kecoh walaupun hanya keluarga Naura dan beberapa orang kawan Taufik yang ada pada ketika itu. Suara tingkah meningkah tidak henti-henti dari tadi. Paling kuat suara Taufik. Dia tetap menuduh Naura sudah melakukan perkara tidak elok dengan lelaki itu.

“Cukup! Dah, jangan nak menyalahkan satu sama lain. Kamu semua ni bukan orang lain. Anak-beranak juga. Macam nilah, ya. Aku ni sebagai orang tua, imam pula tu, bukan nak menyalahkan sesiapa. Tapi, kalau ikut apa yang aku nampak, ditambah pula dengan cerita oleh saksi-saksi yang melihat, Naura tetap dianggap telah melakukan kesalahan kerana berdua-duaan dalam keadaan mencurigakan.

Sebenarnya, keadaan mereka tu sudah boleh mengundang prasangka dan memalukan walaupun mereka kata tak buat apa-apa. Keadaan mereka mencurigakan. Tuduhan tetap ada. Kamu tahulah mulut orang, kan? Jadi, macam mana pada pendapat kau Munah, Leman? Kalau ikutkan aku, baik kita nikahkan saja budak berdua ni. Selain nak tutup malu kamu sekeluarga, perkara ini sudah boleh dianggap selesai. Lebih elok begitu dari nanti akan menimbulkan fitnah.”

“Tapi, pak imam… Naura tak buat apa-apa dengan dia! Naura berani bersumpah,” katanya sebak dalam esak tangis yang tidak mampu ditahan-tahan lagi.

Punah jiwannya mendengar usulan daripada imam itu. Bak hukuman yang tidak adil buatnya. Dia berpaling kepada ibunya pula.

“Ibu, tolonglah Naura, ibu! Naura tak nak nikah dengan sesiapa. Kenapa hukum Naura macam ni? Kenapa semua orang tak nak percaya cakap Naura? Naura tak salah,” rintih Naura masih dalam esak tangis.

Sayu Mak Munah mendengar rintihan anaknya. Naura sudah hilang punca bila soal nikah dibangkitkan. Dia belum bersedia untuk ke arah itu. Dia masih terlalu muda. Baru hendak masuk 20 tahun umurnya. Banyak lagi yang harus dia kejar dalam hidupnya. Impiannya pun masih belum tercapai. Janganlah musahkan hidupnya begini.

“Imam, anak aku tak salah.”

“Munah, dalam keadaan macam ni susah kita nak tentukan siapa salah, siapa benar. Kita ada saksi. Ada bukti. Biarlah kita nikahkan Naura dengan budak ni. Itu lebih elok daripada kita biarkan cerita ni jadi fitnah dan melarat-larat pula nanti.”

Naura meluru ke arah lelaki itu tiba-tiba. Dipandang wajah lelaki itu minta pengertian sebelum bersuara.

“Awak… cakaplah apa yang mereka fikir tadi tak benar. Beritahu mereka semua yang kita tidak melakukan perkara seperti mana yang mereka fikirkan. Beritahulah, awak…” rayu Naura sayu.

Beberapa minit berlalu, namun lelaki itu masih sepi. Enggan bersuara. Sekali lagi Naura memandangnya dengan pandangan yang sayu. Lelaki itu membalas pandangannya, tapi dia masih juga begitu. Sepi. Naura putus harap. Perlahan-lahan dia menjauh. Keengganan lelaki itu menceritakan apa yang sebenarnya terjadi bagai menutup jalan keluar buat Naura. Dia menunduk. Demi terpejam saja kelopak matanya, titis-titis air jernih itu kembali deras berlumba-lumba membasahi pipinya.

Pak imam memandang lelaki yang bersama Naura tadi agak lama.

“Kamu tinggal di mana? Bagaimana kamu boleh berada di sini?” tanya imam pada lelaki itu bila kesepian seakan beraja.

Lelaki itu menghela nafas.

“Saya dari Kuala Lumpur, imam. Ada kerja sikit di kawasan sini,” jawabnya tenang.

“Kerja apa? Kerjakan anak dara orang?” jerkah Taufik.

“Taufik! Biar aku yang bercakap. Kamu jangan keruhkan lagi keadaan,” tegas imam. Geram juga dia dengan Taufik. Asyik mahu menyalahkan orang lain saja.

Imam menumpukan kembali perhatian kepada lelaki itu.

“Jadi, macam mana? Setuju ke kamu kalau aku nikahkan kamu dengan Naura? Sebelum kamu jawab, aku nak beritahu kamu satu perkara. Aku dah dengar dan lihat semua yang berlaku. Aku bertanya, bukan memaksa. Keputusan di tangan kamu, jadi apa jawapan kamu?”

Semua mata tertumpu kepada lelaki itu. Lama baru dia menjawab.

“Ya, pak imam. Saya setuju,” ringkas jawapannya.

Naura merasakan dunianya gelap tiba-tiba. Terasa lemah seluruh tubuhnya. Jawapan ringkas lelaki itu begitu memeranjatkannya. Juga yang lain. Tidak ada pembelaan langsung daripada pihaknya. Tanpa ada kata-kata penafian dan sebagainya. Dia hanya bersetuju saja. Tadi pun, dia hanya bercakap ketika ditanya. Selebihnya dia hanya menjadi pendengar setia. Tenang tanpa ada riak apa-apa. Sesekali saja terlihat kerutan merentangi dahinya. Selebihnya, dia banyak mencuri pandang ke arah Naura dalam diam.

“Hmm, eloklah macam tu. Esok pagi, aku uruskan apa yang patut dengan pejabat agama. Buat sementara waktu, kamu tinggal di rumah aku. Jangan ke mana-mana.”

Lelaki itu hanya menjawab dengan satu anggukan. Tanda dia faham apa yang pak imam katakan. Satu arahan sebenarnya.

Ku meniti awan yang kelabu
Ku tempuhi lorong yang berliku
Mengharap sinaran menerangi
Kegelapan ini…

(Pelangi Petang ~ Sudirman Hj. Arshad)

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/165995/cutenya-dia