[SNEAK PEEK] BUKAN SEKADAR TEMAN MESRA

BUKAN SEKADAR TEMAN MESTA Oleh Ezra Azad

“ADOYAI! Mana pulak mamat sekor ni? Mungkir janji betullah!” Mulut Ezryna mengomel sendirian. Pad kekunci telefon bimbit ditekan-tekan. Kemudian, dibawa ke telinga. Ezryna menunggu dengan sabar. Namun, hanya suara operator yang kedengaran.
Ezryna merenung telefon bimbit di tangan. Mana Har ni???
Ezryna merengus kuat. Perhentian bas itu sunyi sepi. Bas tak ada pulak lalu. Teksi lagilah. Kereta pun dua tiga kerat aje yang lalu-lalang. Naik meremang bulu romanya apabila angin malam berhembus. Ngeee! Macam manalah aku boleh tak sedar hari dah malam? Ofis tulah! Tertutup sangat sampai tak sedar tengah siang ke malam. Apabila kaki menapak keluar aje, baru sedar langit dah hitam pekat.
Takutnyaa! Nak call siapa minta datang ambil ni? Ibu? Macam mana ibu nak datang ambil? Bukannya ada kereta pun. Karang benda lain pulak yang jadi. Call Adik? Adik pun nak datang sini naik apa? Naik basikal dia tu? Sah lusa baru sampai rumah! Sini ke rumah adalah dalam setengah jam perjalanan kalau naik kenderaan yang ada enjin. Kalau jalan kaki mungkin sejam. Motosikal dia pulak time ni juga nak buat hal. Boleh pulak enjin tak boleh hidup masa nak pergi kerja tadi. Terpaksa menumpang Ezhar. Nak buat macam mana. Darurat.
Ezryna memeluk tubuh. Nasib baik pakai baju kurung. Tak adalah sejuk sangat. Buatnya pakai baju-T lengan pendek aje? Bekulah lengan aku ni. Ezryna bangun dari kerusi panjang. Dia menjenguk kiri kanan. Dari jauh nampak lampu sebuah kereta yang menghala ke sini.
“Har ni pun satu! Punya beria nak jemput tapi dia yang tak datang! Hiiii… hangin betullah aku dengan mamat tu! Siaplah, aku tendang-tendang motor kau!” Ezryna bersuara kuat. Akibat geram sangat, Ezryna menendang tin kosong yang tergeletak di tepi tong sampah.
“Aduhh!”
Ezryna berpusing. Alamak! Macam mana boleh tak sedar ada makhluk lain kat sini? Cepat-cepat Ezryna menghampiri makhluk itu yang sedang memegang dahi sambil mengaduh sakit.
“Eh, sorry! Sorry sangat-sangat! Saya tak sengaja.” Kelam-kabut Ezryna memohon maaf. Sedar, memang salah dia.
“Tak pe… tak pe…” lelaki itu bersuara. Dia mengangkat muka.
Ezryna cuba mengamati muka lelaki itu dalam kegelapan malam. Risau kalau berdarah. Kalau berdarah teruk apa aku nak buat ni? Arghhh! Rasa menyesal pulak tak masuk unit beruniform St. John masa sekolah dulu!
Ezryna terpaku. Wajah lelaki itu macam kenal. Macam siapa ek? Laa… ni kan Najmi! Opps, Encik Najmi sekarang ataupun bos. Apa dia buat kat sini malam-malam?
Najmi membalas pandangan mata Ezryna yang terbeliak.
Ezryna terasa seperti lumpuh. Bola mata cuba digerakkan namun bola mata itu seperti gagal berpusing. Panahan mata Najmi yang dirasakan lain memaksanya untuk terus membalas renungan mata itu. Jantung terasa berdebar-debar. Maklumlah first time dapat tengok muka Najmi dekat-dekat.
Najmi senyum. Ezryna yang terasa mukanya sudah tebal berdeham sedikit.
Suasana kembali sunyi dan hening. Ezryna berdiri memeluk tubuh. Sengaja posisinya dibuat agar membelakangi Najmi yang tengah mengelap dahi dengan sapu tangan.
“Hmm… tunggu siapa ni?”
Ezryna memandang muka Najmi sekejap. “Kawan.”
“Kawan? Tak datang lagi ke dia?”
“Dah datang dah. Kelmarin. Apalah bos ni, dah saya tengah tercongok jadi Tugu Negara kat sini mestilah dia tak datang lagi. Kalau tak, saya dah lama beradu kat rumah dah.” Ezryna membalas bengang. Bengang pada Ezhar dilepaskan pada Najmi yang tak bersalah langsung.
Najmi senyum lagi. “Kalau macam tu, jomlah saya hantar balik.”
“Hah?” Salah dengar ke aku?
“Jom saya hantarkan awak balik. Rumah awak kat mana?” Pintu sebelah pemandu dibuka. Eh, bila pulak kereta Vios ni tersergam depan aku?
Ezryna serba salah. “Err… tak apalah, bos. Kejap lagi kawan saya tu datanglah.” Ezryna cuba mengelak.
“Dah lambat sangat ni. Nak dekat tengah malam ni. Waktu sekarang banyak hantu berkeliaran tau.” Najmi senyum mengusik.
Bulat mata Ezryna. “A… apa dia? Hantu?” Najmi rasa nak gelak melihat Ezryna yang
menggelabah. Tak padan langsung dengan perwatakan kasar dia tu.
Ezryna memikir. Hantu? Tak boleh jadi ni. “Okeylah… okeylah….”

BUNYI CICAK di dinding mengejutkan Ezhar dari tidur. Mata digosok laju. Posisi mengiring ke kanan diubah ke kiri pula. Mata dibuka kecil. Jam loceng di tepi kepala diambil. Jarum pendek menunjukkan nombor sebelas manakala jarum panjang ke nombor sembilan. Baru pukul 11.45 malam. Mata kembali dipejamkan. Selimut ditarik. Mengantuk sangat ni!
Tiba-tiba Ezhar membuka mata. Besar sebesar-besarnya. Jam loceng kembali diambil. Matanya melihat jarum yang ada kat muka jam satu per satu. Betul ke mata aku ni? Pukul 11.45 ke pukul 9.11 ni? Tingkap yang tidak ditutupi oleh langsir dipandang. Langit gelap-gelita.
Ya Allah, Ryn!!! Jam loceng dicampak ke belakang. Telefon bimbit diambil. Kenapa tak menyala pulak ni? Baru dia teringat bateri habis sejak siang tadi. Bergegas Ezhar menuju ke pintu depan. Habislah aku! Mesti Ezryna mengamuk!
Baru dia ingin menghidupkan motosikal, dia ternampak sebuah kereta berhenti di hadapan rumah Ezryna.

“EH! STOP! STOPP!” tiba-tiba Ezryna menjerit sambil menepuk-nepuk dashboard.
Serta-merta Najmi menekan brek. “Kenapa?” Ezryna menoleh memandang Najmi di sebelah.
“Hehe…. Dah sampai. Tulah rumah saya. Kecik aje! Rumah bos mesti lagi besar.”
Najmi memandang rumah teres setingkat yang ditunjukkan Ezryna. Bibirnya mengukir senyuman segaris.
“Terima kasihlah sebab hantar saya balik.
Maaflah menyusahkan.” Ujar Ezryna ikhlas.
“Tak ada apa-apalah tu. Saya tak kisah pun.” Jawab Najmi.
Ezryna mengangguk. “Hmm… okeylah, babai!” Najmi memandang Ezryna yang sedang melangkah keluar dari kereta. Cermin tingkap diturunkan.
“Tidur baca doa!”
Ezryna berpaling. Ibu jari diangkat. “Bos jugak!”
Najmi mengangguk sekali sebelum menaikkan cermin.
“Bos!”
Ezryna berlari balik ke arah Najmi. Pintu kereta sebelah pemandu dibuka.
“Lupa nak cakap sorry.”
Najmi mengangkat kening. “Sorry kenapa pula?”
Ezryna tersengih. “Pelupalah bos ni! Kan ke saya tendang tin tadi sampai kena dahi bos?”
Automatik Najmi memegang dahinya. Terasa benjollah jugak.
“Tak pe.”
Ezryna mengangguk sebelum kembali menutup pintu. Kereta Vios berwarna perak milik Najmi mula bergerak perlahan meninggalkan Ezryna yang melambai-lambai.
Langkah kembali diatur. Pintu pagar yang tidak berkunci dibuka sambil menyanyi-nyanyi kecil.
“Weh, Ryn!”
Nyanyian Ezryna terhenti serta-merta. Ezryna menoleh. Dilihatnya Ezhar sedang berdiri tegak. Topi keledar elok terletak di atas kepala.
Ezryna buat tak nampak. Dengan muka selamba, Ezryna menuju ke pintu rumah. Pintu gril sengaja ditutup kuat tanda protes.
Ezhar mengeluh perlahan.

“BARU BALIK, RYN?” Mak Leha yang baru keluar dari bilik menegur.
Ezryna mengangguk. Badannya terasa penat sangat.
“Siapa hantar? Har?” Mak Leha bertanya lagi.
Terhenti terus langkah Ezryna. “Taklah.” Dahi Mak Leha berkerut. “Dah tu, kamu jalan kaki ke balik ke sini?”
Ezryna ketawa. “Kalau siang-siang memang orang berani. Kalau malam idak le!”
“Dah tu, siapa hantar kamu balik?” Mak Leha mula menyiasat. Siapalah yang baik hati hantarkan anak aku ni balik.
Ezryna menguap. “Bos tempat orang kerja.”
“Kenapa menyusahkan bos kamu tu? Suruh ajelah Si Har tu datang ambik.” Mak Leha menyoal tak puas hati.
Ezryna memandang ibunya dengan mata yang sudah layu. “Tak payahlah, bu. Har tu memang tak boleh harap!”
Pulak dah? Mak Leha menggaru kepala mendengar jawapan berapi-api yang keluar daripada mulut anaknya itu.

 

****

“GOOD MORNING, BOS!”
Najmi mengangguk. Langkahnya segak dengan briefcase di tangan. Sesaat kemudian, Najmi berhenti dan berpusing balik. Ezryna tersengih di tepi meja apabila Najmi datang menghampiri.
“Awak ke yang ucap good morning tadi?” Ezryna mengangguk. Sengih masih belum padam.
Najmi memandang Ezryna atas bawah. “Yang awak duk sengih macam kerang busuk ni kenapa?”
“Tak ada apa-apa, bos!” Penuh semangat Ezryna menjawab.
“Hmm…” Hanya itu yang dibalas sebelum Najmi mengatur langkahnya semula.
Ezryna yang perasan Najmi hendak berlalu cepat-cepat menahan.
“Eh, bos! Kejap!”
Najmi menoleh. Kening diangkat. “Any problem?”
“Aaaa…. Yes, I think any problem.” Dek terlampau gelabah, bahasa Inggeris selamba dihentam. Memang broken sangat dah ni!
Najmi menahan ketawa. “What’s the problem?” Ezryna menggaru-garu dahi dengan jari telunjuk.
“Oh! I feel I’m not clever to use the Microhard…. Ops! Wrong word, sorry! I mean… Microsoft Excel.” Adoi! Berpusing-pusing lidah aku!
Naik pening Najmi nak memahami apa yang sedang diperkatakan. Ezryna tengok dahi Najmi dah berkerut habis dah!
“Oohhh! Awak ada masalah dengan Microsoft Excel?” Akhirnya, Najmi menggunakan balik bahasa ibunda.
Ezryna terangguk-angguk sambil tersengih. Najmi memikir. “Hmm… awak tak mintak tolong staf yang lain ke?”
“Eh, dah! Tapi, dia orang pun tak faham apa yang saya tak faham. Lagipun, dia orang ajar saya garang sangat bos! Saya ni dahlah kurang cerdik. Tak patut dia orang buat macam tu.” Ezryna buat muka sedih.
“Dahlah… dahlah! Awak ni kalau nak menyalahkan orang lain memang handal. Sekarang ni, awak ambik buku nota awak dan terus masuk bilik saya. Saya tunggu.” Arah Najmi.
Ezryna tercengang. “Nak buat apa, bos?”
“Nak buat apa? Nak ajar awaklah, cik adik oiii!”
“Okey, bos!”

TENGAH SYOK-SYOK Ezryna dengar ‘kuliah percuma’ khas daripada Najmi, tiba-tiba ada pulak makhluk yang kacau daun!
Najmi senyum apabila terpandangkan seorang gadis masuk ke biliknya. Kulitnya putih bersih. Matanya bulat macam anak patung Barbie. Hidung kecil tapi mancung elok terletak. Bibir pula merah merekah. Rambutnya ditutupi selendang yang berlilit-lilit.
Ezryna ralit memerhatikan gadis itu. Cunnya minah ni…
“Ezryna!”
Ezryna tersentak. Kantoilah pulak renung anak dara orang lama-lama. Tapi, memang cunlah! Tipulah kalau aku cakap akan ada lelaki yang tolak.
“Ezryna, ni Aira. Aira, ni Ezryna. My new staff.” Najmi memperkenalkan kedua-dua mereka.
Ezryna memandang Aira. Aira mengangguk sambil tersenyum manis. Kemudian, Ezryna pandang Najmi semula. Itu aje? Penat aku berharap yang Najmi bagi tahu apa hubungannya dengan gadis ni.
“Dari mana?” Aira bertanya pada Ezryna. Hah? Ezryna terpinga-pinga. Suara Aira yang perlahan sangat tu tak dapat ditangkap dek telinganya.
“Dari mana?” Aira ulang balik soalan tadi. Kali ini lebih kuat.
“Oohhh! Dari Ipoh.” Jujur Ezryna menjawab. Selepas aje Ezryna jawab soalan tu, Aira dengan Najmi serentak ketawa. Ezryna pandang mereka bersilih ganti. Aik? Dia orang ketawakan aku ke? Kenapa?
“No… I mean dulu you kerja kat mana?” Dalam senyuman, Aira menjelaskan maksud soalannya yang sebenar.
Oh! Cakaplah awal-awal! Dia yang bagi soalan tak lengkap, lepas tu gelakkan orang pulak! Ezryna dah membebel dalam hati.
Bahu diangkat. “Kerja restoran aje dulu buat sementara.”
Aira mengangguk-angguk. Najmi memandang Aira yang berdiri di sebelahnya.
“Why are you here, my dear?”
Automatik Ezryna mendongak. Wajah Najmi yang ceria direnung. My dear? Aku ni walaupun bahasa Inggeris teruk pun tapi taklah sampai tak faham langsung apa maksud my dear tu. Najmi panggil Aira ni dear? Siapa Aira ni sebenarnya?
Aira tersenyum riang sebelum memeluk lengan Najmi manja. Tu dia!!! Lagi terbelalak mata Ezryna melihat adegan mesra di hadapannya. Setahu aku, bos aku ni tak kahwin lagi. Jadi, ni mesti awek dia ni! Cittt! Rasa nak backhand aje dia orang ni! Belum nikah dah pegang-pegang. Haramlah weh! Macam bagus pulak aku.
“It’s lunch time, abang! Kan dah janji nak lunch sama-sama? Lagipun, Aira nak tunjuk abang beberapa pasang baju. Aira nak abang pilih mana yang cantik.”
Najmi menepuk dahi. “Ya Allah! Abang lupa langsung! Hmm… Ryn, nanti kita sambung okey.”
Ezryna angguk. Sengih plastik diberi. Dia orang cakap fasal baju? Mesti baju kahwin ni!
Najmi jalan beriringan bersama-sama Aira ke muka pintu sebelum berpusing.
“Nak join kita orang sekali?”
“Never mind! Have fun!” Ezryna menolak. Selepas kelibat kedua-dua bakal ‘pengantin baharu’ itu hilang, Ezryna duduk di atas meja. Fikirannya masih memikirkan perkara tadi.
Najmi nak kahwin dengan perempuan tu. Habis, macam mana dengan aku? Macam mana dengan perasaan yang dah timbul sikit dalam hati ni? Macam mana? Macam mana? Macam mana???

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/97185/Bukan-Sekadar-Teman-Mesra

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *