[SNEAK PEEK] AWEK ABANG POYO

9789831249031-medium
AWEK ABANG POYO Oleh Ummu Wafa

“BERCINTA dengan orang tua! Dah tak ada ke lelaki muda kat dunia ni ke?” sindir Anas Irfan yang duduk melangut di kaunter cashier sebaik saja Abang Rahim keluar. Saja dari tadi duduk kat situ, sebab nak menadah telinga.

“Heh, mat poyo! Suka hati akulah nak bercinta dengan siapa? Kalau aku bercinta dengan datuk kepada datuk kau pun, kau tak perlu ambil kisah. Diri aku, suka hati akulah!” melengking suara Kasdina. Nasib baik café dah tak ada pelanggan.

“Nampak sangat kau tu dah desperate. Desperado!” Anas Irfan mencebik bibir, mengejek.

“Lu apa hal. Lantak akulah, desperate ke, desperado ke, ‘despair bodo’ ke. Aku bukannya minta tolong kau pun. Apa kau peduli?” Tajam mata Kasdina merenung mat poyo yang berada di hadapannya. Kalau boleh nak saja dia rebus mat ni buat sup. Eeii… geramnya!

“Memang tak ada kena-mengena dengan aku, tapi gelagat kau orang tadi telah membuatkan mata aku sakit. Lebih kurang macam pencemaran penglihatan gitu. Polluted tau tak?”

“Polluted kepala hangguk dan kepala hotak kau. Kalau dah kau kata pencemaran, tapi kenapa kau pandang aku juga?” Sakit hati betullah dengan mat tiga suku ni.

“Sebab kau dah tertonggok kat dalam café ni, terpaksalah aku tengok. Takkan aku kena pejam mata. Macam mana nak kerja? Akai ada ke?” Anas Irfan masih belum puas berhujah.

“Aku rasa kau ni ada masalah psiko, something wrong somewhere. Kalau tak, kau tak akan jadi macam ni. Lelaki yang normal selalu bersikap matang dalam setiap tindak-tanduk dan perkataan.” Nah ambil kau, dapat sebijik. Puas hati? Nak sangat.

“Aleh, macamlah kau tu normal sangat. Sikit-sikit jerit, mengalahkan bini Tarzan yang kehilangan anak.” Anas Irfan ketawa melihat Kasdina yang sudah kehilangan kata-kata dan terus melarikan dirinya ke dapur. Mak Cik Singa tu memang macam tu, bila dah nak kalah mula nak lari. Lemah jiwa betul. Tapi yang hebatnya Mak Cik Singa tu tak pula nak gugurkan air matanya bila kena kutuk dan kena ejek.Tahan pula dia. Agaknya dia tak ada perasaan kot. Sebab tu, tak macam perempuan lain. Ah… buat apa dok fikir pasal dia. Kerja dah habis, balik rumah, tidur lagi bagus.

KASDINA memasuki ruang dapur untuk memulakan tugasnya sebagai tukang masak yang dibayar khas di rumah Datuk Zakaria Sulung dan Datin Azizah yang terletak di kawasan posh, St John’s Wood, Swiss Cottage, kira-kira 10 minit perjalanan dari pusat bandar itu.

Bukan tak ada tukang masak di rumah besar ini. Tapi untuk malam ini Datuk Zakaria nak hidangan yang berjenis-jenis. Ala-ala gaya hotel gitu. No problem… beres!

Terpegun Kasdina melihat suasana dapur kontemporari yang moden dan cantik. Segala kelengkapan memasak ada, ruang dapur yang luas dan bersih. Peti ais yang besar dan meja dapur yang cantik. Di ruang dapur juga diletakkan pokok-pokok berdaun hijau. Tidak ketinggalan pokok Aloe vera. Suatu kombinasi yang berpadanan dengan dinding yang berwarna putih cerah.

“Kenapa Kas?” tegur Datin Azizah, sebaik saja melihat Kasdina seperti sedang tenggelam dalam dunianya.

“Sorry, datin. Saya teruja sangat dengan dapur datin ni, cantik sangat. Pandai datin decorate. Rasa bahagia bila berada di dapur datin,” puji Kasdina ikhlas.

“Alah, saya ni bukan pandai mana pun. Try and error kata orang. Kalau tak suka, ubah balik.” Datin Azizah merendah diri.

“Tapi saya suka cara datin hias. Nampak seni dan mendamaikan. Konsep, juga design, kira-kira ada designer touched dan signature gitu. Kalaulah saya dapat dapur seperti ini, saya tak akan keluar ke mana-mana.” Kasdina ketawa sendiri.

“Kas memang suka memasak ke?” tanya Datin Azizah.

“Ya suka. Saya bercita-cita nak memiliki sebuah café yang cantik dan moden satu hari nanti, kalau ALLAH izin. Sebagai tempat orang bersantai dan membuat pertemuan serta tempat orang merasai hidangan lazat yang menjadi trademark saya.” Kasdina ketawa lagi dengan angan-angannya sendiri. Tak malu, angan-angan Minah Jenin pun nak beritahu orang.

“Saya doakan suatu hari Kas akan dapat apa yang Kas impikan.”

Kasdina mengangguk. Biarlah ia jadi kenyataan. “Untuk malam ini, apa yang datin nak saya sediakan?”

“Saya nak Kas masak, masakan ala Siam. Tom yam, ikan tiga rasa, sotong goreng butter, ketam sweet sour dan kerabu mangga. Untuk starter, Kas buat Popia berinti daging atau bergedil. Untuk dessert, Kas buat Sagu Gula Melaka bersama krim. Boleh? Bahan-bahan saya dah beli dari Chinatown Soho dan sebahagiannya di mini market Thai kat Queensway petang tadi. Sea bass, squids dan crabs yang nampak segar tu, datuk beli kat fishmonger Kilburn High Road, minced meat dan lain tu kat kedai Halal Meat & Poultry Pakistan. Tapi kalau ada apa-apa yang tak cukup, beritahu saya,” arah Datin Azizah.

“Datin, boleh saya tanya?”

“Kenapa datin tak buat western food?”

“Alah, western food tu bukan sedap mana pun kalau nak dibandingkan dengan makanan dan taste kita orang Melayu yang cukup rasa pedas, manis dan masamnya. Dengan lebih tepat selera kita orang nusantara. Saya pun dah lama tak merasa masakan tom yam yang kaw-kaw ni. Bila buat sendiri, tak rasa sedap pulak. Padahal semua yang ada dalam resipi dan segala arahannya dah dipatuhi. Tapi rasa out. Apa yang tak kena tak tau ler,” cerita Datin Azizah sambil ketawa

Kasdina turut ketawa. “Okey, malam ni saya akan masak special untuk datin sekeluarga dan tetamu. Datin jangan risau, saya janji akan masak hidangan dengan sempurna seperti apa yang datin kehendaki,” janji Kasdina bersungguh-sungguh.

“Terima kasih, Kas. Kalau Kas nak minta tolong apa-apa, panggil aje Kak Jah.”

“Ya, datin. Okey. Satu lagi datin, saya nak tahu berapa ramai tetamu yang akan hadir?”

“Sekitar lapan orang. Kenapa? Tak cukup bahan ke?” Risau nampaknya Datin Azizah.

“Eh, tak… cuma saja nak tahu supaya senang nak agak untuk masak, plus keluarga datin yang beberapa orang lagi tu. Perlu juga estimate dan buat sukatan yang betul agar tidak membazir,” jelas Kasdina jujur.

“Bagus, ada gaya seorang tukang masak yang mahir,” puji Datin Azizah.

Belum apa-apa lagi dah kembang hidung Kasdina dengan pujian mak datin.

DI DAPUR yang cantik dan mewah itu, seorang gadis sedang rancak ‘bersilat bawang’ dengan resipi masakan ciptaannya seperti yang dihajati. Pantasnya dia bekerja mengalahkan lipas kurang upaya. Zap zip zup, sampai Kak Jah yang sedang membantu memotong sayur pun terpusing-pusing bola matanya melihat kelincahan Kasdina beraksi. Agaknya kalau masuk pertandingan Master Chef, pasti dia menang.

Dalam keadaan sibuk dan rancak itu, tiba-tiba Kasdina berhenti daripada meneruskan tugasannya. Kemudian dia menghampiri Kak Jah yang sedang memotong sayur.

“Kak Jah, Kas nak tanya sikit boleh?”

“Nak tanya apa?” tanya Kak Jah balik.

“Kak Jah, rumah ni ada hantu tak?”

“Eh… mana hantu?” Muka Kak Jah dah jadi macam asam kecut. Penakut!

“Eh, Kak Jah ni, belum apa-apa pun dah takut. Maksud saya tadi, Kak Jah pernah nampak hantu ke kat rumah ni?” Kasdina ketawa melihat muka Kak Jah yang ketakutan. Baru dengar perkataan hantu, dah jadi macam tu. Kalau terserempak, agaknya pengsan terus, hihihi…

“Oh, Kak Jah ingat Kas ada nampak hantu tadi.”

“Laa… tulah sebabnya saya tanya. Saya nampak kelibat orang yang saya kenali kat sini. Entah-entah saka belaannya mengikuti saya sampai kat sini. Bila tuan dia tak dapat mengacau saya, dia suruh saka dia yang ikut saya,” tuduh Kasdina tanpa asas.

“Kau ni Kas, kenapa percaya benda yang karut-marut tu? Tak baik tau. Janganlah kau sebut pasal saka-maka ni, takut Kak Jah. Meremang bulu tengkuk dibuatnya.”

“Habis, yang saya nampak tadi siapa?”

“Kau salah orang agaknya,” kata Kak Jah.

Kasdina mengerutkan dahinya. “Kak Jah, tetamu dah sampai ke belum?”

“Belum, lambat lagi. Kita masih ada tiga jam sebelum tetamu sampai. Kenapa? Kas dah siap masak ke?” Pelik Kak Jah melihat Kasdina ni.

“Kalau tetamu belum sampai, bermakna orang yang saya lihat tadi ialah hantu!” sakat Kasdina.

“Hisy… kau ni. Dah… sambung aje kerja yang belum siap tu,” arah Kak Jah.

Kasdina ketawa mengekek melihat rupa Kak Jah yang nampak pucat. Ketawa, ketawa juga, tapi dalam kepalanya soalan yang bercambah tadi belum lagi terjawab. Siapa yang dia nampak tadi? Mungkin juga hantu si mat poyo tu yang mengekorinya sampai ke mari.

TANGAN Kasdina ralit membasuh sayur-sayuran. Kemudian sayur-sayuran tersebut dimasukkan ke dalam bekas. Tangannya ligat bekerja, tapi kepala otaknya merewang-rewang entah ke mana. Sampai balik ke Malaysia dalam sekelip mata. Itu untungnya kalau berkhayal. Mana-mana pun boleh pergi. Percuma aje. Dia tersenyum sendiri. Dah macam minah sewel?

Kasdina mengangkat semua sayuran yang dibasuh tadi untuk diletakkan di atas meja sebelum dipotong. Dengan sekali pusing saja dia telah mengadap ke arah Kak Jah yang sedang tercatuk di atas kerusi.

“Mak… hantu!!!” jerit Kasdina kuat kerana terkejut. Habis terlambung segala benda yang dipegangnya. Mana tak terkejut beruk. Pusing aje badan, ada orang kat belakang. Sape suruh datang diam-diam. Salam tidak, bersuara pun tidak. Tiba-tiba aje berdiri di belakang dia. Tapi yang buat dia lagi terkejut, macam mana mat poyo tu boleh berada di belakangnya. Ingatkan tadi jelmaan atau sakanya saja.Tapi sekarang real punya. Tuan punya badan yang tercegat memerhatikannya tanpa sebarang audio.

Kak Jah ketawa mengekek bila melihat Kasdina yang terkejut beruk itu. Baru padan muka. Ada hati nak menyakat orang. Sendiri penakut mesti mau ingat. Ketawa Kak Jah masih bersisa dan masih lagi bergema di ruang dapur, mengenangkan gelagat Kasdina yang terkejut beruk. Hahaha… lawak juga si Kas ni. Ingatkan dia ni seorang yang berani. Tapi tengoklah terkejut sikit saja dah macam nak koma, nasib tak tergolek dog.

“Kenapa Kas? Terdiam terus tanpa suara. Dah terpikat dengan abang handsome ke?” usik Kak Jah yang masih lagi ketawa.

Muka Kasdina sudah merona merah. Malu kerana terkejut sangat sampai terpelanting habis segala jenis aneka sayuran. Tapi ada satu yang tak betul dan yang tak kena seperti always. Kenapa mat ni diam saja tanpa berkata apa-apa? Mana perginya mulut busuk yang berbisa tu? Yang selalu diguna untuk menembak orang? Yang terlalu menyakiti hati orang? Kenapa diam? Nak control macho kat depan Kak Jah ke? Ceh… hipokrit, pandai pula dia berlakon. Kalau tak, mulut tu macam bertih, ada saja yang nak dikata dan disakatnya. Sampai kan hati ini selalu saja terbakar. Pelik sungguh… mat ni ada dua watak yang berbeza ke, atau memang jenis spesies dua alam?

Tanpa mengucapkan apa-apa, Anas Irfan berlalu dari ruang dapur. Betul ke itu mat poyo? Lain macam aje. Sikit pun tak nampak poyo. Salah orang kot? Atau pelanduk dua serupa.

“Kak Jah, tadi tu siapa?”

“Kenapa dah terpikat ke?”

“Hisy… Kak Jah ni, orang tanya sajalah, bukannya berminat pun!”

“Itu Anas, anak buah Datin. Dia selalu datang ke mari. Kenapa? Kas kenal ke?”

“Tak kenal sangat. Gitu-gitu aje…” Hah… menipulah tu.

“Anas tu baik budaknya, sopan dan ringan tulang.”

Pujian Kak Jah tu membuatkan Kasdina Alya ternganga. Sungguh tak diduga, mat poyo tu pandai sungguh berlakon dan menyembunyikan watak sebenarnya. Kasihan Kak Jah dan Datin. Hidup-hidup dah kena kelentong dek mat poyo tu. Alahai poyo.

****

MAKAN malam di rumah Datin Azizah berjalan dengan lancar dan sempurna. Semua tetamu suka dengan masakannya, sampai menjilat sudu. Tak terkecuali dengan mat poyo tu yang nampak berselera sekali bila makan. Tak padan hari tu kata aku masak tak sedap. Kalaulah aku tahu, mat poyo akan makan malam sekali, lebih baik aku bawa julap. Biar dia tahu, bagaimana rasanya sakit perut memulas-mulas. Baru padan dengan mukanya.

Makan sudah, dapat upah pun sudah. Bayaran upahnya bertepatan sekali dengan saranan Nabi. Bereskan upah sebelum keringat kering. Tiba masanya untuk dia beredar dan balik ke rumah. Seperti yang dijanjikan tuan rumah, datangnya berambil, pulangnya berhantar. Hai… macam tuan puterilah pula. Senyum Kasdina sendiri.

Mana tak senyum, masyuknya juga boleh tahan. Datin membayar khidmat kepakarannya dengan harga yang tinggi. 200 quid, you! banyak tu untuk kerja tak sampai lima jam. Berbaloi betul. Rasanya, datin bukan saja bayar kerana berpuas hati dengan perkhidmatan, kemungkinan termasuk kemesraan yang terjalin. Alhamdulillah… kalau ramai yang nakkan khidmat aku yang macam ni, alamatnya cepatlah aku kaya. Hikhikhik… tak sabar rasanya nak jadi orang kaya.

“Kak Jah, Kas balik dulu ya, lain kali kita jumpa lagi.”

“Yalah, Kas. Belum puas Kak Jah bermesra dengan Kas, Kas dah nak kena balik. Kas masak tadi sedap betullah. Tak pernah Kak Jah rasa tom yam yang sesedap itu.”

“Yalah tu. Kak Jah saja nak ambil hati Kas aje kan.”

“Betul Kas, semua orang puji masakan Kas,” ujar Kak Jah.

Kasdina tersengih. Dah kembanglah tu. “Kak Jah, mana Abang Kasim ni. Kata nak hantar Kas,” tanya Kasdina yang tak betah lagi berdiri sambil menunggu Abang Kasim. Cuaca yang sejuk beku begini membuatkan dia sudah tidak selesa menunggu.

“Kejap lagi kot, Kas. Mungkin datuk sedang berpesan apa-apa tu. Sabar ya.”

“Kas dah mengantuk ni. Cakap dengan Abang Kasim, Kas tunggu dalam kereta. Heh… Abang Kasim ni, entah-entah dia pergi cucuk biji mata dengan garpu,” rungut Kasdina.

“Pasal apa pula dia nak cucuk bijik mata sendiri?” pelik Kak Jah mendengarnya.

“Dia kan Kasim Selamat, sebab tu lambat. Asyik dok ucap selamat malam sana, selamat malam sini. Penyudahnya Kas ni yang tak selamat. Jadi ais batu, keras kat sini.”

Kak Jah ketawa. “Kak Jah ingat, kenapalah tadi. Kau ni kan, kuat betul loyar buruk. Yalah, nanti Kak Jah bagi tahu kat Abang Kasim,” katanya.

Kasdina berlari ke arah kereta. Matanya tak mampu bertahan lagi. Mengantuk sangat-sangat macam dah tertelan Breacol terlebih dos.

Masuk saja dalam kereta, Kasdina terus hanyut bersama mimpi indah dan angan-angannya. Wah… senangnya tidur, baru saja sandarkan kepala, dah berlayar? Mak datuk, tidur nyenyak macam gajah penat, kalau humban ke laut pun dah tak sedar ni.

LAMA Anas Irfan duduk di dalam kereta, menunggu minah puteri singa ni tidur, dan diharap dia akan bangun dengan sendiri. Dah dipanggil-panggilnya nama, tapi minah ni tak juga jaga. Dikuis-kuisnya badan minah cute tu dengan glove kulitnya. Tak berkuit pun.

Anas Irfan merenung wajah Kasdina yang sedang nyenyak tidur. Cantik wajahnya ketika tidur. Macam bayi tidur. Aman dan mendamaikan bila melihatnya. Jauh sekali bezanya sewaktu minah ni dalam sedar. Wajahnya selalu macam singa beranak kecil. Pantang diusik sikit, mulalah nak mengamuk.

Anas Irfan cuba mengejutkan Kasdina sekali lagi. Namun, minah tu masih lena tidur. Ingat orang sedang mendodoikan dia agaknya? Macam mana nak buat ni? Takkan nak tunggu kat sini sampai pagi? Cuaca dahlah below freezing point. Boleh mati kesejukan.

Puas Anas Irfan berfikir, mencari akal untuk membangunkan minah The Lion Princess ni. Memang jenis tidur mati agaknya. Dia mula menyelongkar dashboard kereta auntienya, kot-kot ada benda yang boleh diguna pakai untuk mengejutkan minah ni. Akhirnya dia terjumpa satu plastik putih. Timbul satu idea baik punya. Dia meniup plastik tersebut, kemudian meletupkannya di hadapan muka Kasdina. “Bom…” jeritnya dengan kuat.

“Tolong, bom meletop!” jerit Kasdina yang sudah terbangun dan masih mamai. Dengan pantas dia mengangkat tangan dan membuat aksi Ultraman dalam keadaan mata yang masih tertutup.

Anas Irfan ketawa apabila melihat gelagat Kasdina. Entah-entah tidur tadi mimpi berlawan dengan raksaksa kot.

Perlahan-lahan Kasdina membuka matanya bila terdengar bunyi bising. Daripada sepet terus jadi bulat bila dia melihat Anas Irfan ada bersamanya. Siap ketawa terbahak-bahak.

“Hei, kenapa kau ada dalam kereta ni? Kau nak apa-apakan aku ke? Kalau kau sentuh aku, siap kau. Aku belasah kau nanti!” jerit Kasdina dalam keadaan yang agak takut. Mulut saja bising, tapi hati kecut.

“Eh minah, kau ingat aku terliur ke nak usik kau? Dahlah tidur berdengkur macam kerbau, air liur meleleh, mulut bising. Eeii… gelilah,” balas Anas Irfan.

Kasdina meraba mulutnya. Yalah, ada kesan air liur. Malunya. “Habis tu, macam mana kau boleh berada dalam kereta ni? Tadi Abang Kasim yang janji nak hantar aku. Mana Abang Kasim?” Memang pantang betul dia jumpa mat ni. Hangin satu badannya mula menyerap. Dekat rumah datin tadi jenuh dia mengawal nafsu amarahnya bila Anas Irfan tiba-tiba saja mengejutkan dia.

“Kau tanyalah diri kau sendiri. Apa yang kau letak dalam tom yam kau tu sehingga Abang Kasim sakit perut memulas-mulas. Dia dah tak boleh keluar tandas.” Anas Irfan membuka cerita.

Ternganga Kasdina mendengarnya. Betul ke? Kalau macam tu, habislah tetamu datin sakit perut. Mak tolong! Dia diburu rasa kesal dan bersalah. Macam mana ni? Ya ALLAH… kasihannya tetamu-tetamu datin. Pasti datin malu besar kalau kesemua tetamunya mengalami sakit perut dan cirit-birit. Dia terus diam sehinggalah kereta yang dipandu Anas Irfan berhenti di depan rumah sewanya.

Dengan penuh rasa kesal dan bersalah, Kasdina membuka pintu kereta dan melangkah keluar. Sebelum menutup pintu kereta, dia mengucapkan terima kasih kepada musuh ketatnya walaupun diri tidak mahu menuturkannya, tapi naluri kemanusiaan yang menyuruhnya. Yalah, orang dah hantar segala, ada ke nak buat bodoh saja. Menonong saja masuk dalam rumah. Itu tak civilised, jangan buat malu kaum. Apa punya oranglah!

“KAK JAH, teruk ke Abang Kasim sakit perut dan cirit-birit?” Tanpa sempat memberi salam Kasdina Alya terus bertanya pada Kak Jah melalui telefon bimbitnya.

“Kasdina ke ni?” tanya Kak Jah.

“Yalah Kak Jah, takkan tak cam suara Kas?”

“Itulah kau, bercakap tanpa salam. Main terjah aje. Kalut semacam,” tegur Kak Jah.

“Alah Kak Jah ni, Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh… Apa khabar Kak Jah?” Mengekek Kak Jah ketawa. Ha… baru tahu, nak skema sangat, jawablah biar panjang sedepa atau siap dengan mukadimah khutbah Jumaat sekali.

“Kau ni boleh tahan loyar buruknya. Yang Kas kelam kabut ni kenapa?”

“Kak Jah dah cirit-birit berapa kali? Abang Kasim dah berapa kali? Datin Azizah macam mana? Datuk Zakaria cirit- birit juga ke?”

“Heh… apa pasal benda busuk orang yang kau tanya ni?” sergah Kak Jah.

“Yalah, Kas nak tahu juga. Disebabkan makan masakan Kas, semua orang cirit-birit.” Sedih suara Kasdina. Rasa bersalah menghantui dirinya.

“Siapa kata kami cirit-birit?” tanya Kak Jah, pelik.

“Habis Abang Kasim tak kena cirit-birit?”

“Taklah, ada ni hah tengah tolong Kak Jah mengemas.”

“Dah tu, kenapa dia tak hantar Kas?” marah Kasdina dengan Abang Kasim yang mungkir janji. ‘Saja nak kenakan kita. Berjanji dengan Anas ler tu. Bukan boleh percaya!’ bisik hatinya.

“Anas cakap biar dia hantar Kas sebab rumah Kas dengan rumah dia tak jauh. Kenapa? Dia ada buat apa-apa kat Kas ke?” tanya Kak Jah, risau.

“Eh… tak adalah. Saja nak tahu. Okeylah, Kak Jah. Selamat malam.” Kasdina mengakhiri perbualannya. Huh… mat poyo ni tak habis-habis cari kes dengan aku. Nanti kau, ada ubi ada batas, ada hari aku akan balas. Tungguuuu…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *