[SNEAK PEEK] CINTA BATU GILING

9789674462345-medium

EBUKU Cinta Batu Giling Oleh Ainon Zaini Zakaria

AYAT terakhir yang Aldir taip di kotak chatting Facebook berbaur merajuk. Pada mulanya, Hanim fikir Aldir main-main tetapi apabila Aldir terus menyepi, barulah Hanim yakin lelaki itu memang benar-benar merajuk.
Apa yang boleh Hanim buat? Sampai hari ini, Aldir masih menunjukkan rajuk. Betulkah dia merajuk? Lelaki pun pandai merajuk? Bisik Hanim, masih tertanya-tanya walaupun sudah yakin Aldir memang merajuk.
Udara di luar terasa sejuk. Sesejuk perasaan Hanim yang sepi. Merajuk? Mudahnya lelaki merajuk. Bagaimana mahu memujuk lelaki yang mudah merajuk? Hanim menjeling seketika skrin laptop. Berharap ada tanda isyarat dirinya dihubungi semula, namun hampa. Kosong dan sepi di situ.

I nak you, you nak I?

Apabila diingat ayat Aldir begitu, Hanim berasa indahnya dunia ini. Mereka berdua memang sering berbicara indah di Facebook. Aldir sering luahkan perasaan sayang pada Hanim dan Hanim juga akan balas begitu. Indahnya ketika mengatur bicara di Facebook. Lupa sekeliling dan lupa rasa mengantuk ketika chatting ketika jauh malam. Berbalas ayat cinta di Facebook buat Hanim sering tersenyum-senyum.
Hanim berasa betapa indahnya hidup ini. Betapa beruntungnya dia dipertemukan dengan Aldir di alam maya. Biarpun belum pernah bersua, tetapi Hanim sudah merasakan lazatnya dunia percintaan bersama Aldir. Lelaki itu sering curahkan ayat memancing hati Hanim.

I betul-betul dah sayang kat you. I nak you. I harap
you pun nak kat I.

Tulisan Aldir di Facebook buat Hanim jadi mamai dan gila bayang melayang-layang.
“Percayalah, I dah betul-betul cinta kat you. I janji akan kahwin dengan you,” ujar Aldir, bersambung di telefon pula buat Hanim benar-benar yakin yang lelaki itu bercakap benar.
“Awak tak kenal saya betul-betul, macam mana boleh kata sayang dan cinta?” soal Hanim, pura-pura tidak berasa apa-apa. Sedangkan setaman bahagia sudah mekar di dada.
“I tak kisah. Hati I dah kata suka kat you. I betul-betul suka dan sayang kat you. Cinta suci dah berkembang dalam dada I ni. Cinta I untuk you dah penuh satu dunia. Percayalah,” jawab Aldir dengan nada romantik.
Cinta Aldir penuh satu dunia untuk Hanim. Hanim melompat bahagia tidak terkata. Indahnya dunia apabila diri disayangi dan dicintai. Nilai cinta Aldir satu dunia. Hanim yakin, Aldirlah calon tepat teman hidupnya. Ya, tidak diragui lagi. Pasti dia mahu jumpa dengan Aldir, kekasih Facebooknya itu.
Punca Aldir merajuk mungkin kerana alasan begini. Lama mereka berchatting sehinggalah Aldir mahu bertemu dengan Hanim. Hanim kata malu. Mahu nombor telefon, Hanim kata nanti dulu. Nantilah, malulah dan sebagainya.
Lama-lama apabila Hanim sering mengelak, Aldir kata dia merajuk. Ketika itu Hanim fikir Aldir sekadar bergurau, tetapi apabila Aldir tunjukkan sikap merajuk tanpa mahu menyapanya seperti selalu, barulah Hanim sedar, Aldir memang betul-betul sedang merajuk.
Ketika itu barulah Hanim memberikan nombor telefonnya. Setelah sering berbual di telefon, Aldir tetap ingin berjumpa. Apabila Hanim kata malu dan sering mengelak lagi, sekali lagi Aldir merajuk tanpa mahu menelefon Hanim dan tidak mahu chatting di Facebook lagi. Ketika itulah sekali lagi Hanim terpaksa beralah dan setuju untuk bertemu. Apakah hasil pertemuan mereka?

I nak you, you nak I?

Sekali lagi Hanim ingat ayat keramat Aldir, buat Hanim yakinkan diri untuk bertemu lelaki itu. Pasti Aldir lelaki baik dan tidak akan mempermainkan atau mengambil kesempatan pada perempuan. Sepanjang mereka berkawan di Facebook dan di telefon, ternyata ayat dan kata-kata Aldir penuh ikhlas dan jujur.
Ya, nak! Saya nak awak, bisik hati Hanim dengan perasaan mekar berbunga. Mereka akan berjumpa, tetapi sebelum itu Hanim mahu cakap satu perkara dulu pada Aldir. Perkara apa?

“ADA ke patut aku ni nak kahwin dengan dia? Aku yang masih muda dan bujang trang tang tang, tentulah aku nak yang muda jugak, masih gadis dan yang penting, cantik,” ujar Aldir, meluahkan isi hati sambil memandang Fahrin di sebelahnya.
Fahrin ketawa terkekeh-kekeh. Wajah sahabatnya itu dilihat begitu serius.
“Apa salahnya kalau dah tu takdir kau?” ujar Fahrin kemudian ketawa terkekek lagi.
“Err…” ujar Aldir, menggeletar bibirnya menandakan tidak rela.
Hampir terbalik gelas di atas meja ketika tangannya turut sama berputar.
“Kalau cakap jujur dari awal, tak apalah jugak. Ni tak. Berbulan-bulan aku layan kerenah dia. Tahu-tahu, dah ada anak. Suami dah tak ada,” ujar Aldir, berhenti sambil menarik nafas geram.

“Aku rasa tertipu dan diperbodohkan. Aku ingatkan anak dara 17, ayat sikit punya jiwang karat. Sengal kepala otak aku ni membaca setiap kali dia tulis ayat. Sampai aku naik tak faham walaupun baca berulang-ulang,” komen Aldir sambil mengerlip mata tanda kecewa sungguh.
“Berapa umur dia?” soal Fahrin sambil menahan geli hati mendengar nasib sahabat yang seorang ini.
“Dalam 25 tahun, macam tulah ikut maklumat kat FB dia tu. Tapi entah-entah umur dah cecah 50. Bukan betul perempuan sekarang, muka nampak muda sebab botok sana sini, tapi bila check IC, dah 60 tahun,” gumam Aldir, penuh kecewa memberat di dada.
“Macam mana kau confirm sangat yang dia tu dah ada anak?” soal Fahrin sambil angkat kening.
“Dia cerita kat akulah tadi. Kat Facebook,” keluh Aldir sambil mengusap kepala bagaikan ada masalah perniagaan berjuta-juta.
“Kau dah jumpa dia?” soal Fahrin lagi.
“Nak jumpa macam mana? Dulu, minta nombor telefon pun tak bagi, apatah lagi nak jumpa. Kusut betul aku dibuatnya. Sekarang, dah dapat nombor telefon dan biasa sembang, tapi tiba-tiba dia buka rahsia dirinya pulak. Eh, aku naik hairanlah,” keluh Aldir sambil mempamerkan wajah kusut dan kecewa.
“Kenapa dia boleh cerita yang dia tu ibu tunggal anak seorang?” soal Fahrin, semakin berminat ingin tahu.
“Entah, tiba-tiba aje dia cerita kat aku. Aku pun tak faham kenapa tiba-tiba dia buka cerita tu,” keluh Aldir lagi.
“Kau pujuklah dia baik-baik, suruh dia cerita hal sebenarnya. Aku rasa, dia saja nak uji kau. Takkan tu pun kau tak tahu. Kau kan dah biasa dengan kerenah macam-macam perempuan. Sampai sekarang tak kahwin-kahwin kerana terlampau memilih Miss Perfect,” nasihat Fahrin, sekali gus menyindir.
“Eee… cakap baik-baik sikit. Bab kahwin lambat tu betul, tapi bab macam-macam perempuan tu yang salah, ya!” marah Aldir sambil membulatkan mata.
“Ya ke?” ujar Fahrin, tergelak kuat.
“Kau pun sama nak naikkan darah aku?” marah Aldir.
“Tulah masalahnya kau, cepat marah. Mana perempuan nak lekat. Seram dia orang. Kau tengok macam aku, cool and romantic,” ujar Fahrin, tergelak membuatkan Aldir membulatkan mata.
Teh tarik yang tinggal separuh dihirup sampai habis. Itulah minuman kegemaran Aldir. Kalau tidak dapat teh tarik sehari, memang hidupnya bagaikan tidak cukup syarat. Kawan kepada teh tarik, pastilah roti canai.
Sambil mengunyah roti canai, Aldir melirik wajah Fahrin yang telah beristeri empat. Buat Aldir tertanya-tanya apakah ilmu yang Fahrin pakai sampai empat orang isterinya? Fahrin bukan lelaki jutawan, sekadar berniaga direct selling tetapi dapat isteri semuanya berjawatan tinggi dan cantik-cantik belaka. Dia pula untuk mencari seorang isteri pun terkial-kial hingga kini. Ada sahaja masalah yang mengganggu usahanya.
“Umur kau dah 35, aku dah empat orang isteri. Kau tu usahakanlah cepat,” nasihat Fahrin, serius.
“Ingat aku tak usaha?” soal Aldir, hampir naik angin.
Terasa sahabatnya itu merendah-rendahkan usahanya.
“Yang kau pergi mengurat kat Facebook tu apa hal? Kalau nak mengurat, carilah tempat yang betul. Ni hah orangnya, boleh turunkan ilmu nak mengurat perempuan,” ujar Fahrin sambil menepuk dada berkali-kali dan kemudian ketawa.
“Aku bukan mengurat, aku cuma nak kenal-kenal aje dulu,” ujar Aldir sambil menoleh ke luar restoran. Cuba membuang bisa panas yang meruap dalam hati.
“Kalau dah pening sangat, buatlah Solat Istikharah, minta TUHAN beri petunjuk. Yang kau minta petunjuk kat Facebook tu apa ke hal? Mengurat kat situ pulak,” serang Fahrin.
“Eh, kau nampak tak penumbuk aku ni? Cuba kau beritahu. Kau nak rasa ke? Dalam FB aku tu ramai kawan, saudara mara, adalah seorang dua orang luar yang tersesat kat situ, termasuklah Hanim sesat tu!” ujar Aldir sambil mengerdipkan mata menahan geram.
“Yalah tu, saudara mara dan kawan-kawan kau dah beribu tu, ha…ha…ha…” ujar Fahrin, tergelak.
Aldir menarik nafas geram. Sabar…sabar… Kalau ikut hati, pasti Fahrin sudah lama makan buku limanya malam itu. Ada-ada sahaja kata-kata Fahrin yang menyakitkan hatinya.
“Yalah, betullah apa yang aku cakap. Bila dah namanya Islam, bermakna saudara aku jugaklah,” tingkah Aldir.
“Yalah tu,” ujar Fahrin kemudian ketawa meleret.
“Aku tak ada masa nak buat kerja sia-sia. Kau pun tahu aku selalu sibuk, kan?” tekan Aldir dengan nada serius.
“Yalah, tauke restoran turun-temurun. Aku sedia maklum, tapi dalam bab teman hidup, jangan kau yang mulakan turun-temurun pulak,” sakat Fahrin, tergelak.
“Aku tak faham. Apa maksud kau?” soal Aldir.
“Maksud aku, jangan kau yang pertama mulakan kahwin lambat atau tak kahwin langsung,” jawab Fahrin, serius.
“Aku dah usaha tapi tak pernah menjadi. Jodoh belum sampai, nak buat macam mana lagi?” tempelak Aldir.
Sengal hatinya apabila mengingat hal jodoh.
“Teruskan usaha, adalah nanti. Jangan putus asa, kau bukan tua mana pun,” ujar Fahrin sambil menepuk bahu Aldir, memberi semangat penuh ikhlas.
“Tahu tak apa. Ingat aku ni mudah putus asa ke?” tingkah Aldir.
Fahrin tadah tangan tanda isyarat menyerahkan segala keputusan kepada sahabatnya itu. Malam kian meningkat usia dan bintang penuh di dada alam.

****

HANIM berasa payah hendak lelapkan mata apabila terasa dirinya dipinggirkan. Malah, berasa terhina pula. Apalah kesalahannya sehingga dia begitu dibenci Aldir? Salahkah mereka bertemu? Lagipun, Aldir yang mahu sangat mereka bertemu. Dulu, nombor telefon pun Hanim kedekut untuk beritahu Aldir. Kini, semuanya Aldir sudah tahu. Malah, sebelum bertemu dulu, mereka sering berhubung melalui telefon. Kini?
Saya tak boleh lupakan awak, tak boleh tinggalkan awak dan tak boleh ikut awak. Hanya boleh lihat awak dari jauh. Kat FB aje, sebab rindu. Salah ke? Kenapa awak benci sangat kat saya sedangkan sebelum ni kita kawan baik? Sekarang, awak tak sudi lagi menyapa atau menyahut sapaan, rintih Hanim dalam hati.
Teringat waktu pertemuannya dengan Aldir pagi semalam. Pada hari minggu yang indah di Taman Tasik Shah Alam. Hanim menanti dengan sabar di dalam wakaf di tepi tasik. Sambil menanti, dia mencampakkan cebisan roti ke dalam tasik. Riang hatinya melihat banyak ikan berkerumun di situ. Lama menanti, tidak terasa kerana leka melihat ikan-ikan itu. Selebihnya, dia memberi ikan makan bertujuan menutup perasaan debar untuk pertemuan pertama dengan lelaki yang dikenali di Facebook.
Sedang Hanim leka memberi ikan makan, sebuah ucapan salam menyapa telinga. Ketika dia menoleh, terlihat seorang lelaki bertubuh segak, berkulit cerah dan kelihatan manis sedang berdiri di hadapannya. Dalam perasaan berdebar dan malu, Hanim menyahut perlahan ucapan salam itu. Kalau mengikut gambar di dalam profil Facebook lelaki itu, sah dia adalah Aldir.
“You Hanim?” soal Aldir dengan nada serius.
“Ya, saya. Awak Aldir?” soal Hanim dengan sopan.
Aldir cuma mengangguk sambil memerhatikan Hanim dari atas ke bawah berulang kali. Hanim berasa tidak selesa. Sampai hati Aldir memperlakukannya begitu. Macamlah dia pesalah buruan polis.
“Hmm…” keluh Aldir.
“Kenapa?” soal Hanim.
“Hah? Tak ada apa-apa,” jawab Aldir.
Matanya meliar memandang ke tempat lain.
“Awak datang seorang?” soal Hanim.
“Yalah, nampak seorang aje kan?” jawab Aldir, cepat-cepat sambil merenung tajam wajah Hanim.
Hanim gelisah. Pelik dengan lelaki ini. Nampak keras sahaja wataknya. Langsung tidak nampak sifat romantik. Sedangkan semasa chatting bukan main manis lagi ayatnya. Kini? Betulkah dengan lelaki ini dia selalu chatting? Macam garang sahaja.
“You datang dengan siapa?” soal Aldir sambil mengukir sejuring senyuman.
“Seoranglah,” jawab, Hanim tidak senang.
Aldir masih memerhatikan seluruh tubuhnya. Sakit hati Hanim dibuatnya.
“Kenapa pandang saya sampai macam tu?” soal Hanim, memberanikan diri bertanya dengan nada geram.
Aldir tidak membalas, cuma menarik nafas sambil membuang pandang ke arah tasik yang nampak tenang dan indah. Kelihatan kawanan angsa putih sedang berenang di tepian pulau kecil di tengah tasik.
“Saya suka datang sini. Cantik tempat ni,” ujar Hanim, cuba menghidupkan suasana dingin itu walaupun hatinya berasa tidak aman.
Aldir pula duduk di atas kerusi panjang dalam wakaf itu. Wajahnya masih serius. Sungguh, Hanim tidak menduga begitu watak sebenar Aldir. Serius bukan main. Sedangkan lelaki yang dikenalinya di Facebook begitu cool dan peramah. Hmm… gatal pula lidahnya untuk bertanya.
“Betul ke awak ni Aldir?”
Spontan Aldir menoleh sambil mengerutkan dahi.
“Kenapa tanya soalan macam tu?”
“Kat FB, awak lain. Peramah. Tapi sekarang…”
Aldir mengukir senyuman.
“Macam nilah diri I yang sebenar,” jawab Aldir, bingkas bangun.
“Eh, awak nak pergi mana?” soal Hanim dengan nada manja.
“I tak boleh lama ni, kena pergi dulu,” jawab Aldir, ringkas.
“Beria-ia awak nak jumpa saya, macam ni aje? Jumpa kejap, dah nak pergi?” ujar Hanim dengan nada merajuk.
Dia sudah terbiasa mengatur ayat merajuk pada Aldir di Facebook.
“I banyak kerja,” ujar Aldir, beri alasan.
“Kerja awak berperang ke? Sampai tak sempat nak belanja saya,” ujar Hanim, menuntut janji Aldir yang mahu belanja dirinya.
Aldir merenung wajah Hanim agak lama. Dia berasa mahu ketawa, geli hati. Begini rupanya gadis yang selama ini buat ayat manja dengannya di Facebook.
“Janji tau,” tuntut Hanim lagi.
Aldir mencebik sambil berfikir seketika. Dia pun belum sarapan lagi. Tidak mengapalah makan sekali dengan ‘gadis idamannya’ ini. Buat pertama kali dan pastinya untuk terakhir kali juga. Soalnya, Hanim gadis atau… bisik hati Aldir, tidak jadi menghabiskan ayatnya.

Aldir mengangguk dan mencebik sambil merenung wajah Hanim.
“Okey, jomlah,” ajak Aldir sambil melemparkan senyuman.
Lawa jugak bila dia senyum. Tapi kenapa dia kedekut sangat nak senyum tadi? Soal Hanim dalam hati.
“Haa… macam tulah,” ujar Hanim, gembira.
Hanim puas hati dan mengikut langkah Aldir dari belakang. Aldir berjalan laju. Penat Hanim mengikut langkah lelaki itu. Bukan senang dia hendak berjalan laju macam Aldir.
“Awak! Awak kembar LRT ke?” soal Hanim.
Serta-merta Aldir berhenti melangkah.
“Lajunya awak jalan. Awak kembar LRT ke?” soal Hanim lagi.
Aldir tersenyum sedikit dan melangkah semula sambil mencebik. Kenapalah malang nasibnya hari ini? Jumpa si kiut tembam begitu. Bukan Hanim tidak cantik, cuma badan besar bukan cita rasanya. Itu sahaja. Aldir tetap yakin, tidak salah untuk dia memilih. Itu hak asasi setiap manusia.
Mereka berdua makan di sebuah restoran makanan segera. Hanim yang telah mesra dengan Aldir di Facebook tentulah makan ikut cara dia. Makan tanpa malu-malu. Lagipun, dia memang sudah lama tidak makan ayam goreng segera. Bukan main sedap lagi rasanya. Lebih-lebih lagi Aldir pula yang belanja.
“I tak berapa suka ayam goreng. I makan satu aje. Kalau you nak, ambillah yang I punya ni,” pelawa Aldir.
Hanim tersenyum kembang. Bahagianya dapat makan lagi. Aldir bagi lagi. Rugi tolak rezeki. Baiknya Aldir. Tidak sangka. Tadi macam askar perang terlepas sempadan sahaja. Serius dan nampak macam cemas. Kini, bab belanja makan Aldir tidak kedekut. Bahagianya Hanim.
Dalam hati Aldir pula, ada gelak sinis. Lahapnya perempuan ini. Pantang dipelawa. Logik ke dia percaya tak suka ayam. Kuat makan perempuan ini. Patutlah badan ala-ala hipo. Kembar hipo barangkali. Aldir ingin soal begitu, tetapi tidak sampai hati. Dibuatnya Hanim melalak di situ, dia juga yang malu nanti. Jadi, sabar sahajalah. Kejap lagi mereka akan beredar dan selamat tinggallah Hanim.
“Kalau you tak kenyang, jom I belanja you nasi beriani gam pulak,” duga Aldir.
Mata Hanim yang jernih, bulat merenung Aldir. Ayam goreng masih belum habis dikunyah, Aldir sudah pelawa makan nasi pula. Baiknya Aldir. Hanim betul-betul lurus bendul. Langsung tidak terfikir dia sedang diuji oleh seorang lelaki yang mencari Miss Perfect.
Hanim memang tidak mahu berburuk sangka. Lagipun, di Facebook Aldir memang baik, peramah dan cool. Dia suka sangat berkawan dengan lelaki itu yang pandai mengatur ayat. Tadi, mungkin kerana baru jumpa, buat Aldir tidak selesa dengannya. Kini, Aldir baik sekali dan ikhlas belanja dia makan.
“Nak makan nasi tak?” soal Aldir lagi.
“Hmm… makan ayam tanpa nasi, memanglah tak puas,” jawab Hanim.
Aldir menoleh ke arah lain. Sah-sah perempuan ini spesies kuat melantak, ejek hati Aldir sinis.
“Habiskanlah makanan tu dulu. Lepas ni kita pergi restoran mamak pulak. Okey?” ujar Aldir.
Kalau ikut hatinya, dia mahu ketawa kuat-kuat kerana lucu melihat Hanim makan tergesa-gesa.
“Hmm… baiknya awak,” puji Hanim, teruja sebaik sahaja habis minum bagi melenyapkan makanan dalam mulut.
“Sebenarnya, saya biasa makan ayam goreng dengan nasi. Kalau awak nak belanja nasi pulak, saya tak kisah. Saya syukur aje. Buat spare sampai malam,” ujar Hanim, tergelak.
Aldir merenung wajah Hanim yang sedang tergelak. Memang comel. Kalaulah perempuan di hadapannya ini berbadan separuh daripada yang ada sekarang, tentulah jadi perempuan ayu. Sayangnya, kenapalah Hanim indah nama daripada rupa? Tidak semena-mena, Aldir menggeleng. Kemudian memicit kepala.
“Kenapa? Sakit kepala ke?” soal Hanim.
“Tak ada apa.”
“Macam ada yang tak kena aje,” ujar Hanim, curiga.
Tiba-tiba dia teringat nasihat kakaknya, Hana. Mesti jaga sopan santun dan adab di hadapan orang, juga di hadapan kawan. Buat Hanim berasa malu dan tunduk. Tadi, dia lupa segala nasihat kakaknya kerana lapar. Lagipun, Aldir nampak ikhlas dan dia teruja sangat dapat bertemu lelaki itu sampai lupa untuk menjadi perempuan Melayu tercomel.
“Okey, jom I belanja nasi beriani gam kambing pulak,” putus Aldir.
“Eh, tak apalah. Saya dah kenyang. Saja usik awak tadi,” tolak Hanim sambil memberi alasan.
Aldir menarik nafas lega. Selamat duitnya. Ingatkan betul-betul Hanim berperut buaya tadi. Rupa-rupanya sekadar menguji dia. Namun, Hanim tetap bukan cita rasanya. Fizikal Hanim yang montel dan cara Hanim makan gelojoh buat dia hilang minat pada gadis yang selalu ditabur dengan ayat romantik di Facebook. Jadi, cukup sampai di sini, di pertemuan pertama dan terakhir. Selamat tinggal, Hanim!
“Oh, kata ada anak. Mana anak you?” soal Aldir, tiba-tiba teringat.
“Hmm… tak adalah. Saya gurau aje. Saya belum kahwin pun. Sorry ya,” ucap Hanim sambil tersenyum malu.
Rasa bersalah pula mengusik Aldir semalam.
Aldir menarik nafas sambil berpaling ke arah lain. Sama ada dia ada anak atau tiada, rasanya tak payahlah, putus hati Aldir, muktamad.
Tidak lama kemudian, Aldir meminta diri atas alasan ada hal penting. Kemudian, lelaki itu melangkah laju menuju ke kereta. Hanim hanya perhatikan Aldir sehingga kereta lelaki itu menghilang daripada pandangan. Terasa hatinya juga hilang tiba-tiba. Entah kenapa.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/75676/cinta-batu-giling