[SNEAK PEEK] AWAK SUNGGUH PERFECT

AWAK SUNGGUH PERFECT Oleh Nurul Syahida

TARIKH hari itu: 4 Disember, 1989. Hari pertama persekolahan buat Khadijah Hurayrah binti Hamzah. Dia teruja. Begnya sudah diisi dengan buku-buku yang masih berbau cetakan baharu. Baju dan tudung rasmi sekolah membuatkan dia berasa seperti dia sudah cukup besar untuk membuat keputusan sendiri, bukan seperti era tadika di mana semuanya ditentukan oleh mama dan papa. Dia juga bangun sejam lebih awal kerana takut dia akan terlambat ke sekolah.

Kita tak boleh lambat ke sekolah. Cikgu perlu lihat yang kita adalah seorang budak yang bertanggungjawab!

Namun begitu, tidak seperti kanak-kanak lain yang akan ditemani ibu bapa mereka pada hari pertama persekolahan, Khadijah akan menghadapinya sendirian.

“Mama betul tak teman angah ke?” soal Khadijah ketika ibunya sedang memakaikan peniti pada tudungnya.

Sekolahnya hanya membenarkan aksesori yang berwarna biru atau hitam agar nampak seragam. Jadi bola penitinya yang disemat ke sisi tudung juga berwarna hitam.

“Tak dapatlah, sayang. Nanti siapa nak jaga alang dengan acu kat rumah?” ujar si ibu.

“Tapi kalau jadi apa-apa macam mana?” soal Khadijah lagi.

“Kak Rina kan ada. Kalau ada apa-apa masalah, minta cikgu panggil Kak Rina. Ingat baik-baik. Khairina Hani, kelas 4 Hikmah,” pesan Puan Khairiah.

Khadijah mencebik. Dia tahu, sudah menjadi lumrah untuk ibu bapa menemani anak mereka pada minggu pertama persekolahan atau setidak-tidaknya separuh masa pertama pada hari yang pertama. Khadijah dengar sendiri daripada kakaknya.

Kata Khairina, ketika dia mula-mula masuk darjah satu dulu, mama dan papa sama-sama menemaninya dari awal waktu pembelajaran sampai tamat waktu sekolah. Kalau Puan Khairiah tidak berkesempatan, suaminya yang akan menunggu si anak. Kalau Encik Hamzah sibuk, Puan Khairiah pula yang akan menanti Khairina sambil berbual mesra dengan semua ahli ‘Persatuan Ibu Bapa Risau Anak Masuk Darjah Satu’ yang lain.

Selama empat hari!

Tetapi jelas Puan Khairiah, situasi kemasukan darjah satu Khairina tidak sama dengan Khadijah. Ketika Khairina memasuki darjah satu, papa mereka masih belum dinaikkan pangkat. Semua tanggungjawab sebagai ibu bapa dibahagikan sama rata antara mereka berdua. Tetapi enam bulan lepas, Encik Hamzah naik gred. Dia mula sibuk dengan pekerjaan dan tempoh penyesuaian dirinya, jadi semua tugas di rumah perlu dipikul Puan Khairiah sendirian.

“Nak balik nanti macam mana?” tanya Khadijah.

“Kak Rina temankan.”

“Kalau kita kena buli?”

“Beritahu cikgu.”

“Kalau ada orang jahat nak tangkap kita?”

“Macam mana orang jahat nak tangkap kalau duduk dalam kawasan sekolah?”

“Kalau sekolah terbakar?”

“Panggil bomba.”

“Kalau bomba tak datang?”

“Tuang air,” ujar Puan Khairiah, sudah malas hendak melayan.

Khadijah terdiam seketika.

“Kalau kita terkencing dalam seluar?”

“Mana ada budak perempuan terkencing dalam seluar. Malulah,” ujar Puan Khairiah, kemudian berlalu ke dapur untuk menyiapkan bekal sekolah dua orang anak daranya.

Tiga keping sandwic telur setiap seorang dengan dua botol air berisi air kosong. Bekal Khairina berwarna merah jambu dengan gambar kartun ‘Rainbow Bright’ yang menunggang kudanya, Starlite. Bekal Khadijah pula berwarna biru dan ada lakaran bentuk kepala kucing berwarna hitam dengan mata berwarna kuning keemasan.

Khadijah yang memilihnya sendiri selepas hampir dua jam mereka mencari barang persekolahan, beberapa hari yang lalu. Selepas menolak beberapa cadangan botol air, daripada botol air biasa tanpa sebarang corak, ke botol air yang memaparkan semua kartun kegemaran Khadijah seperti Jem, Moon Dreamers dan Care Bears, tiba-tiba Khadijah terpandang set bekal makanan dengan logo kucing itu dan merengek mahukannya.

“Macam Chippy,” ujar Khadijah, sambil membelek-belek set bekal makanan itu.

Chippy merupakan kucing hitam peliharaan keluarga mereka. Usianya sudah menjangkau tujuh tahun, hampir sebaya dengan Khadijah sendiri. Kata Puan Khairiah, mereka menjumpai Chippy di sebuah rumah inap desa di Kubang Kerian, ketika Khadijah dilahirkan.

Senang kata, Khadijah dan Chippy membesar bersama. Tetapi berbeza dengan Khadijah yang baru hendak mengenal dunia pada usia tujuh tahun, Chippy sudah mula menunjukkan tanda-tanda kucing yang sudah lama hidup. Adakalanya, bila Khadijah angkat Chippy untuk ajaknya bermain kejar tali, Chippy mengeluarkan bunyi keluhan dan hanya akan duduk setempat, enggan melayan Khadijah.

Sesekali ia akan menampar tali yang diacah-acah di depan mata dengan malas, perbuatannya itu tidak ubah sekadar untuk menjaga hati Khadijah yang bersungguh-sungguh mahu bermain dengannya.

“Boleh balik awal tak?” soal Khadijah sambil mengambil tempat di meja makan dan mula menikmati sarapan.

Bijirin Cornflakes dengan susu Dutch Lady yang ada gambar wanita Belanda berambut perang di depannya. Kakaknya Khairina pula baru turun dari biliknya, diikuti bapa mereka.

“Buat apa nak balik awal?” tanya Puan Khairiah kembali.

“Nanti kesian tak ada siapa nak main dengan Chippy,” ujar Khadijah.

“Boleh. Baliklah awal, lepas tu bodoh sampai mati,” sampuk Khairina.

“Rina,” tegur Puan Khairiah dengan agak tegas.

Khadijah menjelir lidah pada si kakak.

“Rina, nanti kat sekolah tolong tengok-tengokkan adik. Mama tak dapat nak temankan dia. Banyak benda yang nak dibuat kat rumah,” pinta Puan Khairiah, sambil membetulkan tali leher Encik Hamzah.

Si bapa juga turut mengambil tempat di meja makan, menunggu isterinya menuangkan air. Air teh yang dituang ke dalam cawan ditarik pula menggunakan cawan yang lain, menghasilkan busa yang tebal bagaikan teh buatan mamak. Teh itu ditarik beberapa kali sebelum diberikan kepada suaminya dan segera diminum Encik Hamzah. Itu petuanya untuk mengurangkan panas minuman.

“Hari ni angah start sekolah, kan?” tanya Encik Hamzah.

“Kan orang dah pakai baju sekolah. Mestilah nak pergi sekolah,” balas Khadijah.

Encik Hamzah tersedak. Isterinya ketawa berdekah-dekah.

“Hah, tanya lagi soalan bodoh. Kan dah anaknya jawab balik,” ujar Puan Khairiah.

“Yalah, yalah. Padan muka papa,” ujar Encik Hamzah.

Dia menghirup lagi tehnya.

“Ingat tak apa pesan papa semalam?” soal Encik Hamzah.

“Ingat. Dengar cakap cikgu. Bagi perhatian masa cikgu mengajar. Jangan gaduh dengan kawan-kawan,” jawab Khadijah sambil mengira setiap satu peraturan yang diajar papa dengan jari.

“Apa lagi satu?”

“Tenjer tenjer,” jawab Khadijah dengan penuh yakin.

Papanya ketawa lagi.

“Bukan tenjer tenjer. Stranger dangerlah. Bahasa Inggeris pun tak pandai ke?” tegur Khairina.

Khadijah menjelir lidah pada kakaknya.

“Tak apa. Silap sikit aje. Yang penting angah tahu maksudnya apa, kan?” tanya Puan Khairiah.

Khadijah mengangguk.

“Maksudnya jangan ikut orang yang tak dikenali. Jangan ambil apa-apa yang orang tak dikenali bagi. Jangan naik kereta orang tak dikenali,” ujar Khadijah, mengulang semula ayat yang disebut bapanya semalam.

“Bagus. Kalau ada orang tak dikenali datang kacau, angah kena buat apa?” tanya Encik Hamzah.

“Cari cikgu untuk tolong,” ujar Khadijah, tersengih bangga kerana mengingati semua ajaran ibu bapanya.

“Good girl,” puji Encik Hamzah.

Dia menepuk-nepuk kepala anaknya.

“Cikgu mesti sayang!”

CIKGU mesti sayang? Itu hanya benar pada separuh masa pertama waktu pembelajaran, kerana apabila tiba waktu rehat, Khadijah sudah pun didenda kerana bergaduh dengan budak lelaki.

****

“AWAK ni kenapa?” tanya Khadijah, memandang FU atas ke bawah.

Sejak tadi lelaki itu tidak senang duduk.

“Tak. Sakit perut,” jawab FU.

“Awak jumpa mama dengan papa saya semalam. Yang awak sakit perut hari ni kenapa?” tanya Khadijah.

Dia memasukkan anak kucing yang baru diselamatkan oleh FU malam tadi kembali ke dalam sangkar. Si kecil berwarna putih itu mengiau perlahan, seolah-olah mengucapkan terima kasih selepas diberikan susu khas oleh Khadijah. Sarah yang sedang memeriksa checklist untuk aktiviti seterusnya hanya ketawa mendengarnya.

Republik Kucing kini memiliki lebih banyak sukarelawan. Dengan bantuan Khadijah, (atau mungkin juga campur tangannya. Maklumlah, sejak dia dan FU rasmi menjadi pasangan, lelaki itu lebih patuh pada permintaannya berbanding dahulu) pusat perlindungan itu mendapat publisiti yang lebih meluas.

Ada sahaja sukarelawan yang rata-rata pelajar kolej atau lepasan SPM yang sudi bekerja di situ secara percuma. Malah, kini mereka menjalankan aktiviti baru, di mana Khadijah, Sarah dan FU akan mengembara ke serata negara dalam kempen mereka untuk memupuk kesedaran orang ramai tentang pentingnya memelihara kucing terbiar dan melakukan pengambilan dari pusat perlindungan.

Malah pada saat ini, mereka baru selesai melakukan aktiviti itu di sebuah sekolah antarabangsa dan kini sedang berkemas untuk ke destinasi seterusnya.

FU hanya tersengih, tidak menjawab soalan Khadijah.

So, macam mana perjumpaan awak dengan mama dan papa saya? Okey? Dia orang ingat awak tak?” tanya Khadijah.

Memang benar, malam semalam FU ada bertemu mereka. Tetapi Khadijah tidak dapat menemaninya kerana terlalu sibuk dengan urusan kerja. Bila diminta agar FU menundanya ke tarikh lain, lelaki itu berkeras mahu melakukannya malam itu juga. Sudahnya, dibiarkan sahaja FU sendirian di rumah ibu bapanya.

Entah apa yang dah berlaku, Khadijah juga tidak tahu.

FU memandang sekeliling. Para pelajar sudah pun pulang ke rumah masing-masing, begitu juga dengan pasukan Doktor Faiz yang hadir untuk memberikan vaksinasi buat kucing-kucing yang telah diambil sebagai haiwan peliharaan. Hanya tinggal dia, Khadijah dan Sarah. Tetapi Sarah pula sedang sibuk berbincang dengan pihak pengurusan sekolah.

“Khadijah, sini kejap,” pinta FU sambil mengisyaratkan gadis itu untuk mengekorinya.

What?” tanya Khadijah, sekalipun langkahnya tetap maju menuruti permintaan FU.

FU membawa Khadijah masuk ke dalam bangunan sekolah, melewati sebuah taman dalam bangunan yang cukup indah, sehingga tiba di sebuah bilik guru yang berada tepat di hadapan taman itu. Dia meminta Khadijah menunggu di luar sementara dia masuk dan bercakap dengan seseorang. Tidak lama kemudian, FU muncul kembali sambil menyembunyikan sebahagian badannya di balik pintu bilik guru itu.

“Ada apa?” tanya Khadijah.

Suasana sekeliling agak sunyi, kecuali bunyi air terjun mini dari taman berdekatan.

“Semalam saya pergi jumpa mama dan papa awak, tapi bukan untuk berkenalan dengan dia orang. Sebenarnya saya dah pun pernah jumpa dia orang dan perkenalkan diri dari bulan lepas lagi,” ujar FU.

“Awak memang tak malu, kan?” ujar Khadijah, sekalipun sedikit terkejut. Tidak Encik Hamzah mahupun Puan Khairiah memberitahunya tentang hal itu.

FU ketawa.

Anyway, saya jumpa dia orang semalam atas tujuan lain,” ujar FU, lantas mengeluarkan apa yang disembunyikannya dari tadi.

Wajah Khadijah terus bersinar ketika dia menyedari apa yang disembunyikan FU.

Sebuah bakul kecil dihulurkan oleh lelaki itu. Di dalamnya, seekor anak kucing berwarna hitam sedang tidur dengan nyenyak, sedikit pun tidak terganggu dengan perbualan antara kedua-dua manusia itu. Ia mengingatkan Khadijah tentang Chippy, kucing peliharaan pertamanya dan satu-satunya kucing hitam yang pernah dimilikinya.

“Comelnya,” ujar Khadijah, lantas mengusap perlahan kepala si anak kucing.

“Bacalah apa yang tertulis kat loceng dia tu,” ujar FU, cuba serius sekalipun ada senyuman yang hampir tidak tertahan.

Si hitam memakai seutas kolar kucing dengan loceng metal berwarna biru. Tetapi ia juga datang dengan sekeping cat tag yang berbentuk bulat, yang biasa digunakan untuk mengukir nama si kucing atau maklumat tentang pemiliknya. Tetapi tag itu tidak memiliki nama mahupun maklumat tentang dirinya.

Apa yang ada hanyalah nota kecil yang diukir kemas.

You’re purr-fect. Meow-rry Me?

 

Khadijah berasa terharu, tetapi cuba ditahan emosinya. Dia hanya mengangkat muka, memandang FU.

FU berpura-pura batuk lantas berdehem membetulkan suara.

“Meow-rry me? Meow? Rry? Me?” soal Khadijah, ketawa.

“Saya dah tanya kat budak kecil ni, apa marry me dalam bahasa kucing, tapi dia jawab miau aje, so…” balas FU, lantas tersenyum.

“Saya boleh jawab ya, tapi awak still kena minta izin mak ayah saya,” ujar Khadijah.

“Yalah, sebab tu saya pergi jumpa dia orang malam tadi. Saya dah minta izin. Kita orang siap rangka perancangan bila nak bertunang, bila nak kahwin, nak pakai baju apa. Mama awak nak tema warna hijau pucuk pisang. Dia tak peduli awak nak atau tak, sebab dia kata awak dah buat dia tunggu lama sangat untuk kahwinkan awak,” balas FU.

Khadijah mengangguk-angguk. Sukar menahan ekspresi bahagia yang sedang menguasai dirinya.

“Nak ke tak nak kahwin dengan saya ni? Kalau tak nak, saya ajak Sarah aje,” ujar FU, geram apabila Khadijah masih tidak berikan jawapan.

“Eh, nak…nak…nak,” ujar Khadijah, lantas mengambil bakul itu dari tangan lelaki itu.

Si hitam yang masih tidur lena dicium sepuas-puasnya.

“Banyaknya nak. Gelojoh!” seloroh FU.

Khadijah ketawa.

Kalau boleh, dia ingin habiskan sepanjang usianya dengan terus ketawa.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/96043/Awak-Sungguh-Perfect

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *