[SNEAK PEEK] BENCI AMAT, SAYANG SANGAT!

9789670567679-medium

EBUKU Benci Amat, Sayang Sangat! Oleh Ezza Mysara

REDZA mula menutup telefon bimbitnya yang sedari tadi menderu-deru dengan mesej. Dia dah tak lalu nak baca luahan hati Dayang yang pelbagai rentak itu. Kejap merintih, kejap merayu, kejap mengarah! Dia tak punya jiwa untuk melayan Dayang lagi. Apa yang berlaku dahulu, biarkan ia tidak berulang lagi.

“Awak kenapa?” Soalan berbau prihatin itu terkeluar dari mulut Amna. Dia perasan yang kepingan piza Redza langsung tak terluak.. “Tak apa apa.” Amna angkat bahu dan meneruskan suapan. Sudu dan garpu berlaga sesama sendiri. Kadang-kadang sengaja dia lagakan dengan kuat! Malah spageti yang dimakan juga bersepah di sekitar pinggannya. Sengaja makan tak senonoh!

“Amna… pinggan awak tu tak cukup besar ke?”

“Oh…” Yes! Redza dah perasan.

“Hmmm… Kat rumah, saya dah biasa makan dalam talam!”

Redza hanya membiarkan. Malas nak layan kerenah Amna lagi. Dalam hatinya sedang merangka sesuatu untuk buat Dayang pergi dari hidupnya secara sukarela. Nak buat macam mana, ya? Nampaknya cara kasar memang tak membantu! Namun tiba-tiba meatball dalam spageti Amna tercampak di hadapannya. Terus Redza angkat muka! Memandang Amna yang nyata sedang terkejut.

“Meatball hidup lagi. Isy, sayangnya… Peraturan lima saat belum habis.” Cepat-cepat Amna kutip meatball yang tercampak tadi.

Kemudian disumbat masuk ke dalam mulutnya. Nasiblah… Idea spontan pasal perangai tak senonoh ni tiba-tiba menjalar dalam minda.

“Awak tahu pasal peraturan lima saat tu?” Kening kiri dan kanan Amna mula bercantum.

“Haah… Baca dari komik cerita Korea. Kenapa awak tanya?”

“Sebab saya pun pernah baca… Kiranya kalau makanan tu terjatuh tak sampai lima saat, maknanya kuman belum ada lagi. Tapi kesahihannya tak tahulah pula. Tapi kalau makanan jatuh sekejap macam tadi, memang saya sebat aje!” Melopong Amna mendengar kata-kata Redza.

Jadi usahanya tadi hanya sia-sia? Aduh… Apalah nasibnya hari ini. Semua rancangan tak menjadi! Spageti yang tidak habis itu mula ditolak ke tepi. Dia mula mencapai Seafood Lasagna. Salah satu favourite dia di Pizza Hut! Ktang! Sudu dan pinggan berlaga lagi. Dan Amna memang berada dalam kondisi yang sengaja. Dia lagi suka walaupun banyak mata-mata dah memandang. Redza hanya membiarkan. Malas nak kompelin lebih-lebih. Amna bukan banyak makan tapi banyak membazir.

“Amna… Boleh saya tanya sikit?”

“Hmmm… Tanyalah.”

“Baju yang awak pakai ni ada sentimental value ke?” Berhati-hati Redza bertanya.

“Erk… Sentimental value? Tak adalah… Mana ada! Kenapa awak tanya macam tu?”

Amna tunggu juga bila Redza nak smash dia pasal baju yang dia pakai. Tapi soalan Redza bukan main sopan lagi. Takkan agenda yang satu ni pun tak menjadi?

“Tak la… Biasanya bila sesuatu tu ada nilai tersendiri, kita akan pakai pada hari istimewa kita.” Mata Amna terbuntang mendengar telahan Redza.

“Oh tidak… Hari ni tak termasuk dalam hari istimewa pun!” jawab Amna kasar.

“Amna… Hari ni memang biasa. Tapi mula jadi luar biasa apabila saya bersama awak…” ujar Redza sambil mengambil potongan piza dan dibawa ke mulut.

Amna yang agak terlopong dengan pujian yang berbau ikhlas itu mula bergerak dan lengannya terkena gelas minumannya dan…

“Amna behave!” Cepat-cepat Redza menahan air yang tumpah dengan menggunakan tisu.

Amna yang terkejut itu terus melebarkan pandang ke arah sekeliling! Malu gila dengan perangai tak berjaga dia tadi. Tapi bukan ke ini yang dia nak sangat?

“Saya baru puji sikit… Awak dah menggelabah!” sakat Redza.

Aduh, tak boleh nak agak perangai tak senonoh Amna yang satu ini. Bukan tak senonoh, tapi lebih kepada clumsy! Kalau Dayang dahulu, pasti dia akan bangun meninggalkan gadis itu terkulat-kulat sendirian. Tapi kenapa dia tak mampu untuk melakukan semua ini kepada Amna?

“Mana ada gelabah!” “Watch your actions. They become habits!” Halus Redza menyindir.

“So?” Amna bagi ayat orang tak bersalah. “Watch your habits… They become characters!”

“So?” Sebab tak tahu nak jawab apa jadi Amna ulang ayat yang sama.

“Watch you character and it becomes your destiny!” Redza bagi ayat penutup.

Kenapa macam mendalam sangat kata-kata Redza ini? Senyuman Redza pula sinis mengancam!

“I know that I’ve never learned of love, so I don’t really know about it but I do know and really feel that you are my destiny…” Redza bagi ayat penyudah.

Amna buat tak tahu. Duhai hati, tak payah cara ayat yang membasahkan hati itu! SESUDAH makan, mereka menuju ke bahagian Parkson pula. Redza memohon diri untuk mendapatkan barangannya. Di kesempatan itu, Amna mula membelek-belek deretan barangan kosmetik yang terhidang. Fuh, harga memang tak payah cakaplah!

“Ada apa-apa yang awak nak beli?” tegur Redza apabila Amna tak habis-habis melirik ke arah barang-barang kosmetik yang terpamer.

“Erk… Tak ada… Saya tak pakai barang-barang mahal ni,” tolak Amna separa menyindir.

Dia pun pakai juga barang kosmetik. Tapi ikut kemampuan diri sendirilah. Kalau nak pakai SKII, memang kopaklah jawabnya.

“Hmmm, saya pun pelik dengan sesetengah orang ni. Buat apalah nak pakai barang-barang kosmetik ni semua. Produk kecantikan hanya akan mencerahkan. Bukannya mencantikkan,” hujah Redza tak semena.

“Oh, macam tu ke? Habis tu kalau saya rasa nak cantik, nak buat macam mana?” duga Amna.

“Ada jalannya… Mudah, simple dan efficient.” “Oh… Macam mana?” Teruja pula si gadis nak teroka jawapan Redza.

“Kahwin dengan saya!” Amna mendengus. Ke situ pula Redza ni.

“Apa kena-mengena antara nak cantik dengan kahwin dengan awak? Kaitan pula, kan…”

“Amna… bila awak kahwin dengan saya, awak akan sentiasa nampak cantik di mata saya… Untuk saat ini, esok atau sampai bila-bila…” jawab Redza dengan renungan yang buat jiwa simen Amna ditoreh dan dicairkan berulang kali.

Amna mengambil langkah untuk ke depan. Meninggalkan Redza di belakang. Oh tidak… Oh tidak… Kenapa hati macam cair aje dengar ayat Redza tu? Tak boleh jadi ni… Balik ni kena masukkan balik hati ni dalam peti ais. Jiwa yang cair ini perlu dibekukan semula!

****

“Redza… Saya dengar mak awak cakap tadi. Apa maksud teman hidup dan teman kehidupan? Bukan dua-dua tu membawa maksud yang sama ke?” Dasar otak yang memang nak tahu semua benda, jadi terpaksalah tanya. Tak tanya nanti, sesat jalan pula!

“Awak rasa macam mana? Life and living bunyinya hampir sama tapi maknanya terlalu besar…”

“Entah… Lain ke? Bukan sama aje ke?”

“Kita sedang membina hidup dan kehidupan. Kita hidup dengan makanan, pakaian, kenderaan dan tempat tinggal. Tapi kita membina kehidupan dengan kasih sayang, cinta dan kemesraan. Nampak tak bezanya?” Tercengang Amna dibuatnya. Sungguh dia tak pernah tahu. Ke memang sebab dia pun malas nak ambil tau?

“Seorang isteri itu ialah teman hidup dalam kehidupan. Kehidupan yang bukan semata-mata hidup. Kita hidup dengan apa yang kita dapat tetapi membina kehidupan dengan apa yang kita beri.” Berbelit ayat Redza namun cuba dianalisa oleh akal fikiran Amna sendiri.

“Bagi saya, konteks teman hidup dan teman kehidupan ini ibarat macam tuntutan zahir dan batinlah. Rohani dan jasmani. Di mana seorang suami perlu menyediakan nafkah zahir seperti makan pakai, tempat tinggal dan seangkatan dengannya. Dan nafkah batin seperti hubungan kasih sayang, kemesraan dan cinta…” Rasa prejudis, rasa sinis, rasa menyampah bagai hilang sekelip mata apabila mendengar tutur kata Redza yang serius itu. “Mana awak tahu semua ni?”

“Dari membaca dan… mendengar ceramah. Input yang kita terima perlulah dicerna dengan baik, kan… Bukan ke orang yang mendengar akan mudah belajar dalam hidup ini? Bukan sahaja akan meluaskan ilmu pengetahuan bahkan menunjukkan bahawa individu itu lembut hatinya. Kerana orang yang keras hati sahaja yang tidak dapat mendengar dan menerima nasihat.” Fuh, panjang pula ulasan ustaz tak bertauliah ini. Amna tersenyum sedikit.

“Awak memang pendengar yang baik,” puji Amna tanpa sedar.

“Awak tahu, ada kata bijak pandai yang berbunyi… Tugas cinta yang pertama ialah mendengar.” Pula dah… Kata-kata Redza itu menambahkan kerutan di dahi Amna.

“Dah… Dah… jangan nak mula.” Pantang kena puji. Mulalah nak bangga. Lagipun, bukan boleh kira sangat mamat ni, kalau dah mula berfalsampah, bukan boleh berhenti.

“Betullah… Ini fakta.”

“Okey, kalau betul-betul fakta… apa bukti peranannya?” Redza mula meletakkan piring kek yang sudah kosong ke atas lantai.

“Kekasih yang baik ialah kekasih yang mendengar rintihan, keluhan, aduan dan rayuan pasangannya. Maka cinta akan lebih subur dan harum… Bukan mudah tau nak jadi pendengar yang setia.” Amna terdiam.

Entah macam mana boleh terlebih teruja untuk mendengar bait demi bait, kata-kata yang dituturkan oleh Redza. Terasa sejuk… dingin… hingga boleh menanamkan musim bunga dalam taman hati.

“Amna…” seru Redza perlahan. Tanpa dipaksa, kepala Amna terus berpaling ke arah
Redza.

“Ketika musim panas yang terik, saya akan selalu menjadi tempat untuk awak berteduh.

Ketika langit memuntahkan hujannya, saya akan menjadi payung untuk awak.

Ketika awak lelah berjalan, saya akan menjadi kerusi kecil untuk awak melepaskan penat.

Ketika awak ketawa, saya akan memberikan seluruh kebahagiaan saya untuk awak terus ketawa.

Saya akan jadikan pipi awak kering daripada air mata.

Tapi kalau awak menangis juga, tangan saya akan menyerap semua air mata awak…”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79494/benci-amat-sayang-sangat