Apa telah terjadi kepada Microsoft?

Hubungan Microsoft dan Apple menjaminkan kedudukan mereka dalam pasaran

 

Sudah begitu lama kami tidak mendengar jenama Microsoft di agung-agungkan, khususnya apabila peralatan dan perisian media baru diketengahkan. Suatu ketika dahulu, Microsoft adalah segala-galanya di dalam industri komputer, sehinggakan syarikat itu sering kali dituduh memonopoli pasaran software Amerika Syarikat. Untuk mengelakkan daripada disaman di bawah akta Anti-Trust Amerika Syarikat pada ketika itu, Microsoft telah membantu Apple Inc untuk kembali semula beroperasi di dalam industri tersebut dengan memberi dana yang besar sebagai modal kepada Steve Jobs setelah beliau kembali semula ke dalam entiti tersebut. Secara teori, dengan adanya dua syarikat gergasi di Amerika Syarikat, tidak mungkin Microsoft boleh disaman atas tuduhan monopoli. Sebelum itu lagi, Microsoft dan Apple mempunyai persefahaman dalam pelbagai perkara termasuk perlesenan hak cipta (cross-licensing agreement).

Pada zahirnya, memang Microsoft kelihatan kurang aktif dalam dunia media baru atau pembangunan perisian dan peranti tablet. Kedatangan perantinya yang dinamakan Surface pun tiba agak lewat dalam litar perlumbaan. Namun hakikatnya, dalam industri ICT hari ini, nama Microsoft lebih sering disebut berbanding Google atau pun Samsung. Koleksi hak cipta (patent) reka bentuk Microsoft adalah jauh lebih besar berbanding syarikat-syarikat lain yang setanding dengannya. Pembangunan sistem operasi Windows 8 dan RT adalah lebih sistematik jika dibandingkan sistem operasi umum yang lain seperti Android ataupun Web OS. Walaupun kedatangannya adalah lewat, kami jangkakan bahawa Windows 8 akan membawa impak yang lebih besar dalam industri media baru. Bezanya disini, Microsoft mempunyai pengalaman yang jelas menunjukkan mereka adalah veteran di dalam bidang ini.

Kelihatan juga pada masa ini kedudukan syarikat Apple Inc adalah terlalu kuat dalam pasaran telefon pintar, peranti tablet dan juga komputer. Apple Inc buat ketika ini tidak dapat ditandingi oleh Samsung, walau pun ramai yang mahukan begitu, tetapi pada realitinya prestasi Samsung tidak begitu hebat dalam semua segmen gadget berkategori sama. Untuk Apple pula, syarikat ini perlu berhati-hati supaya tidak disaman di bawah undang-undang Anti-Trust Amerika Syarikat kerana isu monopoli. Sehingga kini mereka sudah berhadapan dengan pelbagai syarikat seperti Google, Samsung dan Amazon di dalam mahkamah. Namun Apple juga tidak mahu Samsung atau pun Google berdiri sama tinggi dengannya.

Oleh itu, pihak kami meramalkan kedatangan Microsoft ke gelanggang pertandingan adalah amat dialu-alukan oleh Apple Inc. Pasangan ini mempunyai sejarah kerjasama sejak abad 80an lagi, dan persefahaman yang syarikat-syarikat ini patuhi akan menjadikan Microsoft pemain besar industri ini tidak lama lagi.