[SNEAK PEEK] BUDAK MEJA BELAKANG

Budak Meja Belakang Oleh Shah Ibrahim

 

Sistem pembelajaran di asrama ternyata berbeza berbanding sistem sekolah harian yang lebih fleksibel. Jika dahulu aku punyai kebebasan belajar sesedap rasa sesudah pulang dari sekolah, kini terpaksa pula menuruti jadual ketat yang telah ditetapkan oleh pihak maktab. Biarpun jadual itu tidak padan dengan cara aku sendiri. Bukan setakat itu sahaja. Dikelilingi pelajar bijak dari serata tanah air, kuantiti belajar aku mula nampak sebagai satu kemestian. Mana tidaknya, apabila ramai dalam kalangan rakan-rakan seangkatan cukup sekadar mendengar kuliah.

Sewaktu guru sedang sibuk mencurah ilmu di hadapan, kelompok pelajar ini sudah cuba menyelesaikan homework. Sebaik kelas tamat, tugasan yang sepatutnya dibawa pulang telah berjaya disiapkan. Pantas dan cekap! Setiap malam mereka tidur awal. Esoknya pula bangun seperti biasa. Waktu riadah, keluar bermain. Waktu prep, baca komik. Tidak kurang juga yang aktif mewakili maktab dalam pelbagai acara pertandingan di luar. Sukan, pidato mahupun olympiad antarabangsa. Tiba saat keputusan peperiksaan diumumkan, prestasi akademik mereka jauh lebih cemerlang.

Gifted? Terang hati? Genius? Apa jua pun labelnya, aku rasa tergugat. Mana mampu aku tandingi kelompok istimewa sebegini. Jika ditanya apakah faktor utama yang membuatkan aku terasa seperti ingin menarik diri keluar dari MARESMART, jawapannya bukanlah homesick, ragging, momok mahupun peraturan asrama yang ketat. Sebaliknya, kebimbangan tidak mampu bersaing. Maklumlah, di MSAB dahulu setiap tahun aku pelajar terbaik dalam tingkatan. Kini aku sedar, di mana jua kita berada, tentu wujud insan-insan yang lebih hebat. A truly humbling experience.

Antara racun hati adalah apabila seseorang itu berasakan dirinya lebih hebat daripada orang lain. Sebab itulah manusia tidak boleh sombong. Betul tak? Yang pasti, mustahil untuk aku menjadi nombor satu di sini. Aku bukanlah mahu bersifat pesimis. Tetapi, realistik. Sungguhpun begitu, aku tetap memasang azam. Sedaya upaya aku akan cuba memasuki senarai pelajar top ten menjelang hujung pengajian. Tidak salah aku meletak ini sebagai harapan. Sesungguhnya, harapan adalah muslihat tipu daya akal agar tubuh badan pulun bekerja. Abaikan penat. Lupakan lelah. Yakin boleh. Ayuh, bersemangat!

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/277294/Budak-Meja-Belakang