[SNEAK PEAK] BUKAN KEKASIH TETAPI ISTERI

Bukan Kekasih Tetapi Isteri Oleh Ailah Diela

 

LANGKAH Rizza yang baru keluar dari pintu bilik, Zara pandang dengan ekor mata. Bibir diketap geram apabila dirinya seolah-olah tidak wujud.
Malas nak ambil pusing perihal Rizza, tumpuan kembali tertumpu pada telefon bimbit di tangan. Nombor yang tertera di skrin telefon bimbit sekali lagi didail. Hampa! Memang tak berangkat. Keluhan kasar dilepaskan.
“Mengeluh kenapa?” Soalan yang tiba-tiba muncul dari arah belakang membuatkan Zara tersentak.
Rizza ni! Mujur dia tak kena serangan jantung.
“Tak ada apa,” jawab Zara. Sejak bila entah Rizza muncul di belakangnya ini. Bukan ke tadi Rizza baru pergi dapur?
“Sini.”
Huluran tangan Rizzaa dipandang pelik. Tiba- tiba tadah tangan apa hal?
“Apa?” soalnya tidak faham. Rizza yang sedang berdiri tegak di hadapannya dipandang tidak berkelip.
Rizza jatuhkan bahu. Ada masa isterinya ini memang lembab. Mujur juga isteri. Kalau anak buah, memang dia dah sekeh dua tiga kali.
“Telefon tu bak sini.” Dengan penuh kelembutan sekali lagi Rizza bersuara. Tangan masih setia ditadah. Pandangannya setia melekat di wajah Zara yang sedang duduk di atas sofa.
Melihat si isteri masih dengan aksi slow tahap siput sedut, telefon bimbit yang berada di tangan itu diambilnya. Rasanya dah terang sangat tadi dia sebut perkataan telefon. Tapi Zara masih sibuk nak buat aksi kelip-kelipkan mata. Tahulah mata tu cantik!
“Eh!” Zara yang tidak bersedia dengan tindakan Rizza hanya mampu memandang.
Kini di hadapannya ialah seorang suami yang sedang menekan dan membelek telefon bimbit miliknya. Halkum tu nampak bergerak-gerak. Sesekali mata itu akan merenung ke arahnya dengan tajam.
“Rindu dah ke?”
“Huh?” Soalan yang tiba-tiba keluar dari bibir itu membuatkan mulutnya sedikit melopong. Rindu siapa?
“Awak call papa saya kenapa? Rindu?”
Walaupun hati sendiri rasa macam kena tembak, Rizza cuba berlagak tenang. Takkan dia nak buat aksi kungfu dengan isteri sendiri pula? Isterinya telefon kekasih lama. Arghhh! Sakitnya hati.
“Errr… Mana ada saya call.” Tak baik menipu. Itu pesan mak ayahnya. Tapi Zara tahu yang dia memang kena menipu kalau tak nak kena jerkah.
“Oh ya? Habis tu, My Tan Sri RS ni siapa? Sugar daddy baru?” Sinis Rizza bersuara. Namun selagi boleh dia cuba mengawal nada suaranya. Sekali lagi dia memandang log panggilan keluar yang berada di telefon bimbit Zara.
Kiranya dari tadi Zara sibuk dengan telefon bimbit bersebab rupa-rupanya. Sibuk nak hubungi semula kekasih lama.
“Bak sini telefon saya tu. Siapa suruh awak memandai ceroboh hak saya?” Zara cuba mencapai telefon bimbit di tangan Rizza. Namun melihat jegilan mata itu, tindakannya terus terhenti.
Liur ditelan kesat. Tahu! Memang salah dia. Yang dia sibuk nak telefon Tan Sri Rahman Syah tu kenapa? Sepatutnya dia sedar yang sekarang ni dia dah jadi isteri orang. Tapi dia nak juga khabarkan tentang salah faham Adila tu kepada lelaki tersebut.
Sampai bila dia kena hidup macam orang pelarian?
“Seorang suami memang kena pandai ceroboh hak isteri sendiri. Nak tahu apa sebabnya? Sebab inilah. Ada isteri yang tak tahu dosa pahala. Awak tak tahu hukum-hakam ke Zara? Dia dah jadi papa mentua awak tau.” Selesai berkata-kata, Rizza rebahkan diri ke atas sofa.
Tangan naik melekap di dahi dengan mata yang dipejam serapat mungkin. Nafas ditarik dalam sambil mengucap berkali-kali. Macam mana lagi dia nak buat supaya Zara ni faham? Takkan dia sampai tahap kena pegang rotan baru Zara nak ikut cakap dia?
Telefon bimbit Zara yang masih berada di tangannya digenggam erat. Ikutkan hati nak aje dia baling bagi dinding cium.
“Saya call Tan Sri sebab…”
“Papa! Dia dah jadi papa awak, Zara.” Kali ini sudah terkeluar suara Kapten Azrim. Dengar panggilan yang keluar dari mulut Zara memang boleh buat darahnya sampai ke kepala. Itu mujur juga isterinya tak panggil abang. Kalau panggilan tu yang keluar, memang terkeluarlah anak tekak dia menjerit.
“Saya call sebab saya nak cakap pasal Adila tu.” Cepat Zara menerangkan sebelum asap keluar dari telinga Rizza. Tapi untuk sebut perkataan papa, memang dia rasa kekok lagi.
Yalah! Daripada teman tapi mesra tiba-tiba bertukar status jadi ayah mentua. Tak ke rasa pelik sangat?
“Kenapa? Nak mengadulah kononnya, ya.”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/277995/bukan-kekasih-tetapi-isteri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *