[SNEAK PEEK] AKU SUKA KAU BENCI

AKU SUKA KAU BENCI Oleh Tinta Biru

IZA merenung jam di pergelangan tangan. Sudah hampir pukul 8.30 pagi. Dia semakin gelisah menanti. Hari ini masuk hari ketiga pelajar tahun satu Kolej Kediaman Keempat di Universiti Malaya menjalani Haluansiswa. Semalam saja ramai yang telah dikenakan denda kerana datang lewat. Ada yang disuruh berjalan itik, ada yang dikenakan ketuk ketampi dan ada pula yang dipaksa lompat bintang. Oh, tolonglah… Dah macam pelajar sekolah pula. Sekarang ini mereka bukannya bertaraf pelajar sekolah lagi, tetapi mahasiswa di universiti. Jam di pergelangan tangan dipandang lagi. Mungkinkah hari ini dia turut didenda sama? Oh… Tidak. Tak sanggup rasanya dia dimalukan di hadapan khalayak ramai. Pintu tandas diketuk beberapa kali. Mia Sarah perlu diminta supaya cepat menyelesaikan ‘misinya’.

“Mia!!! Cepatlah… Kau buat apa lama-lama dekat dalam tu? Dah pukul lapan setengahlah. Nanti kita lambat.”

“Alah… Perut aku tengah meragam ni. Dari tadi tak lepas-lepas. Tak apalah, kau pergilah dulu. Aku rasa aku lambat lagi ni.”

“Biar betul kau ni? Dah berapa hari kau tak melabur dekat amanah saham ni? Sekali melabur sampai berjam-jam. Eh… Aku pergi dululah, ya. Aku takut kena marahlah.”

“Okey, tak apa. Kau pergilah dulu.” Mia Sarah terpaksa merelakan pemergian Liza.

Dia pun tidak mahu disebabkan dirinya, Liza akan dimarahi. Tapi agak-agaklah Liza, tak adalah sampai berjamjam dia bertapa di dalam ruang sempit ini. Ikutkan hati, dia pun mahu cepat sampai ke dewan, tetapi entah kenapa perutnya asyik meragam sahaja sejak malam semalam. Mungkin dia ada tersilap makan agaknya. Ataupun tekaknya masih tidak serasi lagi dengan makanan di sini.

SELESAI misinya tadi, Mia Sarah mula mengatur langkah menuju ke dewan. Berdebar-debar hatinya memandangkan dia sudah terlewat. Apalah agaknya denda yang akan dikenakan oleh senior kepadanya nanti? Jangan denda yang berat-berat sudahlah. Termengah-mengah dia menuruni anak tangga memandangkan biliknya berada di tingkat tiga. Sudahlah tangganya kelihatan berpusing seperti bulatan. Naik pening kepalanya kerana menuruni tangga dengan laju. Sampai sahaja di dewan, suasana seakan-akan sunyi. Seorang pun tidak berada di dalam dewan.

“Eh… Mana semua orang pergi ni?” Timbul rasa cemas dalam hatinya.

 

****

Mak Bedah bergegas menuju ke pagar rumah. Terdapat sebuah kereta berwarna hitam sedang menunggu di luar. Dengan perasaan waswas, Mak Bedah membuka pagar dan menjenguk-jenguk ke arah kereta hitam itu. Tiba-tiba pintu kereta dibuka. Keluar dua orang lelaki Cina yang kelihatan garang sekali.

“Itu Derus pigi mana?” sergah lelaki yang tinggi sikit. Bermisai lebat dan rambut panjang paras bahunya diikat rapi.

Mak Bedah kecut perut. Ada apa hal pula kedua-dua lelaki yang berlagak samseng ini mencari suaminya?

“Er… Saya tak tahu.”

“Apa pasai talak tau? Lu bini dia, kan… Mesti lu tau punya.”

“Dah lama dia tak balik rumah. Manalah saya tahu…” Mak Bedah memberanikan diri menjawab padahal dalam hati sudah kecut perut.

“Okey, talak apa. Derus tak ada, tak apa. Janji lu ada. Wa manyak pelik sama itu Derus, lumah manyak besar, lumah olang kaya. Tapi… apa pasai mau pinjam sama along maaa…”

Mak Bedah terkejut. Rasa hendak saja dia tumbang di situ sekarang juga. Berita yang diberitahu amat memeranjatkannya. Pak Derus ni memang melampau betul. Tidak cukup-cukup lagi dengan duit hasil jualan barangan dari rumah ini, sekarang dia meminjam duit dari along pula. Memang mencari nahas betul. Bukan Pak Derus saja yang akan menghadapi masalah besar, malah keluarganya juga akan terkena tempiasnya.

“Er… Saya tak tau. Saya… tak tau fasal tu…” Takut-takut Mak Bedah menjawab tambahan pula melihat muka bengis kedua-dua lelaki itu. Rasa seperti hendak menelannya hidup-hidup saja.

“Wa tak kisah lu talak tau pun. Yang wa tau… hutang Derus lu bayar. Talak banyak maa… 15k saja. Minggu depanwa datang sini tuntut itu duit. Kalau talak, bunga tambah lagimaaa… Okey. Wa cau dulu.”

Kereta hitam dipecut laju meninggalkan Mak Bedah yang hampir terkulai layu. Lemah segala urat sendinya. Kali ini hidupnya betul-betul malang. Sudah jatuh ditimpa tangga. Lepas satu, satu malang datang menimpa. Apa yang harus dilakukannya saat ini? Nyawanya terasa seakan-akan hampir melayang. Setapak demi setapak Mak Bedah melangkah ke dalam rumah.

Dia terus menuju ke bilik Nora. Ingin memberitahu perkhabaran buruk tersebut kepada Nora. Sekurang-kurangnya anak bongsunya itu ada sebagai tempat dia meluahkan perasaan. Pintu bilik diketuk berkali-kali. Nama Nora dilaung, namun tidak berjawab. Dada Mak Bedah rasa berdebar. Terus dia memulas tombol pintu. Kosong. Nora tidak ada di dalam bilik. Hanya kelihatan sebuah Toto dan bantal yang digunakan oleh Nora di atas lantai. Pakaiannya juga sudah tidak ada. Jangan-jangan Nora juga mengikut jejak Norli yang keluar dari rumah.

Mak Bedah mendekat ke arah bantal yang digunakan oleh Nora apabila terpandangkan sepucuk surat di situ. Sudah pasti surat itu daripada Nora. Nasib baiklah Mak Bedah boleh juga membaca walaupun dalam keadaan merangkak. Perasaan berdebar semakin kuat menghentam jiwa. Sampul surat dibuka, sekeping surat daripada Nora ditatap dan dibaca perlahan-lahan.

Assalamualaikum, mak…

Saat mak baca surat ni, Nora telah pergi jauh dari sini. Tak perlulah mak cari Nora. Nora minta maaf banyak-banyak sebab terpaksa tinggalkan mak sendiri. Dah pasti mak marahkan Nora, kan. Dahlah Kak Norli tinggalkan mak, sekarang Nora pula.

Nora minta maaf mak, bukan niat Nora nak tinggalkan mak sendiri. Tapi Nora rasa bersalah sangat dekat mak. Perasaan bersalah ini semakin kuat terasa bila Nora pandang wajah mak. Sebab itulah Nora pergi menjauh.

Mak nak tahu sangat siapa anak dalam kandungan Nora, kan? Entahlah, kadang-kadang rasa nak marah dekat mak pun ada. Mungkin mak tak sedar, segala yang terjadi berpunca daripada diri mak sendiri.

Anak di rumah mak tinggalkan, sedangkan mak pergi menjaga Mia pula. Nora dah cakap, tak nak tinggal seorang kat rumah. Sebab Nora rasa semacam. Dan memang betul, perkara tak elok terjadi kepada Nora.

Pada suatu malam… Nora memang takkan lupa raut wajah yang Nora hormat selama ini sanggup mencemari maruah Nora. Siapa lagi? Siapa lagi kalau bukan suami mak sendiri…

Untuk kesekian kali, Nora minta maaf lagi… Perginya Nora bukan untuk membunuh diri atau apa… Anak yang Nora kandung ni tak berdosa, tak bersalah langsung. Nora cuma pergi mencari tempat perlindungan yang terbaik untuk diri Nora dan anak ini.

Terima kasih atas segala jagaan mak kepada Nora selama ini. Halalkan segala makan minum dan pakai Nora. Maafkan kekhilafan anakmu ini.

Sekian,

Nora.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/93887/aku-suka-kau-benci