MISTERI TELAGA TUM BRATMA

Misteri melanda Salihin. Bermula dengan gangguan mimpi yang  menakutkan, kemudian penyakit gatal yang menyerang tiba-tiba dan tidak sembuh-sembuh. Lebih pelik, dia dikatakan menghidap kedal, sakat, penyakit turun-temurun, menyebabkannya hilang pekerjaan, hilang tumpuan, hilang harga diri, dan mungkin… hilang nyawa!

Akan tetapi, apa kaitan semua yang melandanya dengan Tum Bratma, telaga yang dikatakan misteri? Adakah semuanya tahyul belaka, atau sekadar kebetulan? Atau sememangnya ada misteri di sebaliknya?

 

ULASAN:

Satu lagi novel Radzemah Bolhassan, kali ini berunsur mistik. Novel ini turut mengetengahkan tema warisan dan budaya apabila menjadikan salah satu tapak bersejarah di kawasan pedalaman Sarawak sebagai fokus penceritaan. Unsur misterinya dipaparkan apabila dalam cerita ini telaga berkembar Tum Bratma dikatakan menghantui hidup watak utamanya, Salihin. 

        Petikan teks dari novel:

“Tum Bratma antara khazanah masyarakat Melanau. Perlu diketengahkan, dipelihara. Orang luar beriya-iya nak bawa keluar. Orang di sini malah tak peduli. Masih ramai yang tak tahu tentang Tum Bratma…”Unsur pantang-larang masyarakat setempat juga diketengahkan apabila Salihin diceritakan menghidap penyakit kulit atau kedal yang tidak sembuh-sembuh disebabkan terkena tulah kerana melanggar pantang-larang nenek moyang masyarakat Melanaunya.

Dengan bahasa yang mudah, novel yang mengangkat unsur mistik ini sesuai untuk pembaca umum.