[SNEAK PEEK] NAH, UNTUK AWAK!

9789675118869-small
EBUKU Nah, untuk Awak! Oleh Nirrosette

Sebulan lalu…

“NAJIHA!” Hampir gugur jantung Nina apabila terpandang kelibat Najiha di hadapan pintu rumahnya. Dia sudah ternganga luas. Digosok matanya berkali-kali untuk memastikan apa yang dilihat tika itu memang realiti, bukan mimpi.

Najiha sudah tersenyum panjang. “Surprise!” ucapnya penuh teruja. Tubuh Nina ditarik terus ke dalam pelukan. Gila punya rindu, dah dekat setahun tak jumpa!

Nina seakan-akan kehilangan kata. Dia memandang Najiha dengan mata tak berkelip. “Apa kau buat kat sini? Kat e-mel kau kata kau balik minggu depan?”

Najiha masih lagi dengan senyum yang mekar di bibir. “Saja nak surprisekan kau dengan Dian. Terkejut tak? Terkejut tak?”

Ya Rabbi. Nina dah menggeleng laju. Umur dah nak masuk dua puluh tiga tahun, masih lagi buat perangai macam budak-budak. “Kalau aku ada sakit jantung, dah lama aku gone. Tau tak?” Nina pura-pura marah. Bahu Najiha ditumbuk geram. Ada ke patut nak surprise-surprise! Memang mintak kena cekik sungguh.

“Bila kau sampai?” Pagar pintu rumah dibuka, menjemput Najiha masuk ke dalam rumah yang tak berpenghuni. Ibu bapa Nina kedua-duanya bekerja. Abang Nina pula sudah berkahwin dan berpindah ke rumah kondominium di Rivervale. Jadi memang tinggal Nina seorang ajelah dalam rumah waktu itu.

Najiha menurut langkah Nina masuk ke dalam rumah. Dia membuka kasut bertutup yang tersarung di kaki lalu meletakkannya dengan cermat di atas rak kasut.

“Aku baru sampai pagi tadi.” Selamba Najiha menuturkan. Sebaik sahaja sampai di lapangan terbang, babah menjemputnya pulang. Tetapi babah perlu ke pejabat semula. Jadi bosan punya fasal, dia pun terus tahan teksi ke sini. Najiha bukannya ada lesen memandu. Kalau ada lesen, boleh aje dia pandu kereta babah. Tapi Najiha ni bangsa pemalas. Nak harapkan pemandu tolong hantarkan. Tak kuasa nak pandu sendiri. Nanti nak kena cari parking la apa la. Menyusahkan, tahu?

“La!” Nina menepuk dahi. Dia melangkah ke dapur. Peti sejuk dibuka. Mencari air sirap untuk diberikan pada Najiha. “Kau tak jet lag ke?” Nina melaung kepada Najiha yang sudah melabuh duduk di ruang tamu. Perjalanan dari London ke Singapura hampir berbelas jam lamanya. Tak penat ke?

“Sikit. Tapi okey la. Masih larat lagi nak jumpa kau dan Dian.” Najiha melaung kembali. Dia mencapai sebuah majalah yang terletak di ruang tamu. 100 Cara Ikatan Tudung. Tudung? Dah kenapa Nina minat nak baca majalah fasal tudung pulak? Bukan Nina pun macam aku ke, free hair?

“Kau nak pergi mana ni dengan baju kurung segala? Ada kenduri ke?” Najiha menegur sebaik sahaja terpandang kelibat Nina yang sedang menatang dulang dan jag ke ruang tamu. Majalah tadi diletak tepi. Dia memandang Nina atas ke bawah. Siap dengan baju kurung songket warna ungu gelap ni. Takkan nak pelawa aku masuk rumah kena pakai lawa-lawa sangat kut?

“Aaa…” Nina sengih bersalah. Dia mengangguk sedikit. “Kau nak ajak aku keluar ke? Sorry la, aku ada hal.” Nina menggigit lidah sebaik sahaja menghabiskan ayat. Rasa bersalah kerana menyembunyikan hal sebenar daripada pengetahuan Najiha.

“Oh tak pelah.” Najiha senyum. “Aku nak pergi rumah Dian lepas ni. Nak surprisekan dia pulak.” Najiha angkat-angkat kening pada Nina. Riak wajah Nina sudah berubah.

“Dian… Dian selalu hari Sabtu macam ni dia tak ada kat rumah.” Teragak-agak Nina menuturkan kata, cuba menutup helah.

“Dia adalah!” Laju sahaja Najiha menyangkal. Dia mengambil cawan dari dulang lalu menghirup sedikit air yang disediakan Nina untuk membasahkan tekaknya yang terasa kering. “Tadi aku call, tak taulah siapa angkat. Aku tanya Dian ada kat rumah tak. Orang tu cakap Kak Dian ada. Dia tanya aku ni siapa, aku terus letak. Tak surpriselah kalau Dian tahu aku call. Tapi peliklah, sejak bila Dian ada adik eh?” Dia mengalih pandang pada Nina yang sudah pucat tak berdarah. “Weh Nin, kau okey tak?”

“Aaa…” Nina sengih lagi. “Aku… aku okey.” Gelas yang sudah dituang tadi diserahkan pada Najiha. Nina berkira-kira dalam hati, sama ada hendak berterus terang sekarang ataupun tidak.

“Kau sakit eh? Pucat semacam je aku tengok?”

Laju sahaja Nina menggeleng. “Mana ada sakit. Aku pucat sebab terkejut la. Terkejut tengok kau!”

Najiha tertawa lepas. “Sorry, sorry! Mana aku tau kau akan terkejut macam tu sekali. Tak pe lepas ni aku nak tengok reaksi Dian pulak. Mesti dia terkejut beruk. Dia kan memang senang kena usik. Jangan-jangan pengsan terus!”

Nina tarik senyum nipis segaris. Bukan setakat pengsan, memang koma terus agaknya kalau dia nampak Najiha terpacak di depan pintu rumah.

“Kau nak pergi kenduri apa lepas ni sebenarnya?” Najiha menyoal Nina yang sedang duduk di kerusi rotan bertentangannya.

Nina sekadar menggeleng. “Tak pelah, aku teman kau pergi rumah Dian.” Tak sanggup rasanya nak biarkan Najiha pergi ke sana sendirian. Kalau bukan Dian yang koma, entah-entah Najiha yang masuk ICU nanti.

“Ek? Boleh gitu?”

Nina senyum lagi. “Untuk kau, semua boleh punya.” Dia mengenyit mata. “Aku nak pakai tudung. Tunggu kejap!” Tanpa berlengah Nina terus melangkah ke bilik.

Najiha sekadar memerhati tak berkelip. Nina? Tudung? Sejak bila???

“MISS, ORANGE JUICE?”

Najiha diam tak menyahut. Pandangannya jauh ke hadapan. Langsung tak menoleh ke arah pramugari yang sudah tercegat di sebelah.

“Miss?” Pramugari tadi memanggil lagi. Dia menggawangkan tangan di hadapan wajah Najiha. Najiha tersentak daripada lamunan apabila tersedar dirinya diperhatikan.

“Yes?” Pandangannya jatuh pada pramugari yang sedang berdiri menolak troli di sebelah. Dia melurut headphone ke bahu.

“Orange juice?”

“Oh, yes please.” Najiha memaksa senyum di bibir. Walhal kala itu dia masih lagi dalam keadaan terkejut. Dia jadi lemah setiap kali dia teringat tentang peristiwa yang berlaku. Air matanya menjadi murah setiap kali dia teringat tentang Ilham. Najiha cuba menguatkan semangat tapi tak boleh. Semakin jauh dia lari semakin dekat bayangan Ilham datang mengejarnya. Nyata sekali dua minggu memang tak cukup untuk Najiha melupakan lelaki yang sudah bertakhta dalam hatinya sejak lima tahun yang lalu. Memang sukar sebab hati Najiha memang sudah terlalu sayang lelaki itu. Tapi untuk apa Najiha, untuk apa? Dia tak pernah cintakan kau pun! Dia curang pada kau! Kenapa kau masih nak harapkan lelaki tak guna tu? hati Najiha bertingkah sendiri.

Dia mencapai jus oren yang diletakkan di meja lipat di depan kerusinya itu lalu diteguk perlahan. Entah di mana silapnya ketika dia hendak meletakkan semula gelas yang masih berbaki separuh itu, gelas tersebut jatuh tergolek ke bawah. Kalau tumpah di atas seluar jean Najiha tak apa. Ni tidak. Habis tumpah air tersebut ke atas buku penumpang di sebelah.

“I’m so so so so so so very sorry!” Najiha mengucapkan penuh kesal. Dia mengangkat wajah memandang orang di sebelah yang sedang mengibas seluar jeannya yang turut dicemari air oren manakala sebelah tangan lagi sedang memegang bukunya yang separuh basah.

“Eh awak?” Bulat mata Najiha tatkala pandangannya bersabung dengan pandangan Eid. “Bila masa awak duduk sebelah saya?”

Sekilas Eid memandang Najiha dengan dahi berkerut sebelum kembali memandang buku di tangan. Habis la rosak buku bertajuk Muhammad: His Life Based on the Earliest Sources hasil karya Martin Lingsyang baru sahaja dibeli tempoh hari. “Saya duduk sebelah awak dari tadi, awak je yang tak perasan kut.”

“Dari tadi? You mean since an hour ago?” Terkejut, Najiha membalas.

Hampir-hampir sahaja Eid mengangkat mata ke langit. “Terkejut sangat ni kenapa?” Tanpa memandang Najiha, dia membalas.

“Sebab saya tak perasan pun!” Sungguh, Najiha memang tak perasan. Dia menonong terus ke dalam pesawat dan sebaik sahaja melabuh duduk di atas kerusi empuk ini, dia terus menarik headphone menutup telinga. Lagu-lagu dendangan Suju, Beast, Infinite, SNSD dan 2NE1 silih berganti menjadi teman. Nak cari ‘feel’ la kononnya. Mentang-mentang dah nak terbang ke Korea. Padahal selama ni memang Najiha akan teruja tiap-tiap kali perkataan Korea disebut.

Tapi entah kenapa, dah ada dalam pesawat pun Najiha masih tak teruja lagi. Padahal beberapa jam lagi kakinya akan menjejak Lapangan Terbang Incheon di Korea Selatan. Itu yang tiba-tiba mindanya menerawang sampai teringat kembali peristiwa pahit tu. Tidak ada satu perkara pun yang boleh buat Najiha lupakan apa yang terjadi. Tidurnya pun tak lena, sering kali termimpikan peristiwa pahit itu.

“You’re oblivious. Kalau saya letak dadah dalam air awak pun, awak tak perasan agaknya.”

“Awak letak dadah dalam air saya?” hampir terjerit Najiha menyoal. Biar betul mamat ni?

Ya Rabbi budak ni! “And you’re gullible too, do you know that?” Eid menggumam di bawah nafas. Buku yang sudah rosak tadi diletakkan di atas meja lipat.

Bulat mata Najiha memandang lelaki yang sedang berada di sisinya tika itu. Amboi! Suka-suka hati je mengata aku gullible la oblivious la hape la! Aku tak mudah tertipu dan bukan tak sedar la.

Tanpa menyedari bola mata Najiha yang sudah tersembul keluar merenungnya, Eid bangun daripada duduk. Ingin melangkah ke tandas membersihkan seluar jeannya yang sudah dicemari air oren. Habis melekit! Haish. Namun pandangannya singgah sebentar ke wajah Najiha yang sedang memandangnya dengan pandangan tajam. Apa hal budak ni?  “Why are you staring at me like that?”

“Saya tak gullible, oblivious dan apa-apa je yang awak cakap tadi tu!”

“Yes, you are.” Tenang sahaja Eid membalas.

“Am not!” sahut Najiha defensif.

“You are.”

“Am not!” Najiha mengeraskan suara. Entah kenapa sensitif semacam. Bukannya Eid buat apa pun. Dia tak adalah hina Najiha ke apa sampai nak marah macam ni.

“You win.” Eid mengangkat bahu. Tak kuasa nak bertekak.

Najiha ternganga sekejap. Terkejut dengan reaksi Eid yang tidak disangka-sangka.

“You can deny all you want. But…” Eid mengangkat sebelah tangan tanda tak mahu dipotong di pertengahan ayat apabila dia melihat rahang Najiha bergerak-gerak. “But in my record you’re certainly oblivious and gullible. And of course, defensive too.” Tanpa berlengah, terus sahaja Eid berlalu pergi ke tandas di belakang kabin.

Najiha terhenyak di atas kerusi. Dia menyumpah Eid dalam hati. Headphone ditarik kembali menutupi telinga. Bunyi daripada iPhonenya dikuatkan lagi. Lagu Be Mine nyanyian Infinite mula menyapa gegendang telinga. Ceh! Depan babah tadi mamat ni bukan main baik macam malaikat. Ayat bukan main manis terlebih dos gula. Lelaki macam ni babah harapkan untuk jaga aku? Hampeh!

****

NAJIHA MENOLEH ke kiri dan kanan. Langkahnya yang panjang dan teratur kini sudah terhenti betul-betul di tengah jalan. Matanya dipejam-celikkan beberapa kali. Mulutnya terlopong.

“Annyeong haseyo!” sapa seorang wanita bermata sepet yang memakai tag nama Soo Yun sambil membongkokkan tubuhnya sedikit tanda hormat.

“Annyeong haseyo!” Najiha kembali menyapa. Dia turut membongkokkan tubuhnya sedikit. Bibirnya mengukir sekuntum senyuman lebar.

“Eodi eseo osyeosseoyo?” Wanita tadi membuka bicara, bertanya dia berasal dari mana.

“Singapore eseo wasseuyo.” Najiha membalas ramah. Memberitahu wanita tadi dia baru sahaja tiba dari Singapura.

Wanita tadi memandang Najiha dengan pandangan tak percaya. “Hangukmal hasil jul aseyo?” Wanita itu kagum dengan kefasihan Najiha bertutur dalam bahasa Korea.

Najiha tertawa kecil mendengar soalan itu. Dia spontan menggelengkan kepalanya ke kiri dan kanan.

“Ani, hangukmal jal mot haeyo.” Dia merendah diri dan menafikan kefasihannya berbahasa Korea.

“Mannaseo bangapseumnida, err…”

“Najiha.” Lekas-lekas Najiha membantu Soo Yun menghabiskan ayatnya yang tergantung tadi.

Soo Yun mengangguk-angguk. “Na-Ji-Ha?” Dia menyoal Najiha dengan dahi berkerut. Cuba menangkap nama yang disebutkan.

Najiha mengangguk mengiakan.

“Mannaseo bangapseumnida, Na-ji-ha sshi.” Dia mengulang ayat tadi yang membawa maksud ucap selamat sambil tersenyum manis. Dia membongkokkan tubuh sekali lagi sebelum berlalu pergi. Najiha sekadar memerhati kelibat Soo Yun hilang daripada pandangan. Wajahnya masih lagi dihiasi sekuntum senyuman yang mekar di bibir.

Aneh, apabila sudah menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Incheon dan melihat papan-papan tanda yang ditulis di dalam bahasa Korea, barulah Najiha merasa teruja. Seakan-akan tidak percaya yang dia sebenarnya sudah tiba di Incheon saat ini. Pada mulanya, Najiha memang tak ada mood langsung. Ditambah lagi dengan kehadiran penumpang sebelah yang memang nampak sangat mintak pelempang. Najiha rasa macam nak balik ke rumah dan kurung diri di dalam bilik. Tapi apabila mengenangkan janjinya pada babah, pada Nina, dan terutama sekali pada diri sendiri, Najiha tak mahu menghukum diri sendiri atas kesalahan yang dia sendiri tidak buat. I will have fun. I must!

“Jangan diri kat tengah-tengah jalan, boleh tak?” Meskipun rendah, telinga Najiha sempat menangkap suara Eid yang baru sahaja berlalu di tepinya.

Najiha mendengus kasar. Kacau je la mamat ni. Tak boleh tengok hidup aku senang ke? Najiha menarik bagasinya lalu mengatur langkah ke satu sudut berdekatan kaunter pertanyaan lapangan terbang seperti yang diarahkan pegawai Sharifah Travel & Tours yang lain.

Eid sudah lesap. Dia pergi ke kaunter untuk mendapatkan tiket bas KAL limousine deluxe yang sudah pun ditempah sebelumnya. Sepanjang percutian ini, mereka akan menginap di Hotel Millennium Seoul Hilton yang terletak di bahagian utara Seoul. Perjalanan dari Lapangan Terbang Incheon ke bahagian utara Seoul akan mengambil masa lebih kurang satu jam.

Najiha melepaskan nafas perlahan. Dia membetulkan mafela yang melilit leher. Bagus jugaklah mamat tu tak ada di sini. Tak sanggup nak pandang muka dia tu. Entah kenapa apabila berhadapan dengan Eid, Najiha rasa darahnya mudah sangat nak mendidih. Padahal kesalahan Eid tak ada la besar mana pun. Tapi yang pasti, Najiha tak pernah berkelakuan begitu sebelum ini. Apabila dengan Ilham pun, sekali pun Najiha tak pernah naikkan suara ataupun bergaduh. Kalau ada pun, gaduh-gaduh sayang. Tapi Najiha tak kisah sebab dia tahu apabila bersama Ilham, semuanya terasa indah. Sempurna. Bahagia. Ah. Ilham… sekali lagi nama itu diseru dalam hati. Ada getar dan sendu tatkala menyebut nama itu. Ilham… sampainya hati awak buat Najiha macam ni. Awak memang kejam!

Sebulan lalu…

NINA MENURUT langkah Najiha lambat-lambat. Hatinya berdetak laju. Tak tahu apa yang hendak dijangkakan tika ini. Tak tahu apa yang akan berlaku selepas ini. Najiha yang sudah pun melangkah masuk ke dalam lif menjengahkan kepala ke luar. “Nin, apa hal kau jalan lambat sangat? Kau okey ke tak?”

Nina menarik segaris senyum tawar di pinggir bibir. “Aku okeylah.” Dia mempercepatkan langkah, terus masuk ke dalam lif dan menekan butang tutup.

Najiha mencebik. Enggan mempercayai kata-kata Nina. Tangannya dilekapkan ke dahi Nina yang pantas sahaja ingin mengelak.

“Kau tak demam pun.” Najiha menuturkan rendah.

“Siapa kata aku demam?” laju sahaja Nina membalas.

“Dah tu kau pucat kenapa?” Najiha menjawab tak puas hati. Serentak itu pintu lif terbuka. Tak sampai seminit mereka berdua sudah tiba di tingkat sembilan.

“Kiri kan?” Najiha menyoal Nina yang masih termangu-mangu di dalam lif. “Rumah yang ada lampu liplap kat balkoni ke?” Nina diam tak menyahut. Dia tak ingat sebenarnya rumah Dian di lorong kiri atau kanan tapi dia tahu rumah Dian memang senang sangat nak cam. Senanglah sebab…

“Kenapa rumah Dian ramai orang ni, weh?” Najiha berbisik pada Nina yang sedang mengekornya di belakang. Terkejut apabila ternampak ramai orang sedang berkerumun di depan rumah Dian. Najiha pasti sangat rumah itu rumah Dian kerana rumah Dianlah satu-satunya rumah yang mempunyai tanam-tanaman di hadapan pintu rumah. Ada majlis apa ni? Nak kata kematian, tak mungkin. Semua pakai warna terang-benderang. Warna yang meriah gitu. Tengah ketawa, bersuka ria, riang gembira. Berbalik pada dirinya, Najiha baru terperasan tubuhnya hanya disaluti baju-T kelabu berlengan panjang dan jean berwarna hitam. Merosakkan majlis sungguh!

“Kawan Dian ke ni?” sapa seorang makcik bertubuh gempal yang sedang berdiri berdekatan gril pintu. Najiha mengangguk laju. Nina sekadar menelan liur.

“Dian ada, makcik?” sopan Najiha menyoal. Matanya meliar ke sana sini. Ruang tamu rumah Dian kelihatan agak penuh dengan tetamu. Tapi Dian langsung tak ada di situ.

“Dian ada dalam bilik tu. Bakal mak mertua dia tengah sarungkan cincin tunang. Cepatlah masuk kalau nak tengok!” Makcik tadi menggesa Najiha dan Nina agar cepat-cepat ke dalam agar tak terlepas menyaksikan hari bersejarah Dian.

Cincin? Najiha hampir menjerit. Kurang asam punya budak tak bagi tau dah nak bertunang! Memang mintak penyepaklah budak ni! Ada ke patut nak bertunang pun tak bagi tau kawan baik sendiri. Dia mengalih pandang ke arah Nina yang sudah pucat tak terkata.

“Kau mesti dah tau kan dia nak tunang? Apa hal kau tak bagi tau aku siang-siang? Memang tak patut la kau ni! Ada ke patut nak rahsiakan hal ni daripada aku.” Najiha dah menggeleng sendiri. Dalam hati di sudah berkira-kira, habis sahaja majlis ini dia memang akan menyoal Dian habis-habis! Apa nih tak ada cerita bercinta, tup-tup dah bertunang? Hampeh punya kawan!

Lekas-lekas dia menanggalkan sandal yang tersarung di kaki dan terus menghalakan langkah ke bilik Dian. Nina hanya mengekor di belakang. Pintu bilik Dian kala itu sesak dikepung orang ramai yang hendak melihat upacara tersebut.

“Tunangnya tak datang sekali ke?” Terdengar suara seseorang mengusik sebaik sahaja cincin belah rotan itu selamat disarung ke jari manis Dian.

“Dia ada kat bawah.” Terdengar ada satu suara lain pula menjawab.

“Panggillah dia naik, bergambar.”

“Dia segan. Tak manis katanya.”

“Alah… satu shot je, tak luak mana pun.” Mungkin itu suara jurugambar kut yang sedang membuat ‘tawar-menawar’.

“Sekejap saya telefon dia suruh naik.”

Najiha masih lagi terjenguk-jenguk. Cuba mengintai di dalam bilik. Di celah-celah lubang kecil yang ada, Najiha dapat melihat Dian yang anggun berkurung merah jambu sedang duduk di birai katil. Senyuman tak lekang di bibirnya yang sudah pun dicalit gincu berwarna nude pink.

“Weh, Dian lawa gilaaa.” Najiha menarik lengan Nina untuk turut mengintai ke dalam bilik. Nina terdorong ke hadapan. Wajah Dian yang sudah disolekkan memang menawan sekali. Walaupun boleh dilihat solekan Dian agak nipis, terserlah kejelitaan Dian saat itu.

“Mintak tumpang lalu sikit, tunang dah tiba.”

Serentak itu mereka yang berkerumun di hadapan pintu bilik terus memberi laluan. Najiha tidak terkecuali. Dia yang sibuk terhendap-hendap tadi mula mengambil langkah ke belakang. Mulutnya terlopong sebaik sahaja terpandang lelaki yang sedang memakai baju Melayu berwarna putih di hadapannya tika itu. Lelaki itu juga memberikan reaksi yang sama. Dia memandang Najiha dengan satu pandangan yang tidak dapat ditafsirkan ertinya. Untuk seketika mereka saling berpandangan tanpa dapat bersuara.

“Ilham, tercegat kat situ kenapa? Cameraman nak ambil gambar Ilham dengan Dian tu.” Saat itu, seorang wanita dalam usia awal lima puluhan keluar dan menarik tangan Ilham masuk ke bilik. Ilham tidak membantah. Dia menurut langkah mamanya lalu mengambil tempat di sisi Dian untuk bergambar. Najiha tersandar ke dinding untuk seketika. Dia mengalih pandang pada Nina yang sedang menggenggam erat tangannya tika itu.

“Nina?” Dia pandang Nina dengan pandangan keliru. Tidak mengerti. “What. On. Earth. Is. Happening?”

Nafasnya terasa sesak. Dia mengalih pandang sekali lagi ke arah Dian dan Ilham yang sedang dikerumuni sanak saudara. Tidak putus-putus mengucapkan tahniah pada mereka berdua.

Nina mengeratkan genggaman di tangan. Hatinya sendiri bagai ditusuk sembilu melihatkan apa yang sedang berlaku. Tanpa menunggu lagi dia menarik Najiha keluar dari situ. Najiha hanya menurut tanpa banyak bicara. Dia benar-benar terperanjat. Tak tahu hendak memberi reaksi bagaimana.

“Nina?” Najiha memanggil nama temannya sekali lagi sebaik sahaja mereka tiba di bawah blok. “Dian dengan Ilham….?” Ayatnya dibiarkan tergantung. Tak tahu apa yang hendak dikatakan. Tak tahu bagaimana hendak melafazkan.

Nina mengangguk lambat-lambat. “Mereka bertunang hari ni.” Berat hati Nina hendak melafazkannya tapi dia tahu, dia tak punya pilihan lain. Takkan selamanya Ilham dan Dian dapat berdalih. Takkan selamanya Ilham dan Dian dapat berlari. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Walau sudah lama menyembunyikan hakikat, lambat laun kebenaran pasti akan terbongkar jua. Tanpa dapat ditahan, air mata Najiha merembes keluar. Tubuh Najiha ditarik erat ke dalam dakapan. “I’m so sorry for you, Ha. I’m so sorry!”

Najiha menggigit bibir. Tubuhnya mula menggigil. Antara terkejut, kecewa, marah, sedih. Semuanya bercampur aduk menjadi satu. Dia membalas pelukan Nina kuat. Antara sedar dan tidak, Najiha mula menangis teresak-esak di bahu Nina. Dia terluka. Dia benar-benar terluka!

“WIPE YOUR TEARS before someone else catches you crying for no reason.” Najiha yang sedang mengelamun sambil bersandar di dinding spontan menegakkan tubuh apabila ditegur sebegitu. Tanpa memandang Najiha, Eid menyerahkan sepeket tisu ke arah gadis itu. Najiha terkejut. Namun dia menyambut juga huluran Eid tanpa sepatah kata. Macam mana la si mamat ni perasan dia menangis betul-betul kat tengah-tengah lapangan terbang ni?

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/75664/nah-untuk-awak

REVIEW SUAMI EDISI TERHAD

9789670890333-medium
EBUKU SUAMI EDISI TERHAD OLEH MARRISA

Dia lelaki biasa-biasa saja, tapi apabila menjadi seorang suami, dia menjadi sangat luar biasa. Nakal, seksi, penyayang dan seorang bapa yang baik. Itulah Suami Edisi Terhad yang bernama HAZRUL EFFENDI.
“Sayang…”
“Emmm…”
“Kalau makan ikan, lepas tu jangan minum air tau.”
“Kenapa?”
“Takut ikan tu berenang dalam perut.”
Beginilah nasib seorang isteri bernama AZIAN YUHANIS yang sangat bahagia kerana memiliki seorang suami yang sangat istimewa. Kena buli selalu!
Namun rumah tangga mana yang tidak pernah dilanda gelora? Pasti tak terlepas dari semua itu. Dugaan datang dari kanan dan kiri.
“Eh, mama tahu. Kamu yang hasut Hazrul, bukan? Kamu yang hasut Hazrul tinggalkan Menara Holding. Kamu takut Puteri Zahra akan rampas Hazrul, jadi kamu paksa Hazrul buat keputusan begitu. Mama baru tahu rancangan kamu. Tak sangka busuk betul hati kamu, Azian. Pentingkan diri sendiri. Sebab takut Hazrul tak pedulikan kamu, sanggup kamu buat rancangan jahat macam tu.”
Seorang ibu mentua yang sudah diracuni fikirannya bertindak mahu meruntuhkan mahligai anak sendiri. Yang tidak-tidak saja dilakukan demi mengikut arahan si batu api bernama PUTERI ZAHRA.
Berjayakah rancangan kedua-duanya? Atau HAZRUL EFFENDI akan kekal menjadi SUAMI EDISI TERHAD dalam menghadapi kemelut yang melanda.


Kalau cerita ni, ulasan yang sesuai admin bagi, lawak la keluarga ni. Cerita yang santai walaupun ada beberapa watak jahat yang cuba menghancur ranapkan keluarga Azian dan Hazrul. Ada saja yang mendengki hubungan mereka. Ada saja jalan yang akan dilakukan demi memusnahkan mereka. Maklumlah demi kekayaan manusia sanggup berbuat apa- apa. Azian seorang gadis yang blur tidak pernah mengukur cinta melalui duit dan pangkat. Kerana itulah Encik CEO jatuh hati padanya. Nak tahu apa cerita mereka, dapatkan ebuku penuh di e- Sentral.

Cerita yang sweet dan bersahaja dan mampu membuatkan anda ketawa.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/75659/suami-edisi-terhad

 

[SNEAK PEEK] SI MANGKUK TINGKAT

9789675118784-medium
EBUKU Si Mangkuk Tingkat Oleh Faziela

EDRYNA sedang bertinggung di depan peti sejuk apabila Ashraff menapak masuk ke dapur lewat petang itu. Ashraff mencapai mug dan menuju ke peti sejuk.

“Tepi sikit.”

Edryna mendengus. Orang dekat sini, dia pun sibuk juga nak dekat sini. Dia mengundur sedikit ke belakang sebelum berdiri.

“Adoii!” Tangan menggosok-gosok kepala. Dah buka freezer tapi tak reti-reti nak tutup ke? Aduh duh duh, sakit!

“Kenapa?” Ashraff yang baru mencangkung mendongak ke atas.

“Dah buka freezer tak reti nak tutup balik ke?”

Ashraff berdiri. “Iye, salah I. Mana yang sakit? Meh sini I tengok. Ni apa kes nak berkelubung kat dalam rumah ni?”

Edryna terlebih dahulu mengelak sebelum tangan Ashraff mendarat di kepalanya. “Tak payah, suka hati la nak pakai tudung ke, nak pakai apa kat dalam rumah ni. Tak payah nak sibuk.” Tangannya masih menggosok kepala. Pening kepala aku.

“Apa-apa ajelah.” Ashraff menggumam. “Ha, sebelum terlupa. You free tak Sabtu ni?”

“Tak tahu lagi. Free rasanya, kenapa?”

“Ada benda nak kena buat. Make sure you free.”

Edryna sekadar mengangguk.

“I nak pergi kerja ni. I’ll be back in three days, insya-Allah. Dear, jangan lupa kunci rumah, tingkap, pagar semua. Then tolong jaga rumah I… opps, our house baik-baik, and my car too. Kalau ada scratch walau sikit, siaplah you dear!” Ashraff meneguk air di dalam mug.

Edryna merenung tajam lelaki di hadapannya. Diktator sungguh.

Dahi Ashraff berkerut. “Kenapa pandang I macam tu? I tahu I ni sangat kacak. Tak apa, pandanglah puas-puas. Karang rindu tak nampak muka I ni, kan?”

Edryna menekup mulut. Serius, isi perut macam nak terkeluar.

“Apasal?”

“Nak termuntah. You rasa you tu kacak sangat ke? Oh, tolonglah!” Edryna membulatkan matanya.

Ashraff menggeleng-gelengkan kepala. Dasar keras kepala. Mug kosong dihulur pada Edryna. “Tolong basuh, terima kasih.” Ashraff berlalu menuju ruang tamu.

Eh eh, banyak cantik muka kau? Dia rasa macam nak hempuk balik muka Ashraff pakai mug tadi.

Dia berlalu ke singki dan membasuh mug yang digunakan Ashraff tadi. Setelah selesai, dia melangkah keluar dari dapur dan menapak satu per satu anak tangga menuju ke tingkat atas.

“Eh, nak pergi mana tu?”

“Nak apa lagi!” Edryna yang dah menapak separuh tangga berdiri. Apa lagi la yang dia ni nak? Tak boleh tengok orang senang ke?

“Sini la sekejap. Nak cakap something.”

Edryna melangkah malas menuruni tangga. Kacau betul dia ni. Mengada-ada lebih.

Ashraff bercekak pinggang melihat Edryna melangkah turun dari tangga. “Turun tangga tu cuba elok-elok sikit, karang jatuh nanti.”

Edryna menarik muncung. Diamlah kau! Aku turun ni pun dah cukup baik. “Aaaaaaaa!”

Ashraff meluru ke arah tangga. “You okey?”

Edryna sempat berpaut pada pemegang tangga. Nasib baik.

“I dah cakap, turun tu baik-baik sikit. Kan dah jatuh.” Ashraff menahan tawa. Sebenarnya, muka dia ni sumpah kelakar masa nak jatuh tadi. Haha! Tawa yang ditahan terlepas jua.

Edryna memandang jengkel Ashraff yang tengah ketawa sakan. “Gelaklah, gelak! Gelak sampai bergegar rumah.”

Ashraff tersedak-sedak menahan tawa.

“Nak cakap apa?” Edryna memeluk tubuh memandang Ashraff yang tengah cuba menahan tawanya.

“Sebenarnya…” ayat dibiarkan tergantung.

Edryna berkerut menunggu butir bicara daripada Ashraff.

“Tak ada apa pun sebenarnya. Saja nak suruh you exercise turun naik tangga. Itu aje.”

Muka Edryna berubah. Eiii, rasa macam nak tumbuk aje muka dia ni la!

Ashraff hanya tersenyum. Edryna mengambil kesempatan memijak kaki Ashraff yang sedikit terjulur.

“Auuw!” Ashraff terhincut-hincut. Kenapa dia ni? Main pijak-pijak kaki pulak?

“Padan muka.” Nak main-mainkan aku ye?Meh sini aku main-mainkan kau pula. Edryna mula menapak menuju ke tangga. Terasa tangannya disentap yang membuatkan dia berpaling ke belakang.

Telinga Ashraff menangkap deruan enjin di hadapan rumah. Okey, baik punya timing. “Take care, dear.” Satu kucupan mendarat di dahi Edryna.

Edryna tergamam. Ashraff menarik flight bag dan beg pakaiannya menuju pintu.

“Bye, assalamualaikum.” Ashraff mengenyitkan mata sebelum wajahnya hilang di balik pintu.

Dan Edryna masih berdiri tercegat seperti tadi.

EDRYNA yang tengah bersandar pada pintu berdiri terkebil-kebil memandang kosong seluruh biliknya. Dahinya disentuh dengan hujung jari.

+ He kissed me? How dare!

~ Tapi, kenapa tadi macam rela aje, tak melawan langsung?

+ Entah, tergamam!

~ Kau dah suka kat dia ek?

+ Mana ada.

~ Eleh…

+ Stop it!

Edryna menggeleng-geleng kasar. Argh! Apa aku mengarut ni?

Kakinya menapak menuju meja solek. Punggungnya dilabuhkan pada bangku kecil. Wajahnya ditatap pada cermin di hadapan. Kedua-dua belah tangan diraup ke muka. Gerakan tangannya terhenti apabila sepasang matanya menangkap kilauan permata di jari manisnya. Dan hujung jari yang masih merah berinai.Tangan kanan dibawa ke hadapan wajah. Tangan kiri mengusap-usap cincin berbatu satu di jari manis.

Cantik. Pandai dia pilih.

Sebenarnya, seminggu sebelum majlis perkahwinan, pakcik tu ada called nak keluar sama-sama beli cincin. Tapi dia cakap yang dia dekat ofis, ada urgent things nak kena settle. Padahal masa tu tengah bersuka ria dengan Yaya dan Melissa. Then apabila Yaya dapat tahu yang dia tipu si pakcik tu, ada ke dia nak heret suruh jumpa pakcik tu?

Oh tidak, tidak, tidak! Tidak sama sekali. Mana boleh. Kantoilah nanti. Last-last, dia orang heret secara paksa rela pusing segala jewellery shop cari cincin buat pakcik tu. Ada ke patut? Tapi tak apa la, sekarang dah fair and square, kan? Aku bagi cincin dan dia pun bagi cincin.

Tapi kan, macam mahal je cincin ni? Aku ingat dia nak bagi cincin yang dapat free kalau beli gula-gula panjang belang-belang masa kecik-kecik dulu.

Lantaklah. Duit dia, apa aku peduli?

“APA KHABAR pengantin baharu?” Belakangnya yang ditepuk seseorang menyebabkan Ashraff mengalihkan pandangan dari flight plan di tangan kepada empunya suara yang sudah berdiri di sebelahnya ini.

“Kau rupanya Aizat.” Matanya kembali meniti pada maklumat penerbangannya hari ini.

“Akhirnya kahwin jugak kau ye. Aku ingatkan aku bakal kempunan nasi minyak kau, tapi kau pulak yang kahwin dulu. Tahniah bro!” Aizat menepuk bahu Ashraff sambil tersengih.

“Thanks.”

“Merah inai kat tangan pun tak pudar lagi, takkan dah nak masuk kerja kut? Tak mengamuk ke cik adik sayang kau dekat rumah tu? Kenapa pendek sangat cuti kau?”

Ashraff memandang tangannya yang masih merah berinai. Sebentuk cincin tersarung di jari manisnya. Sumpah! Dia terkejut gila masa batalkan air sembahyang lepas nikah hari tu. Tak sangka pula Edryna yang garang dan kedekut tu nak bagi aku cincin ni.

“Weh, berangan-angan. Rindu dekat orang rumah la tu.” Aizat melibas belakang Ashraff dengan peak cap miliknya. “Tu la, suruh ambil cuti panjang sikit tak nak, ni baru berapa jam tak jumpa, dah rindu-rinduan.” Peak cap kembali dipakai ke kepala.

“Banyaklah kau.” Ashraff menggeleng. “Ha, apa cerita perempuan cincin berlian dua karat kau tu?” Ashraff menyoal apabila dia tiba-tiba teringat pada masalah Aizat yang pernah diceritakan padanya tak lama dulu.

“Aku dah putus dah dengan dia.” Aizat menarik nafas dalam. Matanya meniti pada flight plan yang baru diambilnya tadi. “Itu semua hanya alasan dia nak tinggalkan aku.”

“Sorry bro, aku tak tahu.” Bahu Aizat dipegang.

“Tak ada apa la, aku okey. Cerita lama tu.” Senyum terukir di bibirnya. “Kau pergi mana hari ni?” Keningnya dinaikkan.

“Paris. Kau?”

“Frankfurt. Kau nak gerak dah ke?”

Ashraff mengangguk. “Ha’ah.” Flight plan disimpan dan beg-beg miliknya dikemaskan. Peak cap yang tadi tersangkut di tangkai flight bagditepuk-tepuk.

“Have a nice flight, pengantin baharu!”

Pap!

Aizat mengaduh sakit apabila Ashraff melibas belakangnya dengan peak cap di tangan.

****

DRYNA MEMBIARKAN travelator membawanya ke tingkat atas. Jari telunjuk diketuk-ketuk pada pemegang troli. Bagus juga rumah yang dia dengan si pakcik sengal duduk sekarang ni dekat dengan pasar raya besar. Tesco dengan Giant berdepan siap. Carrefour pun dalam lima minit drive macam tu. Selain itu, kemudahan pun okey. Lagi satu, lagi dekat nak pergi kerja dibandingkan dari rumah mak abah dekat Damansara. Jimat duit aku. Hehe.

Dia kemudiannya terdiam. Nak ingat balik apa benda yang ada dalam peti sejuk. Pagi tadi, dalam peti sejuk tu cuma ada telur, kicap dengan dua keping piza malam tadi dan sebotol Scott Emulsion miliknya. Banyak nak kena beli ni. Esok dah balik dah pakcik tu. Malas betul nak masak. Zaman bujang dulu senang, mak yang masak. Kalau malas pun berlambak kedai makanan segeradekat Lembah Klang ini. Kalau bukan pelanggan macam aku ni yang nak beli, siapa lagi? Hehe.

Cup! Walaupun aku ni tak selalu masak, tapi reti la masak sikit-sikit. Bukan macam sesetengah orang tu, umur dah tiga puluhan pun tak reti segala rempah ratus yang ada kat dapur.

“Eh ni apa ni? Tak pernah nampak pun benda ni? Jamu apa ni?” Berkerut kening sambil tangan menguis-nguis biji-biji kecil kehitaman.

Lada hitam yang wujud sejak ribuan tahun yang jadi rebutan uncle-uncle rambut blonde kulit putih, apek kulit putih mata sepet dan pakcik-pakcik janggut panjang berserban sejak zaman Kesultanan Melaka pun tak tahu?

Memang kuno. Pakcik yang hidup ribuan tahun dulu pun lagi advance daripada orang macam ni. Aku kesian pada golongan ini.

Ceit, membebel sendiri. Edryna tersenyum. Dah sampai penghujung travelator. Troli ditolak menuju pintu masuk Tesco.

EDRYNA SELESAI menimbang segala jenis sayur dan bahan-bahan kering yang lain. Plastik berisi barang-barang tersebut diletakkan ke dalam troli. Makcik di sebelahnya tersenyum dari tadi sambil pandang dia dari atas sampai ke bawah. Senyum kecil dihadiahkan pada makcik tadi sebelum troli ditolak menuju rak-rak makanan dalam tin.

Banyak betul barang kena beli. Pakcik tu pun satu. Selama dia hidup dalam rumah tu, takkan makan kicap dengan telur aje kut? Agak-agak muat tak kereta aku ni? Tadi dah la selambak hadiah daripada office-mates yang tak datang majlis kahwin hari tu sebab hari ini baru masuk kerja. Menyesal pula tak beli groceries semalam. Ni mana nak campak segala barang ni?

Dia memberhentikan troli di hadapan deretan makanan dalam tin. Mata sedang khusyuk melihat setiap inci isi rak di hadapannya, mana tahu ada benda yang menarik. Kakinya terhenti di sebelah seorang makcik yang  sedang ralit membelek setin sardin Cap Ayam. Tengok ingredients agaknya.

“Anak ni baru kahwin ke?”

Suara dari sebelahnya membuatkan Edryna berpaling ke sebelah. Makcik tu tengah tengok dia dari atas sampai ke bawah.

“Ha’ah makcik, baru minggu lepas.” Bibir menarik senyum.

“Mana suami? Tak ikut sekali ke?” Makcik tersebut menjenguk ke belakang Edryna. Mungkin dia ingat suami budak yang baru kahwin ni tengah sorong troli dekat belakang, namun tiada.

“Oh, dia kerja. Tak ikut.”

“Dia kerja apa?”

Edryna kerut kening. Kenapa aku rasa makcik ni macam busy body? Namun hatinya cepat menegah. Jangan buruk sangka, Ard. “Driver. Makcik, saya pergi dulu ye, assalamualaikum.”

Edryna berlalu menuju trolinya. Macam mana semua orang tahu aku ni baru kahwin? Tak ada pun cap ‘Saya baru kahwin minggu lepas. Sila lihat muka saya sementara seri pengantin masih melekat di muka saya’ dekat dahi ni?

Dia tenung diri sendiri dari atas sampai ke bawah. Cis, inai di jari tangan dengan jari kaki masih merah menyala lagi. Inai dekat keliling tapak kaki pun masih merah. Patutlah semua orang macam pandang-pandang aje dari tadi. Sepatutnya aku pakai kasut Phua Chu Kang instead of selipar jepun. Kat tangan ni kena cover dengan sarung tangan.

Dan percuma aje pakcik tu dapat title driver. Haha.

DERAP TAPAK KAKI berlari ke tingkat atas dan hempasan pintu menyambut ketibaan Ashraff. Heh, kau lari? Bukan nak sambut laki kau balik kerja penat-penat ni?

Jangan mimpi, Ashraff. Hatinya memujuk.

Segala jenis beg diletakkan di tepi sofa. Stoking ditanggalkan dan diletak bersebelahan beg. Tekak yang kering memaksanya bergerak menuju ke dapur walaupun batinnya menjerit untuk tidur. Penat sangat!

Elok sahaja kaki masuk ke dalam dapur, matanya menangkap gelas berisi jus dan tiga keping post-it notes yang elok tersadai di atas meja bersebelahan jus tersebut.

1) Minum. Kalau you tak minum atau buang dalam singki, I mandrem biar you kena lenyek kapal terbang esok.

2) Nak makan ambik sendiri. Nasi I dah panaskan, lauk bawah tudung saji. Jangan nak mengada nak minta serve, jangan nak mengada cakap penat ke apa. You penat, I pun penat.

3) Don’t disturb me!

Tersengih Ashraff membaca nota di atas kertas kuning itu. Gelas berisi jus dibawa ke mulut. Segar rasanya apabila jus yang sejuk menuruni rengkung. Sekali teguk dah habis.

By the way my dear, baru berapa hari kena tinggal dah pandai main surat-surat cinta pula ek?

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/75665/si-mangkuk-tingkat

 

 

 

[SNEAK PEEK] PERCAYA ADA CINTA

9789831245132-medium
EBUKU Percaya Ada Cinta Oleh Ryana Adrina

Kiranya kau ada penggantiku…

14 Januari 2007

TERKEJUT aku dengan kehadiran tiba-tiba Arsyad Zikri di restoran Tuan Haji Azman. Ketika aku sedang ingin duduk bersendirian, ketika sedang ingin melayan lara hati seorang diri, kenapa dia yang hadir? Sesungguhnya lelaki itu cuba kujauhi seboleh mungkin. Aku cuba menanam perasaan benci padanya sepertimana aku bencikan Rasya. Namun bilamana hati lelaki itu tergores dengan kelancangan mulutku sendiri, ketika itu… baru kusedari keluhuran hati seorang lelaki yang bernama Arsyad Zikri. Dari situ juga aku mula menyedari keterlampauan sikapku ke atasnya. Dialah lelaki budiman pertama yang kutemui sepanjang hayatku. Fikiranku cepat membuat rumusan. Bertuahnya Rasya kerana terlebih dahulu mengenali lelaki ini.
Lelaki itu bagai dapat mencium perubahan sikapku yang kurang ceria seperti selalu. Sungguh… aku cuba menutup punca diriku menjadi cengeng di hadapannya. Aku tidak mahu lelaki itu mengambil ruang dalam hidupku. Cukuplah aku mengenalinya sebagai insan yang pernah menjadi teman istimewa Rasya.

Entah kenapa aku cuba mengocak perasaan lelakinya. Sengaja mempersoalkan kesetiaan Rasya padanya selama ini. Hatiku sekali lagi merintih apabila mendapat tahu lelaki itu benar-benar mencintai Rasya sepenuh hati. Habis… bagaimana dengan abangku, Amer Munawer? Tidakkah Rasya mencintai tunangnya itu sepenuh hati? Kalaulah Arsyad tahu yang Rasya kini sedang membilang hari bahagia bersama Amer Munawer, bagaimanalah agaknya perasaannya? Tergamak sungguh Rasya mempermainkan lelaki-lelaki ini.

Wafiya akhirnya meletakkan pena berdakwat basah itu di sisi diarinya. Perasaannya bercampur baur. Perasaannya pada Kay tidak pernah terluah, kini ditambah pula dengan kerenah sepupu sendiri yang cuba menghancurkan perasaan lelaki lain. Bilakah akan berakhirnya titik derita ini?

ARSYAD ZIKRI masuk ke pejabatnya seperti biasa. Senyuman di bibirnya terukir spontan sejurus terpandangkan gambar yang berbingkai indah di atas mejanya. Gambar dia bersama Rasya. Rasya sedang tersenyum manis sambil memaut mesra lengannya dan melentok manja di bahunya. Gambar yang berlatarbelakangkan musim bunga di sebuah taman itu bagai menceritakan betapa indahnya percintaan mereka berdua di US dahulu. Mereka sudah seia sekata mahu mematerikan perhubungan mereka agar lebih bermakna.
Arsyad mencapai telefon bimbitnya di atas meja. Dia pantas mendail nombor Rasya. Tiga kali deringan, barulah talian di sebelah sana bersambut.

“Hello, dear! Free tak petang ni?” tanya Arsyad terus tanpa ucapan salam seperti selalu.

“Hai Syad. Petang ni? Emm… sorrylah dear. Petang ni I kena temankan mama I ke butik,” jawab Rasya di hujung talian.

“Malam ni?” Arsyad masih tidak berputus asa. Cabaran Wafiya cukup besar maknanya jika dapat dibuktikan. Rasanya sudah lebih dua minggu dia tidak ditemani Rasya. Setiap kali dia mengajak Rasya keluar, ada sahaja alasan yang diberikan.

“Malam pun tak bolehlah, Syad. I dah janji nak dinner dengan famili I,” tutur Rasya dengan nada serba salah.

Arsyad mendengus. “I tak fahamlah. You tak pernah ada masa untuk I. Habis, bila sebenarnya you free ni?” Arsyad mula hilang sabar, tetapi cuba dikawal suaranya.

“Syad, janganlah marah. I memang tengah sibuk sangat sejak kebelakangan ni. Nak jumpa you kejap pun dah terkejar-kejar macam tak cukup masa. Memanglah I rindukan you, tapi apa I boleh buat kalau kerja dah sebeban depan mata?” Rasya masih tegar mencipta alasan.

“Okey, tak apa. Kalau macam tu, apa kata… I join dinner dengan famili you malam ni? I nak jugak kenal dengan famili you.” Arsyad seakan memaksa bila Rasya tetap tidak memberi peluang kepadanya.

Rasya tergamam. Pelik bercampur terkejut. Bagaimana Arsyad boleh jadi senekad itu tiba-tiba? Dia mula kalut. Mana mungkin dia memperkenalkan Arsyad kepada keluarganya sedangkan malam ini, Amer juga akan turut serta menghadiri makan malam bersama keluarganya.

“Syad, listen. Betul you nak jumpa famili I?” Rasya menguatkan suara, memberanikan diri bertanya. Jauh di sudut hati, dia mengharap akan mendapat jawapan ‘tidak’ dari bibir Arsyad.

“I memang nak jumpa famili you, Sya. Dah lama dah. You ingat I main-main ke?” jawab Arsyad penuh yakin. Sedikit kecewa bila Rasya seolah-olah mempersoalkan keikhlasannya. Seperti tidak yakin dengan kejujurannya.

Rasya terdiam. Otaknya ligat berusaha memikirkan alasan lain untuk diberikan kepada Arsyad. Dia tersepit.

“Boleh tak ni, Sya?” gesa Arsyad apabila tidak mendapat apa-apa respons daripada Rasya.

Kedengaran helaan nafas kuat Rasya di talian. “Syad… macam mana I nak cakap, ya? I’m surprise. Tapi… entahlah.” Resah gelisah suara Rasya.

Giliran Arsyad pula menghela nafas dalam. “Rasya… you sebenarnya masih tak yakin dan belum bersedia kan?”

“No, no! I tak bermaksud macam tu…” Rasya pantas menangkis.

“Okey, kalau macam tu… kita jumpa malam ni di rumah you!” tegas Arsyad tidak memberi pilihan.

“Wait! Arsyad! I’m sorry. Malam ni memang tak boleh. Kita kena bincang dulu. I takut famili I terkejut bila tiba-tiba I bawa you datang jumpa dia orang. Kita kena rancang betul-betul dulu, Syad.” Rasya masih mahu berdolak-dalik.

“You macam sengaja bagi alasan, Sya. Kalau betul you sayangkan I, you takkan mengelak macam ni. Betul ke you cintakan I ni, Sya?” tanya Arsyad mula ragu-ragu.

“Syad, sayang I pada you tak pernah berkurang sikit pun.”

“Tapi… I macam dapat rasa you dah tawar hati dengan I. I dapat rasakan, Sya. Tak apalah kalau you tak izinkan. Bye.” Arsyad serta-merta mematikan talian tanpa menunggu balasan Rasya. Dia kecewa. Mungkinkah benar telahan Wafiya? Tidak! Itu bukan telahan! Dia mula yakin, ia bukan sekadar telahan, tetapi gadis itu seperti cuba menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuannya. Wafiya seperti tahu apa yang dia tidak tahu!

****

Hidup mati cinta kita bersama…

ARSYAD melangkah mengikut langkah kaki dan gerak hatinya membawa diri. Terasa hatinya kini begitu sunyi dan sepi. Tiada lagi gelak ketawa dan rajuk Rasya yang meriangkan hati. Entah mengapa, dia merasakan Rasya semakin jauh dari hidupnya.

Kenangan mulai menerbang jauh melintasi alam benua. Memori sewaktu mula berkenalan dengan Rasya di US dahulu kembali menerpa ingatan.

ARSYAD menulis sesuatu di dalam buku notanya. Dia dan beberapa orang teman senegaranya sedang duduk di bawah pokok, menghadap taman indah berhadapan East 13th Avenue. Tempat itu merupakan laluan utama mahasiswa-mahasiswa universitinya. Tempat itu juga dikenali sebagai heart of campus kerana di situlah pelbagai aktiviti mahasiswa diadakan. University of Oregon menyaksikan pelbagai bangsa di dalamnya begitu tekun mencari ilmu. Masing-masing berkejar menghadiri kuliah seterusnya.

“Syad, kau nampak tak perempuan kat sana tu? One of them, yang pakai sweater biru navy tu, dari tadi asyik pandang sini,” provok Hafizi, teman sekuliah Arsyad.

“Hah? Ya ke? Entah… tak perasan pulak aku.” Arsyad mendongak, mengarahkan padangannya kepada dua orang gadis yang sedang duduk di sebuah bangku panjang yang berhampiran. Benar, salah seorang daripada mereka yang berambut ikal keperangan sedang memandang ke arah mereka. Namun, bila mata itu bertembung pandang dengannya, cepat-cepat gadis itu berpaling ke arah lain.

“Cantik jugak! Dia berkenan kat kau agaknya.”

“Hisy… mengarutlah!” nafi Arsyad seraya ketawa kecil, tanda tidak percaya dengan apa yang diperkatakan oleh teman-temannya. Walau bagaimanapun, dia perasan ada secebis senyuman mesra di bibir gadis itu.

Seminggu selepas itu, sekali lagi Arsyad bertembung pandang dengan gadis yang sama di kafetaria sewaktu sedang bersarapan. Si gadis terlebih dahulu mencuri kesempatan itu menegurnya. Kebetulan, dia sedang berseorangan. Teguran pertama itulah yang membawa kepada bibit-bibit pertemuan mereka yang seterusnya. Sehinggalah masing-masing mula menyedari perasaan yang sedang bercambah dan memekar sedikit demi sedikit di hati.

“Syad, I tak nak kehilangan you. I nak hidup di samping you sampai tua, Syad.” Pernah Rasya meluahkan kata-kata itu pada hari terakhir mereka di US. Musim bunga saat itu menyaksikan kemeriahan pelbagai warna daripada beribu spesis bunga. Genggaman erat jemari Rasya yang bertaut kemas dengan jemari Arsyad sudah cukup menceritakan segala-galanya. Kasih mereka padu. Tidak ada apa yang dapat merobohkan tembok cinta mereka berdua.

“Sya, bila I balik Malaysia nanti, I tak nak tunggu lama-lama. I nak jumpa famili you dan lamar you jadi isteri I seberapa segera,” ungkap Arsyad meluahkan hasrat hatinya.

“I love you, Syad…” balas Rasya seolah-olah berikrar. Lunak janjinya di pendengaran Arsyad .

MASIH terngiang-ngiang lagi ucapan keramat Rasya itu. Perasaan dan ungkapan cinta Rasya ibarat hembusan bayu pagi yang menyegarkan. Tapi kini… Rasya dirasakan semakin jauh. Adakah kerana rasa cemburunya pada Wafiya yang membuatkan gadis itu berkelakuan begitu?

Arsyad berdiri sambil memeluk tubuh di hadapan pancuran air Taman KLCC. Dia sendiri tidak sedar sejak bila dia sudah berdiri di situ. Dia melangkah tanpa haluan sambil memikirkan Rasya.

Arsyad memerhati sekeliling. Kelihatan ramai pasangan kekasih sedang asyik bergurau senda. Ada yang berpelukan, ada juga yang bergenggaman tangan tanpa mempedulikan manusia di sekeliling yang memandang.

Arsyad mengambil keputusan untuk masuk semula ke bangunan Suria KLCC. Sesaat berpaling, dia kaget. Langkahnya terhenti serta-merta. Benarkah apa yang sedang dilihatnya sekarang ini? Arsyad tidak berlengah. Demi mahu memuaskan hati, dia bergerak mengekori dua manusia itu.

‘Langkah Arsyad terhenti berhampiran Butik Kunang-Kunang. Arsyad mengintip dari jauh. Mereka seolah-olah sedang berbincang sesuatu dengan pemilik butik tersebut.

Semakin lama dia memerhati, semakin sakit hatinya. Kini, sudah terang lagi bersuluh. Buktinya sudah ada!

Arsyad lantas mengeluarkan telefon bimbitnya dari poket seluar. Dia menekan pad kekunci dan menaip sesuatu sambil matanya liar memerhatikan tingkah pasangan sejoli itu dari luar kedai tersebut sebelum meninggalkan tempat itu dengan jiwa yang lara.

PERBUALAN Rasya dengan pemilik butik terganggu apabila telefonnya memberi isyarat SMS. Dia pantas mengeluarkan telefon bimbit dari beg tangannya dan membuka peti simpanan mesej sementara menanti Amer keluar dari bilik persalinan. Sejenak, dia tergamam membaca SMS tersebut.

Rasya, thx utk ‘hadiah’ yg amt brmakna ni. I enjoy every bit of it! Give my warmest regards 2 ur ‘mum’ beside u in d boutique.

Terkejut, resah, semuanya bersatu menjadi satu. Rasya berlari keluar dari butik berkenaan. Dia pasti Arsyad sedang memerhatikannya. Memang benar. Kelihatan kelibat Arsyad semakin menjauh ditelan orang ramai.

Ya, memang Arsyad sudah mengetahuinya. Terbongkarlah segala rahsianya kini. Selama empat tahun ini, dia membohongi Arsyad tanpa Arsyad menyedarinya. Patutkah dia menghubungi Arsyad atau membiarkan lelaki itu tenang dahulu sebelum memberi penjelasan?

“Kenapa ni Sya? Muka you nampak pucat. Sakit ke?” tanya Amer Munawer tiba-tiba. Hairan melihat tunangnya seperti mencari seseorang di luar butik itu.

“Nothing! I’m okay. I’m fine!” ujar Rasya cuba meyakinkan tunangnya itu. Mereka kembali duduk di kerusi yang tersedia. Kembali kepada pereka yang menanti di dalamnya.

ARSYAD duduk sambil memegang kedua belah lututnya di parkir motosikal, berhadapan dengan Kolej Seroja. Angin sedang berpuput lembut. Dia ingin bertemu seseorang hari ini. Dia mahu berkongsi lukanya. Selain itu, dia percaya, gadis yang ingin ditemuinya ini merupakan kunci kepada apa yang menjadi tanda tanyanya sejak akhir-akhir ini. Dia yakin, Wafiya sudah lama tahu tentang apa yang ingin diketahuinya. Benarkah dia hadir sebagai orang ketiga dalam perhubungan Rasya dan pasangannya?

Dari jauh, Arsyad sudah terpandangkan Wafiya yang berkemeja kotak-kotak. Dia kelihatan berjalan seorang diri bertemankan buku dan fail di tangan.

Wafiya turut terperasankan Arsyad yang sedang duduk di bawah pohon rendang berhadapan dengan parkir motosikal. Kenapa lelaki itu di sini? Wafiya tidak jadi melangkah ke skuternya, sebaliknya menuju ke arah Arsyad.

“Hai, tunggu Fiy ke?” tegur Wafiya sambil menghampiri.

“Fiy free tak? Boleh temankan Syad hari ni tak?” Soalan berbalas soalan, mengabaikan sapaan Wafiya sebentar tadi. Dia resah dalam kecewa. Dia perlukan Wafiya untuk mengorek rahsia sebenar Rasya.

“Okey… Fiy pun dah habis kelas hari ni. Latihan teater pun dah tamat.” Wafiya memberikan persetujuan.

“Jom, ikut Syad…” Arsyad menarik lengan Wafiya. Wafiya terkial-kial menuruti. Hampir berteraburan fail dan buku nota yang dipegangnya.

“Kenapa ni?” soal Wafiya agak meninggi. Pelik melihat perlakuan Arsyad yang sedikit kelam-kabut.

“Nanti Syad beritahu.” Arsyad terus mendiamkan diri kemudiannya. Tangannya bagaimanapun masih kuat mencengkam lengan Wafiya. Wafiya mengikut langkah Arsyad sehingga ke kereta. Arsyad membuka pintu kereta di bahagian sebelah pemandu dan mengisyaratkan Wafiya masuk sebelum dia bergegas ke bahagian pemandu. Beberapa minit kemudian, kereta itu menderum membelah jalan.

MEREKA sama-sama merenung dada langit yang dilatari sang riang camar yang berterbangan. Arsyad begitu asyik memandang. Seakan terlupa siapa yang dibawanya ke situ.

Wafiya pada awalnya hanya diam mengikut rentak Arsyad, namun lama-kelamaan dia mulai bosan dengan suasana pegun begitu. Keluhan demi keluhan terbit dari bibirnya.

“Kalau nak terus senyap aje macam ni, baik Fiy balik aje. Buang masa Fiy ajelah!” Akhirnya Wafiya bersuara.

“Fiy… Syad rasa Fiy tahu yang… Rasya ada lelaki lain kan? Kenapa Fiy tak beritahu Syad awal-awal?” Arsyad melontarkan soalan tanpa mempedulikan rungutan Wafiya.

Wafiya terpempan. Dia terdiam beberapa ketika sebelum merenung Arsyad di sebelahnya.

“Fiy tahu kan, sebab tu Fiy diam!” tuduh Arsyad lagi sambil menoleh memandang Wafiya sekilas.

“Ya, kalau Fiy tahu pun, apa kuasa yang Fiy ada? Fiy bukannya siapa-siapa! Fiy tak ada hak nak masuk campur dalam urusan Syad dan Rasya!” Wafiya membela diri. Geram juga dia dengan tuduhan Arsyad terhadapnya.

“Jadi… betullah apa yang Syad agak sebelum ni.” Perlahan suara Arsyad. Bibirnya bergetar, menyentuh tangkai hati Wafiya yang memandang.

“Fiy dah tahu segalanya, tapi sengaja sembunyikan dari pengetahuan Syad,” tutur Arsyad tanpa memandang Wafiya Munirah. Hatinya sayu dan sedih kerana dipermainkan oleh mereka yang berada di sekelilingnya. Terasa diri seperti boneka yang dipergunakan hingga akhirnya terperangkap dalam rentak hidup manusia yang tidak punya belas simpati!

“Fiy minta maaf. Fiy yang berdiri depan Arsyad ni bukan sesiapa. Macam yang Fiy cakap tadi, Fiy tak ada hak nak masuk campur dalam soal pilihan hati Rasya. Malah dengan siapa Arsyad nak bercinta atau nak kahwin sekalipun, Fiy tak berhak campur. Tapi malangnya diri Fiy ni, Fiy selalu terlibat dalam semua agenda Rasya tanpa sengaja. Fiy sering dipersalahkan atas segala yang berkaitan dengan Rasya. Semuanya salah Fiy yang orang nampak,” luah Wafiya penuh emosi.

“Fiy… Fiy mesti kenal siapa lelaki yang bersama Rasya, tu kan? Siapa lelaki tu, Fiy? Apa hubungan sebenar mereka?” Arsyad separuh merayu, meminta Wafiya merungkai rahsia.

Satu lagi keluhan berat terbit dari bibir Wafiya. Pelbagai gelodak rasa menyerang, menyesakkan dadanya. Tetapi selagi tidak diberitahu, selagi itulah rasa bersalah akan menghantuinya.

“Lelaki tu… adalah abang Fiy sendiri, Amer Munawer… tunang Rasya sejak lebih lima tahun yang lalu.” Akhirnya Wafiya membongkar rahsia.

Arsyad terpaku beberapa ketika sebelum meraup wajahnya dengan kedua telapak tangan. Sukar untuk dia mempercayai kata-kata Wafiya itu. Benarkah? Jika benar, bermakna dirinya sudah lama dipermainkan oleh Rasya. Bagaimana dia boleh begitu mudah terpedaya?

“Kalau Syad tak percaya, tak apa. Lagipun, bukan semua benda yang Fiy cakap orang akan percaya. Tapi, apa yang Fiy dan keluarga Fiy tahu, Rasya memang tunang abang Fiy. Majlis pertunangan mereka diadakan sebelum Rasya berangkat ke US lagi,” terang Wafiya lagi tanpa dipinta.

“Kenapa Rasya sanggup berbohong dan menyembunyikan semua ni?” soal Arsyad perlahan seakan-akan ditujukan kepada dirinya sendiri.

“Fiy tak ada jawapan untuk tu, Syad. Semua tu Syad kena tanya Rasya sendiri,” balas Wafiya enggan bercerita apa-apa lagi. Dia tidak mahu memburukkan keadaan. Dia bersimpati dengan Arsyad. Lelaki itu bagai menahan kesakitan dalam jiwanya.

‘Kita dah seri, Syad. Sama-sama terluka. Sakitnya hanya kita sendiri yang tahu dan tanggung. Apakah kita tidak layak untuk rasa dikasihi?’ Namun, persoalan itu hanya bermain-main dalam fikirannya.

Keadaan menjadi sunyi sepi. Arsyad seakan merenung sesuatu di kejauhan. Wafiya turut terbawa-bawa perasaan luka di hatinya.

“Jom! Saya hantarkan Fiy balik.” Tiba-tiba sahaja Arsyad bersuara, mengejutkan Wafiya yang sedang leka. Cepat-cepat Wafiya menyeka air di birai matanya tanpa sempat dilihat oleh Arsyad.

“Tak payahlah susah-susah, Syad. Hantar aje Fiy balik ke kampus. Lagipun… skuter Fiy masih di sana,” pinta Wafiya.

“Okey, saya hantarkan Fiy balik kampus. Jom!” Arsyad bingkas bangkit dari duduknya.

Wafiya menurut tanpa suara. Begnya disandang ke belakang.

ARSYAD menghantar Wafiya hingga ke parkir motosikal, tempat yang sama di mana dia menunggu Wafiya tadi.

Tersentuh hati Wafiya melihat wajah Arsyad yang keruh. Sesungguhnya dia sendiri mahu tahu kenapa Rasya tergamak bertindak sedemikian. Kalau Arsyad seorang kasanova, tidak mengapa juga. Malah, dia sendiri pasti menyokong tindakan Rasya. Tetapi, setelah lama mengenali Arsyad, ternyata lelaki itu seorang lelaki yang budiman. Apa agaknya yang ada dalam kepala Ainur Rasya, ya?’

“Fiy, jaga diri.” Arsyad menepuk lembut bahu Wafiya, mengejutkan Wafiya dari lamunannya.

“Sabarlah Syad, ya?” balas Wafiya. Lakonan apakah ini?

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/74007/percaya-ada-cinta

 

REVIEW UNTUNGLAH AWAK MENTUA SAYANG

9789675229558-medium
EBUKU UNTUNGLAH AWAK MENTUA SAYANG OLEH NORHAYATI BERAHIM

“Boleh tak awak jangan tunjuk pandai?” Keras suara Ihsan. Marah sungguh dia dengan Ranias yang suka memandai – mandai sahaja. “Beginilah anak bila dewasa sudah besar panjang. Tak boleh ditegur.” Rania berkata dengan dirinya sendiri, kemudian dia menoleh dengan perasaan geram pada Ihsan. “Baguslah. Kalau bos balik karang, hujan ribut, kereta bos kena hempap dek pokok, bos mat. Mati katak sajalah tau, tak sempat nak minta maaf dengan emak bos! Hmm… saya nak keluar sebenarnya, ada mesyuarat lagi diluar. Terpulanglah kepada bos nak dengar cakap saya atau tidak!”


Kalau ada satu perkataan yang boleh admin ungkapkan bagi menggambarkan novel Untunglah Awak Mentua Sayang tulisan Norhayati Berahim, admin akan cakap.. TERBAIK!. Nak tahu kenapa? Sebab orang yang tak kahwin lagi pun rasa macam nak kahwin juga bila baca novel ini. Lagi satu yang admin suka mengenai novel ni, dia ada sekali resipi- resipi yang boleh menarik hati si mentua. Boleh la cuba resipi tersebut nanti. 🙂

Sebuah novel yang berkait dengan realiti hidup bila mentua dan menantu tak ngam bersama kan. Kita selalu jumpa anak lelaki yang selalu dalam situasi tersepit.. Haha.. Dialog si bini “Abang pilih saya ke emak abang tu!”. Mak pula bagi dialog macam ni “Man.. mak ni mak kau. Mak bawak kau dalam rahim mak ni selama 9 bulan. Kau ingat kau tu ringan ke!” Biasalah. Kita tak mampu untuk menjadi sempurna tapi kita mampu untuk menjadi saling melengkapi.

Dari segi jalan cerita, novel ni punya jalan cerita sangat simple. So anda tak berkerut nak fahamkan cerita ni. Rania seorang watak yang sempurna dalam cerita ini. Hatinya pernah remuk suatu ketika dulu dan kini ada yang mengetuk pintu hatunya kembali. Malangnya setelah diberikan segalanya. Ihsan melarikan diri kerana malu dengan semua orang yang dia ditangkap khalwat. Terpaksa Rania mengutip kekuatan dalam mengharungi liku dengan perut yang sarat. Kasihan dengan situasi sebegini. Tabahlah wahai Rania! Kesudahan apakah milik Rania?

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/74015/untunglah-awak-mentua-sayang

 

 

REVIEW MANTERA HITAM

9789831244067-medium
MANTERA HITAM OLEH SERUNAI FAQIR

SPIRIT OF THE COIN… sebuah permainan mistik yang menggunakan duit syiling untuk menyeru roh orang yang sudah mati. Kehadiran roh akan diketahui apabila duit syiling yang digunakan bergerak sendiri.

Pada suatu malam dalam perkhemahan di tepi sungai, Nik mengajak Hizal dan Tunku bermain spirit of the coin. Perasaan takut dan teruja saling berbaur. Walaupun Hizal dan Tunku memperlekehkannya, namun naluri ingin tahu lebih menguasai.

Namun apabila bulu tengkuk meremang, mereka saling berpandangan. Serentak dengan itu, guruh berdentum di langit. Bau kemenyan menyantak ke hidung. Gerimis mula menerjah. Akibatnya, mereka direnggut ke alam yang tidak pernah dialami selama ini. Perbuatan mereka itu mengundang kecelakaan, menjemput malapetaka yang tiada berkesudahan.


Sebuah novel yang saya kira sedikit berat kepada pembaca. Novel berkisarkan 3 orang  sahabat bermula bermain permainan Spirit of The Coin. Asalnya syiling itu kepunyaan ayah Nik, namun mereka telah menyeru roh (Marcel) tersebut secara tidak sengaja. Ia adalah sebuah novel mengenai alam ghaib dan alam manusia. Jika anda seorang yang minat berfikir tentang jalan cerita dan meminati cerita – cerita berbentuk mistik. Ini adalah cerita yang sesuai dengan anda!

Ceritanya, mereka yang bermain permainan tersebut, secara tidak sengaja mereka telah membebaskan Marcel seekor jin yang telah lama dikurung sejak tahun 1511. Malangnya setelah itu, banyak perkara- perkara yang terjadi kepada mereka. Contoh yang berlaku Nik dirasuk oleh jin saka keturunan  keluarganya. Maka bermulalah perang antara jin di alam ghaib yang ingin mendapatkan kitab ditangan Jin Namtar untuk menguasai dunia. Bagi menyelamatkan keadaan, mereka bertiga dibantu oleh Suraya dan Tengku Fauzi perlu masuk kembali ke alam ghaib tersebut dan merampas kembali kitab itu sebelum terjatuh ke tangan Jin Kafir. Mereka juga perlu menyelamatkan 2 orang yang tersesat dalam dunia tersebut.

Berjayakah misi yang berbahaya mereka ini? Dapatkah Nik dipulihkan dan apakah perang di alam ghaib ini akan berakhir.. Dapatkan ebuku penuh di e- sentral bagi mengetahui pengakhirannya.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/74006/mantera-hitam

 

[SNEAK PEEK] PERMAINAN

9789670954240-medium
EBUKU PERMAINAN Oleh Aiman Hazziq

Pukul 1.49 petang. Adrian memarkir motosikalnya seperti biasa di belakang Honda Civic rakannya. Kulit mukanya kelihatan kemerah-merahan kerana cuaca agak panas. Selepas menghantar bungkusan di Batu Caves sebentar tadi, dia perlu pergi ke Bukit Beruntung. Baik pergi Bukit Beruntung dulu lepas hantar kat Rawang tadi. Membazir minyak, tenaga dan masa je kena patah balik. Adrian melangkah masuk ke dalam pejabat. Bosnya sedang bercakap dengan Suzanne. Entah apa yang dibicarakan. Adrian duduk di sofa kulit di ruang hadapan pejabat. Dia mengambil suratkhabar di atas meja kopi di sebelah sofa. “Adrian, masuk bilik saya,” bos Adrian memanggil dengan pelat Tamilnya selepas dia habis bercakap dengan Suzanne. Belum sempat dia membaca tajuk utama pun. Adrian menyumpah dalam hati. Jarang bosnya memanggil masuk ke dalam bilik. Kali pertama dan terakhir dia masuk ke bilik majikannya adalah sewaktu dia diambil bekerja. “Sini, duduk,” bosnya memanggil. Bilik itu tidaklah besar mana. Mungkin hanya sebesar master bedroom Bob. Bilik itu tampak kemas dan simple. Dindingnya dicat biru muda dan dilengkapi sofa kulit, dua rak buku, meja kerja, PC dan meja kopi. “Saya mahu minta tolong sama kamu, boleh ka?”

“Apa dia, bos?”

Dia berdehem kecil. Suaranya diperlahankan. “Ini, hantar kat rumah perempuan saya boleh? Saya kasi kamu alamat dia.” Dia menghulurkan bungkusan yang dibalut dengan kertas minyak. Kemudian, dia menulis alamat itu di atas sehelai kertas kosong.

“Boleh bos, no problem,” balas Adrian.

“Nah, ambil ini. Buat belanja,” kata bos Adrian lalu menghulurkan dua not RM50 sambil tersengih sehingga  menampakkan gusi. Bukan senang untuk Adrian memperoleh duit sebanyak itu. “Terima kasih bos. Saya
pergi dulu.” Sebaik sahaja Adrian keluar dari bilik itu, dia mencium not RM50 itu. Senyumannya melebar. Tanpa membuang masa, dia ke motosikalnya. Murah betul rezekinya hari ini. Adrian melihat alamat perempuan
simpanan bosnya. Seksyen 7, Shah Alam. Agak jauh. Patutla bosnya memberikan wang tambahan. Adrian menghidupkan enjin motosikalnya.

Motosikal Adrian diparkir di hadapan rumah perempuan simpanan bosnya. Rumah teres itu kelihatan agak lama dan tidak dijaga dengan baik. Patutnya bagi rumah yang cantik sikit kat perempuan simpanan tu. Dia memberikan salam walaupun tidak pasti perempuan simpanan bosnya itu Islam atau bukan. Hati Adrian menyatakan orang Melayu. Salam Adrian tidak berjawab. Pagar rumah itu tidak berkunci. Oleh kerana cuaca agak terik, Adrian membuka pagar itu dan menuju ke pintu rumah. Lega sedikit bila dapat berteduh. Pintu rumah diketuk. Pintu itu dikuak sedikit. Kelihatan perempuan Cina dalam lingkungan 20-an. Agaknya memang taste bos Adrian ni perempuan Cina kot.

“Hai. Encik Prahna hantar something kat you,” Adrian memulakan bicara. Pintu itu dibuka luas. Adrian memerhati perempuan Cina di hadapannya. Perempuan itu masih memakai baju tidur. Baru bangun tidur mungkin. Rambutnya lurus hanya separas bahu. Bentuk badannya agak cantik, tetapi bagi Adrian, Suzanne mempunyai tubuh yang paling cantik. “Thanks. You ni siapa?” tanya perempuan Cina itu setelah mengambil bungkusan itu.

“I pekerja Encik Prahna. Adrian,” jawab Adrian ringkas. “Oh. Okay. You ada nak apa-apa lagi ke?” “Err, tak ada. Saya minta diri dulu,” balas Adrian lalu terus beredar. Dia tidak mahu berlama di situ. Takut ada benda yang tidak diingini terjadi. Dia tidak mahu menimbulkan konflik dengan bosnya. Tanpa membuang masa, enjin motor dihidupkan dan dia bergerak pulang ke pejabatnya. Sebelum sampai, dia singgah sebentar di Warung Mak Limah untuk makan tengahari. Hari-hari dia ke situ kerana makanannya sedap dan itu warung Mak Long kepada Joe.

 ****

Pintu pejabat dibuka. Adrian melangkah masuk ke dalam pejabat itu. Lega rasanya apabila angin sejuk dari pendingin hawa menyapa tubuhnya. Dia merebahkan diri di sofa kulit. Ingin melepaskan penat sebentar. Matanya tertancap pada wajah Suzanne. Dia bangun menuju ke meja receptionist. Apa yang ingin dibuatnya, dia sendiri tidak
tahu. Suzanne sedang melayan sebuah panggilan telefon. Mungkin orang nak buat temu janji dengan Encik Prahna. Beberapa saat kemudian, gagang telefon diletakkan kembali di tempat asalnya. “Su, free tak malam ni?” tanya Adrian secara tiba-tiba sebaik sahaja Suzanne meletakkan gagang telefon itu.

“Kenapa?” Soalan dibalas dengan soalan.

“Jom keluar, tengok wayang,” jawab Adrian.

Sebenarnya, dia sudah banyak kali mengajak Suzanne keluar sebelum ini. Tapi Suzanne sering kali memberikan alasan bahawa dia mempunyai kerja pada sebelah malam. Adrian tahu yang itu merupakan alasan sahaja. Mungkin Suzanne tidak mahu teman lelakinya cemburu.

“Malam ni Su free. Bolehla kalau macam tu,” jawab Suzanne.

Dia merasakan yang dia patut memberi peluang kepada Adrian. Lagipun dia baru sahaja putus dengan teman lelakinya pada minggu lepas. Dia ingin melupakan lelaki itu. Alasan lelaki itu meninggalkannya, lelaki itu merasakan yang dia tidak layak untuk Suzanne. Alasan tipikal seorang lelaki apabila bosan dengan teman wanitanya. Dasar lelaki buaya daratan!

“Okay. Malam ni pukul 8 Ad jemput Su kat rumah.”

“Okay. I’ll wait,” balas Suzanne lalu terus menyambung tugasannya.

Adrian tersengih lebar. Berjaya juga dia akhirnya mengajak Suzanne keluar. Dia tidak sabar tunggu malam ini. Ini
bukanlah kali pertama dia keluar bersama perempuan. Tapi sebelum ini, dia tidak pernah dilamun cinta melebihi cinta monyet. Masa dirasakan begitu lambat. Dia nak balik, nak bersiap untuk temu janjinya. Dia sibuk memikirkan hendak pakai baju apa, seluar apa, kasut apa dan pelbagai lagi. Dia melihat seluar yang dipakainya. Memang sudah pudar. Pakaian dalam almari buruknya pun bukan cantik sangat. Banyak baju pasar malam sahaja. Mungkin dia akan pinjam baju Bob. Bob banyak baju yang lawa dan berjenama. Dia masih ingat pesan atuknya,
“First impression seseorang terhadap kita sangat penting.”

Kerana terlalu banyak berfikir benda yang remeh, Adrian tidak sedar jam sudah menunjukkan pukul 5.17 petang. Dia menyedarinya apabila ditegur oleh Suzanne. Biasanya dia merupakan orang yang pertama pulang. Dengan pipi yang kemerah-merahan kerana malu ditegur Suzanne, Adrian punch card dan terus keluar dari pejabat. Dia
ingin cepat sampai ke rumah. Rumah masih kosong apabila dia sampai. Rakan-rakannya biasanya sampai rumah
pada pukul 6 petang. Tempat kerja mereka lebih jauh. Masuk sahaja ke dalam rumah, Adrian menanggalkan baju korporatnya lalu dicampak ke belakang pintu biliknya. Itu tempat dia letak baju kotor. Slack pula digantung kerana dia hendak pakai lagi pada esok hari. Kain pelikat diambil lalu disarungkan. Tubuhnya direbahkan di hadapan televisyen. Menukar dari rancangan ke rancangan. Tiada satu pun yang dirasakan seronok. Rumah itu tiada siaran Astro ataupun Hip TV. Hanya siaran biasa sahaja. Dari TV1 sehingga TV9.

Tok! Tok! Tok!

Pintu rumahnya diketuk. Adrian hairan. Mana pernah rakan-rakannya mengetuk pintu rumah. Buang tabiat ke apa. Adrian melangkah ke pintu sambil cuba bersangka baik bahawa rakannya terhilangkan kunci rumah. Adrian terus menolak pintu itu dengan luas namun ia tersekat seperti ada benda yang menghalang. Adrian terus menolak dengan kuat dan pintu itu berjaya digerakkan. Terdapat sebuah bungkusan dibalut kertas hitam. Saiz bungkusan itu hanyalah sebesar sebuah buku Yellow Pages. Di atas bungkusan itu terdapat sampul surat yang tertera namanya.

Ahmad Adrian bin Saad.

Hairan. Tak pernah dia melihat orang menghantar bungkusan balut dengan kertas hitam. Hatinya mula berasa tak sedap. Cepat-cepat dia mengambil bungkusan itu masuk ke dalam biliknya lalu diletakkan di atas katil. Adrian turut duduk di atas katil. Memikirkan siapakah gerangan yang menghantar bungkusan. Tangannya mencapai sampul surat itu. Tiada nama pengirim. Sehelai kertas yang berlipat kemas dikeluarkan.

Isinya berbunyi:

AMARAN! JIKA ANDA SEORANG YANG
KUAT MENANGIS DAN KECUT PERUT, JANGAN BUKA BUNGKUSAN ITU. JIKA ANDA TIDAK
BERHAJAT UNTUK MEMBUKA BUNGKUSAN INI, LETAKKAN DI HADAPAN
PINTU RUMAH ANDA TEPAT JAM 2.00 PAGI INI. WALAU BAGAIMANAPUN, JIKA ANDA
INGINKAN KEKAYAAN DAN KEMEWAHAN SERTA BERANI HADAPI CABARAN, ANDA DIPERSILAKAN
UNTUK MEMBUKA BUNGKUSAN INI. INI BUKAN GURAUAN!

Kecut perut Adrian. Namun, ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Jika dia inginkan kemewahan dan kekayaan, dia dipersilakan untuk membuka bungkusan itu. Hatinya berbelah bahagi. Dia sudah penat hidup makan
gaji. Dia mahu mengubah nasibnya, tetapi tidak tahu bagaimana caranya. Kedengaran pintu rumahnya dibuka. Adrian terkejut. Dia mengintai dari celah pintu biliknya. Bob dan Hairi rupanya. Lega. Bungkusan itu disimpan di dalam almarinya lalu dia menapak keluar untuk menyapa rakan-rakannya. Joe masih bekerja lagi. Overtime.

Dengan fikiran yang kusut, Adrian menonton televisyen bersama rakan-rakannya. Walaupun jasadnya di situ, namun fikirannya sibuk memikirkan siapakah gerangan yang menghantar bungkusan hitam itu. Satu
perkara sahaja yang dirisaukannya, dalam bungkusan itu merupakan bom. Tapi, tidak mungkin. Dia tidak mempunyai musuh. Lagipun ini Malaysia, bukan Hollywood. Tanpa disedarinya, jam sudah menunjukkan pukul 6.43 petang. Adrian ke biliknya. Dia ingin bersiap untuk temu janjinya. Sebelum itu, dia menuju dahulu
ke bilik Bob. Hajatnya hendak meminjam kemeja Bob. Saiz mereka sebenarnya lebih kurang sahaja. Orang memanggil Bob kerana nama sebenarnya Badrul Othman bin Badeeudin. Bukannya kerana dia gemuk. Adrian
mengambil kemeja plain lengan panjang berwarna kelabu kehitaman jenama Topman. Dia juga turut meminjam jeans Levi’s 501 hitam serta kasut Byron dari Jimmy Choo. Setelah berpuas hati, dia ke biliknya. Rasanya,
hanya boxer dan stokin yang memang Adrian punya.

****

Suzanne mengunci pintu rumahnya di Batu Caves. Kemudian, dia duduk di buaian di luar rumahnya. Rumah teres 2 tingkat itu dihuninya berseorangan. Sudah tiga tahun dia menyewa di situ, semenjak mula bekerja di Syarikat Limau Tebal. Dia melihat jam tangan Brietling yang dibelikan oleh bekas teman lelakinya sempena hari lahirnya pada
tahun lalu. 8.05 malam. Namun, Adrian masih belum sampai. Suzanne sudah lali dengan janji Melayu. Malam ini Suzanne memakai blaus plain berwarna biru muda dan jeans kelabu. Rambutnya dibiar lepas.

Lebih kurang 3 minit kemudian, Honda EX-5 Adrian berhenti di hadapan pagar rumahnya. Suzanne berlari anak
mendapatkan Adrian.

“Sorry lambat. Jalan jam tadi,” Adrian memohon maaf.

“It’s okay. Kita nak pergi mana ni?” tanya Suzanne lalu menaiki motosikal
Adrian.

“Times Square,” jawab Adrian ringkas. Dia menghulurkan Suzanne sebuah helmet warna merah muda sticker Bell di atasnya. Selepas Suzanne selesai memakai helmet itu, Adrian terus memecut motosikalnya. Suzanne yang
terkejut terus memeluk tubuh Adrian. Derai tawa keluar dari mulut mereka berdua. Handle dipulas dengan kuat oleh Adrian. Makin laju motosikal itu, makin kuat tawa mereka

****

Tergesa-gesa Adrian memakai baju korporatnya. Dia sudah terlambat. Jam menunjukkan 10 pagi. Semuanya gara-gara dia terlalu memikirkan tentang game bodoh itu. Pagi itu dia tidak mandi. Hanya dengan membasuh muka dan memberus gigi serta membasahkan rambut sahaja. Harap-harap minyak wanginya boleh cover. Dia mencapai sling bag. Kunci motor dicapai lalu terus sahaja dia keluar rumah. Tidak sempat dia merenung poster Maria Ozawa
hari ini. “Ad! Pahal lambat sangat ni?” tanya Su dengan nada suara yang separa tinggi sebaik sahaja Adrian melangkah masuk. Rakan sekerja yang lain terus melihat mereka. Sewaktu dia punch card, jam sudahpun
menunjukkan pukul 10.37 pagi. Sudah lambat 37 minit. “Bangun lambat,” perlahan Adrian menjawab.
Jatuh air mukanya. Nasib baik bosnya tidak masuk pejabat hari ini. Mungkin dia di cawangan yang lagi satu. Tanpa membuang masa, dia mengambil bungkusan yang memang sudah siap diletak di atas meja receptionist lalu keluar dari pejabat. Dia malu untuk melihat muka Suzanne.

Enjin motor dihidupkan. Dia ingin segera menyelesaikan tugasannya. Segera dia ke Wangsa Maju, alamat bungkusan pertamanya. Motosikal dipecut sekuat hati, ingin melepaskan geram. Sudah dua lampu merah diredah. Sedang Adrian memecut di Jalan Gombak, ada sebuah kereta yang seperti ingin bersaing dengannya. Mitsubishi Lancer biru bergerak seiring dengannya. Adrian cuba untuk melihat pemandunya. Tiba-tiba tingkap kereta itu diturunkan. Jelas kelihatan seorang lelaki lebih kurang sebaya dengan Adrian. Lelaki itu turut memandang
Adrian. Baru Adrian ingat siapakah gerangan lelaki itu. Muka lelaki itu serupa dengan muka Hanes, yang Adrian perlu bunuh untuk menang. Hanes memberi sebuah senyuman kepada Adrian, lalu menunjukkan jari
tengahnya. Jantung Adrian sudah berdegup kencang. Hanes terus melanggar motosikal Adrian dari arah tepi. Adrian hilang kawalan lalu tercampak ke tepi jalan raya. Dia terseret sejauh 10 meter. Badannya penuh
luka dan darah. Kakinya tidak dapat dirasa. Dia cuba melihat tubuh badannya. Kakinya putus! Yang tinggal hanyalah paha dan lutut sahaja. Air mata Adrian mengalir. Dia meraung kesakitan sambil cuba meminta tolong.

Hanes memarkir keretanya di tepi Adrian. Pistol bersama silencer dikeluarkan dari kocek kot lalu diacu tepat ke
jantung Adrian. “Aku menang, Adrian,” selamba Hanes berkata. Adrian hanya memerhati. Dia tidak dapat bergerak. Anggota badannya begitu lemah. Adrian hanya berserah pada Tuhan. Hanes terus menekan picu pistol. Bunyi tembakan kedengaran. Pandangan terus menjadi gelap.

****

Adrian membuka matanya. Dia terus terduduk daripada posisi baring. Seluruh badannya berpeluh. Nafasnya kencang turun naik. Dia termenung sejenak, memikirkan di mana dia sekarang. Setelah mengamati keadaan sekeliling, barulah dia perasan. Dia masih di bilik tidurnya. Jam menunjukkan pukul 12.17 p.m. Mimpi rupanya. Istighfar diucap perlahan sambil otaknya cuba mengingati kembali lafaz itu. Xperia Mini di tepi katil dicapai. Dia menelefon pejabatnya untuk meminta cuti kecemasan, tidak sihat katanya. Setelah selesai, bilik air dituju untuk membersihkan diri. Dia memikirkan apa harus dibuat hari ini. Selesai mandi dan bersiap, dia membelek biodata Hanes. Rutin hariannya dibaca teliti. Adrian tertarik terhadap satu pernyataan. Biasanya Hanes akan makan malam di luar. Kawasan sekitar Ampang menjadi pilihannya. Adrian tahu tempat yang harus ditujunya. Dia cuma perlu berharap yang Hanes meneruskan rutin hariannya seperti biasa dan tidak mempercayai tentang Killer Game. Adrian mencapai sling bag dan kunci motor lalu keluar dari rumahnya.

Sewaktu menghidupkan enjin motosikalnya, Adrian terfikir yang mungkin juga Hanes sedang membaca rutin hariannya. Adrian berfikir sejenak. Rasanya elok dia mengambil bas sahaja untuk ke Ampang, bertindak lain sedikit daripada biasa. Adrian berjalan ke Taman Greenwood. Di situ, bas diambil untuk ke Lebuh Pudu. Di dalam bas, dia mengambil tempat duduk di penjuru belakang sekali untuk menyorok dari semua orang. Takut-takut jikalau Hanes menaiki bas yang sama. Dari Lebuh Pudu, dia akan menaiki lagi satu bas untuk ke Desa 288, Jalan Ampang.

Perjalanannya ke Ampang mengambil masa kira-kira 1 jam. Tidak hairanlah, dengan masa membeli tiketnya, dengan kesesakan lalu lintas lagi. Kalau naik motor, lagi cepat. Adrian berjalan di sekitar kawasan itu. Setiap kedai makan di kawasan itu dicatat di dalam buku nota 555 yang dibawa dari rumah. Setelah selesai, dia ke sebuah surau untuk menunaikan solat Asar. Surau itu kosong dan suram. Usai solat, punggungnya dilabuhkan di penjuru surau. Buku nota dikeluarkan lalu disemak kembali kedai makan yang dijumpainya. Hanes merupakan seorang yang agak kaya. Jadi, taste dia mungkin agak tinggi. Adrian memangkah segala kedai mamak dan kedai makan yang dirasakannya biasa-biasa sahaja. Segalanya mengikut gerak hati sendiri. Pening. Ada tiga kedai makan yang dirasakannya untuk golongan berada. Adrian membaca kembali biodata Hanes. Makanan kegemaran Hanes ialah tomyam. Daripada tiga restoran itu, ada dua yang menawarkan tomyam. Mana satu yang harus dipilihnya. Dia bukannya tahu pun mana satu yang lagi sedap. Tidak mungkin dia boleh pergi ke dua-dua restoran sekaligus. Jarak kedua-dua restoran itu agak jauh. Tanpa disedarinya, jam sudah menunjukkan pukul 7.20 petang. Masa untuk solat
Maghrib.

****

Adrian perlu cepat. Hanes biasanya makan malam pada 8.20 malam. Dia memerah otak memikirkan mana satu restoran yang harus dituju. Dalam kekalutan itu, rancangan Jangan Lupa Lirik tiba-tiba bermain di otaknya. Talian hayat! Xperia Mini dikeluarkan lalu nombor Bob didail. “Bro. Kat mana?” tanya Adrian sebaik sahaja Bob menjawab. Matanya tidak lepas dari melihat jam.

“Low Yat. Pahal?”

“Aku kat Ampang ni. Kau tahu tak mana nak cari kedai makan yang ada tomyam baik punya?”

Hmm, aku kalau makan tomyam dengan budak-budak aku kat situ biasanya pergi Seafood Paradise. Yang dekat Ampang Point tu. Tempat dia tersorok sikit, tapi tomyam dia memang terbaik,” jawab Bob. Adrian dapat membayangkan gaya Bob bercakap sambil menunjukkan tanda bagus dengan ibu jarinya. Adrian melihat catatannya. Tidak ada pula restoran bernama Seafood Paradise. Dia terlepas pandang nampaknya.

“OK Bob. Thanks. By the way, nanti kalau jadi apa-apa, aku nak kau jaga Hairi dan Joe betul-betul. Bye.”

Adrian terus memutuskan talian tanpa sempat Bob untuk membalas. Telefonnya terus dimatikan. Bob di
hujung talian pelik dengan perangai Adrian. Namun dia membiarkan sahaja. Adrian nekad. Dia akan pergi ke restoran itu. Dia perlu cepat. Jam sudah menunjukkan pukul 7.53 p.m. Adrian tercungap-cungap. Nafasnya turun naik. Dengan berlari, dia mengambil masa dalam 12 minit untuk sampai ke restoran itu. Adrian melihat
keadaan sekeliling. Tidak terlalu ramai orang. Restoran itu agak luas dan selesa juga. Tentu sekali Adrian tidak mampu untuk makan di restoran itu. Oleh itu, dia berjalan di kedai berdekatan sahaja. Kaca mata Oakley dikenakan. Harap-harap Hanes datang ke restoran itu. Sudah 30 minit dia mundar-mandir. Hanes tidak muncul-muncul juga. Mungkin juga Hanes tidak suka datang ke restoran ini. Adrian terus memerhati restoran itu. Dia mengambil keputusan untuk pergi ke restoran dalam catatannya jika Hanes tidak muncul juga dalam masa 10 minit.

Adrian tertarik terhadap seorang lelaki yang lengkap bersut. Pakaiannya tidak seperti orang lain. Dia juga turut memakai kaca mata hitam dan terdapat earphone diselit di telinganya. Gayanya seperti seorang bodyguard. Bodyguard itu memesan makanan dan mukanya tampak tegas sewaktu memesan seperti ada hal penting. Dengan pantas makanan itu siap. Take away rupanya. Adrian cuba mengamati isi di dalam plastik makanan itu dari jauh. Nampak macam sup. Tomyam mungkin. Adrian mengekori bodyguard itu walaupun dia tidak pasti akan
kebenarannya. Dari jarak yang selamat, dia dapat melihat bodyguard itu masuk ke dalam sebuah kereta Mitsubishi Lancer biru. Sama macam dalam mimpi, sama macam dalam biodata. Adrian cuba melihat penumpang kereta. Dalam cahaya samar, dia pasti penumpang itu Hanes. Adrian memikirkan apa yang perlu dibuat. Pisau Rambo dalam sling bag diperiksa. Masih ada. Batu sebesar tapak tangannya diambil lalu dicampak ke kereta itu. Tepat ke bumbung kereta. Bodyguard itu terus keluar dari kereta dan memerhati sekeliling. Tangannya menggenggam
sesuatu di dalam kocek kot. Tahulah dia bodyguard itu mempunyai pistol. Mata mereka bertembung. Adrian melarikan diri. Dia sengaja berbuat demikian supaya bodyguard itu mengejarnya. Tapi, ke mana dia mahu pergi dia sendiri tidak pasti. Dia memasuki satu lorong kecil di belakang deretan kedai. Terdapat beberapa timbunan sampah dan kotak yang sudah buruk. Adrian bersembunyi di situ sambil menutup hidungnya. Bau sampah di situ memang boleh membuatkan orang pengsan. Harap-harap bodyguard itu pengsan dengan bau itu.

THUD!

Satu tembakan dilepaskan. Tepat ke kotak di sebelah kiri Adrian. Bunyinya agak perlahan. Mungkin bodyguard itu menggunakan silencer. Muka Adrian berpeluh. Mungkin nasib tidak menyebelahinya kali ini. Namun Adrian teringat kembali peraturan permainan. Hanya Hanes yang boleh membunuhnya untuk menang pertandingan itu. Dia yakin bodyguard itu tidak akan membunuhnya. Paling teruk pun hanya dicederakan. Pisau Rambo digenggam kemas. Itulah sahaja senjata yang dia ada. Bunyi tapak kaki jelas kedengaran menghampiri tempat Adrian bersembunyi. Adrian menunggu masa yang sesuai untuk bertindak. Dia cuba menggunakan mata hati untuk mengamati tapak kaki bodyguard itu. Di universiti dahulu dia ada belajar teknik menggunakan pisau daripada seorang rakannya. Rakannya merupakan ahli silat cekak. Jadi, adalah sedikit basic menggunakan pisau dalam dirinya. Akhirnya dapat juga dia mengaplikasikan ilmu itu. Setelah Adrian merasakan bodyguard itu berada dekat dengannya, Adrian bangun dari tempat persembunyiannya lalu cuba untuk menikam leher bodyguard
itu. Bodyguard itu terkejut lalu melepaskan beberapa das tembakan. Satu daripadanya mengenai betis Adrian. Adrian menahan kesakitan. Dia segera menggunakan kesempatan itu untuk menyembelih bodyguard itu. Darah
memancut keluar daripada leher bodyguard. Adrian terduduk di sisi mayat itu. Dia terkejut dengan tindakannya. Dia tidak menyangka dia akan membunuh seseorang yang tidak dikenalinya dan tidak sangka dia mampu membunuh bodyguard itu dengan senang sekali.

Setelah menenangkan diri, Adrian mengambil pistol daripada tangan bodyguard itu. Terukir di badan pistol itu, GLOCK 19. Kocek seluar dan baju bodyguard itu diseluk Adrian satu per satu. Dompet serta beberapa peluru pistol lelaki itu diambil. Tugas Adrian belum selesai. Adrian bangun lalu mengumpulkan semangat. Dia ke kereta yang dimasuki bodyguard itu sebentar tadi. Nasibnya pada malam ini baik, kawasan itu lengang, tiada orang. Tangannya menggenggam pistol itu dengan kemas. Adrian ke belakang kereta. Dia bersembunyi di belakang sebatang pokok
renek di seberang jalan. Adrian cuba membidik kepala Hanes. Dua tembakan dilepaskan. Tidak mengena. Dia bukannya ada pengalaman menggunakan pistol. Adrian dapat melihat Hanes mengelak. Hanes tertunduk
ketakutan di dalam kereta itu. Adrian berlari ke sisi kereta itu. Dia cuba mengintai Hanes namun tidak nampak. Pintu kereta dibuka dan dia melepaskan lagi dua tembakan ke badan Hanes. Hanes mengerang kesakitan.

“Jangan bunuh aku! Tolong! Aku ada keluarga!” rayu Hanes. Adrian teringat, yang di dalam biodatanya ada tercatat bahawa dia mempunyai dua anak. Kedua-duanya masih belum bersekolah. Hanes menggunakan kesempatan yang ada untuk menyepak badan Adrian. Adrian terkejut. Dia jatuh terduduk di atas jalan. Senak perut Adrian dibuatnya.
Pistol yang dipegangnya tadi terlepas dari genggaman. Hanes berusaha keras untuk bangun. Badannya berdarah dek tembakan tadi. Dia mengambil pisau Rambo kepunyaannya di bawah seat kereta lalu melompat ke arah
Adrian, cuba untuk menikam. Adrian yang terkejut dengan perbuatan Hanes segera menyepak badan Hanes. Hanes jatuh terlentang di sebelah Adrian. Adrian mengambil pistolnya lalu mengacu ke badan Hanes. “I’m sorry,” ucap Adrian lalu terus melepaskan tembakan ke arah badan Hanes sehingga peluru dalam laras pistol habis. Asap nipis keluar dari hujung pistol itu.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/74011/permainan