[SNEAK PEEK] AKU NABI ISA!

9789673693436-medium

EBUKU AKU NABI ISA Oleh Dr. Rozanizam Zakaria

Apabila berbicara perihal pesakit mental atau psikiatri, saya bukan sekadar berhadapan dengan mereka yang kronik seperti yang tidak siuman, tidak terurus, berbau, dan tinggal di kaki lima. Berbeza dengan gambaran tipikal yang sering diberikan masyarakat, kadangkala kita didatangi oleh mereka yang sihat fizikalnya, memiliki keupayaan intelektual yang baik, dan kerjaya yang bagus. Namun, mereka mengetuk pintu kami kerana ada sesuatu di sebalik luaran yang sihat dan tenang itu.

PROFIL PESAKIT

Temujanji di klinik saya pada petang itu disusun untuk seorang pesakit baru yang dirujuk oleh kaunselor universiti. Pemuda berusia dalam lingkungan 20-an itu adalah mahasiswa tahun satu di sebuah universiti di Adelaide. Dia dilahirkan dalam keluarga berketurunan Vietnam dan menetap di Australia sejak 15 tahun yang lalu. Daripada apa yang dia ceritakan, dinamik keluarganya begitu terkesan dengan tekanan hidup di Barat. Bapanya bekerja sebagai jurutera di lombong mineral dan hanya ada di rumah selama dua hari seminggu. Ibu dan abangnya pula sibuk dengan urusan perniagaan masing-masing. Dia adalah antara ratusan ribu, malah mungkin jutaan generasi kedua imigran yang menetap di ‘bumi penuh pengharapan’, Australia.

“Tak tahu,” jawabnya ringkas apabila ditanya mengapa dia datang ke klinik pada hari ini. Dia sendiri pada mulanya keliru mengenai sebab musabab dia disuruh bertemu dengan saya pada hari itu. Sesi klinik pada pagi itu bermula hambar, lesu, dan kebanyakan masa terisi dengan kesunyian akibat respons dia yang minimum pada sesi itu. Dia menghabiskan masa tunduk merenung lantai dan bermain dengan jari-jemarinya seakan-akan orang yang gemuruh dengan sesuatu yang ditakuti sejak sekian lama.

Pada wajahnya jelas riak risau bercampur keliru. Nada suaranya yang perlahan dan butir kata-kata yang berat untuk diluahkan memerlukan saya menggunakan pelbagai jalan bagi mencairkan suasana yang beku.

Sememangnya dalam banyak keadaan, saya dan rakan-rakan seangkatan mengalami masalah yang sama. Bukan semua pesakit ‘gembira’ dirujuk ke klinik psikiatri. Ini berbeza dengan orang sakit mata yang berjumpa dengan pakar mata. Pesakit kami kadangkala tidak terasa masalah yang dialami mengganggu kehidupan dan tidak merasakan kami dapat membantu dalam apa juga bentuk. Maka, tugas kami bermula dari kosong. Kemudian, membina sedikit demi sedikit batu-bata kepercayaan pesakit terhadap kami, sehingga terbina binaan yang mereka dapat rasakan mampu melindungi mereka.

“Pastinya ada orang yang risau tentang awak hingga awak dirujuk ke sini,” ujar saya melontarkan sesuatu untuk dia berfikir. Dia hanya membalas dengan menghembus nafas keluhan yang kuat. “Entahlah doktor, mungkin juga,” jawabnya ringkas.

BUKAN SEMUA PESAKIT ‘GEMBIRA’ DIRUJUK KE KLINIK P SIKIATRI.

Apa yang saya faham, dia dirujuk kepada doktor oleh kaunselornya yang risau dengan emosi pemuda itu yang tak menentu sejak akhir- akhir ini. Dia jadi semakin pendiam, kadangkala cepat marah, tak bergaul dengan orang lain, hilang semangat belajar, dan selalu ponteng kuliah. Akibatnya, pelajarannya semakin merosot. Baru- baru ini dia gagal dalam dua subjek semester dua pengajiannya.

Tak banyak yang diluahkannya kepada saya. Diam, tunduk, dan termenung ke luar tingkap adalah respons yang saya terima pada kebanyakan masa. “Cuba awak ceritakan pada saya, mana tahu ada yang saya dapat bantu,” sambung saya lagi.

“Jika tak membantu sekalipun, sekurang-kurangnya saya mampu mendengar.” Dia mula memberi respons dengan memandang ke arah saya sambil kedua-dua tangannya digenggam tanda gelisah.

Dalam keadaan yang sukar itu, sedikit demi sedikit dia membuka bicara. “Saya rasa macam nak meletup,” ujarnya membuka bicara.

“Satu demi satu perkara menimpa saya. Saya rasa tewas dalam semua ini. Sesak dan tak dapat bernafas,” ujarnya lagi sambil saya mendengar dengan penuh minat.

Tekanan daripada keluarga yang kucar-kacir menambahkan lagi tekanan dirinya dari hari ke hari. Apatah lagi kedua-dua ibu bapanya bertegas mahukan dia berjaya dalam hidup dan meletakkan harapan yang tinggi supaya dia menjadi doktor gigi. Oleh kerana keadaan rumah yang sentiasa berantakan, dia memilih untuk mengalihkan perasaan ingin disayangi kepada rakan-rakan. Malangnya, pengaruh rakan-rakannya memakan diri apabila mereka memperkenalkan dia kepada dadah.

Tak habis di situ, dia mula mengalami masalah kewangan yang terhad akibat tabiat suka bersosial serta mengambil arak dan dadah pada hujung minggu. Baru-baru ini dia dilanda konflik dengan teman wanita yang memanjangkan lagi senarai masalah hidup yang perlu ditelan. Itu adalah antara kecamuk yang terselindung di sebalik batang tubuh anak muda ini. Membacanya sahaja sudah merimaskan, apatah lagi memikulnya di atas bahu sendiri.

Sedikit demi sedikit diluahkan kepada saya keperitan yang menggunung dalam hatinya. Dia mengungkapkan, kadangkala terasa seperti ada suara yang menjerit di dalam kepalanya dengan membisikkan perkara-perkara negatif. Tidak hairan ada ketikanya dia melepaskan tekanan dalam diri dengan mencederakan dirinya sendiri.

“Jadi, itu sebab tangan kamu berbalut?” telah saya. Parut pada tangan menjadi bukti bagaimana satu-satunya cara keluar adalah apabila dia menoreh tangannya dengan pisau sehingga dia melihat sendiri darahnya mengalir. Biarpun bukan berniat membunuh diri, tetapi kecederaan yang dialami itu dirasakan seolah-oleh merawat kekebasan emosi yang dilalui.

“Saya tak nak mati. Tapi ini saja yang mampu saya buat bagi melupakan semua ini,” sambungnya.

Selepas berkenalan, berbual, bertanya, dan memberi dia peluang meluahkan isi hatinya, baru saya mengerti mengapa dia memilih untuk bertindak seperti apa yang orang lain lihat pada dirinya sejak akhir-akhir ini. Dia mungkin selama ini diam, namun jiwanya sedang menjerit dan meronta-ronta mengkhabarkan tekanan yang ditanggung oleh dirinya selama ini.

“Saya rasa saya tahu apa yang awak perlukan sebenarnya. Tapi awak perlu sabar dan beri peluang kepada diri awak sendiri,” ujar saya. Dia hanya tunduk diam dan mengangguk.

SAYA TAK NAK MATI.
TAPI INI SAJA YANG MAMPU SAYA BUAT BAGI MELUPAKAN SEMUA INI.

Jelas, keserabutan akibat tekanan yang dialami diterjemah menjadi kerisauan atau anxiety yang juga dirumitkan dengan tabiat mencederakan dirinya senditi. Dalam kes seperti ini, ubat biasanya bukan jalan penyelesaian utama. Ada banyak kerja yang perlu dilakukan bagi meneroka liku-liku dalam hati pesakit yang menyebabkan emosi mereka terganggu.

Biarpun mengambil masa, sesi terapi psikologi dan kaunseling biasanya adalah jalan paling baik dan berkesan untuk jangka masa panjang. Mereka harus dibimbing sehingga mampu mengenal dan mengawal keserabutan mereka. Sekiranya mereka tewas menguruskan keserabutan ini, mereka akan terus berhadapan dengan hari-hari yang sukar. Cabaran terbesar mendekati kes seperti ini adalah kesanggupan mereka bekerjasama dengan terapi yang diberikan.

TEKANAN: ANTARA MASALAH DAN PENYELESAIAN

Mengapa Serabut Perut?

Serabut perut adalah istilah yang muncul lewat dalam kehidupan saya. Sesuatu yang saya belajar selepas berkahwin dengan isteri yang berasal dari Terengganu. Serabut perut adalah ungkapan yang digunakan oleh penutur dari Pantai Timur bagi menggambarkan perasaan serba tak kena, gelisah, cemas, tak keruan atau tak tenteram kerana sesuatu masalah ataupun perkara yang berlaku dalam hidup seseorang itu.

Saya tertarik dengan istilah ini kerana secara tidak langsung dua perkataan ini menggambarkan semua perasaan yang disenaraikan tadi. Dalam kata lain, ia menceritakan pada kita gambaran sebenar perasaan itu dalam ungkapan yang ringkas.

Saya juga tertarik dengan istilah ini kerana ia sebenarnya begitu dekat dengan istilah bahasa Inggeris. Dalam bahasa Inggeris, perkataan naluri kadangkala diterjemah dengan istilah gut feeling atau perasaan perut atau usus, jika diterjemah secara langsung. Kerana itu kadangkala mereka menggunakan ungkapan sick in the gut bagi menggambarkan perasaan tak keruan ataupun tak senang. Tidak mengejutkan apabila ramai pengkaji neurosains (kajian berkaitan saraf ) mengkaji dan mempercayai adanya hubungkait antara sistem pencernaan dan sistem daripada sudut embriologi.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79566/aku-nabi-isa