[REVIEW] Ya Allah, Kepada-Mu Aku Kembali

Ya Allah, Kepada-Mu Aku Kembali oleh Ustazah Asma Harun, Dwi Suwiknyo

Inilah adalah buku terbaru Ustazah Asma Harun bersama seorang penulis terkenal di Indonesia iaitu Dwi Suwiknyo. Beliau seorang puitis dan mendalam tulisannya. Buku ini mengandungi monolog-monolog hati, kisah-kisah yang menjadi iktibar, bingkisan firman Allah s.w.t. & hadis Rasulullah s.a.w. Buku Ya Allah Kepada-Mu Aku Kembali, dipakejkan secara bersiri, dan ia adalah buku yang keempat daripada 4 buah buku dalam siri ini. Ya Allah Kepada-Mu Aku Kembali, mengumpulkan 13 topik berkenaan keperluan meminta Husnul Khatimah yang dikupas dengan santai oleh Ustazah Asma Harun dan Ustaz Dwi Suwiknyo. Diselitkan juga dengan ‘Ustazah nak cerita’ daripada Ustazah Asma Harun yang membongkar kisah-kisah benar dan memberikan impak luar biasa kepada pembaca. “Ya Allah, jika bukan kepada-Mu aku kembali, kepada siapa lagi? Bukankah aku berasal daripada-Mu dan kepada-Mu jua aku kembali?” “Sama ada dalam kebaikan ataupun keburukan, sama ada bersedia ataupun tidak, aku tetap akan kembali kepada-Mu apabila tiba masanya.” “Ya Allah izinkan aku menggunakan masa yang masih ada bagi mempersiapkan diri supaya aku tidak menyesal nanti saat aku benar-benar kembali kepada-Mu.”


Ada sebuah kisah seorang klien ustazah, datang membawa dua orang anak kecil, yang kedua-duanya kurus kering. Sebulan atau lebih hanya makan nasi dengan garam sahaja. Beli telur pun tak mampu.

Satu kisah klien, datang membawa dua orang anak kecil, yang kedua-duanya kurus kering. Sebulan atau lebih hanya makan nasi dengan garam sahaja. Beli telur pun tak mampu.

Suaminya, main judi, minum arak, maksiat dan perokok tegar. Duit hasil kerja dihabiskan begitu sahaja. Isteri pula tetap setia dan sayang suami, walaupun sering dipukul dan diabaikan. Kerana dia tiada sesiapa, dibuang keluarga sejak memilih lelaki itu sebagai suaminya. Suami isteri tidak solat. Dah lama sangat tak solat, bertahun-tahun. Katanya, solat atau tidak baginya sama sahaja. Dulu masa solat hidup tetap sama, tidak ada perubahan. Bahkan katanya ramai orang yang solat hidup lagi susah daripada orang tak solat.

“Apa hajat puan datang sebenarnya?”

“Saya nak minta bantuan sikit, sekadar untuk beli makanan anak-anak”

“Baiklah puan, kita boleh bagi sedikit bantuan, mungkin boleh bertahan untuk seminggu. Tapi bagaimana selepas itu? Puan nak tak bantuan untuk seumur hidup?”

Wajahnya bercahaya, seperti baru nampak matahari.

“Puan, bantuan seumur hidup kita sangat dekat, tak perlu susah payah ke sana sini, puan boleh minta di rumah sahaja”

Satu jam seterusnya, Allah yang Maha Bijaksana memudahkan proses klien ini diberi sedikit kefahaman tentang hakikat solat, istighfar dan selawat. Ditulis beberapa nota untuknya, dalam hati sendiri tidak berhenti berdoa moga Allah yang Maha Lembut melembutkan hati untuk merasai nikmat mengenal Allah, meminta dan bergantung harap dengan Allah.

“Ustazah, insyaAllah saya cuba solat balik, saya dah faham sedikit tujuan solat. Selama ini rupanya saya tidak kenal Allah yang saya sembah, saya sendiri tidak faham kenapa saya perlu solat….”

Temujanji dua minggu selepas itu, dipanggil suami sekali. Isteri hanya mengangguk kosong, sambil tangan mengusap kepala anak kecil yang merengek.

Harapan untuk suami dan hidupnya berubah seolah hanya satu angan-angan. Begitulah hakikatnya diri kita, tidak ada sedikitpun daya upaya. Kita sedar apa yang mustahil bagi kita. Sedangkan, kita lupa tidak ada yang mustahil bagi Allah.

Allah ya Baari’, Allah sebaik-baik perancang. Lebih kurang 10 hari selepas pertemuan kali kedua, saya terima panggilan daripada wanita ini, suaranya tersekat sambil menangis teresak-esak. Saya kebimbangan apa yang berlaku sebenarnya.

“Ustazah, saya tak sangka secepat ini Allah terima saya balik, secepat ini suami saya berubah… Ya Allah… Ya Allah.”

“Selepas saya mula solat, lazimi istighfar dan selawat, saya cuba buat dengan yakin, saya buat sahaja. Saya ingat pesan ustazah, buat sahaja, jangan tinggal, insyaAllah akan berlaku sesuatu”.
“Selepas seminggu, suami saya dibuang kerja, namun serta merta juga dia dapat kerja lain, iaitu menjadi pencuci kereta. Dia mesti cari duit untuk rokok dan aktivitinya. Takdir Allah, di tempat kerja barunya dia berkawan dengan seorang hamba Allah yang baik, dia mula ikut ke masjid dan solat. Kini setiap hari, gaji hariannya diberikan kepada saya, walau tidak banyak, tetapi ini nikmat sangat bagi saya. Saya rasa itu bukan daripada suami, tetapi daripada Allah. Dia sudah tidak pukul saya dan anak-anak lagi. Dia juga berhenti minum arak dan judi”.

Buku ini bukan sahaja memberi penerangan kehebatan Allah S.W.T , malahan membuktikan bahawa keinsafan diri boleh mengubah seseorang untuk menjadi lebih bersyukur dengan apa yang ada.

Nak lebih lagi? boleh dapatkan di –

https://www.e-sentral.com/book/info/332411/ya-allah-kepada-mu-aku-kembali

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *