[SNEAK PEEK] BAGAIKAN PUTERI

Bagaikan Puteri
karya: Ramlee Awang Murshid


. . .

Hutan Belud, Tanah Jajahan Sultan Sulu
Penghujung Kurun ke 15

KAWASAN hutan yang dilalui amat gelap, sunyi dan menyeramkan. Perempuan muda itu memegang tangan Haryani erat manakala sebelah tangannya lagi memegang jamung. Api jamung hanya mampu menerangi di bahagian hadapan sahaja. Itu pun masih nampak suram. Haryani berjalan tertatih-tatih. Seperti anak kecil yang baru belajar melangkah.

“Jauh lagi ke?” soal Haryani.

Perempuan muda itu tidak menyahut. Genggaman tangan yang mencengkam telapak tangannya terasa diperketatkan. Tatkala dia menoleh ke belakang, kegelapan menjadi hijab pandangan matanya. Ketakutan mula merajai hatinya.

“Aku dah penat. Kita berhenti dulu,” rayu Haryani.

“Jikalau berhenti, kita akan sesat. Kita akan terkurung di hutan ini sampai hari siang. Itupun kalau kita masih bernyawa lagi,” tegas perempuan muda itu.

“Siapa nama kau?” Haryani galak bertanya.

“Balan.” Perempuan muda itu menyahut sepatah.

“Peliknya nama tu.”

“Keluarga kami semuanya digelar… Balan,” balas perempuan muda itu lagi.

“Nama yang serupa?” Bulu roma Haryani mula meremang. Perempuan muda itu tertawa kecil. Agak garau.

“Jauh lagi ke?” Haryani masih mahu bertanya.

Perempuan muda itu berhenti melangkah. Berpaling dan menghadapkan wajahnya ke arah Haryani. Dia berwajah sederhana. Berkulit hitam manis. Cuma matanya agak kemerah-merahan. Macam terkena sakit mata. Dari kolam mata itu, mengalir air jernih yang seolah-olah tidak mahu berhenti.

Haryani tergamam. Nafas perempuan muda itu mula berbau hamis. Haryani berdehem dua tiga kali sambil memalingkan wajahnya ke arah lain. Balan ketawa sinis lalu berkalih semula dan melangkah cepat. Tangan Haryani dicengkam kuat dan terhuyung-hayang dia mengikut rentak kaki perempuan muda itu berjalan.

“Aku curiga pada keikhlasan kau, Balan.” Haryani berterus terang.

“Habis… kenapa kau ikut aku juga?” soal Balan.

“Entahlah. Aku… aku tak sedar. Bila aku perasan, aku dah berada di hutan ini.” Haryani mula terasa pening apabila dipaksa berjalan sebegitu cepat.

“Boleh tidak kau diam?” Balan mula hilang sabar dengan kerenah Haryani. Kerap kali kedengaran rengusan kencangnya.

“Aku rasa… kau orang jahat, Balan.” Bergetar suara Haryani.

“Sepatutnya kau sedar lebih awal. Sekarang sudah terlambat!” sindir Balan.

“Kau nak apakan aku?” Haryani cuba menarik tangannya tetapi gagal. Cengkaman Balan menjadi lebih kuat dan erat.

“Kau akan kami bunuh!” balas Balan dengan nada suara yang menyeramkan. Perkataan ‘kami’ mewakili keluarganya yang sedang menunggu di tempat tinggal mereka di satu penempatan di hutan ini.

Mendengar perkataan ‘bunuh’, Haryani menggeletar.

“Aku tahu… kau bukan puteri Majapahit. Gusti Putri tidak sekali-kali akan bertutur seperti percakapan kau,” getus Balan lagi, marah.

Dalam menggeletar, Haryani semakin kecut perut. Siapa dirinya? Hatta, dia sendiri tidak ingat. Tangisan dari dalam hatinya mulai kedengaran.

“Kami pemakan bangkai manusia!” Sejurus, Balan ketawa berdekah-dekah. “

Tolong! Tolong!” jerit Haryani, ketakutan.

“Tiada siapa pun yang akan mendengar jeritan kau, pembohong!” marah Balan.

“Laksamana Sunan akan cari aku nanti!” Dalam meronta, Haryani sempat mengugut.

Langkah Balan tiba-tiba terhenti apabila bakal mangsanya menyebut nama Laksamana Sunan. Dia lekas menoleh. “Laksamana Sunan ada di sini?” Balan berkalih menghadap wajah Haryani. Wajahnya nampak pucat.

“Lelaki yang kau lihat di gelanggang tadi tu adalah… Laksamana Sunan.” Dada Haryani berombak kencang.

“Aku tak nampak apa-apa!” tingkah Balan. Suaranya kedengaran merendah dan bergetar. Alunan nada yang jelas menunjukkan kebimbangannya.

“Laksamana Sunan ada di sini…” Suara Balan seakan berbisik mengulangi kenyataan Haryani. Dia mulai risau. Di kalangan manusia yang menyimpang ‘memerangi ALLAH’, nama Laksamana Sunan amat dikenali dan digeruni di kalangan mereka.

 

Hospital Kuala Lumpur
Hari ini…

DR. WONG terperanjat apabila melihat badan Haryani bergerak-gerak. Dia memantau mesin bantuan pernafasan. Mesin itu masih berfungsi. Dia menoleh ke arah Haryani sekali lagi. Badan pesakitnya itu bergerak sesekali.

“Nurse,” panggil Dr. Wong. “You nampak tak pesakit ini bergerak-gerak tadi?”

Jururawat tadi memandang Haryani. Ketika itu, Haryani hanya terbaring tidak bergerak-gerak. Jururawat itu memandang Dr. Wong semula dan menggeleng.

“Percaya atau tidak… Cik Haryani bergerak tadi.” Dr. Wong masih mempertahankan penyaksiannya. Malah, dia sendiri tahu bahawa apabila pesakit yang koma dibantu hidup dengan mesin, bermakna pesakit itu hanya menunggu harinya sahaja. Dalam tempoh tujuh hari, jikalau pesakit gagal bernafas sendiri, maka kematian akan disahkan. Segala-galanya berpunca dari otak. Otak yang mati akan membunuh seluruh jasad.

. . .

Dapatkan versi e-book penuh di e-sentral.com

Penerbit: KARANGKRAF MALL SDN BHD
Penulis: Ramlee Awang Murshid