[SNEAK PEEK] MR SINGA MISS SELAMBA

9789678607285-medium

MR SINGA MISS SELAMBA Oleh Nurina Feeza

BOLA mata Iqram tidak beralih memandang kerusi yang tidak berpenghuni di hadapannya. Sesekali, dia mengerling ke muka pintu. Berharap agar si pemilik kerusi itu segera memunculkan diri, namun hampa kerana bayang itu masih lagi tidak muncul.
“Mana dia pergi ni? Dia tak tahu ke hari ni kita ada mesyuarat?” Wajah Iqram sudah mencuka. Langsung tidak tercalit senyuman di bibir.
Masing-masing sudah menggaru-garu kepala. Tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan pada Iqram. Berulang kali mereka meneguk liur tatkala melihat kemarahan Iqram. Sungguh, mereka jadi gerun apabila melihat ekspresi muka sang ketua.
Iqram mendengus marah. “Saya ni cukup pantang kalau ada orang yang tak pandai nak tepati masa! Apa, dia ingat dia tu bos ke? Hah, saya pulak yang kena tunggu dia kat sini? Saya ni bukan tunggul kayu tau!” Api kemarahannya semakin mencanak naik.
Bisu, tiada seorang pun yang berani mencelah. Bila Mr Singa naik angin, memang haru biru jadinya. Silap hari bulan, bangunan yang kukuh ini pun boleh tumbang dikerjakan Iqram.
Iqram menoleh memandang Sonia. “Sonia?”
“Ya, bos?” jawab Sonia.
“I nak you call dia sekarang! Suruh dia cepat-cepat datang ke bilik mesyuarat!” arah Iqram.
“Baik, bos!”
Gagang telefon diangkat, lalu diletakkan ke telinga. Satu nombor telefon didail. Seminit dua berlalu, tiada tanda-tanda untuk si pemilik nombor itu menjawab panggilannya. Hanya suara operator yang menjadi peneman setia walau di mana berada itu sahaja yang menjawab.
“Tak dapat bos,” beritahu Sonia.
“Cuba sekali lagi!” arah Iqram.
Sekali lagi Sonia mencuba, namun sekali lagi juga jawapan sama yang diterimanya. “Masih tak dapat, bos!”
Iqram semakin bengang. “Tak apalah, Sonia. Kita tunggu aje sampai dia datang.”
Sonia hanya mengangguk. Gagang telefon diletak semula ke tempatnya. Dia mengerling sekilas memandang Iqram. Tidak berani hendak menjawab panjang-panjang. Bimbang kalau-kalau mengundang kemarahan ketuanya itu. Angin lelaki di hadapannya itu bukan boleh diduga. Angin puting beliung!
Sementara itu, Hidayah yang sedang duduk di sebelah salah seorang staf Jabatan Operasi, bertubi-tubi menghantar Whatsapp dan mesej pada sahabatnya, namun langsung tidak berbalas. Dia mendengus perlahan. Sakit pula hatinya apabila mengenangkan kecuaian gadis itu. Bukannya gadis itu tidak tahu bahawa hari ini mereka ada mesyuarat, tapi dia sengaja buat-buat lupa. Yang menyakitkan hati, gadis itu boleh menayang muka selamba dan sengihan di bibir. Seolah-olah dirinya itu tidak melakukan sebarang kesalahan.
Dia mendongak memandang Iqram yang sedang berdiri sambil berpeluk tubuh. “Saya mintak izin untuk keluar sebentar. Saya nak pergi tandas,” suaranya memohon keizinan.
“Hmm…” balas Iqram tanpa menoleh ke arah Hidayah.
Lantas, Hidayah bangun, lalu menyusun langkah keluar dari bilik mesyuarat. Laju langkahnya diayun menuju ke tandas. Sesudah sampai di tandas, beg tangannya berwarna hitam itu diletakkan ke tepi singki. Telefon bimbitnya segera dicapai. Nombor telefon bimbit seseorang didail. Seminit dua, akhirnya kedengaran nada bersambut.
“Hello?”
“Hoi nenek sihir, kau ada kat mana sekarang ni? Apasal lambat sangat ni? Mr Singa tu dah naik angin tau! Kau memang sengaja nak buat pejabat kita ni jadi tunggang-langgang ke apa?” Hidayah menengking dengan suara keras.
Maira terkesima. Hampir melatah jadinya tatkala mendengar kata-kata Hidayah. “Kau ni apasal? Yang nak marah aku tanpa sebab tu, kenapa? Aku buat salah apa?” Dia meninggikan suara, setanding dengan suara Hidayah.
Hidayah mendengus geram. “Kau ni ingat ke buat-buat tak ingat? Sejak bila pulak kau ada sindrom hilang ingatan ni hah?” bidasnya, semakin hilang sabar dengan tingkah laku Maira.
Berkerut dahi Maira. “Apa yang kau merepek ni, Dayah? Hilang ingatan apa bendanya ni?” tanyanya dengan muka terpinga-pinga.
“Hari ini hari apa?”
“Rabu,” jawab Maira. “Kenapa?” Giliran dia pula yang menyoal.
Hidayah menepuk dahi. “Apasal la kau ni lembab sangat? Setiap hari Rabu kan kita ada meeting dengan Mr Singa. Takkanlah kau dah lupa hal sepenting ni?”
Membuntang biji mata Maira. Terkedu dengan jawapan itu. “Hah, apa?” Kepalanya diketuk-ketuk berulang kali apabila menyedari ketelanjuran diri. Macam mana aku boleh terlupa hal sepenting ni? Aduh! Habislah aku kena marah dengan Mr Singa. Tulah, selalu sangat cuai! Tengok, tak pasal-asal satu office huru-hara disebabkan kelewatan kau, marah hatinya.
“Hoi!” jerkah Hidayah. “Diam pulak dia, jawablah!”
Maira terkejut mendengar jerkahan itu. Pergh, kuss semangat! “Tak payahlah menjerit! Kau bukannya tengah pegang mikrofon pun. Aku dengarlah, mak cik!” bentaknya geram.
“Haa… kau ada kat mana sekarang ni?” tanya Hidayah bersama cebikan di bibir. Malas hendak berlembut dengan Maira. Sorry la… itu bukan style dia!
“Aku tengah parking kereta ni. Kau tolong cover aku kejap. Dalam masa dua minit, aku sampai okey,” balas Maira sekali gus mematikan talian.
Hidayah tercengang. Erk, dia matikan talian pulak? Huh! Getus hatinya geram.

BAGAIKAN lipas kudung, Maira mencicit masuk ke dalam bilik mesyuarat. Langkahnya terhenti bak tiang elektrik apabila menyedari beribu-ribu lemon mata memandangnya. Kenapa semua orang pandang aku ni? Wah, rasa macam artis terkenal aje. Dia tersengih sejenak. Apalah kau ni Maira, sempat makan buah berangan lagi. Dahsyat!

Tiba-tiba kedengaran satu suara dehemen keras yang datangnya dari satu figura seorang lelaki yang sedang tegak berdiri sambil berpeluk tubuh. Spontan Maira menoleh ke arah lelaki itu. Melihat renungan tajam lelaki itu, membuat Maira meneguk liur. Alamak, matilah aku! Mr Singa dah naik angin! Boleh tak kalau aku nak hilangkan diri sekejap? Aduh! Kalau ada kuasa halimunan kan senang. Dia sudah menggigil ketakutan.
Sebuah jelingan tajam dihadiahkan pada Maira, tanda amaran keras. “Awak lambat selama…” Jam yang terikat di pergelangan tangan kanannya, dikerling. “Satu jam!”
Maira tayang sengihan. Siap menayang barisan gigi putihnya bak baru sahaja dicalit dengan kapur kasut. “Saya mintak maaf, bos. Saya… saya…”
“Awak apa?” herdik Iqram.
Maira terus terdiam. Aduh, kenapa otak aku ni tak nak keluarkan idea bila dalam keadaan genting ni? Hisy, idea ni pulak macam sengaja nak main cak wa cak wa dengan aku tau, bentak hati Maira.
“Awak ingat muka awak tu cantik sangat ke kalau sengih-sengih depan saya?” herdik Iqram. Mula hilang sabar dengan gelagat Maira.
“Cantik.” Tanpa sedar Maira membalas. Ops! Mulutnya segera ditekup apabila menyedari ketelanjuran diri. Alamak, terlebih sudah!
Buntang biji mata Iqram mendengar jawapan itu. Bagai hendak terjojol keluar dibuatnya. “Berani awak menjawab, ya!” tengkingnya keras.
Seisi staf bahagian operasi sudah meneguk liur melihat telatah Iqram a.k.a Mr Singa. Silih berganti mereka memandang Iqram dan Maira. Sungguh mereka tidak menyangka, Maira begitu berani menjawab. Siap menayang muka selamba badak lagi, seolah tidak melakukan kesalahan.
Maira menayang muka selamba. “Betul kan apa yang saya cakap ni? Kan bos kata muka saya ni cantik?”
Iqram menggenggam buku lima. “Awak…” Huh! Tak pernah ada lagi manusia yang berani melawan cakap aku. Tapi dia? Argh! Kalau kau tu lelaki, memang dah lama makan penumbuk aku. Kenyang terus, tak payah makan sampai esok pagi!
Maira menjongket kening. Buat apa nak takut? Dia bukannya monster inc pun. Dia bos yang kacak bak pelakon Aliff Satar, desisnya lalu tergelak lucu dalam hati.
“Dah, duduk!” arah Iqram tegas.
Cepat-cepat Maira mengambil tempat duduk di sebelah Hidayah. Fail yang tertulis perkataan ‘operasi’ di atasnya, bingkas dicapai lalu dibuka ke helaian pertama.
Usai mesyuarat selesai, kesemua staf bahagian operasi mengemas fail-fail mereka, lalu melangkah keluar dari bilik mesyuarat. Yang tinggal hanya Iqram, Maira, Hidayah dan Sonia.
“Maira Qaisarah!” Iqram menegur tegas.
Maira menoleh ke arah Iqram. “Ya, bos?”
“Masuk bilik saya lepas ni,” arah Iqram tersenyum sinis. “Bersiap sedia untuk disoal siasat, Maira.” Lalu, dia bangun dan terus berjalan keluar meninggalkan bilik mesyuarat.
Bulat mata Maira mendengar arahan itu. Arahan itu umpama petir berdentum menyambar dada langit. Gulp! Dia menegur liur. Alamak, matilah aku!
“Padan dengan muka kau, Maira!” ejek Sonia sambil tersenyum sinis. Serentak itu, dia bangun lalu berjalan keluar dari bilik mesyuarat.
Maira menggosok-gosok belakang kepalanya berulang kali. Wajahnya sudah pucat lesi. “Dayah?” tegurnya sambil memandang tepat wajah kawan baiknya itu.
Hmm?” balas Hidayah sambil tersenyum sinis. Bak sedang menyindir gadis comel itu.
“Macam mana ni, Dayah? Aku takutlah! Ketaq lutut aku ni, wei!” luah Maira dengan suara menggigil-gigil.
“Aik, tahu pulak rasa takut? Tadi masa kau melawan cakap dia, tak tahu takut? Haa… padan dengan muka kau!” perli Hidayah dengan muka selamba.
“Ala… tu tadi,” balas Maira. “Kau temankan aku, ya?” pintanya beria-ia. Dia mempamer muka kasihan, seolah-olah mahu meraih simpati Hidayah.
Membuntang biji mata Hidayah. “Kau dah gila ke? Hisy, tak nak aku! Kau sendiri yang cari pasal kan? Tanggung sendirilah! Aku tak sanggup nak jadi mak sanggup,” perlinya, lalu cepat-cepat bangun dan mengayun kaki keluar dari bilik mesyuarat.
Maira menjeling geram. Wajahnya cemberut. Cis, tak guna punya kawan! Kawan susah pun, tak boleh nak tolong ke? Argh! Hatinya membentak geram.

****

SAMBIL menggigil ketakutan, Maira melangkah menuju ke meja Sonia. Seusai tiba di meja Sonia, dia menarik nafas dalam-dalam. Tenang, Maira Qaisarah. Rileks… Berulang kali dia memujuk hatinya supaya menjadi lebih tenang.
Sonia yang sedang tekun menaip sesuatu di papan kekunci komputer ribanya dikerling. Lantas, dia berdehem kecil. “Sonia?”
“Hmm?” Sonia segera mengangkat muka tatkala terdengar namanya dipanggil. Tatkala melihat Maira, spontan dia mencemik muka. “Kau nak apa?” soalnya dengan nada kasar.
“Encik Iqram ada kat dalam tak?” soal Maira. Mukanya kelihatan pucat.
“Ada.”
Maira semakin resah. Aduh, dia ada pulak kat dalam. Kan bagus kalau dia kena baham dengan singa. Senang hati aku, ngomel hatinya. Hisy, tak baik kau doakan yang buruk-buruk untuk dia. Sesinga dia pun, dia tetap bos kau tau.
“Err… aku masuk dalam ya?” Dia meminta keizinan untuk masuk ke bilik Iqram.
Membuntang biji mata Sonia tatkala mendengar permintaan Maira.
“Kejap, jangan masuk lagi! Kau ingat pejabat Encik Iqram tu office bapak kau? Kau tak boleh masuk sesuka hati tau!”
Tersentap hati Maira tatkala mendengar sindiran Sonia. Dia cukup pantang kalau ada orang menggunakan perkataan ‘bapa’ di sebalik pertelingkahan mereka. Namun, sedaya upaya disabarkan hatinya untuk tidak melawan. ‘Sabar Mai, biarkan aje nenek sihir ni nak cakap apapun. Kejap lagi, kau balunlah dia cukup-cukup!’
“Okey.” Dia cuba mengawal kemarahannya agar tidak nampak ketara.
Sonia mengangkat gagang telefon lalu meletakkannya ke telinga kanan. Angka bernombor dua ditekan. Seminit dua, kedengaran nada bersambut. Begitu lembut dan manja tingkah laku dan suara setiausaha gedik itu ketika sedang berbicara dengan Iqram di telefon.
Maira mencebik melihat tingkahlaku Sonia. Geli-geleman jadinya apabila melihat lenggok Sonia ketika sedang bercakap di telefon. Eiii… macam kucing gatal aje minah gedik ni, kutuk hatinya.
Sesudah selesai berbicara, Sonia bingkas meletakkan gagang telefon ke tempatnya semula. “Kau boleh masuk sekarang,” beritahunya.
Diam, Maira membisu. Gadis itu kelihatan seolah-olah sedang termenung jauh.
Berkerut dahi Sonia tatkala melihat tingkah laku Maira. “Hoi!” jerkahnya.
Maira tersentak. “Haa… apa dia?” Terpinga-pinga dia memandang Sonia.
Sonia mencemik. “Yang kau nak tersengih-sengih macam kambing tu, kenapa? Tak payah nak sengih sangatlah!” Dia mengukir senyuman sinis. “Kejap lagi, telinga kau akan berasap bila dengar ceramah Encik Iqram,” sindirnya.
Panas hati Maira mendengar sindiran itu. “Telinga aku yang berasap, bukan telinga kau.” Dia membalas senyuman sinis Sonia. “Kalau telinga kau tu berasap jugak, nanti aku telefon bomba. Aku suruh dia orang semua sumpit telinga kau tu!” Haa… ambik kau, tak pasal-pasal dah kena sebijik dengan aku! Desis Maira, geram.
Membuntang biji mata Sonia. “Kau jangan nak kurang ajar dengan aku, Maira! Aku tampar nanti!”
Maira tertawa sinis. “Oh, tahu pulak kau nak marah? Sakit hati ke bila aku cakap macam tu?” Kau sentap ke? Padan dengan muka kau! Baru kau tahu langit ni tinggi ke rendah. Ada hati nak perli aku? Kau salah orang, okey! Ini Maira Qaisarah tau!
Sonia menghentak meja. “Kau…”
Belum sempat Sonia menghamburkan amarahnya pada Maira, tiba-tiba interkom berbunyi. Cepat-cepat dia mengangkat gagang telefon. “Yes, boss?” ucap Sonia sambil terliuk-liuk manja.
Wajah Sonia tiba-tiba berubah kelat. Membuat kening Maira terangkat sebelah. Senyuman sinis semakin melebar di bibir. Hmm… mesti kena marah dengan Mr Singa tu kan? Ha… ha… ha… rasain lu! Tulah, nak sangat berdebat dengan aku kan?
Gagang telefon diletakkan kembali ke tempatnya. Sonia mengalihkan pandangannya ke arah Maira. “Pergi masuk sekarang!” tengkingnya garang.
Dengan muka selamba badaknya, Maira membalas, “Okey!”
Dia mengayun kaki menuju ke muka pintu, namun sekali lagi langkahnya mati apabila sindiran tajam Sonia singgah ke gegendang telinganya.
“Bersiap sedia untuk disoal siasat.” Sempat lagi Sonia menyindir Maira. Siap tersenyum sinis lagi.
“Okey.” Sekali lagi Maira membalas dengan muka selamba badaknya.
Daun pintu bilik yang tertulis nama Iqram Fattah Datuk Hakim dan dibawahnya pula tertulis perkataan ‘Pengurus Operasi’ diketuk. Kedengaran bunyi perkataan ‘masuk’ dilaung dari dalam. Dengan lafaz bismillah, Maira memulas tombol pintu lalu membolos masuk ke dalam.

SESUDAH menutup rapat daun pintu, Maira memusingkan tubuhnya menghadap Iqram. Melihat wajah serius itu, semerta tubuhnya menggeletar. Spontan liurnya diteguk. Hang nilah lutut, masa nilah hang nak ketaq na? YA ALLAH, selamatkanlah hamba-MU yang kerdil ini. Jangan biarkan Mr Singa ni baham aku. Doanya bersungguh-sungguh.
Iqram yang sedang menaip di papan kekunci komputer ribanya spontan menoleh ke arah Maira yang masih tercegat di muka pintu. Berkerut dahinya melihat telatah gadis itu.
“Yang awak berdiri kat tepi pintu macam tiang bendera Malaysia tu, kenapa? Masuklah!” jerkahnya. Langsung tidak tercalit sebarang senyuman di wajahnya yang serius itu.
Maira tersenyum kelat. “Baik, bos.”
Dia berjalan ke hadapan meja Iqram, lalu berdiri di tepi kerusi.
Dahi Iqram semakin berkerut melihat gelagat Maira. “Tak payah nak jadi patung depan saya, Maira. Duduk!” arahnya tegas.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/79969/Mr-Singa-Miss-Selamba