[SNEAK PEEK] BIAR BERBEKAS

Biar Berbekas Oleh Roza Roslan

 

Bagaimana Acuan Begitulah Kuihnya

Mata pelajaran bahasa Melayu adalah slot yang paling dinanti-nanti. Saya paling suka apabila sampai kepada topik peribahasa kerana cikgu menerangkan maksud tersurat dan tersirat melalui penceritaan. Anehnya, simpulan bahasa serta kata-kata bidalan yang sukar, menjadi jelas.

“Cikgu, ceritalah lagi!” murid-murid berteriak. Benarlah betapa masa bersifat relatif. Empat puluh minit bergerak pantas apabila cikgu mengajar sepenuh hati dan perasaan. Namun silibus harus diajar mengikut jadual sedangkan masa pengajaran hampir tamat.

“Masa dah tamat. Kita sambung di kelas tambahan pada hari Sabtu, pukul 9.00 pagi.”

Kelas tambahan jarang-jarang diadakan. Lalu pagi Sabtu itu adalah hari yang ditunggu. Saya masih terasa-rasa perasaan ketika itu. Pagi-pagi lagi sudah bersiap dan bergegas menuju ke kelas. Rupa-rupanya saya bukanlah orang pertama yang sampai. Sudah ramai rakan sekelas sedia menanti.

Biasanya kelas tambahan diadakan apabila cikgu tidak sempat menyudahkan sukatan mata pelajaran. Bagaimanapun, cikgu kami yang satu ini mengajar kerana bersungguh mahu memberi penerangan. Biar benar-benar faham dan jelas. Bukan semata-mata untuk lulus peperiksaan.

“Ilmu menjadi bermanfaat apabila awak faham, hayati maknanya dan amalkan.”

Kami tahu ia datangnya daripada hati lantaran kata-kata itu menusuk ke hati. Terpancar keikhlasan kerana beliau tidak pernah mengenakan sebarang upah. Diam-diam saya bertekad mahu menjadi seperti beliau.

“Bagaimana acuan begitulah kuihnya.”

Saya ulang-ulang perkataan itu di hadapan emak. Ketika itu emak merendam secawan agar-agar. Kemudian dimasaknya di atas dapur bersama santan dan gula. Dibahagikan kepada beberapa mangkuk kemudian dititiknya pewarna. Emak curahkan ke dalam acuan berbeza.

“Cantik acuan cantiklah kuihnya.”

Barangkali emak tidak pandai menerangkan tetapi beliau mampu menyampaikan pengajaran secara praktikal. Bukan di dalam kelas tetapi di ruang dapur. Alahai, setiap orang boleh menjadi guru mengikut pengalaman masing-masing. Akhirnya, mereka yang berfikir akan mendapat lebih manfaat.

“Awak semua kalau mahu mencari calon suami atau isteri, lihat akhlak ibu bapa mereka. Jika ibu bapa beriman, maka insya-Allah berimanlah anak mereka.”

Begitulah kata-kata ustaz ketika kelas pengetahuan agama Islam. Rakan sekelas tersenyum malu-malu. Otak kecil saya cuba mengaitkan dengan peribahasa yang baru dipelajari. ‘Cantik acuan cantiklah kuihnya.’

“Namun ada kuih boleh jadi berbeza walau dari acuan yang sama. Ada ibu bapa bukan Islam tetapi anak mereka menjadi Muslim. Taufik serta hidayah itu datangnya daripada Allah SWT. Namun ada aturannya. Manusia memerlukan ilmu serta perlu menggunakan akal.”

Ustaz menegaskan dengan serius membuat kami menarik semula senyuman. Dikisahkannya bagaimana Nabi Ibrahim AS berusaha menemui Tuhan Pencipta Alam. Ternyata Allah SWT memancarkan nur kepada mereka yang mencari cahaya-Nya. Allah al-ʻAlim mengajarkan ilmu kepada mereka yang mahu berfikir tentang kebesaran-Nya. Melalui surah at-Taubah, ayat ke-114, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan bukanlah istighfar Nabi Ibrahim bagi bapanya (dibuat) melainkan kerana adanya janji yang dijanjikan kepadanya dan apabila ternyata kepada Nabi Ibrahim bahawa bapanya musuh bagi Allah, dia pun berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar.”

Allah ya Allah. Bagaimana jika berlaku sebaliknya? Pada akhir zaman ini, itulah yang menjadi ketakutan. Hati berbisik merenung anak-anak sendiri:

‘Ya Rabb, jadikan anak-anak kami yang dilahirkan sebagai Islam menjalani kehidupan sebagaimana syariat Islam lalu mati mereka sebagai seorang Islam beriman.’

Ketika berkongsi perasaan, salah seorang rakan menarik tangan saya ke suatu sudut. Wajahnya murung.

“Kakak kami belajar di Amerika apabila cemerlang dalam peperiksaan SPM. Sejak berumur 18 tahun beliau di sana. Sambung belajar lagi dan terus bekerja. Beliau jarang pulang ke kampung halaman.

Kali terakhir kami melihat status kakak di media sosial, pembawaan dan pemikirannya terpesong jauh daripada agama Islam. Kami bimbang.”

Air matanya mengalir deras. Wajahnya terpamer perasaan kasih sayang terhadap adik-beradik yang hadir dari rahim yang sama.

“Kami rahsiakan dulu daripada ibu. Kakak bersekolah agama dan taat. Agaknya suasana persekitaran membuatkan dirinya berubah. Abang sulung pernah ke sana menasihatinya. Beberapa ketika kakak menghilangkan diri dan tak dapat dihubungi.”

Melihat anak-anak sendiri yang meningkat remaja, hati bergetar. Entah apa yang dilihat, entah apa yang dihadam.

Barangkali hitam rambutnya dapat dilihat, bagaimana dengan hati? Sekali kaki melangkah keluar rumah, tiada seorang ibu bapa pun yang dapat melindungi anak-anak mereka. Hanya iman dan takwa menjadi pendinding.

Duhai diri, mohonlah pertolongan Allah al-Waliy yang Maha Melindungi. Serahkah mereka dalam pemeliharaan-Nya. Jika acuannya cantik, biarlah kuihnya lebih cantik lagi.

Sungguh, ia berbekas di hati.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/277249/Biar-Berbekas

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *