[SNEAK PEEK] BERAT SEBELAH KIRI

9789670719009-medium

BERAT SEBELAH KIRI Oleh Farha Jalila, Faiz Nazim, Taufik Khadri, Khairul Muttaqin, Muhammad Aneff, Asyraff Jamin, Zafirah Bahram, Munira Nabila, Hajar Zainal, Asmar Shah, Dalila Dahri, Wassim Fairuz, Nurul Syahirah, Sabrina Saiful, Siti Nazariah, Syaihan Syafiq, Azril Suhaili, Khairul Umar, Hasnizal Ehsan, Syahmi Fadzil

DIAM HARGA EMAS

Bunyi itu semakin lama semakin kuat kedengaran dari bilik sebelah. Aku menutup mata lalu menelan air liur. Nafas kutarik dalam-dalam dan dilepaskan perlahan. Suara rancangan televisyen aku tinggikan. Berbekalkan rasa sayang menggunung pada Azrul, sedaya upaya aku mengendahkan bunyi itu. Azrul satu-satunya anak aku. Walau apa saja yang Azrul inginkan, aku beri. Apa saja. Termasuklah sebuah Suzuki Swift yang aku hadiahkan pada Azrul ketika ulangtahun hari lahirnya yang ke 16. Tidak sanggup untuk aku melihat muncung yang dibuat-buat setiap kali kami bersua. Akhirnya Azrul tersenyum lebar tatkala melihat mobil idamannya tersedia sebagai hadiah di hadapan rumah. Bila mana Azrul gembira, aku rasakan satu kepuasan dalam diri – kepuasan menjadi seorang ayah yang baik pada anaknya.

  Suara azan kedengaran jelas. ‘Allahu Akbar, Allahu Akbar’. Laungan kalimah Allah Maha Besar itu tidak sedikit pun mencuit hati aku untuk memberhentikan suara milik Azrul yang sedang leka bersama seorang gadis di bilik sebelah. Malah, aku lebih risaukan Azrul. Terganggukah dia? Ya, Allah Maha Besar! Tetapi, aku ayah dia dan biar aku yang tentukan dan arahkan apa yang patut dia buat. Aku cuma berharap agar laungan azan itu disegerakan, atau paling tidak pun pembesar suara yang digunakan mengalami kerosakan! Pokoknya, suara azan itu mengganggu waktu kenikmatan dan keseronokan Azrul!

  Masih aku ingat saat Azrul begitu bengis ketika konsentrasinya menonton perlawanan bola diganggu oleh bacaan tahlil di rumah jiran. Pada aku tiada masalah, cuma Azrul memang tidak gemar apabila ada sesuatu yang mengganggu telinga atau matanya yang sedang fokus pada perlawanan bola. Lebih-lebih lagi kelab kegemarannya sedang beraksi. Saat itu pula, bacaan tahlil memang kedengaran dan mengganggu suara pengulas perlawanan tersebut.

“Ayah nak Azrul yang pergi sound atau ayah yang nak pergi? Kalau Azrul pergi, lain jadi nanti. Ayah nak?” Azrul mula bersuara tidak puas hati.

“Sound apa pulak ni, Azrul?”

“Rumah sebelah lah! Bising! Entah apa benda yang dok nyanyi dari tadi tak habis. Kalau ada orang mati tu pergi ajelah nyanyi kat kubur!”

“Alaa, mana mengganggu sangat pun. Ayah boleh je dengar pengulas tu cakap apa, takkan Azrul tak dengar?” aku cuba mencari alasan. Adalah mustahil untuk aku meminta mereka memperlahan suara dalam majlis sebegitu.

“Eii lembab lah ayah ni!” seraya itu Azrul bangkit dan menuju ke luar rumah. Biji mata aku membulat apabila dengar suara teriakan Azrul pada jiran sebelah yang sedang bertahlil. Segala jenis kata-kata kesat jelas kedengaran dari mulut Azrul, anak kepada seorang guru berpendidikan tinggi. Aku terkesima lantas menarik tangan Azrul masuk ke dalam rumah. Suara orang bertahlil yang sedari tadi merdu kini bersilih dengan bunyi bisikan.

“Bodoh apa bising sampai orang lain terganggu! Kalau baca Quran pun, dan orang yang dengar tu terganggu, itu kira dosa besar ayah tahu tak?”

  Aku terdiam. Ya, mengganggu orang lain itu termasuk dalam 70 dosa-dosa besar dalam Islam. Azrul terganggu apabila rancangan bola yang ditonton diselit dengan suara tahlil dari rumah sebelah, malah dia bertempik pada mereka yang mengganggunya. Aku terus terdiam. Azrul meneruskan menonton televisyen.

  Lain pula ceritanya dengan isteri aku, Sakinah. Malam sebelum hari raya aidilfitri, kami bertekak. Sakinah bertegas mahu pulang ke rumah ibunya sedangkan aku yang secara logiknya berhak untuk buat keputusan. Sakinah memberontak dan tidak membenarkan aku tidur bersamanya malam tersebut. Malam itu, aku masuk juga ke kamar kami dan buat seperti tidak ada apa yang berlaku. Apa yang terjadi, Sakinah menendang aku turun dari katil sebaik saja aku menghempaskan badan di sebelahnya. Lebih teruk, aku diherdik dengan suaranya yang tinggi dan memekik. Aku tidak marah, malah aku rasa bersalah! Disebabkan aku, Sakinah berkelakuan sebegitu.

“Kau, kalau nak tidur dengan aku, esok pagi balik rumah mak aku!” Sakinah berwajah bengis dan terus memberontak. Aku cuba meminta maaf. Aku tidak mahu menjadi suami yang tidak mampu untuk menggembirakan hati isteri.

“Dengar tak? Nak kena tendang lagi?” Sakinah bersuara lagi – memberontak.

“Ya, kita balik rumah mak esok. Sayang jangan marah abang macam ni, abang rasa abang tak guna kalau sayang terus marah abang.”

  Aku mengalah. Aku harus buat Sakinah bahagia. Wajib! Melihatkan senyuman dari bibir Sakinah, aku puas. Aku merasakan kepuasan yang aku sudah menggembirakan hati seorang isteri. Aku ingin jadi seorang suami yang baik! Dengan membawa Sakinah pulang ke rumah ibunya, aku dapat merasakan Sakinah adalah orang yang paling gembira dalam dunia. Dan aku sebagai suaminya, aku puas. Aku bangga! Aku berhasil menggembirakan isteri aku!

  Dalam aku mengelamun, bunyi itu masih terus kedengaran. Agak lama Azrul bersama anak ketua kampung di dalam bilik sebelah. Katanya belajar, dan aku akan sentiasa menganggap yang Azrul sedang belajar walaupun ‘suara’ yang kedengaran tidak menunjukkan seperti atmosfera menelaah. Seperti yang sudah diperjelas, aku hanya inginkan Azrul berasa aku adalah ayah yang terbaik untuknya. Badan aku rebahkan. Kipas yang berpusing membuatkan minda aku turut menerawang jauh – jauh mengenangkan kemewahan dan kesenangan yang aku tabur pada Azrul.

  Bunyi bising di luar rumah buat aku tersedar. Sepertinya huru-hara! Suara Azrul sudah tidak kedengaran dari bilik sebelah. Rumah yang sebelum itu dingin, tiba-tiba jadi bahang.

“Apa yang kau dah buat?!” suara besar dan garau kedengaran buatkan aku tersentak! Jantung berdegup laju. Dada berombak turun naik. Peluh semakin galak menitis.

“APA YANG KAU DAH BUAT?!!”

“Diamlah bangsat!!” aku cuba membidas. Siapa empunya suara itu aku tak perlu tahu! Apa sebab dia bertanya soalan itu pun aku tak perlu tahu! Apa yang sedang berlaku itu yang aku perlu tahu!

  Aku bingkas bangun meninggalkan bahang yang semakin terasa. Azrul yang aku fikir sedang lena di dalam bilik dibiarkan sendirian.

“Ayah nak pergi mana?” suara Azrul kedengaran saat kaki aku melangkah keluar rumah. Segera aku menoleh. Tiada siapa.

  Aku melangkah lagi. “Apa yang ayah dah buat?” suara Azrul sekali lagi kedengaran. Aku menoleh – tiada siapa. Degupan jantung semakin laju. Bila mana aku ingin menuju ke bilik Azrul, aku terlihat kelibatnya di celah-celah orang ramai yang sedang berarak dan menimbulkan huru-hara. Aku terpanggil dengan riak wajahnya yang memerlukan seorang ayah ketika itu. Apa yang sedang berlaku? Huru-hara apa yang sedang berlaku? Dalam kebingungan, Azrul semakin samar menghilang.

“Aduh!!” aku menjerit kesakitan lantas memegang bahu kiri yang seakan ditimpa sesuatu yang sangat berat secara tiba-tiba. Aku jadi tak berdaya, tangan kiri menahan tanah sambil tangan kananku memegang erat bahu kiri yang kian perit.

“Apa yang abang dah buat?” suara lembut menyapa dari arah hadapan saat aku mengetap bibir menahan sakit di bahu kiri. Aku mengangkat muka.

“Sakinah!”

“Apa yang abang dah buat?” sekali lagi soalan itu diaju. Hati aku jadi panas. Sakit di bahu kiri aku abaikan untuk seketika.

“Apa yang abang dah buat? Abang tak buat apa-apa pun, Kinah! Tolonglah jangan tanya soalan yang mengarut! Tadi Azrul tanya, ni Kinah pulak!” hati aku kini sama sakitnya dengan bahu yang semakin menjadi-jadi. Dan dalam aku menanggung kesakitan, aku baru tersedar yang aku sedang berkata-kata dengan Sakinah, isteri aku yang sudah meninggal dunia!

  Orang ramai bertempik dalam bahasa yang aku sendiri tak mengerti. Azrul hilang dalam banjir manusia. Sakinah juga begitu. Bahang di luar rumah lebih terasa dan menyegat berbanding di dalam rumah sebentar tadi. Dalam kekalutan, aku nekad ingin mencari Azrul. Dia perlukan aku. Dia perlukan ayahnya. Aku harus melindungi Azrul. Aku ingin jadi ayah yang berguna, bukan ayah yang dayus!

“Hoi, dayus!” suara garau itu lagi. Aku tersentak. Dahi aku berkerut.

“Hoi, dayus!” sekali lagi.

“Dayus!!” sekali lagi, malah lebih kuat. Aku mengetap bibir sekeras-kerasnya. Setiap kali perkataan itu keluar, bahu aku semakin pedih. Ibaratnya berat itu semakin ditimpa-timpa.

“Lelaki dayus!!”

“Diamlah!! Anak haram punya manusia! Kalau kau bagus sangat, kau keluar mengadap aku depan-depan! Bodoh! Keluar kau!”

  Aku penat. Penat menjerit mempertahan apa yang dilempar pada aku. Sudahlah masih bingung, ditambah lagi dengan suara yang datang entah dari mana mengatakan aku seorang dayus. Aku bukan dayus! Aku ayah dan suami yang baik, yang bertanggungjawab! Aku sanggup buat apa saja demi kebahagiaan mereka!

“Aduhai cikgu.. Apa yang cikgu dah buat ni cikgu? Apa yang cikgu jerit-jerit tu dari tadi saya dengar?” seorang lagi ‘tetamu’ bersuara. Kali ini kedengaran mesra dan lebih memihak kepada aku yang kepenatan.

  Aku menoleh. Anak ketua kampung yang sebaya dengan Azrul berdiri menyandar di dinding rumah, berpeluk tubuh, tanpa seurat benang! Segera aku mengalihkan pandangan. Apa yang dia buat berbogel di situ? Bukankah dia bersama Azrul di dalam bilik sebelum ini? Kenapa dia berani sungguh berdiri tanpa sedikit pun perasaan malu?

“Aina! Masuk dalam! Pakai baju! Kamu tak malu ke berbogel depan orang macam tu?” arahan diberikan. Aku yang jadi malu. Gadis yang sudah akil baligh berdiri telanjang tanpa gusar.

“Apa yang cikgu dah buat?” bahu kiri aku disentuh sambil soalan bodoh itu ditanya kembali.

“Jangan sentuh aku! Pergi masuk dalam pakai baju! Kau tak tahu malu ke? Sudahlah kau tu perempuan, dah baligh, berbogel depan orang ramai pulak! Masuk!”

  Aina tersenyum sinis.

“Ayah saya pasti kecewa. Tapi, macam mana cikgu sebagai ayah Azrul boleh beri izin dengan bangga? Sekarang saya bogel depan cikgu, cikgu malu?” senyuman sinis masih tidak lekang.

“Apa yang cikgu dah buat?” sekali lagi soalan itu ditanya dengan sinis yang masih bersisa. Aku menutup mata serapat-rapatnya.

“Apa yang ayah dah buat?” suara yang buatkan aku terkejut. Segera aku menoleh. Azrul! Azrul sedang berjalan ke arah aku, turut sama berbogel!

“Azrul! Apa kamu buat ni? Nak malukan ayah ke?!” aku gagahkan diri untuk bangun. Azrul anakku ada di depan mata setelah hilang dari pandangan mata sebentar tadi. Cuma bezanya, dirinya kini tanpa seurat benang!

“Kenapa ayah buat Azrul macam ni?” Azrul mula menangis teresak-esak. Apa yang aku dah buat? Azrul menangis disebabkan aku – ayahnya! Kebahagiaan yang aku dah beri, kenapa air mata miliknya masih mengalir? Adakah Azrul tidak gembira hidup dengan aku? Adakah aku gagal menjadi ayah yang baik?

“Ayah bangga dengan apa yang ayah tengok sekarang? Azrul berbogel depan ayah! Aina berbogel depan ayah! Kami buat dosa dan ayah bangga untuk biarkan!”

  Aku buntu. Bingung. Apa yang mereka cakapkan? Apa yang Sakinah cakapkan? Apa yang mereka semua cakapkan? Aku tersandar, menangis. Apa yang aku dah buat? Aku cuma jalankan tanggungjawab aku sebagai ayah. Apa yang aku dah buat? Adakah aku gagal? Adakah aku lulus? Lengan baju kiri dikoyak. Birat lebam jelas kelihatan. Apa yang aku dah buat? Apa yang menimpa aku sekarang?

“Assalamualaikum,” aku disapa mesra. Tangan dihulur untuk berjabat. Aku tak pernah lihat wajahnya. Siapa dia?

“Siapa kau?”

  Dia tersenyum. “Saya hamba Allah, macam cikgu juga.”

“Apa kau nak? Tak nampak aku tengah sakit?” tangan lelaki itu masih belum aku sambut.

“Apa yang cikgu buat sampai sakit macam ni?”

“Wei, celaka! Kau blah sekarang! Bagi salam baik-baik tapi nak sakitkan hati aku, baik kau blah!”

  Dia masih tersenyum lalu menambahkan rasa sakit hati aku.

“Saya datang nak bantu. Paling kurang, nasihat pada cikgu.”

“Tak payah! Aku tahu jaga diri! Aku belajar tinggi-tinggi, aku boleh jaga diri aku sendiri. Tak payah kau nak sibuk nasihat aku. Apa kau tahu? Nama kau pun aku tak tahu tiba-tiba nak menyibuk hal orang. Berambuslah!”

“Saya cuma tanya, apa yang cikgu dah buat sampai bahu kiri lebam macam tu? Nampak teruk tu.”

“Aku tak buat apa-apa lah! Berambus kau!”

  Lelaki itu masih tersenyum. Seraya itu dia memegang bahu kananku dan mengatakan yang ianya sangat ringan – sepertinya dacing yang ditimbang konkrit dan bulu pelepah.

“Janganlah cikgu menyesal kerana berdiam saja. Sesungguhnya percakapan itu berharga perak, sedangkan berdiam diri itu berharga emas. Tapi, emas yang cikgu pertahankan itu langsung tiada nilai. Malah, konkrit yang ibaratnya menimpa bahu kiri cikgu itu lebih tinggi nilainya.” Satu bungkusan diletakkan di sebelah tempat aku terduduk kesakitan sedari tadi. Dia berlalu pergi.

  Aku menjerit sekuat hati sehinggakan terasa bahuku digegar. Oh, aku bermimpi! Aku hanya bermimpi! Peluh dingin membasahi seluruh tubuh. Bahu kiri terasa normal. Dengan segera aku singkap lengan baju sebelah kiri. Tidak lebam, tidak sakit, tidak apa-apa.

“Tidur tak ingat dunia, sampai orang datang pun tak perasan?” Azrul yang lengkap berpakaian berada di hadapan aku. Bingung seribu kali bingung.

“Ni, ada orang bagi tadi. Kawan sekolah ayah rasanya.”

  Satu bungkusan dicampakkan. Aku mengerutkan dahi, bertambah bingung. Sebuah buku usang berada dalam genggaman. Di hadapannya tertera ‘Nasihat Luqman Al-Hakim’.

  Aku tersandar. Senyuman lelaki itu terus terbayang. Buku usang itu kutenung sedalam-dalamnya. Bahu kiri? Azrul dan Aina berbogel? Sakinah? Lelaki itu? Akhirnya, buku ini? Aku memandang Azrul dari jauh.

  Keluhan berat dilepaskan. Apa yang aku dah buat selama ini?

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/79913/berat-sebelah-kiri