REVIEW ASPIRASI UNIKORN BUMIPUTERA : STORIES FROM THE FRONTLINE

9789671406817-medium
EBUKU ASPIRASI UNIKORN BUMIPRENEUR : STORIES FROM THE FRONLINE OLEH AIN A. PATAKON

ASPIRASI UNIKORN BUMIPRENEUR
Stories From The Frontline

Individu biasa yang memperoleh kejayaan dan pencapaian luar biasa bukanlah satu khayalan mahupun satu cerita dongeng yang direka-reka. Bagi sebahagian orang di luar sana yang melihat kejayaan mereka, pasti menyangkakan bukanlah susah untuk menjadi seorang usahawan. Namun hakikatnya, kejayaan itu tidak dikecapi dengan mudah. Seperti kata pepatah “Tidakkan bulat datang bergolek, Tidakkan pipih datang melayang”. Kepayahan dan pelbagai dugaan telah mematangkan mereka dalam membina perniagaan. Dengan adanya sokongan dari keluarga dan masyarakat, mereka telah berjaya melakukannya.

30 syarikat Bumiputera ICT, Kreatif dan berinovasi yang terbahagi kepada syarikat berprestasi tinggi dan syarikat startup harapan berkebolehan telah diketengahkan dalam buku ‘Aspirasi Unikorn Bumipreneur: Stories From The Frontline’.

Naskah ini memuatkan perkongsian pengalaman 30 usahawan dalam membina empayar perniagaan, tips dan pandangan dalam memajukan diri dan juga perniagaan mereka. Perkongsian daripada usahawan yang berprestasi tinggi ini akan memberi inspirasi kepada usahawan lain untuk menjadi lebih berani dalam mengambil risiko dan meningkatkan tahap ketahanan dalam menghadapi sesuatu cabaran. Ia juga sebagai pemangkin untuk mencetus idea-idea yang bernas bagi mengembang dan memajukan perniagaan. Manakala, perkongsian dari usahawan startup harapan pula dijangka dapat memberi impak yang positif dan menyuntik semangat keusahawanan kepada para pelajar dan graduan universiti untuk menceburi bidang perniagaan.

“Aspirasi Unikorn Bumipreneur” digunakan sebagai simbolik utama judul buku ini. Kami percaya 30 usahawan yang diketengahkan dalam naskah ini akan dapat mencapai aspirasi “UNIKORN BUMIPRENEUR” dan seterusnya mengangkat mereka sebagai usahawan yang terbilang.


From Zero to Hero.

Itu yang boleh saya katakan mengenai kisah usahawan- usahawan tempatan menerusi buku ini. Mereka ini yang sedang berusaha gigih dalam melakar nama dalam industri masing- masing . Secara teori, memulakan satu perniagaan nampak mudah kerana ia hanyalah sekadar di atas kertas. Namun begitu, apabila ia diterjemah dalam bentuk praktikal, usahawan itu sendri akan sendri merasa kepayahan dan pelbagai dugaan akan mematangkan mereka dalam membina perniagaan.

Selepas membaca dari kulit ke kulit, apa yang saya katakan. ini satu peluang terbaik untuk mempelajari mengenai perniagaan. Dalam membentuk diri dalam menjadi seorang usahawan yang berjaya, banyak ciri- ciri perlu ditanamkan dalam diri agar mampu berdaya saing berdaya saing dari segi global dan glokal. Antara lain ciri- ciri tersebut ialah, be dynamic, selangkah kehadapan berbanding yang lain, dan perlu sesuatu produk itu harus mempunyai satu daya tarikan yang tersendiri atau trademark supaya ia kelihatan berlain daripada yang lain.

Tuntasnya, kepada yang berhasrat untuk memulakan perniagaan, buku ini merupakan satu bahan bacaan yang bagus dalam memberi inspirasi kepada anda.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79531/aspirasi-unikorn-bumiputera-stories-from-the-frontline

 

REVIEW SETEGUH FAYQA

 

9789670567662-medium
EBUKU SETEGUH FAYQA OLEH HANINA ABDULLAH

FAYQA LARA LYANA, gadis yang mempunyai latar belakang yang misteri, tersadai di rumah kawan baiknya kerana terlibat dalam peristiwa hitam yang menimpa kawan baiknya, Dzahim. Hidup di bawah satu bumbung dengan keluarga Haji Dzulqarnain yang ceria dan penyayang membuatkan dia terasa kehilangan keluarganya sendiri.

Dzariff, si abang yang sentiasa berprasangka negatif tentang Fayqa menjadikan hidupnya lintang-pukang. Dzariff ataupun digelar sebagai jeneral sengal sering mengganggu hidupnya dengan arahan dan aksi yang tidak masuk akal. Fayqa yang teguh dapat bertahan dengan sikap sengal si abang.

“Why is it that my reproductive part always become your point of attack?” – DZARIFF
“Sorry. Mulut awak tak ada insurans.” – FAYQA

Jodoh datang tanpa dirancang. Fayqa tidak sangka si jeneral sengal rupa-rupanya ada hati terhadapnya. Bercinta? Jauh sekali. Atas nasihat ibunya, Fayqa menerima lamaran yang tiba-tiba hadir. Lalu bermulalah kehidupan yang manis namun tetap¬¬ tidak dapat lari daripada dugaan yang melanda.

“Saya tak sebut nama sesiapa pun. Saya tak tuduh sesiapa pun. Yang saya nampak, awak yang beria-ia hendak lindungi orang itu. Kenapa?” – FAYQA

“Faye, can you hear what you are saying? Inilah sebabnya abang suruh Faye move on. Sekarang Faye curiga pula dengan abang, tuduh abang nak lindungi orang tu. Faye nampak tak negativity breeds more negativity.” – DZARIFF

Fayqa yang naif, tidak pandai cemburu, tidak pandai bersangka buruk. Namun apabila satu peristiwa hitam menimpanya, dia sedar dia perlu bertindak. Berserah? Tidak sama sekali apabila kebahagiaan rumah tangganya menjadi taruhan. Akal digunakan untuk mengelakkan sebuah kehancuran.

Apabila orang tua berikan nasihat supaya banyak bersabar selepas berkahwin, dia tidak sangka hingga ke tahap ini seorang isteri perlu bersabar. Sejauh mana Fayqa dapat bertahan?


Bila admin mula baca cerita ni je, admin dah sengih. Hahah. Mana tak nya, Dzariff si jeneral tu perangai dia annoying. Fayqa pula yang jenis tak nak kalah ni sangat sangat tak suka dibuli oleh jeneral. Orang tua kata, kalau dulu benci, nanti benci bertukar sayang. Lawak la watak mereka ni. Kalau jadi drama, confirm admin tunggu cerita ni. Senang kata, kalau boleh admin buat genre  baru bagi novel ni, admin akan letakkan genre ‘lawak sengal’. Tapi itu memang tak akan wujud la. Maaf readers kerana memusnahkan angan- angan anda. Tapi serius, kalau anda nak bahan bacaan yang ringan, tak stress dan tak heavy. Admin suggest cerita ni.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79493/seteguh-fayqa

[SNEAK PEEK] IMPIAN TERINDAH

9789831242995-medium
EBUKU Impian Terindah Oleh Norzailina Nordin

8 Disember 2124

“KENAPA you layan sangat kapten tu?” Pertanyaan Dario membuat Yuhanez terkedu seketika. Kapten? Menyebut namanya pun mungkin Dario jengkel! Mereka ketika ini berada di pejabat Kolonel Jamel. Menurut kolonel, dia ada satu tawaran untuk Yuhanez. Sewaktu gadis itu tiba tadi, kebetulan  atau sengaja  Dario juga berada di situ. Sedangkan lelaki tua itu masih tidak nampak batang hidungnya.

“I tak mahu menyebelahi sesiapa tapi you tengok sajalah  cara dia main kelmarin, penuh muslihat. Patutlah pasukan you menang!” bidas Dario. Yuhanez memilih untuk berdiam diri.

Dario mendekati Yuhanez. “Ni serius, Nez. I rasa, per-samaan antara kita lebih banyak daripada antara you dengan dia. Fikirkan baik-baik. You jangan dekati dia langsung.”

Gadis itu membuang pandang ke siling. Lampu penda-fluor putih kekuningan membuat hawa bilik itu hangat. Ataukah hatinya sendiri yang sedang membara? Dia tidak suka cara Dario hendak mengawal hidupnya. Dia sudah dewasa dan bebas untuk membuat pilihan. Lelaki itu bersandar di birai meja. Uniform ungu metalik yang dikenakan dengan but hitam memang sesuai dengan tubuh sasanya dan tinggi. Seperti biasa, rambutnya kemas disikat ke belakang. Sejak dulu dia memang memen-tingkan penampilan yang sempurna.

“Nez, kenapa you senyap?” Dario tidak puas hati.

“You tak suka I cakap benda ni, kan?” Yuhanez memandang anak muda itu sekilas.

“I tahu I tiada hak nak sekat you, Nez.” Akhirnya dia mengalah.

“Tapi, I memang sayangkan you.” Lelaki itu menatap wajah Yuhanez tanpa berkelip-kelip.

“I sayangkan you, Nez, hingga I sanggup maafkan you kalau betul, seperti kata Zehra… you selalu jumpa dengan kapten tu.” Zehra? Kenapa dia harus menyebut nama itu di sini? Nampak seperti tiada apa lagi yang akan memulihkan persahabatanku dengan Zehra, getus hati Yuhanez.

“You ingat malam asteroid akan terhempas tu, kita terjumpa dia dengan perempuan berambut pendek tu? I ingat you pun kenal dia sebab dia kerja di Green Dome.”

“Huskin.”

Dario tahu dia tidak perlu menceritakan bahawa Qirdan terlebih dulu datang ke Green Dome tetapi tidak dapat masuk. Sebab itulah dia datang semula bersama Huskin kerana gadis itu ada kad akses untuk masuk ke situ.

“Okey, you tak pernah fikirkah, kenapa dia bersama Huskin?” Yuhanez membisu.

“Kalau ikut akal logik, sedang semua orang di Gate 7, kenapa hanya mereka berdua di luar?” bidas Dario dengan senyuman pahit. Perangkapnya hampir mengena.

“Tentu mereka mencari peluang untuk bersama, bukan?” Yuhanez tidak sanggup mendengarnya.

“Dario, I faham apa yang you nak katakan.”

“Jadi?” Dario menunduk sedikit. Dia seperti hendakmengusap pipi gadis itu dengan hujung jarinya namun pergerakannya terbantut bila pintu automatik tiba-tiba terbuka. Serentak dengan itu, Dario berdiri. Kolonel Jamel mengerling anaknya sebelum mengangguk ke arah Yuhanez.

“Yuhanez, seperti yang you sedia maklum, jawatan Chang-Diaz masih belum diisi.”

“I nak tawarkan you tempat dia.” Yuhanez tergamam.

“Tugas you di Green Dome berjalan macam biasa, you hanya akan dirujuk oleh kakitangan Pink Dome bila ada masalah. Kendalikan mesyuarat mingguan dan dua minggu sekali, peringkat majlis,” jelas Kolonel Jamel lagi.

“Tak membebankan langsung.” Di tepi dinding, Dario memeluk tubuh dan merenung gadis itu. Yuhanez tidak tahu apa yang harus difikirkan. Haruskah dia menerima tawaran itu sebagai kenaikan pangkat? Atau menolaknya seolah-olah tidak menghargai kepercayaan yang diberikan oleh lelaki tua itu? Beberapa detik berlalu. Bunyi pendingin hawa meme-nuhi segenap ruang bilik itu. Mereka sudah lali dengan LunOx yang tidak berbau. Hanya sesekali ada bau sejenis bahan kimia pencuci yang mungkin telah terserap ke dalam sistem pengudaraan. Dario mundar-mandir. Yuhanez membuat telahan, kenapa lelaki itu yang harus risau sedangkan kolonel membuat tawaran padanya?

“Kolonel, boleh I buat cadangan?” Lelaki tua itu mengangguk.

“I rasa, orang yang paling layak untuk jawatan itu adalah Dr. Dario.” Dario dan ayahnya saling berpandangan. Perlahan-lahan lelaki itu menghampiri gadis tersebut.

“Yuhanez, kalau you nak tahu, dah banyak kali ayah offer pada I… tapi, I tolak.”

“Alasannya?”

“I ada perancangan lain dan jawatan itu tak termasuk dalam agenda I,” pantas Dario menjawab.

“Masa depan you cemerlang, Yuhanez.” Kolonel Jamel seolah-olah cuba memujuk.

“Tawaran begini mungkin datang sekali seumur hidup.” Yuhanez cuba memikirkan secara rasional.

“Kalau you terima, you boleh mula Isnin depan.” Gadis itu menguak rambut yang terjuntai di dahinya sambil memandang Dario. Jauh di sudut hatinya, dia percaya lelaki itu yang telah mencadangkannya sebagai pengganti Chang-Diaz.

“Tentu sekali you akan dapat imbuhan yang lumayan, walaupun bukan di sini, tapi bila you ke bumi sesekali, you akan dapat nikmati kemewahan yang tiada tolok bandingnya,” kata Kolonel Jamel lagi. Yuhanez menggigit bibir.

“Kolonel, kadangkala ada benda yang tak boleh dibeli dengan wang ringgit.” Dario dan ayahnya saling berpandangan. Dario meletakkan tangan kirinya di pelapik belakang kerusi berbentuk ergonomik diperbuat daripada campuran silika oksida dan anorthosite, batu-batan igneous kawasan gunung.

“You mungkin kata begitu sebab you tak pernah fikir kuasa yang ada pada duit,” sahut Dario.

“Dr. Dario, I minta maaf.” Yuhanez mengambil jalan selamat dengan pengakuan itu.

“I langsung tak fikir pasal duit, lebih senang dengan tugas I sekarang. Mereka terdiam agak lama. Kolonel Jamel mengerutkan dahi tatkala memandang anaknya. Kata-kata Dario mungkin telah mengguris hati Yuhanez.

“Beginilah, Yuhanez. You fikirkan dulu sebab you memang pilihan pertama kami.” Kami? Katakanlah sahaja pilihan anak kolonel!

Hati Yuhanez memberontak namun dia terpaksa mengangguk sahaja kerana itulah perkara paling sopan. Dia terus beredar walaupun dia sedar Dario cuba menahannya dengan isyarat mata. Huh, aku sungguh keliru, fikir Yuhanez. Hatiku sangat berat untuk menerimanya tapi rasa hormatku kepada Kolonel Jamel begitu kuat sekali, bisiknya dalam hati.

Siapakah yang ada jawapan terhadap dilemaku ini, agaknya? Jika perhubunganku dengan Zehra mesra seperti dulu, dia mungkin orang pertama yang akan kutemui untuk berbincang. Ah, betapa aku rasa begitu tertekan sekali! Haruskah aku menghubungi Qirdan? Mungkin dia dapat meleraikan kekusutan ini. Mungkin dia akan membuat aku melihat tawaran kolonel itu dari perspektif yang berbeza. Tapi, benarkah dia sukakan Huskin? Wajarkah aku bertanya? Yuhanez cuba menghubungi Qirdan menerusi Needo. Bila tiada jawapan, hati gadis itu mulai sangsi. Bukankah Qirdan sudah mendapat kad akses? Mungkin dia terlupa mengaktifkan nombor konfigurasi bagi menerima resepsi di permukaan bulan. Fikiran gadis itu bercelaru. Atau mungkin juga Qirdan bersama orang lain ketika ini dan tidak mahu diganggu. Segalanya berkemungkinan. Anak muda itu terlalu hebat di gelanggang netniston jadi tentulah mempunyai ramai peminat. Sibuk sangatkah dia? Yuhanez teringat pada Huskin. Kenapa Huskin terlalu rajin mengajaknya berbual? Padahal, dulu semasa mula-mula tiba, dia hanya melakukan apa sahaja yang dipinta.

Kadangkala ada juga dia bertanyakan beberapa soalan berkenaan genetik tetapi kini keadaan sudah berbeza. Adakah dia tahu sesuatu yang aku tidak tahu? Yuhanez terfikir untuk bertanya secara terus terang dengan Huskin. Betulkah dia sedang menjalin hubungan dengan Qirdan? Jika ya, Huskin mungkin berbohong dan dia sendiri berkira-kira untuk menambat hati kapten itu. Jika tidak, kenapa dia dan kapten itu berada di luar Gate 7 pada malam itu? Bukankah Huskin ada mengatakan aku begitu cocok dengan Dario? Apa tujuannya? Mungkinkah Dario sendiri yang meminta Huskin membuat kenyataan itu supaya aku memilih dirinya? Detik hati Yuhanez. Runsing Yuhanez memikirkannya. Dia melayani lamunan sehingga tiba ke Green Dome. Dulu sebelum kemunculan Qirdan, hatinya tidak pernah terusik. Bila memandang Qirdan dan merasai sesuatu yang berbeza melanda perasaannya, barulah Yuhanez sedar betapa kebahagiaan yang tidak pernah diimpikan sebenarnya berada bersama kapten itu. Berbaloikah aku berkorban semata-mata untuk menam-bat hati Qirdan? Yuhanez tertanya sendiri. Sedangkan terlalu sarat persoalan yang membelenggu dirinya kini. Dia mula akui, masih banyak yang dia tidak fahami tentang perasaan berkasih kerana selama ini terlalu taksub dengan kerja.

Ya ALLAH, sekiranya Qirdan lelaki untukku, tunjuk-kanlah aku jalan yang mudah untuk keluar dari kemelut ini. Seandainya aku untuknya, KAU berikanlah kekuatan kepada kami untuk menempuh ranjau dalam memeterai perhubungan suci. Aku tidak berdaya sendirian dalam kecelaruan.

KAU yang Maha Mengetahui. Sebaik sahaja masuk ke makmal, Huskin tiada di tempatnya. Yuhanez masuk ke dek penanaman dan meninjau pohon jasmin yang menjalar di pepara keluli. Bunga-bunga putihnya begitu harum. Ada yang telah jatuh berguguran ke atas dek atau diterbangkan oleh udara ke dalam kolam buatan yang sentiasa berpusar airnya itu. Siapa sangka taman yang mempunyai pokok menjalar atau renek itu berada di atas bulan? Kajian selama bertahun-tahun oleh orang-orang yang hanya tinggal tulang-temulang di dalam kuburan mereka akhirnya menemui kejayaan. Tanpa mereka yang dulu maka tiadalah mereka kini. Betapa benar kenyataan itu! Yuhanez memeriksa pokok tomato yang sentiasa  meng-hasilkan buah. Dua orang pembantu yang sedang menyemai anak-anak pokok butter lettuce yang baru berdaun empat atau limau helai tekun menyudahkan kerja mereka. Dua orang lagi di dek paling bawah pula bagi memastikan kipas yang memutarkan air sentiasa pada tahap kelajuan yang sesuai. Yuhanez leka diulit dunia tumbuhan itu sehingga tidak sedar masa terus berlalu.

“YOU pernah bercinta, Huskin?” Persoalan yang ditimbulkan oleh Zehra agak memeranjatkan.

Huskin sekadar mengangguk. Dia tidak berani menentang pandangan Zehra yang tepat ke matanya. Zehra duduk berlunjur di atas lantai bilik itu. Manakala Huskin bertenggek di birai katilnya. Jam tepat 20:15. Waktu warga Gamma 7 beristirehat. Jam 06:00 nanti siren akan dibunyikan sekali lagi. Menandakan sajian di Yellow Dome sudah tersedia.

“Kata orang, cinta tak boleh dipaksa, betulkah?” Zehra menyoal dengan penuh minat.

“Tapi, you kena ingat, jika you terpikat pada seseorang kerana dia ada daya tarikan, ada karisma, ada ketokohan… itu bukan cinta, tapi itu hanya perasaan tertarik saja.” Zehra mengerutkan kening dan menggaru hidungnya yang mancung itu.

“I tak faham.”

“Macam I kata tadi, antara perasaan tertarik dan cinta, orang mudah keliru.” Zehra membetulkan duduknya.

“I memang keliru.” Dia mengaku tanpa segan silu. Huskin mulai merangka strategi.

“I agak, you pernah bercinta, kan?”

“Mungkin juga I seorang saja yang rasa?”

“Itu ertinya you tertarik dengan orang tu dan meng-harapkan dia juga tertarik dengan you.”

“Barulah cinta namanya?” potong Zehra. Huskin memeluk tubuh.

“Cinta itu ada pelbagai aspek, Zehra. Perasaan you yang luhur pada seseorang, misalnya, bagi you itulah cinta sejati dan you takkan pandang orang lain lagi. You harap orang itu akan membalas cinta you dengan meluahkan cintanya juga.” Zehra mengangguk tapi ada sesuatu pada air mukanya yang mencerminkan bahawa mindanya masih kusut.

“Kalau dia tak perasan yang you cintakan dia, you akan selama-lamanya memendam rasa,” sahut Huskin pula.

“Kalau you kata pada dia, yang you cintakan dia, dia mungkin akan pergi dari sisi you kalau dia tak cintakan you.”

“You ni macam kaunselor…”

“Padahal, sebab you cintakan dia, you sebenarnya ingin selalu dekat dengan dia. Jika dia memilih untuk pulaukan you sebab you dah berterus terang, you yang akan hampa kerana tak rela berpisah dengan dia. Betul tak?” Zehra mengangguk.

“Dari mana you dapat maklumat ni semua?”

“Kan I kata, I boleh baca fikiran orang, rasa aura mereka.”

“You ni peliklah…” Huskin bersila pula.

“You mencintai siapa, sebenarnya?”

“Betul you nak tahu?” Huskin mengangguk walau dia tahu Zehra tidak semu-dah itu meluahkan isi hati. Ini baru pertemuan pertama mereka di dalam bilik. Kadangkala empat atau lima orang berkumpul dan berkongsi cerita di dalam sebuah bilik.  Namun begitu, kebanyakan warga Gamma 7 lebih serius dan suka menyendiri. Mereka membuat kajian dan laporan serta mengumpulkan maklumat dalam menjayakan misi mereka. Gamma 7 ada undang-undangnya yang tersendiri.  Tiada larangan untuk bercinta. Tiada sekatan sekiranya ada yang tertarik antara satu sama lain. Cuma soal peribadi tidak sesekali dicampuradukkan dengan soal tugas. Mereka juga perlu memahami beberapa etika pergaulan yang termaktub dalam undang-undang.

“You pun kenal dia…” Zehra berteka-teki pula.

“I kenal hampir semua lelaki di Gamma 7 ni.” Huskin mendabik dada.

“Tolak Jamel, Dario, Matto dan Vivan, tinggal 16 atau 17. Kira-kira tujuh atau lapan yang kerja di Green Dome saja,” tekannya. Zehra tergelak.

“Setiap saat I rindukan dia.”

“Itu logiklah, you tertarik dengan dia.”

“I cintakan dia, Huskin.” Huskin membeliakkan bola matanya.

“Kadang kadang orang boleh jatuh cinta dalam sekelip mata saja, tahu? Sekejap berpisah dengan orang ni, bercinta dengan orang tu… maksud I, logik sebab you nak cari yang sesuai, kan?”

“Tapi, dia macam, err… susah sikit nak cakap.”

“Ada perempuan lain suka pada dia?” Zehra mengangguk deras.

“Apa I nak buat? Dulu I pernah sukakan seseorang, rupa-rupanya orang itu sukakan orang lain. I kecewa sungguh.”

“Sekarang you nak pikat seorang lelaki lain yang diminati oleh gadis lain?” Zehra menekup kedua-dua belah pipinya dengan tapak tangan kiri dan kanan seperti di dalam ketakutan.

“You pastikah cuma seorang gadis yang meminati lelaki tu?” tekan Huskin lagi. Zehra pula membeliakkan biji mata. “Kenapa? Ramai gadis yang minat kat dia?”

“Jangan jadi bodoh, Zehra,” seru Huskin.

“Lelaki tampan macam tu, gadis mana yang tak suka?”

“Jadi, you tahulah siapa?”

“You kan asyik cakap pasal dia, asyik perhatikan dia di gelanggang netniston tu?” Huskin mengingatkan.

“You pun minat kat dia?” soal Zehra seperti ragu-ragu. Huskin ketawa terbahak-bahak.

“Kalau I minat kat dia, dah lama I hantar mesej cinta ke Needo dia. Kalau dia tak balas, ertinya dia tak berminatlah.”

“Senangnya konsep hidup you, Huskin.” Zehra bagaikan terlalu kagum.

“You tak malukah?” Huskin berdiri kerana matanya sudah mulai mengantuk. Biliknya pula jauh di hujung sekali dan setingkat lebih rendah. Jika dia tidak balik sekarang, rasa mengantuk akan menguasainya.

“Nak malu apa? Hanya dia seorang saja yang tahu!” Zehra berfikir sejenak.

“Huskin, you boleh tolong I, tak?”

“Tolong?” Huskin seakan terkejut. “Apa dia?”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79526/impian-terindah

 

 

[SNEAK PEEK] CERITERA CINTA DARWIESHA

9789670657974-medium
EBUKU Ceritera Cinta Darwiesha Oleh Adzra Sue

BUAT pertama kalinya, aku hadiri temu duga untuk mengisi kekosongan jawatan sebagai kerani akaun. Walau tak setimpal dengan Ijazah Perakaunan yang baru aku terima beberapa bulan lepas, aku bersyukur juga dengan rezeki yang ada. Bukan senang mahu mencari kerja sekarang. Bukan sedikit juga graduan sepertiku yang masih lagi menganggur dan masih menunggu panggilan temu duga.

Aku amati sekeliling. Agak besar juga pejabat developer ni. Maklumlah, namanya agak terkenal.

Di sofa di hadapan sebuah bilik sederhana besar, dua orang gadis sedang menunggu. Kedua-duanya lengkap dengan sut skirt dan jaket. Sungguh bergaya dan nampak elegan juga seperti sudah punya banyak pengalaman. Aku tunduk meneliti pakaian di tubuhku. Dengan seluar hitam dan kemeja lengan panjang, terlalu simple. Agak-agaknya sempat tak aku balik rumah sekejap untuk tukar baju?

‘Isy… kau gila? Mana sempat!’ marahku dalam hati.

Calon pertama sudah dipanggil. Aku dan seorang lagi gadis anggun tadi saling berpandangan. Aku lemparkan senyuman buatnya, tapi tidak mendapat balasan. Segera anak matanya dialihkan ke arah lain.

‘Macamlah kau tu lawa sangat!’ Hehehe… sempat juga aku mengutuk. Tapi dalam hati sajalah!

Bila calon yang pertama tadi keluar dengan bibir yang muncung dan muka kelat bagaikan terkena getah buah nangka, debaran di dada semakin memuncak. Calon kedua pula dipanggil masuk. Tak sampai lima belas minit di dalam, gadis sombong tadi keluar. Juga, lebih kurang sama reaksinya dengan calon yang pertama tadi.

Oh! Aku mula buat kesimpulan. Maknanya, peluang untuk aku pun sembilan puluh peratus dah ‘out’. Selepas ini, giliranku. Perlu ke aku menyerah kalah saja?

“Dahlyana Darwiesha!” Aku tersentak. Namaku dipanggil. Detak jantung mula tak tentu hala. Rentak iramanya dah sumbang mambang. Sekejap irama rock, beralih ke lagu blues dan pengakhirannya bertukar ke rentak zapin.

“Saya, puan.” Perut mula menggelegak. Seram sejuk tanganku. Aku bingkas bangun dan menuju ke arah penyelaras temu duga untuk hari ini. Wanita yang menyeru namaku tadi kelihatan anggun dengan sepasang baju kurung batik asli bercorak digital terkini.

Pintu dibuka seluasnya dan aku dipersilakan masuk. Dengan tertib aku mengucapkan salam. Dua orang penemu duga yang berada di dalam sudah aku tahu namanya. Ada tertulis nama mereka berdua di surat panggilan interviu yang aku terima seminggu yang lepas. Berbangsa Melayu dan kedua-duanya lelaki. Mesti garang gila. Jika tidak, mana mungkin dua calon yang perasan bagus tadi keluar dengan muka masam mencuka?

“Sila duduk!” Serentak mereka membalas salamku dan mempersilakan aku duduk di kerusi yang dikhaskan di depan mereka.

“Terima kasih, encik.” Dua pasang mata merenung wajahku tanpa berkelip hinggakan aku dilanda resah. Ada yang tak kena ke dengan solekan pada wajahku? Terlalu tebalkah eyeshadow di kelopak mataku atau terlalu merahkah blusher di pipiku? Entah-entah, blaus yang tersarung di tubuhku ini, butangnya senget agaknya?

“Cik Dahlyana Darwiesha binti Dahlan?” Salah seorang daripada dua lelaki di depanku ini menegurku. Aku tidak pasti yang mana satukah Encik Syaifuddin dan yang mana satu Encik Zafrul Amri. Sudah kuhafal nama-nama mereka berdua sejak beberapa hari lepas dan sudah melekap di kepalaku.

“Saya, encik.” Mata aku fokuskan kepada yang menyeru namaku tadi. Bersedia untuk disoal.

“Cantik nama.” Tambahnya lagi memuji namaku. Eh! lelaki ni… nak interviu ke, atau nak berkenalan denganku? Yang peliknya, hanya itukah yang mampu ditanyakan kepadaku? Dia ni, betul ke menyandang jawatan sebagai pegawai HR?

“Ehemmm!!!” Fuhhh! Mujurlah lelaki di sebelahnya mencelah di antara ruang bisu kami berdua.

“Saya nak panggil awak apa? Panjang sangat nama awak ni.” Lelaki yang berdeham tadi menambah.

“Terpulanglah pada encik. Dahlyana boleh, Darwiesha pun boleh.”

“Saya suka dengan nama Darwiesha. Saya Syaifuddin dan di sebelah saya ni, Encik Zafrul Amri. Cik Darwiesha tak pernah bekerja sebelum ni?” Terasa kekok pula kerana jarang sungguh orang memanggilku dengan nama itu padahal tadi aku yang menyuruhnya berbuat demikian. Konon-konon mahu beretika semasa ditemu duga. Jangan nak tunjuk lagak pula di depan penemu duga. Silap-silap membantah, peluang yang berbaki sepuluh percent tadi pastinya akan tinggal satu percent saja jadinya nanti.

“Belum pernah lagi, encik. Inilah pertama kalinya saya dipanggil interviu. Saya baru sahaja menamatkan pengajian saya di universiti.” Dengan teratur aku menyusun ayat-ayat formal Bahasa Malaysia sebaik mungkin. Mujurlah sebelum tamat pengajian di kampus, kami sudah pun diberi taklimat bagaimana mahu menghadiri temu duga kerja.

“Baiklah Cik Darwiesha. Kami sudah pun meneliti sijil-sijil dan juga surat daripada majikan tempat awak praktikal sebelum ini. Amat memberangsangkan. Well… jika kami ambil Cik Darwiesha bekerja di syarikat kami, bolehkah awak berjanji yang awak akan beri yang terbaik pada kami?”

“Saya tak berani berjanji tapi Insya-Allah, encik. Saya akan buat yang termampu.”

“Bagus. Kata-kata macam tulah yang kami mahu dengar. Boleh awak mula bekerja hari Isnin nanti?” Encik Syaifuddin puas hati dengan jawapanku. Dia tersenyum akhirnya.

“Maksud encik, saya diterima?”

“Ya… tahniah. Tolong jangan hampakan kami. Kalau Cik Darwiesha nak tahu, dua orang yang di interviu tadi sudah ada pengalaman. Akan tetapi, saya mahu beri peluang pada awak. Awak boleh balik sekarang. Prepare untuk hari Isnin nanti.”

“Terima kasih encik, terima kasih banyak-banyak!” Hati melonjak riang. Yang menghairankan aku, encik Syaifuddin yang lebih banyak bercakap sedangkan lelaki yang bernama Zafrul Amri hanya mendiamkan diri dan mendengar sahaja apa yang diterangkan Encik Syaifuddin. Selebihnya Encik Zafrul lebih banyak merenung wajahku.

Kenapa ya? Aku tak percaya kalau dia mahu memikatku. Isy… tak mungkinlah! Takkan lelaki bergaya dan berpangkat seperti dia masih belum berpunya? Nak jadikan aku isteri kedua? Mintak simpang jauh-jauh! Yang aku terperasan lebih ni, kenapa? Kau ingat kau cantik sangat, Lyana?

KELUAR DARI bilik temu duga, hati merasa sungguh lapang dan gembira bukan kepalang. Alhamdulillah! Segera aku teringat gurauan along yang aku bakal gagal untuk mana-mana interviu. Along tu memang sengaja provoke aku. Seboleh-bolehnya dia mahu aku bekerja di syarikatnya walaupun puas aku menolak. Mahu bekerja di syarikat abang sendiri? Bagiku belum tiba masanya. Biarlah aku belajar berdikari dulu. Kalau sudah ditakdirkan aku tidak diterima bekerja oleh mana-mana syarikat, jalan terakhir barulah aku berpaling pada tawaran along.

Ahaa… Baru aku teringat! Ada peluang la aku menuntut janji along untuk belanja aku makan malam di Restoran Angkasa, Menara KL. Siaplah along… rabaklah poketmu dua tiga ratus! Hehehe…..

“Darwiesha… tunggu!” Saat aku sudah melepasi pintu kaca di tingkat paling bawah, aku dengar suara lelaki melaung namaku agak kuat. Segera aku berpaling.

Terkejut aku melihat Encik Zafrul Amri termengah-mengah. Aku memandangnya pelik. Untuk apa dia mengejarku? Agaknya ada barangku yang tertinggal di dalam bilik temu duga tadi, tak?

“Darwiesha…”

“Saya, Encik Zafrul. Ada apa?” Wajahnya yang memerah aku renung. Kacak! Dengan rambut tersisir rapi, kemeja berjalur di dalam kot biru gelap menampakkan keterampilannya sebagai seorang ketua yang berdedikasi. Tambahan lagi, aku suka dengan kumis tipis di atas bibirnya. Tampak lebih menawan dan… macho!

“Kita pernah jumpa ke sebelum ni?” Tercantas kelekaanku yang sedang asyik meniliknya tadi.

“Maaf encik. Rasa-rasanya, tak pernah.”

“Tapi… saya rasa macam pernah kenal awak.”

“Encik Zafrul salah orang agaknya. Mungkin pelanduk dua serupa. Saya nak cepat ni… kawan serumah saya dah tunggu lama kat kereta. Maaf ya, Encik Zafrul. Saya mintak diri dulu. Jumpa lagi.”

“Darwiesha, tunggu sekejap. Boleh saya belanja awak makan… er… sekarang?” Aku semakin hairan melihat gelagatnya yang seolah-olah berat mahu melepaskan aku pergi.

“Terima kasih saja. Saya betul-betul terpaksa pergi. Kawan saya kena masuk kerja semula.”

“Kalau macam tu, biar saya yang hantar awak balik. Minta kawan awak ke tempat kerja dia dulu.”

Eh… Pelik sungguh dia ni. Mulanya pelawa aku makan, selepas itu sanggup nak hantar aku balik pula? Takkanlah baru berkenalan tak sampai dua jam, terus nak buat permintaan yang bukan-bukan? Isy… takut aku!

“Maaf, saya terpaksa menolak. Saya pergi dulu.” Aku berpaling pergi. Sempat telingaku menangkap keluhan berat yang dilepaskan Encik Zafrul. Tak kisahlah dia nak kata apa pun. Bukannya aku jual mahal, tapi… tidak relevan rasanya mahu menerima pelawaannya.

MALAM ISNIN, handphone kesayanganku berdering. Nombor yang terpampang di skrin tidak aku kenali. Siapa pula yang call aku malam-malam buta macam ni?

“Helo Darwiesha?”

“Ya, saya Darwiesha…. siapa di sana?” Aku langsung tak kenal dengan suara empunya diri. Nak kata kawan lamaku semasa di IPT, rasa-rasanya tak mungkin.

“Saya bakal bos awak, Zafrul Amri.” Hah? Encik Zafrul Amri yang kacak lagi macho tu sedang bercakap denganku sekarang? Rasa nak pengsan! Kalau Haslina tahu ni, harus kecoh satu rumah!

“Encik Zafrul? Mana Encik Zafrul dapat nombor telefon saya?”

“Awak lupa ke saya yang interviu awak Jumaat lepas?”

“Oh er… er… saya minta maaf, encik. Saya tak perasan.” Aduhai… macam manalah aku mahu ingat? Encik Zafrul lebih banyak merenungku daripada bercakap hari itu. Kemudian dia mengejarku di bawah bangunan pejabat. Itu pun sekejap sahaja aku bercakap dengannya. Suaranya pun aku sudah ingat-ingat lupa!

“Tak perlu minta maaf. Saya nak tanya, jadi ke awak masuk kerja esok?”

“Insya-Allah Encik Zafrul, kalau tak ada apa-apa aral.”

“Panggil saya Zafrul.”

“Tapi encik… saya kan, bakal pekerja encik?”

“Sekarang bukan waktu kerja. Jadi, awak tak perlu nak ber ‘encik-encik’ dengan saya.” Aku terdiam. Isy… ini apa kes pulak sampai tak benarkan aku panggil dia, ‘encik’?

“Darwiesha…” serunya sekali lagi.

“Ya encik…”

“Saya ingat awak dah letak phone. Awak tahu kenapa saya call awak?” Satu pertanyaan lagi menerjah telingaku. Apa sebab Encik Zafrul call aku? Teka-teki apa pula ni?

“Er… saya agak sebab encik nak pastikan saya masuk kerja esok ataupun tidak?”

“Itu salah satunya. Satu sebab lagi, saya nak beritahu awak yang saya dah terpikat pada awak dan saya nak mengurat awak, boleh?” Hahh!!! Gila ke apa Encik Zafrul ni? Aku tekan butang merah.

Rasa tak sanggup mahu mendengar bakal bosku merapu lagi. Esok, bagaimanalah agaknya aku mahu mulakan kerja kalau perangai bos sebegini pelik? Huwaaaa… tolong!!!

SUASANA FORMAL saja pada hari pertama aku melaporkan diri di RME Development. Encik Syaifuddin memperkenalkan aku dengan kakitangan di bahagian pentadbiran dan kewangan. Letih tanganku bersalam dengan semua orang dan jadi burung belatuk. Kejap-kejap angguk, kejap-kejap angguk. Padahal bukannya aku dapat mengingati setiap butir bicara pegawai HR itu.

Betapa susahnya mahu lekat nama-nama mereka di kepala. Otakku juga sudah merewang entah ke mana. Berharap sangat-sangat aku segera dibawa ke meja kerjaku. Lenguh betisku ini walaupun hari ini aku hanya memakai kasut tumit hanya dua inci tingginya.

Nah! Di sinilah tempatku. Sebuah meja yang sangat kemas dan kosong, di ruang terbuka dan setiap meja dipisahkan dengan kubikel rendah. Agaknya setaraf dengan kerani cabuk. Nak buat macam mana, dah nasib badan! Terpaksa terima sajalah. Kelayakan yang aku ada, tidak menjamin peluang kerja yang bagus pada zaman ekonomi yang tidak berapa stabil ketika ini.

Baru saja aku labuhkan punggung ke kerusi, interkom di atas mejaku berdering. Aduh…. tak boleh ke bagi aku masa untuk berehat seminit dua? Bimbang tidak mahu mengganggu kakitangan yang lain di tingkat satu ini, aku segera angkat gagang.

“Darwiesha, Encik Zafrul nak jumpa you.” Suara setiausaha peribadi Encik Zafrul yang kenalkan dirinya sebagai Kak Zaty kedengaran tanpa sebarang salam. Sungguh tak beretika.

Malangnya aku yang merasa gementar. Belum apa-apa lagi aku sudah dipanggil ke biliknya? Terus sahaja aku teringat kata-kata Encik Zafrul sewaktu menelefonku malam tadi. Air liur terasa kelat di kerongkong. Hanya dengan satu ketukan sahaja, terus aku menolak daun pintu bilik Encik Zafrul. Aku pasti dia sudah pun menunggu kedatanganku.

“Selamat pagi Encik Zafrul.” Dari aku melangkah masuk tadi, anak mata ketuaku itu tidak lepas merenung aku sampailah aku berdiri di depan mejanya. Gementar di dalam dada, tak usah cakaplah. Boleh tak kalau aku buat-buat pengsan sekarang ni?

“Good Morning. Sila duduk.” Aku akur dengan arahannya. Lambat-lambat aku labuhkan punggung di kerusi.

“Selamat datang ke RME Development.

“Terima kasih Encik Zafrul.” Kemudian dia diam, Wajahnya serius sahaja. Aku tak senang duduk apabila ditenung tak habis-habis.

“Awak tahu tak Darwiesha, awak dah buat kesalahan besar?” Aku terkedu. Apa salahku? Aku belum sempat menyentuh sebarang akaun atau apa-apa pun jua. Hanya sebuah komputer yang berada di atas mejaku tadi. Itu pun aku tak sempat menekan suisnya lagi.

“Apa salah saya? Saya baru saja selesai melaporkan diri pada bahagian HR tadi. Belum lagi diarahkan buat sebarang kerja.” Mata Encik Zafrul tetap melekat pada anak mataku. Tajam renungannya jadikan aku semakin tak senang duduk.

“Kesalahan pertama, sebab awak matikan telefon malam tadi sebelum saya habis bercakap.” Aku tundukkan wajah. Itu kesalahan besar ke? Ada ke termaktub dalam undang-undang syarikat yang pekerja tidak boleh matikan talian jika bosnya menelefon?

“Yang keduanya, sebab awak dah curi hati saya. Dan saya tak akan ambil balik. Saya nak biarkan hati saya lekat pada hati awak. Boleh ke?” Aku terpempan. Ucapan Encik Zafrul tidak masuk akal langsung. Dia ni… otak betul atau tak?

“Encik Zafrul, saya baru saja masuk kerja hari ni. Boleh tak encik serius sikit?”

“Cik Darwiesha… Awak nampak saya main-main ke? Selagi awak tak beri jawapan, setiap pagi saya akan panggil awak untuk tanyakan soalan yang sama sampai awak terima saya. Atau… awak nak hilang kerja awak?” Ni dah kira ugutan ni!

“Encik Zafrul tak patut buat macam ni. Encik paksa saya!” Encik Zafrul tergelak-gelak. Rasa tak bersalah aje gayanya.

“Awak boleh pergi sekarang. Buat permulaan, hari ni saya nak awak lunch dengan saya. Ini arahan!” Lambat-lambat aku alihkan punggung dari kerusi. Bibir aku ketap dengan kuat. Rasa mahu menjerit di sini juga.

Eiiiii… Geramnya aku dengan ketuaku ni. Baru hari pertama bekerja, Encik Zafrul sudah mahu cari pasal. Kenapa dengan aku ni?

“Wiesha… apa bos nak?” Rakan sekerja di sebelah meja menjenguk ke tempatku.

“Dia… er… Encik Zafrul nak ucap selamat datang aje.”

“Itu aje ke?”

“Haah… yalah… Itu aja… kenapa?”

“Peliknya, jarang sekali dia panggil staf masuk bilik dia. Kalau nak tahu, Encik Zafrul mana nak bercakap sangat dengan staf? Apa-apa arahan, dia sampaikan melalui Kak Zaty. Dia tu serius dua puluh empat jam!”

“Ya ke?” Suraya mengangguk. Kerutan di dahi Suraya menandakan dia sedang memikirkan sesuatu.

“Dahlah awak… tak usah fikir pasal dia. Tak jadi kerja nanti.” Aku lemparkan senyuman kepada Suraya. Lantas membuka fail yang aku bawa dari bilik Encik Syaifuddin tadi. Tugasan pertama untuk hari pertamaku.

“Mujurlah untuk permulaan, aku hanya diberikan kerja-kerja ringan mengemas kini akaun yang ada. Larut dalam kerjaku, aku tidak sedar sudah sampai waktu makan tengah hari.

ENCIK ZAFRUL benar-benar menagih arahannya. Arahan untuk keluar makan tengah hari bersamanya walaupun hati ini sungguh tidak rela.

“Darwiesha, ikut saya lunch sekarang. Saya dah lapar.” Munculnya secara tiba-tiba di belakangku. Tergesa-gesa aku ‘save’ fail excel yang sedang aku teliti di komputer. Buka laci, menarik purse dan juga telefon bimbit dari dalam beg tanganku.

Sewaktu aku berdiri, dua tiga orang staf di ruang ini memanjangkan leher. Ada yang berpandangan sesama sendiri. Sudahlah jam baru menunjukkan pukul 12.00 tengah hari. Takkan seawal ini mahu keluar makan? Ah! Dia bos. Suka-suki ajelah mahu buat apa. Dengan muka tebal, aku ikut langkah laju Encik Zafrul ke pintu kaca.

Encik Zafrul bawa aku ke restoran berhampiran dengan bangunan pejabat RME Development. Restoran Kampung masih lengang ketika ini. Aku yang duduk bertentangan dengan Encik Zafrul sungguh-sungguh rasa tidak selesa.

“Saya nak awak temankan saya makan setiap hari, kecuali jika saya tak ada kat pejabat.”

“Hah! Mana boleh macam tu, Encik Zafrul. Seganlah saya dengan staf lain. Saya pekerja baru… saya tak mahu dituduh macam-macam.”

“Tuduh macam-macam tu, macam mana? Apa maksud awak?” Lah… dia ni! Takkan itu pun susah sangat nak faham? Atau… Encik Zafrul ni, sengaja mahu mendugaku?

“Maksud saya… nanti staf lain fikir saya ada affair dengan Encik Zafrul pulak.”

“Kalau ada affair pun, apa salahnya? Saya bujang lagi dan awak pun masih single. Awak mengaku saja pada mereka yang bertanya, memang kita ada hubungan.” Sekali lagi soalan yang sama berlegar dalam fikiranku. Kenapa aku? Kenapa tidak gadis lain?

“Tapi Encik Zafrul…” Aku ingin membantah. Kerja gila namanya kalau setiap hari aku harus temankan dia makan tengah hari. Canggungnya aku mahu berdua-duaan dengan bos sendiri. Lagilah kalau kena bersopan santun ya amat bila mahu makan. Mana boleh kenyang lagu tu?

“Stop arguing. Masa untuk makan.” Encik Zafrul capai sudu serta garpu dan lapkannya menggunakan tisu. Kemudian dihulurkan kepadaku. Setelah itu dia melakukan perkara sama sekali lagi dan letakkannya ke dalam pinggannya pula.

“Makanlah… awak nak tengok aje saya makan ke? Saya tahu saya kacak hari ini, tak perlulah tenung saya lama-lama.” Aduh… kenapalah aku boleh terleka sekali lagi menilik dirinya?

‘Kau ni kenapa, Lyana?’ desis hatiku.

Encik Zafrul menahan senyum sedangkan wajahku sudah merona merah agaknya. Nasi Ayam Hainan di pingganku, aku suap perlahan. Encik Zafrul pula makan dengan berselera. Dia ni, tak ambil sarapan ke pagi-pagi? Nampak lapar benar!

Walaupun aku berjalan di belakang Encik Zafrul sewaktu masuk ke pejabat semula, banyak mata yang memandang ke arah kami. Selepas sahaja pintu bilik Encik Zafrul di hujung sana sudah tertutup rapat, Amy geng sekufu Suraya mencuit bahuku.

“Darwiesha… saya tanya sikit, boleh?”

“Apa halnya?” Berdebar juga dadaku. Rasa-rasanya aku dapat meneka apa yang Amy mahukan daripadaku.

“Awak dan lama ke, kenal dengan Encik Zafrul? Nampak macam mesra aje?”

“Er… begini. Encik Zafrul tu, kawan seuniversiti dengan abang sulung saya.” Bernas juga idea spontan yang terpacul dari mulutku. Statement cover line, beb!

“Jadi… awak dapat kerja sini sebab ada orang dalam la ya? Untunglah awak, kan. Tak payah susah-susah nak turun naik pejabat, temu duga sana sini untuk dapatkan kerja. Macam saya dulu…” Kenyataanku memakan diri. Terpaksa sajalah aku mengiakan.

“Nasib saya baik agaknya.” Haaa… padan muka aku. Siapa suruh menipu!

****

TIDAK cukup dengan hanya menemani makan tengah hari selama seminggu ini, ada sahaja Encik Zafrul mencari pasal denganku.

“Darwiesha, masuk sekejap!” Menonong aku ke biliknya setelah mendapat arahan melalui interkom. Hanya hari pertama dia menyuruh setiausaha peribadinya memanggilku. Selepas itu dan hari-hari yang berikutnya, Encik Zafrul interkom aku terus dari mejanya.

“Masuk!” Suara tegas Encik Zafrul kedengaran setelah aku mengetuk pintu biliknya.

“Awak dah sarapan?”

“Sudah, Encik Zafrul. Kat rumah tadi dengan housemate saya.”

“Saya tak sempat sarapan. Awak boleh tolong turun belikan saya kuih dan tolong buatkan saya kopi?”

“Tapi encik… Kak Zaty kan, ada?” Aku merujuk kepada setiausaha peribadinya.

“Saya mahu awak yang buat. Kalau saya nak Zaty bancuh kopi saya, tak perlulah saya mintak awak datang sini.” Aku terkedu dibidas sinis. Not sepuluh ringgit diunjurkan kepadaku dan aku ambil dari tangannya tanpa berlengah lagi.

Aku berpaling ke pintu tapi tersedar sesuatu. Pantas aku pusingkan tubuh ke arahnya semula.

“Er… maaf Encik Zafrul. Encik gemar makan kuih apa?” Aku harus bertanya dulu kerana inilah kali pertama aku diberikan tugas sebegini walaupun ia di luar bidang kerjaku. Mengalahkan P.A.nya pula.

“Saya makan saja apa yang awak pilih. Saya nak tahu juga kuih kesukaan awak. Tak salah kan saya nak kenal awak lebih mendalam lagi?”

Erk!!! Salah tu tak salah. Ada tapinya… untuk apa?

Aku melewati deretan kubikel untuk ke pintu kaca sebelum turun ke tingkat bawah. Sampai sahaja di pintu, aku bertembung pula dengan Umairah yang baru naik ke aras ini.

“Awak nak pergi mana, Wiesha?”

“Er… nak turun bawah. Encik Zafrul mintak saya belikan kuih.”

“Hah! Biar betul Wiesha? Sebelum ni, mana pernah dia buat perangai manja macam gitu? Kak Zaty pun tak pernah belikan Encik Zafrul sarapan. Eh, awak dengan Encik Zafrul ada apa-apa hubungan ke?” Hah! Terbuka mulutku. Apa motif Encik Zafrul sebenarnya? Peliknya…

“Isy… mana ada apa-apa. Saya pekerja, dia bos. Mestilah saya kena buat apa saja kerja yang diarahkan.”

“Entah-entah, Encik Zafrul suka kat awak tak?” Umairah angkat-angkat kening. Aku mencebik. Bukan entah-entah lagilah Umairah. Encik Zafrul sudah pun mengaku. Aku saja yang belum lagi ‘ter’suka kepada ketuaku itu.

“Mengarut ajelah awak ni. Saya dah lambat ni. Nanti lama pulak Encik Zafrul tunggu nak sarapan.”

“Alah… kalau dia suka kat awak pun, apa salahnya? Kat floor bawah, dah ramai yang soksek-soksek pasal korang berdua. Encik Zafrul punyalah kacak, takkan awak nak tolak lelaki bergaya macam tu?”

“Eei tolonglah! Saya datang sini, nak kerja tau, bukan nak cari teman lelaki.” Serta-merta aku tarik muka masam dan bergerak ke tangga mahu turun ke tingkat bawah.

NAIK KE tingkat satu semula, aku terus ke pantri untuk membancuh kopi yang diinginkan Encik Zafrul. Kali ini, Kak Lela pula yang memandangku agak pelik.

“Wiesha buat air untuk siapa?”

“Untuk Encik Zafrul, kak.”

“Eh… selalunya Kak Lela yang selalu bancuh dan hantar ke bilik dia.”

“Entahlah kak. Saya pun tak tahu. Agaknya, hari ni angin sepusing dia datang kut.” Aku tergelak dengan telahanku sendiri.

“Macam-macamlah Wiesha ni. Kuih ni nak letak dalam piring?”

“Haah Encik Zafrul yang mintak tolong saya belikan tadi.”

“Aik… peliknya Kak Lela dengan perangai dia sekarang? Lagi satu Kak Lela perasan, sejak Wiesha mula kerja kat sini, dia dah banyak berubah tau.”

“Berubah? Dulu… Encik Zafrul macam mana?” Teruja juga aku mahu mengorek rahsia Encik Zafrul. Alang-alang bakal dapat informasi percuma, apa salahnya tadah telinga?

“Sebelum ni, Encik Zafrul serius sangat. Garang semacam sampaikan tak pernah senyum, tak pernah ketawa. Sekarang Kak Lela tengok, muka Encik Zafrul berseri-seri. Agaknya Wiesha ni datang bawak sinar kepada RME Development kut?”

“Sinar apa Kak Lela? Saya tengok bilik dia sama aje. Malap aje lampu kat dalam bilik dia tu?” Kak Lela tergelak aku menjawab begitu.

“Maaflah! Kak Lela mengarut saja pagi-pagi ni. Dah… pergi cepat hantar kopi Encik Zafrul tu. Kalau dah sejuk, tak sedap pulak.”

Aku senyum separa ikhlas. Kepalaku mula memikirkan Encik Zafrul. Benarkah apa yang diceritakan Kak Lela tadi? Encik Zafrul sebelum ini garang? Tapi, cara dia loyar buruk denganku macam bukan seorang yang garang aje.

Sejak itu, semakin bertambah kerjaku. Dari peneman Encik Zafrul makan tengah hari, setiap pagi aku harus menyediakan sarapan dan juga kopi sebaik sahaja dia sampai di pejabat. Jika Encik Zafrul ada mesyuarat di luar dan akan masuk di sebelah petangnya, pagi-pagi lagi dia akan berSMS denganku. Kadang-kadang terfikir juga aku. Jawatanku di sini sebagai pembantu akaun ataupun setiausaha peribadinya? Kak Zaty pula, apa peranannya?

SUDAH LEBIH tiga minggu di sini, Encik Zafrul tidak sekali pun mendesakku tentang hal berkaitan hati dan perasaannya. Aku lega juga kerana sememangnya aku tidak bersedia langsung mahu memberikan jawapan. Selama tiga minggu ini juga, aku melaksanakan tugas yang diarahnya tanpa banyak soal.

“Wiesha…. Saya nak awak pergi bank. I need a cash.” Sekeping cek tunai dihulurkan kepadaku. Aku ketap bibir.

Ini lagi tak boleh ‘blah’ punya arahan. Cek peribadi dia pun, nak aku juga yang tunaikan? Sibuk sangat ke Encik Zafrul ni, sampai tak boleh ke kaunter bank sendiri?

“Kenapa buat muka cemberut macam tu? Awak tak boleh tolong ke?”

“Bukan tak boleh tolong, Encik Zafrul. Tapi bank ni, bukan dekat-dekat opis. Jauh juga kalau saya nak menapak.”

“Awak ada lesen memandu, kan? Nah kunci kereta saya. Agak-agak dah balik sini nanti, tunggu saya kat restoran macam biasa. Call saya kalau awak dah sampai.”

“Encik Zafrul nak suruh saya drive kereta encik? Encik tak takut ke, kalau jadi apa-apa pada kereta encik?”

“Awak kena biasakan diri dengan kereta saya. Awak kan buah hati saya…”

Hah?” Aku buah hati dia? Sedap-sedap mulut saja dia declare begitu. Melampau sungguhlah Encik Zafrul ni.

“Don’t think so much. Just go! Ingat… bila dah balik sini semula, terus call saya dan tunggu kat restoran macam selalu.”

“Tapi Encik Zafrul…” Aku masih lagi keberatan. Sudahlah aku disuruh ke bank atas urusan peribadinya, ditambah pula kerisauan aku dengan cek bernilai RM15,000.00. Bukan sedikit oiii! Kalau hilang atau tercicir kat mana-mana, masak aku mahu menggantinya.

“Saya ada meeting dengan lembaga pengarah sekejap lagi. Saya tak ada masa nak layan bertekak dengan awak.” Dalam keterpaksaan aku ambil kunci kereta di atas mejanya. Sempat juga aku mengerlingnya tajam. Bengang!

BUKANNYA SUSAH mahu mencari kereta Encik Zafrul di tempat letak kereta yang dikhaskan untuknya. Acap kali juga Encik Zafrul membawaku makan tengah hari agak jauh dari bangunan pejabat RME Development. Sudah tentu aku tahu di mana keretanya berada setiap hari.

Remote Mercedez Benz CLK berwarna kelabu aku picit. Dengan ucapan Bismillah, aku masuk ke keretanya. Cuba membetulkan seat dan laraskan cermin pandang belakang. Tubuhku yang terbenam di kerusi empuk, aku tegakkan. Mujurlah abah juga memiliki kereta sama jenisnya dengan yang ini dan aku sudah biasa disuruh abah memandu jikalau keluar bersama kedua-dua orang tuaku. Yang Encik Zafrul pula, confident sangat ke aku boleh bawa kereta mahal ni? Tak takut ke kalau-kalau keretanya calar?

Benar bagai dikata oleh Encik Zafrul. Jalan raya sudah mula sesak walaupun masa belum lagi menginjak ke tengah hari. Terpaksa berhati-hati dengan jalan sempit di hadapan bank yang aku mahu tuju. Tempat letak kereta juga penuh. Aduhai… kenapalah Encik Zafrul jadikan aku balaci hari ni? Ingat aku tak ada kerja ke kat pejabat tu. Kalau macam ni, baik aku jadi P.A.nya sahaja. Lagi baik kalau jadi bini terus! Hahahaha… mengarut sungguh la kau Lyana. Hati kata tak suka, boleh pula berangan nak jadi isteri bos, huh!

Terpaksa pula aku berpusing dua kali di jalan sehala yang sama untuk mencari parkir kosong. Akhirnya, nampak juga satu kereta yang baru mengundur dan menderu meninggalkan kawasan ini. Berhati-hati aku masuk ke petak yang ditinggalkan. Sudahlah sempit, kiri kanan kereta pula diparkir begitu rapat dengan garisan kuning. Cermin mata hitam aku sangkutkan ke telinga. Panas terik dan membahang hingga silau mataku. Kalau tak fikirkan bos yang memberi arahan untuk aku ke sini, tak ada maknanya aku mahu menempuh jalan sesak dan berpanas terik begini.

Final check! Sambil melangkah aku tunduk membelek kepingan cek tunai di dalam beg tangan yang aku sandang. Lega… masih ada lagi dan terletak elok di dalamnya. Cek tunai RM15,000.00. Siapa tak bimbang kalau hilang?

“Cik… watch out!!!” Jeritan nyaring satu suara mengejutkan aku. Serentak bunyi hon yang panjang kedengaran dan aku tidak sedar bila masanya tubuhku terkalih ke bonet kereta yang aku pandu tadi.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79507/ceritera-cinta-darwiesha

 

REVIEW ENCIK GULA ‘UNDER AGE’

9789670567716-medium
EBUKU ENCIK GULA ‘UNDER AGE’ OLEH QISTINA ALYA

Pertemuan demi pertemuan tanpa sengaja telah menemukan MUHAMMAD AMMAR RIZQY dan QASEH QASHDINA. Bagi RIZQY, pasti ada maksud di sebalik setiap pertemuan. Mustahil dia dipertemukan dengan QASEH tanpa sebarang hikmah. Di sisi lain, QASEH tak habis-habis menyalahkan RIZQY setiap kali dia ditimpa masalah.

“Kenapa, ya? Setiap kali saya jumpa awak mesti saya ditimpa malang…”-QASEH

“Err… Awak tak rasa ke saya ni penyelamat awak. Setiap kali awak ada masalah aje saya yang selamatkan. Tak gitu? Macam ultraman selamatkan penduduk bumi…”-RIZQY

QASEH mengharapkan seorang imam yang bisa membimbing. RIZQY perlukan teman sebagai pelengkap kepada sebahagian diri yang hilang. Saat RIZQY rapuh, QASEH hadir sebagai teman yang menenangkan. Menjadi guru yang setia di sisi pelajar bernama suami. Biarpun tika itu dia sudah mengetahui, hakikat rahsia yang RIZQY sembunyikan.

“Qaseh, kalau satu hari nanti awak tahu saya sembunyikan sesuatu daripada awak, agak-agak awak marah tak?”-RIZQY

Namun QASEH hanya insan biasa. Dia juga tahu erti kehilangan. Dia juga miliki hati seorang perempuan. Terluka saat dia menyangka cintanya dikhianati. Rapuh pada ketika insan tersayang dibawa pergi.

“Maaf? Qaseh sedar tak apa Qaseh buat? Jantung abang ni…macam nak tercabut bila Qaseh tak ada kat rumah. Bukan sekali Qaseh macam ni. Tapi dua kali…”-RIZQY

Mampukah ketenangan seorang RIZQY mengembalikan senyum di bibir seorang QASEH? Masih adakah pelangi, setelah hujan lebat turun membasahi bumi?


Huaaa!!! Awak sangat sweet encik gula. Minta Nescafe O pun boleh jadi manis kalau tengok awak! Gugur jantung tengok kecomelan awak.. Overall cerita ini sweet. Sebagai perempuan, admin sengih sampai langit kot. Dialog Rizqy semua catchy betul.. Haih! tergugat iman kalau jumpa ygang versi real!

Jalan cerita yang mudah, ditambah pula dengan watak yang sepadan menambahkan manisnya cerita ini!. HAHA! Sampai sekarang admin tak habis senyum lagi.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79498/encik-gula-under-age

[SNEAK PEEK] BENCI AMAT, SAYANG SANGAT!

9789670567679-medium
EBUKU Benci Amat, Sayang Sangat! Oleh Ezza Mysara

REDZA mula menutup telefon bimbitnya yang sedari tadi menderu-deru dengan mesej. Dia dah tak lalu nak baca luahan hati Dayang yang pelbagai rentak itu. Kejap merintih, kejap merayu, kejap mengarah! Dia tak punya jiwa untuk melayan Dayang lagi. Apa yang berlaku dahulu, biarkan ia tidak berulang lagi.

“Awak kenapa?” Soalan berbau prihatin itu terkeluar dari mulut Amna. Dia perasan yang kepingan piza Redza langsung tak terluak.. “Tak apa apa.” Amna angkat bahu dan meneruskan suapan. Sudu dan garpu berlaga sesama sendiri. Kadang-kadang sengaja dia lagakan dengan kuat! Malah spageti yang dimakan juga bersepah di sekitar pinggannya. Sengaja makan tak senonoh!

“Amna… pinggan awak tu tak cukup besar ke?”

“Oh…” Yes! Redza dah perasan.

“Hmmm… Kat rumah, saya dah biasa makan dalam talam!”

Redza hanya membiarkan. Malas nak layan kerenah Amna lagi. Dalam hatinya sedang merangka sesuatu untuk buat Dayang pergi dari hidupnya secara sukarela. Nak buat macam mana, ya? Nampaknya cara kasar memang tak membantu! Namun tiba-tiba meatball dalam spageti Amna tercampak di hadapannya. Terus Redza angkat muka! Memandang Amna yang nyata sedang terkejut.

“Meatball hidup lagi. Isy, sayangnya… Peraturan lima saat belum habis.” Cepat-cepat Amna kutip meatball yang tercampak tadi.

Kemudian disumbat masuk ke dalam mulutnya. Nasiblah… Idea spontan pasal perangai tak senonoh ni tiba-tiba menjalar dalam minda.

“Awak tahu pasal peraturan lima saat tu?” Kening kiri dan kanan Amna mula bercantum.

“Haah… Baca dari komik cerita Korea. Kenapa awak tanya?”

“Sebab saya pun pernah baca… Kiranya kalau makanan tu terjatuh tak sampai lima saat, maknanya kuman belum ada lagi. Tapi kesahihannya tak tahulah pula. Tapi kalau makanan jatuh sekejap macam tadi, memang saya sebat aje!” Melopong Amna mendengar kata-kata Redza.

Jadi usahanya tadi hanya sia-sia? Aduh… Apalah nasibnya hari ini. Semua rancangan tak menjadi! Spageti yang tidak habis itu mula ditolak ke tepi. Dia mula mencapai Seafood Lasagna. Salah satu favourite dia di Pizza Hut! Ktang! Sudu dan pinggan berlaga lagi. Dan Amna memang berada dalam kondisi yang sengaja. Dia lagi suka walaupun banyak mata-mata dah memandang. Redza hanya membiarkan. Malas nak kompelin lebih-lebih. Amna bukan banyak makan tapi banyak membazir.

“Amna… Boleh saya tanya sikit?”

“Hmmm… Tanyalah.”

“Baju yang awak pakai ni ada sentimental value ke?” Berhati-hati Redza bertanya.

“Erk… Sentimental value? Tak adalah… Mana ada! Kenapa awak tanya macam tu?”

Amna tunggu juga bila Redza nak smash dia pasal baju yang dia pakai. Tapi soalan Redza bukan main sopan lagi. Takkan agenda yang satu ni pun tak menjadi?

“Tak la… Biasanya bila sesuatu tu ada nilai tersendiri, kita akan pakai pada hari istimewa kita.” Mata Amna terbuntang mendengar telahan Redza.

“Oh tidak… Hari ni tak termasuk dalam hari istimewa pun!” jawab Amna kasar.

“Amna… Hari ni memang biasa. Tapi mula jadi luar biasa apabila saya bersama awak…” ujar Redza sambil mengambil potongan piza dan dibawa ke mulut.

Amna yang agak terlopong dengan pujian yang berbau ikhlas itu mula bergerak dan lengannya terkena gelas minumannya dan…

“Amna behave!” Cepat-cepat Redza menahan air yang tumpah dengan menggunakan tisu.

Amna yang terkejut itu terus melebarkan pandang ke arah sekeliling! Malu gila dengan perangai tak berjaga dia tadi. Tapi bukan ke ini yang dia nak sangat?

“Saya baru puji sikit… Awak dah menggelabah!” sakat Redza.

Aduh, tak boleh nak agak perangai tak senonoh Amna yang satu ini. Bukan tak senonoh, tapi lebih kepada clumsy! Kalau Dayang dahulu, pasti dia akan bangun meninggalkan gadis itu terkulat-kulat sendirian. Tapi kenapa dia tak mampu untuk melakukan semua ini kepada Amna?

“Mana ada gelabah!” “Watch your actions. They become habits!” Halus Redza menyindir.

“So?” Amna bagi ayat orang tak bersalah. “Watch your habits… They become characters!”

“So?” Sebab tak tahu nak jawab apa jadi Amna ulang ayat yang sama.

“Watch you character and it becomes your destiny!” Redza bagi ayat penutup.

Kenapa macam mendalam sangat kata-kata Redza ini? Senyuman Redza pula sinis mengancam!

“I know that I’ve never learned of love, so I don’t really know about it but I do know and really feel that you are my destiny…” Redza bagi ayat penyudah.

Amna buat tak tahu. Duhai hati, tak payah cara ayat yang membasahkan hati itu! SESUDAH makan, mereka menuju ke bahagian Parkson pula. Redza memohon diri untuk mendapatkan barangannya. Di kesempatan itu, Amna mula membelek-belek deretan barangan kosmetik yang terhidang. Fuh, harga memang tak payah cakaplah!

“Ada apa-apa yang awak nak beli?” tegur Redza apabila Amna tak habis-habis melirik ke arah barang-barang kosmetik yang terpamer.

“Erk… Tak ada… Saya tak pakai barang-barang mahal ni,” tolak Amna separa menyindir.

Dia pun pakai juga barang kosmetik. Tapi ikut kemampuan diri sendirilah. Kalau nak pakai SKII, memang kopaklah jawabnya.

“Hmmm, saya pun pelik dengan sesetengah orang ni. Buat apalah nak pakai barang-barang kosmetik ni semua. Produk kecantikan hanya akan mencerahkan. Bukannya mencantikkan,” hujah Redza tak semena.

“Oh, macam tu ke? Habis tu kalau saya rasa nak cantik, nak buat macam mana?” duga Amna.

“Ada jalannya… Mudah, simple dan efficient.” “Oh… Macam mana?” Teruja pula si gadis nak teroka jawapan Redza.

“Kahwin dengan saya!” Amna mendengus. Ke situ pula Redza ni.

“Apa kena-mengena antara nak cantik dengan kahwin dengan awak? Kaitan pula, kan…”

“Amna… bila awak kahwin dengan saya, awak akan sentiasa nampak cantik di mata saya… Untuk saat ini, esok atau sampai bila-bila…” jawab Redza dengan renungan yang buat jiwa simen Amna ditoreh dan dicairkan berulang kali.

Amna mengambil langkah untuk ke depan. Meninggalkan Redza di belakang. Oh tidak… Oh tidak… Kenapa hati macam cair aje dengar ayat Redza tu? Tak boleh jadi ni… Balik ni kena masukkan balik hati ni dalam peti ais. Jiwa yang cair ini perlu dibekukan semula!

****

“Redza… Saya dengar mak awak cakap tadi. Apa maksud teman hidup dan teman kehidupan? Bukan dua-dua tu membawa maksud yang sama ke?” Dasar otak yang memang nak tahu semua benda, jadi terpaksalah tanya. Tak tanya nanti, sesat jalan pula!

“Awak rasa macam mana? Life and living bunyinya hampir sama tapi maknanya terlalu besar…”

“Entah… Lain ke? Bukan sama aje ke?”

“Kita sedang membina hidup dan kehidupan. Kita hidup dengan makanan, pakaian, kenderaan dan tempat tinggal. Tapi kita membina kehidupan dengan kasih sayang, cinta dan kemesraan. Nampak tak bezanya?” Tercengang Amna dibuatnya. Sungguh dia tak pernah tahu. Ke memang sebab dia pun malas nak ambil tau?

“Seorang isteri itu ialah teman hidup dalam kehidupan. Kehidupan yang bukan semata-mata hidup. Kita hidup dengan apa yang kita dapat tetapi membina kehidupan dengan apa yang kita beri.” Berbelit ayat Redza namun cuba dianalisa oleh akal fikiran Amna sendiri.

“Bagi saya, konteks teman hidup dan teman kehidupan ini ibarat macam tuntutan zahir dan batinlah. Rohani dan jasmani. Di mana seorang suami perlu menyediakan nafkah zahir seperti makan pakai, tempat tinggal dan seangkatan dengannya. Dan nafkah batin seperti hubungan kasih sayang, kemesraan dan cinta…” Rasa prejudis, rasa sinis, rasa menyampah bagai hilang sekelip mata apabila mendengar tutur kata Redza yang serius itu. “Mana awak tahu semua ni?”

“Dari membaca dan… mendengar ceramah. Input yang kita terima perlulah dicerna dengan baik, kan… Bukan ke orang yang mendengar akan mudah belajar dalam hidup ini? Bukan sahaja akan meluaskan ilmu pengetahuan bahkan menunjukkan bahawa individu itu lembut hatinya. Kerana orang yang keras hati sahaja yang tidak dapat mendengar dan menerima nasihat.” Fuh, panjang pula ulasan ustaz tak bertauliah ini. Amna tersenyum sedikit.

“Awak memang pendengar yang baik,” puji Amna tanpa sedar.

“Awak tahu, ada kata bijak pandai yang berbunyi… Tugas cinta yang pertama ialah mendengar.” Pula dah… Kata-kata Redza itu menambahkan kerutan di dahi Amna.

“Dah… Dah… jangan nak mula.” Pantang kena puji. Mulalah nak bangga. Lagipun, bukan boleh kira sangat mamat ni, kalau dah mula berfalsampah, bukan boleh berhenti.

“Betullah… Ini fakta.”

“Okey, kalau betul-betul fakta… apa bukti peranannya?” Redza mula meletakkan piring kek yang sudah kosong ke atas lantai.

“Kekasih yang baik ialah kekasih yang mendengar rintihan, keluhan, aduan dan rayuan pasangannya. Maka cinta akan lebih subur dan harum… Bukan mudah tau nak jadi pendengar yang setia.” Amna terdiam.

Entah macam mana boleh terlebih teruja untuk mendengar bait demi bait, kata-kata yang dituturkan oleh Redza. Terasa sejuk… dingin… hingga boleh menanamkan musim bunga dalam taman hati.

“Amna…” seru Redza perlahan. Tanpa dipaksa, kepala Amna terus berpaling ke arah
Redza.

“Ketika musim panas yang terik, saya akan selalu menjadi tempat untuk awak berteduh.

Ketika langit memuntahkan hujannya, saya akan menjadi payung untuk awak.

Ketika awak lelah berjalan, saya akan menjadi kerusi kecil untuk awak melepaskan penat.

Ketika awak ketawa, saya akan memberikan seluruh kebahagiaan saya untuk awak terus ketawa.

Saya akan jadikan pipi awak kering daripada air mata.

Tapi kalau awak menangis juga, tangan saya akan menyerap semua air mata awak…”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79494/benci-amat-sayang-sangat

 

[SNEAK PEEK] ISTERIKU SLEEPING UGLY

9789674462116-medium
EBUKU Isteriku Sleeping Ugly Oleh Daisy Dania

KENAPA tadi you panggil dia ugly?”
Suara Erin yang didengari membuatkan langkah Hana terhenti daripada terus melangkah menuju ke arah kaunter penyambut tetamu itu.
Dia yang diarahkan Rina sebentar tadi untuk menyediakan air kopi terus memasang telinga di situ.
“You ni, agak-agaklah kan. Takkan macam tu nampak cantik pada pandangan mata you? Untuk I, memang taklah. Sebab tu I panggil dia ugly. Lagi satu, dia ni suka tidur rata-rata tempat tau, you jangan tak tahu,” beritahu Rina bersungguh-sungguh.
“Really?”
“Ya. Bukan ke ada satu cerita dongeng tu, Sleeping Beauty, kan? Yang ni? Cantik ke?” balas Rina.
Tawa Rina dan Erin meletus.
Hana mengetap bibir. Kenapa apa yang dia pakai akan selalu menjadi sebab utama untuk orang lain mengata dirinya? Apa yang dia orang pakai, aku tak pernah kisah pun!
Hana mula mengatur langkah. Erin dan Rina yang sibuk bergosip terhenti sejenak. Dua biji cawan diangkat lalu diletakkan di atas meja sebelum ingin berlalu.
“Tunggu, tunggu.” Erin bersuara.
Hana kembali menoleh ke Erin yang sedang mencari sesuatu di dalam beg tangannya.
“Nah, upah kau.” Erin tersenyum sinis sambil menghulurkan sekeping duit kertas RM1.
Hana terkebil-kebil memandang Erin yang mengangkat kening kepada Rina. Setidak-tidaknya, Erin ingin kelihatan hebat juga di pandangan mata model itu.
“Ambil. Aku tak naklah nanti kau cakap kita orang ni buli kau pulak. Ambil, jangan risau, aku ikhlas. Cukup ikhlas dari hati kecil ni. Nah!” Erin beria-ia menghulurkan wang kertas yang masih belum bersambut.
Hana menatap dalam-dalam raut wajah kerani itu. Kenapa harus sombong dan meninggi diri? Kalau tak ada RM1 tu, takkan cukup seratus tau. Jangan kata RM1, kalau tak ada satu sen sekalipun, takkan boleh kalau nak cukupkan nilai sejuta.
Hana menyambut duit yang diberi. Bukan kerana dia ingin merendahkan martabat dirinya, tapi dia yakin satu hari nanti, dia akan ada peluang untuk menggunakan kembali duit tersebut.
“Hah! Macam tulah. Good girl!”
“Terima kasih. Saya terima sebab saya yakin, nanti duit ni akan kembali kepada tuannya yang asal. Sebab? Sebabnya dalam ekonomi sendiri pun, duit ni…” Hana menunjuk duit yang sudah berada di tangannya.
“Duit ni berputar. Bila berputar, saya yakin suatu hari nanti RM1 ni akan kembali kepada Cik Erin,” tutur Hana.
Erin menelan air liur. Dia terpempan dengan kata-kata budak kampung itu. Apa yang nak dijawabnya sekarang? Tak guna! Dia melihat ke arah Rina bagaikan ingin meminta pertolongan.
“Apa-apalah! Ekonomilah, apalah. I don’t care!”
“Of course you don’t care. Or maybe you don’t even know, right? Sebab dulu pun, assignment Ekonomi Cik Rina, saya yang buatkan!” balas Hana geram.
Dulang yang tadinya ingin dibawa kembali ke bilik pantri dibiarkan di meja Erin sebelum berlalu.
Air mata yang ditahan sejak diberikan wang kertas oleh Erin tadi, kini gugur. Langkah dilajukan ke arah studio.
Erin mengetap bibir sambil mengerling Rina.
“Damn it!” Rina mula mencerca apabila terasa panas hati.
Sekarang ni, Ugly yang dungu itu sudah berani melawannya? Nampaknya, pengajaran yang lalu masih belum berkesan buat budak kampung itu!
“I have a plan. New plan!” gumam Rina.
Matanya masih tidak lepas menatap pintu yang ditutup Hana tadi.

LAGU I’ll Always Love You yang merdu hasil suara mantap mendiang Whitney Houston melatari studio Fabuloustar pagi itu. Lagu itu yang sengaja diperdengarkan dari sebuah komputer riba yang dihubung terus kepada kotak speaker Altic Lansing, dipilih sendiri oleh Bad dengan harapan dapat menyuntik mood kepada model-model yang menjalani sesi fotografi dengan tema romantik itu.
Hana memerhati Rina dan seorang lagi model perempuan yang sibuk memberikan pelbagai gaya seperti yang dikehendaki oleh jurugambar, Imran.
“Risya.” Sebaris nama itu meluncur keluar dari bibir Hana.
Semua orang di sini memanggilnya sebegitu, bukan dengan nama Rina seperti yang pernah dikenalinya di UiTM dahulu. Ah, Risya ke, Rina ke, orangnya tetap sama. Perangai juga masih lagi tidak berubah. Jadi, apa yang berbeza dengan nama tersebut?
Hana mengalihkan pandangannya daripada terus memerhati sesi fotografi yang sedang rancak berlangsung. Dia yang sedang berdiri di tingkap studio itu, memandang ke arah luar, memerhati kesibukan di jalan-jalan Kuala Lumpur yang tak pernah sunyi.

“Ugly!”
Suara itu menyentap rasa tenang yang baru hendak bertamu dalam diri Hana. Dia menoleh ke arah Rina yang sedang duduk di sebuah kerusi. Kelihatan semua mereka yang berada di situ turut memandang ke arahnya. Lagu yang tidak lagi kedengaran membuatkan Hana memahami yang sesi itu dihentikan seketika untuk berehat.
“Apa you ni? Nama dia Hanalah,” ujar Bad, sedikit marah.
“Yalah. Penolong Jojo, takkan you tak kenal lagi?” Imran pula menambah.
“Siapa cakap I tak kenal? Lebih daripada you all semua kenal dia tau. Oh, Ugly.” Rina menoleh ke arah Hana yang terkebil-kebil memandang kepadanya.
“No need to be rude. You boleh aje kan panggil dia Hana?” Jojo yang mula panas hati, terus membuka mulut.
“Hei, relakslah. I dah terbiasa.” Rina tertawa kecil.
Kau kena kuat, Hana. Bukankah kau dah biasa dengan perangai dia? Lagipun, untuk hari ini aje, kan? Hana memberikan semangat untuk dirinya sendiri.
“Tolong ambilkan aku air. Hauslah. Hmm… tolong dapatkan aku strawberry smoothie dari restoran kat bawah tu. Cepat sikit ya.” Rina memberikan arahan diiringi dengan senyuman di bibirnya.
“Hei! You jangan nak melampau. Dia ni pembantu I, bukannya…”
“Tak apa, Jojo. Lagipun, saya memang tak buat apa-apa pun sekarang ni. Apa salahnya saya tolong. Jojo nak apa-apa, saya boleh tolong belikan.” Hana cuba bernada ceria.
Jojo yang menoleh kepada Hana cuba menahan sabar. Kepalanya digeleng perlahan bagaikan kesal dengan apa saja yang baru didengari daripada Hana. Kenapa pula Hana sanggup mengikut saja apa kata Risya?
“Hah, dengar tu Jojo? Dia sendiri tak kisah. You pulak yang nak lebih-lebih,” tukas Rina sambil menjeling.
“Bad? Imran? Yang lain-lain nak pesan apa-apa jugak ke?” Hana menoleh ke arah krew-krew yang sedang berehat di dalam satu kumpulan.
“Tak apalah, Hana.” Imran bersuara bagaikan wakil kepada mereka yang lain.
“Betul ni? Cakap ajelah kalau nak apa-apa. Err… sandwic?” Hana masih lagi menawarkan pertolongannya kepada para pekerja itu yang hanya menggeleng.
“Vanessa?” Hana memanggil pula model kacukan China dan Inggeris yang turut berehat itu.
Kelihatan Vanessa menggeleng.
“Tak apalah, Hana. I bukannya jenis macam tu. Kalau I nak sesuatu, I tahu macam mana nak buat dan I takkan pernah nak susahkan orang lain. Tapi, you tahu tak yang you memang sangat-sangat baik dan untuk itu, apa kata semuanya, kalau kita berikan tepukan untuk Hana!”
Hana yang tidak menyangka apa yang dikatakan oleh model yang bekerjasama dengan Risya tadi, terpinga-pinga apabila mereka semua yang berada di situ melakukan seperti yang dipinta Vanessa. Bergema studio yang tadinya sepi dengan tepukan daripada semua pekerja.
Hana tersipu. Matanya menjeling kepada Jojo. Amboi! Beria-ia pula Jojo bertepuk tangan untuknya. Hisy! Macam-macam. Namun, Hana sendiri tidak berjaya menahan bibirnya daripada terus memberikan senyuman buat lelaki itu.
“Yeah! Hana! Hana!” Imran pula bersuara.
“Hana! Hana!” Mereka yang lain ikut bersuara, seakan-akan memberikan semangat buat gadis itu.
Hana tersenyum terus. Bahagia juga bila disokong begini. Belum sempat untuk terus senyum berpanjangan, raut wajah Rina yang sedang merenung tajam kepadanya mencuri tumpuan.
“Err… saya pergi dulu,” tutur Hana sebelum berlalu.
Rina memerhati kelibat gadis itu yang menghilang di sebalik pintu studio. Tak guna! Kenapa sekarang dia dapat rasakan semuanya seperti menyebelahi gadis dungu tak guna itu? Dan yang paling teruk, dia rasa macam dia sudah kalah kepada Hana!
Rina menjeling kepada Vanessa yang sedang duduk tidak jauh di sisinya. Kelihatan gadis itu sedang membelek-belek telefonnya.
“Tadi tu you perli I ke apa?” Rina mula bersuara.
Setidak-tidaknya rasa panas hatinya kini harus dilempiaskan kepada seseorang.
“Excuse me?” Vanessa menoleh ke arah Rina.
“Alah, tak payahlah nak berpura-pura. Tadi tu apa yang you cakap, memang you cakap pasal I, kan?” Rina mula berdiri.
Suara Rina yang tinggi itu menarik perhatian mereka yang lain.
“Biarkan. Kalau perempuan bergaduh, jangan masuk campur!” bisik Bad kepada Jojo sambil tersengih.
“Setuju!” balas Jojo yang ikut tertarik dengan drama yang bakal terjadi.
“Yang you nak terasa kenapa? I tak sebut pun nama you, kan? I’m just talking about myself. Tapi, kalau you masih nak terasa, sorry, I can’t help it okay?” Vanessa tersenyum sinis.
“Satu, dua…” Bad dan Jojo sama-sama mengira.
“Tak guna! Kau memang nak cari pasal, kan?!” Rina yang tidak lagi boleh bersabar terus menerpa ke arah Vanessa.
Rambut paras bahu Vanessa menjadi target tangannya. Kedua-dua orang model yang tidak ingin mengalah mula bercakaran antara satu sama lain. Drama percuma itu menjadi tatapan staf-staf lelaki lain yang tidak ingin masuk campur.

****

SEPASANG kasut tumit tinggi Charles & Keith yang berwarna putih dan berjalur ungu itu kembali disimpan di rak yang menempatkan pelbagai lagi jenis kasut wanita dan lelaki daripada pelbagai jenama antarabangsa.
Sekali lagi, sama seperti hari-hari sebelum ini, Hana sudah selesai mengemas pakaian, kasut dan aksesori yang diguna pakai oleh para model. Dia tersenyum senang kerana ini sudah menandakan kerjanya sudah berakhir untuk hari itu.
Jam di pergelangan tangan dikerling sebelum telefon yang berada di tangan mula ditatap. Hana mula mencari mesej yang diterima daripada Ika beberapa minit yang lalu.
“Ada pun,” gumam Hana.
Dia membaca mesej yang dibalas Ika sebagai jawapan kepada pertanyaannya tadi. Hari ini, dia harus pulang ke rumah seorang diri kerana Jojo tiba-tiba saja memberitahunya untuk berjumpa dengan seorang kawan yang sudah lama tidak bersua muka.
Nombor telefon untuk menghubungi teksi itu dilihat lagi sebelum telefon kembali disimpan di dalam beg. Puas memerhati keadaan bilik wardrobe itu, Hana menekan satu suis untuk menutup lampu sebelum berlalu. Keadaan studio itu sudah lama sunyi, sejak selesainya sesi fotografi lewat tengah hari tadi.
Sebaik melangkah keluar dari studio, Hana menghala menuju ke arah lif. Beberapa minit melangkah, dia sudah tiba di depan pintu lif. Matanya yang menjeling ke arah pintu pejabat, mula menarik langkah kakinya ke arah situ.
“Ada lagi ke yang tak balik?” bisik Hana perlahan.
Jam di tangan mula dikerling apabila kedengaran batuk yang dilepaskan itu. Selalunya pada waktu yang menginjak ke 6.40 petang, sudah tidak ada mana-mana staf yang masih berada di pejabat.
“Eh, Hana, tak balik lagi ke?” soal Zara apabila menyedari kehadiran Hana.
“Belum lagi, tapi dah nak baliklah ni. Err… Cik Zara tak…”
“Alah, tak payahlah nak bercik-cik dengan saya. Kita sebaya, kan? Panggil aje Zara.” Gadis yang menjadi setiausaha kepada syarikat itu mengukirkan senyuman kepada Hana.
“Err… Zara tak balik lagi? Banyak kerja ke?”
“Boleh tahanlah. Saja aje malas nak balik awal-awal. Bukannya ada siapa-siapa pun tunggu kita kat rumah. Lebih baik habiskan kerja ni, ya tak? Kenapa, Hana pun balik lewat? Jojo mana? Selalu tu kau orang berdua, hari ni tinggal awak aje sorang-sorang.”
Hana tersengih. Nampaknya satu pejabat ni agaknya sudah tahu yang dia dengan Jojo selalu datang dan pulang bersama-sama. Gosip!
“Memang selalu tu saya datang dan balik sama-sama dengan Jojo, tapi hari ni dia ada hal, jadi saya balik sendiri. Err… tadi saya dengar Zara batuk, tak sihat ke?” Hana yang berdiri tidak jauh dari meja Zara mula melepaskan soalannya
Zara tersenyum sebelum membuka mulut. Pandangannya yang tadi tertancap kepada monitor komputer mula ditalakan kepada Hana yang masih tercegat di situ.
“Taklah. Saya okey. Tadi tu tersedak sebab minum air ni.” Sebotol air mineral yang berada di atas meja diangkat, lalu ditunjukkan kepada Hana.
Hana mengangguk faham.
“Saya ingatkan Zara tak sihat tadi. Kalau macam tu, saya balik dulu ya.”
“Okay, take care!” Zara mula melambai.
“You too. Assalamualaikum.” Hana tersenyum sebelum melangkah.
“Waalaikumussalam.” Mata Zara mengikut gerak langkah gadis itu sehingga menghilang.
Apa yang tidak kena dengan gadis itu sehingga ramai staf yang memperkatakan perihal dirinya? Bukan dia tidak tahu, boleh dikatakan setiap hari, ada saja cerita yang Erin sampaikan kepada staf-staf yang lain.
“Sekurang-kurangnya, dia ambil berat jugak pasal aku,” getus Zara.

HANA yang menanti di depan pintu lif, terpempan sejenak sebaik pintu lif berkenaan terbuka. Susuk tubuh seorang lelaki yang sedang berdiri di dalam lif itu membuatkan Hana mula berdebar.
Ah, masuk ajelah, Hana. Jangan-jangan dia sendiri pun sudah tak ingat pun hal itu, kan?
Hana mula melangkah masuk apabila mengenangkan waktu yang kian lewat. Jam di telefon yang dikeluarkan dari beg untuk menghubungi teksi sebentar lagi, dipandang. Sudah hampir ke pukul 6.45 petang.
Rayyan mula melonggarkan ikatan tali lehernya. Kepalanya diteleng ke kiri dan kanan untuk menghilangkan lenguh-lenguh di leher dengan mata yang dipejamkan. Apa yang dia tahu, dia ingin segera sampai ke rumah dan berehat di atas tilam empuknya itu.
Seorang gadis yang berdiri bersama-samanya di dalam lif itu tidak dihiraukan. Penampilan gadis itu dilihat sekali lalu. Entah mak cik cleaner mana atau tea lady syarikat mana yang berkongsi lif bersama-samanya petang itu. Rayyan mula menjeling.
Tak seksi langsung untuk dibuat cuci mata yang dirasakan berpinar setelah seharian menyemak fail itu dan ini. Sudahlah perutnya sendiri sudah mula berkeroncong.
Rayyan menjeling malas nombor yang dipamerkan di dalam lif itu. Lif itu baru saja bergerak menuruni aras 14.
“Lambatnya!” desis Hana.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79470/isteriku-sleeping-ugly