[SNEAK PEEK] AKU

AKU oleh Shaz Johar

Aku, 45 tahun.

Dua hari selepas itu, Danial terus hilang tanpa khabar berita. Setiap panggilan yang aku buat, jika dihitung tentu sudah lebih 100 kali jumlahnya, tidak satu pun yang berjawab. Aku juga telah pergi ke rumahnya. Pintu pagarnya bermangga, pintu depannya berkunci. Jika benar dia telah diserang dan diikat di dalam rumah, penyerang kali ini lebih bijak menyempurnakan tugasan yang dilakukan.
Hatiku bimbang dan dalam masa yang sama sakit. Ingin menghubungi tuan rumah dan meminta untuk memeriksa di dalamnya, aku tidak tahu rumah itu milik siapa. Ingin menghubungi pihak polis, aku kira polis juga tidak mahu membantu memandangkan tiada sebab untuk mereka mengesyaki apa-apa selain beranggapan yang mungkin dia telah melarikan diri.
Wajah Anna yang sedang mentertawakanku sambil menyalakan sebatang rokok di bibirnya terbayang-bayang. Tentu berkepul-kepul asap yang keluar dari mulutnya bak awan di udara saat dia ketawa berdekah-dekah. Tentu dia akan memadankan mukaku kerana tidak mendengar pesannya berkali-kali supaya melupakan lelaki itu. Tentu dia senang juga bila melihat cintaku kecundang sekali lagi di kala dia sedang bergembira dengan kekasih barunya.
Untuk mengalihkan perhatianku daripada berfikir yang bukan-bukan, aku luangkan masa yang ada dengan mengemas rumah. Lama juga aku menyapu, mengemop dan menyental lantai, dari ruang tamu ke bilik ke bilik air sehingga aku benar-benar kepenatan. Biasanya aku lebih rela mengupah pekerja Nepal yang juga membersihkan dua tiga buah rumah jiran yang lain untuk lakukan kerja-kerja buruh itu.
Tubuh yang berpeluh-peluh aku campakkan ke sofa setelah semuanya selesai. Telefon bimbit yang masih sunyi tidak menerima sebarang balasan daripada Danial, aku hanya lirik dengan tepi mata. Hajat di hati mahu keluar tetapi aku tidak tahu ke mana mahu dituju. Aku perlu tenangkan fikiran.
Perut berbunyi. Dari terbaring, aku bangun dan berjalan ke dapur untuk membuka peti sejuk yang kosong. Sudah lama aku tidak membeli-belah. Yang tinggal cuma beberapa keping roti yang sudah dekat dengan tarikh luput dan mentega kacang yang tinggal separuh botol. Mungkin itu boleh dijadikan alasan kenapa aku harus keluar rumah. Mungkin aku perlu ke kedai runcit atau ke pasaraya atau setidak-tidaknya ke kedai mamak untuk mengalas perut. Mungkin aku perlu kisahkan Sari juga, kesian sudah lama aku tidak memasak untuknya.

──●──

Aku letakkan telefon ke bawah. Mata memberi tumpuan kepada keadaan di dalam kafe yang sunyi itu. Silingnya rendah dan lampunya sentiasa malap, memang lokasi strategik untukku duduk berteleku dan berfikir. Kopinya tidak berapa enak dan mahal. Pertama kali aku datang ke situ dulu hanya kerana mahu mencuri wifi percumanya. Kali kedua aku datang pula kerana baristanya masih muda, bergetah dan kacak.
Mungkin Danial telah dibelasah teruk oleh kekasih baru Anna, si Hashim Muhammad itu, fikirku. Mungkin lelaki itu telah membalas dendam dan mencampak tubuh Danial ke mana-mana. Mungkin Danial telah dipukul hingga hilang ingatan dan merayau-rayau tanpa hala tuju seperti gelandangan. Atau mungkin juga dia telah mati.
“Kenapa you suka fikir yang bukan-bukan?” tanya Julia yang tiba-tiba muncul dengan secawan kopi di tangan. Dia duduk di depanku, wajahku dipandangnya semacam.
“Dah lama tak nampak. Mana you pergi?” soalku semula.
Dia menghidu aroma kopi itu sebelum memasukkan dua bungkus gula perang dan mengacaunya perlahan. “I takkan datang kalau you yang tak panggil I, Ghaz.”
“Bila I panggil you?”
Dia tersenyum. “Bila you dah lupa diri macam ni?”
Aku mencebik, tidak percaya.
“Sari apa kabar?”
“Bahagia. Lebih bahagia daripada I.”
“Hm?”
“Hm. Dia dah ada girlfriend. I dah tau dah selama ni kenapa dia jauhkan diri dia daripada I, dia malu nak ngaku depan I dia tu siapa sebenarnya.” Aku menggulingkan mata. “Tapi kita orang OK dah sekarang ni. You support apa juga pilihan dia, kan?”
Julia hanya tersenyum sambil menopang wajahnya dengan kedua-dua belah tangan.
“You support apa juga pilihan I, kan?”
“I love you both.” Itu saja jawapannya.
“Thank you. You tau tak, dulu masa I kecik, mak I selalu bagi I makan lauk kambing jantan. Dia kata biar I jadi kuat sikit. Jadi jantan. Jangan nak lembik-lembik. Nenek I marah. Dia takut I kena darah tinggi.”
Kami berdua ketawa.
“Tak lama lepas tu, mak I letak pulak poster Farrah Fawcett kat atas katil I. I terfikir, dia letak poster tu sebab dia support yang I suka gila kat Farrah Fawcett sebab nak jadi macam perempuan tu ke, atau dia nak I jadi macam lelaki lain yang suka gila kat Farrah Fawcett sebab nak main dengan perempuan tu. I is konfius.”
“You dengan Mak you sama je mengarut.”
Kami berdua ketawa lagi.
“Danial hilang lagi, Jules. Dia dah janji nak jumpa Sari tapi dia pilih untuk hilang balik,” kataku selepas keadaan kembali tenang.
Wajah Julia berubah. “Dia pernah ke serius dengan you?” soalnya lembut.
“Tapi dia janji nak sehidup semati dengan I. Tak nak lari-lari lagi. Ajak I hidup sama-sama kat Paris. Takkan dia tak maksudkan apa yang dia cakap tu? Takkan semua tu main-main?”
“Dia pernah ke serius dengan you, Ghazi…?” ulangnya.
Aku terdiam.
“Do you want more coffee, Sir?” sapa barista kacak yang sedang mengemas meja di sebelah. Di bahunya tersangkut sehelai tuala putih. Sebelah tangannya memegang dulang berisi cawan kotor, sebelah lagi mencekak pinggang. Wajahnya berjambang kemas. Rambutnya hitam lebat. Hidungnya mancung. Kulitnya licin sawo matang. Persis Hindustani.
Aku memandangnya sambil tersenyum. “No thanks,” jawabku sebelum mengalihkan pandangan ke arah kopi yang tinggal sedikit dan tempat duduk Julia yang sudah kembali kosong.
“Hot chocolate? Tea?”
“Maybe just your number,” gurauku.
Dia tersenyum. Sekeping kertas dan sebatang pen dari dalam apronnya dikeluarkan. Dia mula mencoretnya dan menghulurkannya kepadaku. “Kaisar,” dia memperkenalkan diri. “Text me,” tambahnya sebelum pergi ke dapur.
Aku terkesima.

──●──

“Uncle Danial hilang. Papa tak dapat contact dia dah dua hari. Papa tak tau dia pergi mana,” jelasku pada Sari yang kecewa aku sekali lagi tidak menepati permintaannya. “Bukan Papa saja-saja tak nak dia datang, memang Papa nak kenalkan dia dengan Sari, dengan Shi sekali, tapi Papa tak tau apa yang dah jadi kat dia.”
Sari dan Shi berpandangan.
“Uncle rasa bapak saya yang punya kerja ke?” tanya Shi.
“Papa ingat dia kena pukul dengan bapak Shi?” tanya Sari pula.
“Tak tau. Uncle tak nak tuduh sesiapa. Ayah Shi ada cakap apa-apa tak?”
“Tak. Saya dah seminggu tak jumpa dia, Uncle.”
“Outstation lagi?”
Dia mengangguk.
“Ayah Shi kerja apa?”
Dia menggeleng pula kali ini. Katanya dia sendiri tidak tahu apa pekerjaan sebenar bapanya itu. Setiap hari orang tua itu akan hilang seawal pagi dan hanya pulang setelah lewat malam. Kadang-kadang tidak pulang langsung untuk berhari-hari. “Bila tanya kat Mak, dia akan cakap Ayah buat bisnes. Bisnes apa, kita orang tak tau.”
“Bisnes import-eksport agaknya,” usikku.
“Cukup bulan dia akan bagi Mak duit dan bila kelapangan dia akan bawa kami satu family jalan-jalan,” sambung Shi lagi.
Bapanya sukakan makanan jadi percutian mereka sekeluarga biasanya ke tempat-tempat yang terkenal dengan makanan saja. Shi tidak ingat apa yang biasa mereka lakukan sewaktu bercuti selain berjalan mengikuti tangga-tangga dan lorong-lorong kecil yang membawanya ke sebuah warung makanan atau restoran terpencil entah di ceruk mana. Bapanya akan menyuruh dia dan adik-adik memesan apa saja tanpa khuatir langsung tentang harga, manakala ibunya pula akan kerap membantah.
Kemudian mereka berdua akan bertelagah di depan rezeki dan seterusnya bersambung ke bilik hotel dan mungkin berakhir dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Mungkin. Dia dan adik-adiknya yang sudah masak dengan kerenah ibu bapa mereka itu hanya memilih untuk tidak langsung mahu peduli. Masing-masing lebih rela mengisi perut.
“Saya boleh tanya mak saya kalau dia tau apa-apa,” tambahnya lagi.
“Please. Uncle ingat nak buat report polis kalau still tak ada berita apa-apa daripada dia esok.”
“Dah tanya Auntie Anna?” tanya Sari pula.
Geleng. “Papa dah tak cakap dengan dia. Dia ingat Papa yang pukul bapak Shi.”
Sari dan Shi terdiam.
Aku hanya menghela nafas.

──●──

Telefon di atas meja berdering ketika fikiranku betul-betul sedang berserabut. Kusangkakan panggilan daripada Danial tetapi rupa-rupanya nama Anna yang tertera di skrin. Aku mengeluh kecil. Sudah berpuluh kali aku menghantar pesanan dan membuat panggilan kepada perempuan itu sebenarnya tetapi baru kali ini dia tergerak hati mahu membalas.
“Apa yang kau nak?” soal Anna sebaik aku mengucapkan hello.
“Waalaikumsalam,” balasku. “Aku nak jumpa kau. Aku nak kita berdamai. Boleh?” pintaku dengan sopan. Walaupun aku tahu dia masih marah pada benda yang tidak aku lakukan, aku kira lebih baik jika aku mengalah saja dan berusaha mencari jalan penyelesaiannya. Aku sudah penat mahu bergaduh dengannya lagi.
“Tak. Jangan call-call aku lagi, jangan cari-cari aku lagi,” balasnya kasar.
“Anna, please…”
“Kau nak apa daripada aku sebenarnya ni?”
“Aku cuma nak tanya, kau ada dengar cerita apa-apa pasal Danial tak?”
Dia ketawa terbahak-bahak. “Kenapa? Jantan puaka tu dah lari tinggalkan kau balik?”
Aku terdiam.
“Kenapa kau tanya aku? Kenapa kau tak gi balai, buat report orang hilang?”
“Esok. Esok aku buat report. Sekarang ni aku nak tanya kau dulu, kot-kot kau tau apa yang boyfriend kau, si kaki pukul tu, si laki orang tu, dah buat apa kat dia.”
“Nonsense.” Dia menamatkan talian.
Aku menekan namanya sekali lagi. Hanya sekali dering sebelum panggilan aku dijawab.
“Kau ni faham bahasa ke tidak?”
“Anna, please. Kalau kau tau apa-apa, please bagitahu aku. Tanya boyfriend kau tu, dia ada belasah Danial ke tidak.”
“Kau ni dah kenapa, Ghazi? Kau ni kenapa tak nak faham-faham? Umur kau tu dah berapa sebenarnya ni? Kenapa perangai kau sama je macam perangai anak kau tu?”
“Sari tak ada kena-mengena dalam hal ni, appreciate kalau kau tak sebut nama dia.”
Dia ketawa lagi. “Kalau dia yang tak sibuk-sibuk pasal hubungan aku, mesti kau pun tak ada kena-mengena dalam hal ni, Ghazi.”
Aku mengaduh. “Please tanya boyfriend kau tu, Anna. Aku syak dia dah buat apa-apa kat Danial. Please… aku merayu ni.”
“Tak payah! Aku suggest kau tu better buat solat ghaib. Mudah-mudahan Allah boleh tolong!” sindirnya sebelum mematikan talian sekali lagi.
Aku campak telefon di tangan ke sofa. Dari duduk, aku bangun, duduk semula, kemudian bangun sekali lagi dan berjalan ke dapur untuk bermundar-mandir di situ seketika sebelum keluar semula dan terus ke balkoni. Aku berdiri di tepi tingkap, memandang ke luar dan dalam kepala waktu itu mula memikirkan tentang rokok semula. Tidak. Jangan. Aku perlu alihkan perhatian. Lalu aku duduk ke sofa dan capai telefon dan kunci kereta.
Aku harus ke balai polis. Malam itu juga aku harus membuat aduan.

──●──

Borang yang sudah siap diisi diserahkan kepada pegawai polis itu. Segala butir lengkap tentang Danial aku beri. Nama penuhnya, nama samaran, umur, alamat rumah yang didiaminya, nombor telefon dan alamat e-mel. Begitu juga dengan penerangan fizikalnya seperti tinggi, berat, warna rambut, misai, janggut, kacamata yang kadangkala dipakainya, aksesori, pakaian dan lain-lain. Sekeping gambar juga disertakan untuk memudahkan lagi urusan mencari.
“Ni nombor telefon awak?” tunjuk pegawai polis itu pada nombor yang aku tulis di atas borang itu juga. “Ada contact number lain? Nombor family dia?”
Aku menggeleng. “Tak ada. Saya tak kenal family dia.”
Pegawai polis itu meletakkan pen. Wajahku direnung. “Awak kata awak rapat dengan dia, tapi awak tak pernah kenal family dia?”
“Ya. Saya dah lama tak jumpa dia, dia tinggal kat Paris sebelum ni. Dia sepatutnya balik next week. Tapi dah lebih 48 jam dia hilang.”
“Dia tak cakap ke dia nak pergi mana-mana? Mungkin dia bercuti ke mana-mana ke?”
“Tak. Tak pernah.”
Pegawai polis itu terus tekun membaca borang di depan matanya itu. “Apa hubungan awak dengan dia?”
“Kawan.”
“Kawan…”
“Karib.” Niat di hati mahu menyebut perkataan istimewa tetapi aku sendiri terasa malu untuk menuturkan perkataan itu.
Dia mengangguk. “Tapi tak pernah kenal family dia.”
“Yes. Tak pernah. Salah ke?”
Dia hanya menggeleng. “Dia ada amik dadah? Minum?”
“Tak tau. Saya tak pernah nampak dia amik benda-benda tu semua.”
“Kali terakhir awak nampak dia dengan siapa?”
Setahu aku dia sudah menanyakan soalan itu tadi. “Dengan saya. Saya tidur rumah dia. Dia tinggal kat Airbnb. Esoknya dia hilang. Saya pergi rumah tu, dah berkunci. Saya call, tak angkat. So saya tak tau apa sebenarnya yang dah jadi kat dia.”
“Awak tau kalau-kalau dia ada masalah kat luar? Masalah relationship ke? Masalah kewangan? Masalah kat tempat kerja? Masalah dengan orang lain?”
Geleng. Aku tidak mahu menuduh yang dia dipukul. Aku tidak mahu bercerita juga yang dia telah membelasah orang. Aku takut mahu membuka pekung sesiapa, terutama diri sendiri. “Kenapa, Encik? Awak ingat dia dah lari ke? Bukan kena culik? Bukan kena bunuh?”
“Kita fikirkan apa juga kemungkinan. Mungkin dia lari untuk cari ketenangan kat tempat lain, tak nak diganggu. Ada banyak kes macam tu. Polis tak boleh buat apa-apa kalau dia yang volunteer lari sendiri. Dia dah dewasa.”
“Mungkin polis boleh masuk rumah tu dan tengok luggage atau passport dia ada ke tidak. Kalau ada, tak mungkin dia lari sehelai sepinggang, kan?”
Pegawai polis itu terangguk-angguk.
Aku meramas jari-jemari yang kesejukan. “So?”
“Awak balik rumah dulu. Berehat. Nanti kami akan panggil kalau ada apa-apa berita.”
Pangkal hidung dipicit. “Berapa lama saya kena tunggu, Encik?”
“Kami akan cari dia sampai dapat. Awak jangan risau,” kata pegawai polis itu sambil tersenyum. “OK?”
“OK,” jawabku sambil menghela nafas.

──●──

Malam itu sebaik pulang dari balai polis, aku terus terlelap di atas sofa. Mungkin kepenatan kerana fikiranku terlalu bercelaru, mustahil aku dapat lena dengan pantas begitu saja. Dan dalam tidur, aku bermimpi sesuatu yang dahsyat.
Aku berada dalam satu perjalanan yang panjang. Tiada apa di sekeliling jadi aku tidak tahu bagaimana aku boleh berada di atas jalan itu, memandu seorang diri. Jam di dalam kereta menunjukkan pukul 3 pagi. Jam tangan 4. Manakala di telefon bimbit, pukul 11. Aku tidak pasti mana satu yang betul.
Keretaku berhenti ketika aku terlihat ada sebuah kereta lain tersadai di tepi sebuah tapak pembinaan. Mulanya aku mahu biarkan saja kereta itu. Telahanku mungkin ia rosak dan ditinggalkan oleh tuannya, menunggu orang untuk datang membaiki apabila matahari muncul kelak. Atau mungkin juga ia kepunyaan pekerja di tapak pembinaan itu sendiri yang memang sengaja meninggalkannya di situ. Tetapi apabila aku lihat pintu depannya terbuka sedikit, aku mulai berasa curiga.
Naluriku mendesak, memintaku untuk menyiasat. Mungkin ada orang yang sedang melakukan onar di dalam kereta itu. Pasangan yang sedang menongkah arus asmara. Yang sedang leka menggoncang nyiru kasih. Mengetuk, mengayak, meninting, menimbang, tanpa pedulikan mata-mata kecil yang mengintai. Mungkin aku patut sergah saja mereka agar mereka lari lintang-pukang cuba menyelamatkan diri.
Tetapi apa yang aku harapkan tidak menjadi kenyataan. Ketika aku menyuluh untuk melihat apa yang ada di dalamnya, aku temui Danial dalam keadaan separuh bogel. Dia telah mati. Mayatnya telah hampir reput, terbaring di tempat duduk belakang, dengan tangan dan kakinya terikat. Seluarnya sudah terlucut sehingga ke pangkal lutut. Baju kemejanya tertanggal. Mulutnya pula telah disumbat dengan sehelai tuala Good Morning yang sudah lusuh bercampur kesan darah lama.
Aku terus menjerit sekuat hati sehingga membuatkan aku terjaga dari tidur. Tubuhku berpeluh-peluh. Kepala terasa benar-benar pening, berputar-putar seperti mahu pitam. Nafas sesak. Dan otak mula memikirkan seburuk-buruk perkara.
Bagaimana jika Danial benar-benar ditemui mati?

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/271732/AKU

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *