INISIATIF DIGITAL MALAYSIA REALISTIK?

PELUANG INDUSTRI DIGITAL MALAYSIA ADALAH CERAH JIKA PIHAK TEMPATAN DAPAT BEKERJASAMA

 

 

Pada mulanya, Wawasan 2020, selepas itu, Multimedia Super Corridor (MSC), dan kini pula, Digital Malaysia. Jika anda masih tidak tahu, Digital Malaysia itu merupakan inisiatif untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat ekonomi digital dan juga sebagai satu langkah untuk menukarkan medium pengantaraan di Malaysia kepada digital antara kerajaan, perniagaan dan rakyat. Visi dan prinsip Digital Malaysia adalah bagus dan berpandangan jauh, namun bolehkah visi Digital Malaysia ini dikecapi atau pun akan dilupakan begitu sahaja setelah belanjawan program ini dibelanjakan?

Negara ini mempunyai ramai pakar-pakar informasi teknologi yang menjadi penasihat kepada badan seperti MDEC (Multimedia Development Corporation), SKMM (Suruhanjaya dan Komunikasi dan Multimedia Malaysia), MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi), dan banyak lagi. Walaupun begitu, mengapa kadar kegagalan projek kerajaan yang melibatkan pakar-pakar informasi teknologi terlalu tinggi? Adakah pakar-pakar ini sekadar pakar bersijil, tetapi tidak mempunyai kemahiran ataupun pengalaman industri? Mungkin tidak, kerana universiti-universiti tempatan telah menghasilkan ramai graduan dalam bidang komputer sains, teknologi informasi dan juga kejuruteraan komputer, dan ramai daripada graduan ini telah pun bekerja dengan syarikat-syarikat ICT antarabangsa yang berkampung disini.

Lazimnya, kebanyakan usaha tempatan akan berakhir dengan membawa pakar luar untuk membangunkan projek-projek tersebut, walaupun ianya mudah. Sama seperti nasib industri otomotif tempatan, kebanyakan pembangunan sektor berteknologi Malaysia dikuasai tenaga kerja luar dan tiada pengalihan pengetahuan yang berlaku.

Malangnya gejala yang sama dapat dilihat pada industri buku digital Malaysia yang masih dalam peringkat pramatang ini. Fenomena ini dapat dilihat seawal ketika projek e-Sentral mula dibangunkan lebih dua tahun lalu. Pihak Xentral Methods Sdn Bhd, syarikat pengelola e-Sentral telah menunjukkan hasrat ingin bekerjasama dengan beberapa pihak tempatan, antaranya syarikat telekomunikasi, penerbit, badan berkanun, dan beberapa syarikat yang lain. Walaupun antara pihak-pihak ini ada yang mengatakan mereka tidak dapat memberi kerjasama kerana kuasanya adalah terhad, tetapi kebanyakan pihak-pihak yang Xentral Methods berjumpa memberi alasan tidak mahu bekerjasama kerana mereka belum bersedia melakukan aktiviti ini, ataupun mereka mengatakan mereka berhasrat untuk melakukan aktiviti yang sama bersendirian.

Pihak kami ketika itu menghormati segala pandangan dan pendapat semua pihak yang ditemui, dan pada masa yang sama pihak Xentral Methods percaya bahawa jika kerjasama beberapa pihak dapat diwujudkan, sinergi dan pasaran yang saling pantul-memantul antara entiti tempatan untuk kebaikan bersama boleh tercapai. Pada dasarnya, semua pihak mempunyai hak untuk melakukan apa sahaja untuk kebaikan masing-masing, tetapi kebanyakan pihak terutamanya syarikat besar di Negara ini jelas kelihatan tidak mahu bekerjasama dengan pihak yang kecil. Hakikatnya, tidak mungkin mereka boleh mempunyai pengetahuan dalam semua bidang ataupun menjadi pakar dalam semua hal walaupun syarikatnya adalah sebuah entiti gergasi.

Sejarah menunjukkan bahawa di dunia Barat, apabila sebuah entiti kecil membawa satu idea yang boleh menggugat sebuah entiti yang besar, lazimnya entiti besar itu akan membuat kawan ataupun akan mengintegrasikan idea entiti kecil itu untuk kebaikan bersama. Senario ini tidak mungkin berlaku disini, malah kebanyakan syarikat tempatan tidak mengalu-alukan idea yang boleh mengubahkan kebiasaan kecuali jika dibawa dari Barat.

Beberapa tahun berlalu, pihak sama yang telah mengatakan kepada Xentral Methods bahawa mereka tidak bersedia untuk aktiviti kandungan digital telah membangunkan bisnes yang sama menggunakan pembekal teknologi luar Negara. Syarikat telco yang tidak tahu hujung pangkal perihal eBuku secara tiba-tiba mengiktirafkan diri mereka sebagai pakar industri buku. Malah sebuah syarikat yang telah mengatakan bahawa mereka tidak mahu bekerjasama dengan pihak lain berhubung dengan kandungan digital mereka telah pun membawa masuk teknologi negara jiran untuk digunakannya. Logik untuk mereka lakukan ini belum jelas buat ketika ini, namun apa yang jelas adalah mereka beranggapan bahawa orang tempatan tidak mempunyai kebolehan untuk menghasilkan teknologi tersebut lalu terpaksa mereka membawa orang dari negara luar.

Ya memang perkara ini adalah lumrah hidup, tetapi ia juga memberi jawapan kepada kenapa produk tempatan selalunya tidak berjaya dieksport ke luar, ataupun perlu berjaya di luar dahulu sebelum di kenali di gelanggang sendiri.

Dalam perihal Digital Malaysia, Negara ini mempunyai infrastruktur yang lengkap untuk tujuan tersebut, serta jumlah graduan yang tinggi dalam bidang ICT, dan pakar-pakar tempatan untuk mengendalikan aktiviti-aktiviti untuk menyumbang kepada misi ini. Walau bagaimana pun, Negara kita masih mengetepikan individu-individu dan syarikat-syarikat yang mempunyai visi dan roadmap yang jelas dalam bidang masing-masing. Baik sektor kerajaan atau pun sektor swasta, kerjasama masih kurang di kalangan kita, menyebabkan usaha seperti Digital Malaysia lebih sukar untuk dicapai. Kesimpulannya, punca mengapa inisiatif Malaysia sering berakhir dengan satu pencapaian yang mediocre, adalah bukan kerana kekurangan infranstruktur dan kelengkapan, kekurangan cendekiawan atau harta interlek, tetapi selalunya berpunca daripada sifat-sifat inferiority complex dan pendirian manusia disini. Sampai bilakah rakyat Malaysia akan berpendirian sebegini dan bilakah agaknya kita boleh bersatu untuk kebaikan bersama?